Tuesday, January 27, 2009

Hati yang Terluka 26

Emily memandu tenang keretanya ke Vila Astana. Raja Muzairah sudah memesan kepadanya pagi-pagi tadi lagi supaya singgah di situ untuk makan malam bersama. Agak janggal pergi berseorangan tanpa Tengku Zamran Hakim, namun kerana tidak sanggup menghampakan Raja Muzairah yang beria-ria, diturutkan juga hatinya.

Dari luar sudah kedengaran riuh suara orang yang berbual. Kereta tiga pasangan ipar-birasnya turut kelihatan di garaj.

“Assalamualaikum…” Emily memberi salam. Jantungnya tiba-tiba sahaja berdegup laju ketika melangkah masuk.

“Waalaikumusalam…Sampai pun menantu mummy yang seorang ni.” Raja Muzairah menghampiri Emily sambil memeluk tubuh menantu bongsunya itu.

“Maaf mummy, lambat sikit.” Emily menghadiahkan senyuman selepas pelukan mereka terlerai.

“Lambat tak pe, kalau tak datang langsung tu yang mummy akan marah.” Rozina menyampuk. Tersenyum memandang biras yang sudah agak lama tidak ditemuinya.

“Pandailah kamu Ina.” Raja Muzairah pula membalas.

“Ina memang pandai! Ha, Emy ni. Kenapa lama tak datang sini?” Rozina bangun sambil mencubit pipi Emily kuat. Memerah pipi Emily dibuatnya.

“Emy si…”

“Sibuk. Dia memang sibuk memanjang Kak Ina. Kalau boleh tak nak balik rumah langsung.” Tidak sempat Emily menghabiskan ayatnya, kata-katanya sudah disambung seseorang.

Emily terkedu. Bukan sahaja terkedu kerana kata-kata sindiran yang tajam tapi turut sama terkedu kerana suara itu! Suara yang sudah lebih dua minggu tidak didengarinya. Suara yang cukup dirinduinya. Matanya tercari-cari kelibat pemilik suara itu dan matanya terhenti pada sesusuk tubuh yang sudah mengatur langkah ke anak tangga.

Emily tersenyum kelat pada semua yang ada di ruang utama itu. Cuba menutup wajah kecewanya dengan sikap Tengku Zamran Hakim. Salah diakah kedinginan ini berlaku?

Rozina yang berada di sebelah Emily berbisik perlahan.

“Kalau hati kita berdetik sedikit mengatakan kita yang salah, apa salahnya rendahkan sedikit ego untuk memohon kemaafan?”

Emily memandang Rozina. Antara birasnya yang lain, dia paling rapat dengan Rozina. Kata-kata Rozina mengingatkan dia pada nasihat bonda lebih kurang dua minggu yang lepas. Walau ayat yang dituturkan tidak sama, namun maksud yang tersirat disebaliknya tidak jauh beza. Rendahkan ego.

“Pergilah.” Gesa Rozina.

Emily mengangguk sebelum mengatur langkah.

* * * * *

Tengku Zamran Hakim berteleku di birai katil. Mengingat kembali kejadian yang berlaku beberapa minit yang lepas, membuatkan dia mengeluh lemah. Sebenarnya dia langsung tidak berniat untuk menyindir Emily, namun entah mengapa dia sengaja mahu terus menguji isterinya itu.

Pintu biliknya tiba-tiba dibuka dari luar. Tanpa lihat pun, dia sudah dapat mengagak siapa yang sedang melangkah masuh ke biliknya.

“Tak reti nak ketuk pintu dulu?” dingin suaranya menyapa.

Emily menggigit bibir. “Sorry.”

“Nak bagi salam pun dah tak tahu?”

“Tahu! Assalamualaikum, abang.” Emily melepas nafas lega. Alhamdulillah. Terkeluar juga panggilan itu akhirnya.

Tengku Zamran Hakim terkedu. Silap dengarkah? Tajam matanya merenung Emily.

Emily buat-buat tak nampak dengan pandangan maut Tengku Zamran Hakim. Dia menghampiri dan melutut di hadapan lelaki itu. Tangan Tengku Zamran Hakim dicapai dan dikucup lembut.

“Emy minta maaf kalau abang kecil hati dengan Emy. Emy banyak buat abang kecewa. Kalau abang tak nak maafkan pun tak apa, Emy faham.” Air jernih mengalir perlahan ke pipinya. Setiap kali berhadapan dengan Tengku Zamran Hakim, pasti mutiara jernih itu tumpah. Apabila cemburu, marah, atau sakit hati dengan lelaki itu, pasti dia terasa mahu menangis.

Tengku Zamran Hakim terdiam. Masih lagi tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Tapi satu je Emy minta, kalau abang rasa marah, sakit hati, kecil hati, atau tak puas hati dengan Emy sekalipun tolong jangan lari sampai ke Luar Negara macam hari tu. Kecut perut kena tinggal sorang-sorang.” Sambung Emily.

Tengku Zamran Hakim tersenyum setelah hatinya sudah mahu percaya dengan apa yang didengarnya. Lapang benar hatinya mendengar panggilan yang sudah lama dinantikan itu. Marahnya tidak jadi dipanjangkan. Dia bangkit dari duduknya sambil menarik tubuh Emily untuk turut sama bangun. Mata mereka bertentangan.

“Kalau tak menangis tak boleh ek?” tanya Tengku Zamran Hakim lembut sambil mengesat pipi Emily dengan jemarinya.

“Abang lah buat orang menangis.” Emily memuncung.

Tengku Zamran Hakim tersenyum lagi. Tubuh Emily ditarik ke dalam pelukannya. Didakap erat tubuh itu seperti tidak mahu dilepaskan.

“Terima kasih sebab panggil abang dengan panggilan yang abang tunggu-tunggu selama ini. Terima kasih sebab buat abang mengerti maksud cinta. Terima kasih sebab buat abang kenal makna rindu. Terima Kasih sebab buat abang rasa erti cemburu. Terima kasih sebab bagi peluang pada abang untuk bergelar suami. Akhir sekali, terima kasih sebab buat abang bahagia.” Ucap Tengku Zamran Hakim penuh syahdu di telinga Emily yang dilindung tudung.

Emily mengeratkan pelukannya. Kepalanya disandar pada dada bidang itu. Baru hari ini dia benar-benar rasa bahagia setelah 25 tahun berdendam dengan kaum Adam. Dia rela mencampak jauh dendam itu untuk merasa sebahagia ini. Kalau benar ini rasanya cinta Ya Allah, seribu kesyukuran ku panjatkan. Rahmatilah cinta kami berdua hingga ke akhirnya.

Kring! Kring!

“Kacaulah telefon ni.” Tengku Zamran Hakim merungut apabila telefon yang sedia ada di kamar tidurnya berbunyi nyaring. Dengan keluhan berat, pelukannya dilepaskan untuk mengangkat panggilan.

“Hello?”

“Apa helo-helo? Korang berdua buat drama apa dekat atas tu ha? Perut kami semua dah berkeroncong sakan dah ni. Siap ada rentak dangdut lagi sebab tunggu kau dengan Emy turun. Drama apa yang korang buat sampai tak reti-reti nak turun? Sikit-sikit sudahlah. Selebihnya tunggu malam karang. Sekarang, turun!” bagai peluru mulut Tengku Syahmi berkata-kata.

“Kejap lagilah Bang Ngah…suruh yang lain makan dulu.” Balas Tengku Zamran Hakim.

“Bang Ngah tak nak tanggung kalau pintu bilik kau roboh beberapa minit lagi.” Kali ini, nada Tengku Syahmi seolah berbisik.

“Maksudnya?”

“Mak Teh datang bawak satu family.” Mendatar suara Tengku Syahmi.

“Then?”

“Emm…Razlan tak sabar nak jumpa Emy, dan dalam perjalanan ke bilik kau.”

“Razlan? Penyibuk!” Tengku Zamran Hakim mendengus. Ganggang dihempas kuat.

* * * * *

Mata Emily dari tadi tidak lepas memandang kedua-dua lelaki yang sedang merenung antara satu sama lain. Tidak tahu adegan apa yang akan muncul sebentar lagi.

“Emm…Emy keluar dulu.” Minta Emily. Tidak tahan berada dalam suasana tegang dan sunyi itu.

“Jangan nak ke mana-mana!” serentak Tengku Zamran Hakim dan Razlan.

Langsung mati langkah Emily. Berkerut dahinya menyatakan rasa tidak puas hati.

“Habis tu, takkan Emy nak tercangak dekat sini tengok abang dengan Razlan main pandang-pandang. Sampai bila nak habis kalau macam ni.” Rungut Emily perlahan. Menjeling sedikit pada Tengku Zamran Hakim.

Tengku Zamran Hakim tersenyum menengar rungutan manja Emily. Kelat sungguh raut wajah itu. Rasa marahnya tadi hilang. Tangannya menarik jemari Emily dan menggenggam kemas.

“Lan, aku tak de mood nak gaduh dengan kau hari ni. Lagipun aku tak tahu macam mana nak buat kau menyerah mengharapkan Emily.” Putus Tengku Zamran Hakim tenang. Malas mahu bertekak dengan Razlan. Matanya merenung Emily penuh kasih.

“Menyerah? Aku takkan menyerah! Dan kau Emy, aku akan pastikan kau jadi milik aku. Kalau cara baik tak boleh, aku tak akan teragak-agak guna cara kasar. Ingat Zam, kalau aku tak dapat, aku lebih rela kita sama-sama tak dapat!”

Tengku Zamran Hakim merenung tajam Razlan. Terbakar hatinya mendengar ugutan sepupunya itu.

Usai mengeluarkan kata-kata itu, Razlan melangkah keluar dari kamar mereka berdua.

Kecut perut Emily mendengar kata-kata Razlan. Lelaki itu nampak begitu tekad. Jika sebelum ini dia masih mampu bertenang menghadapi segalanya tapi entah mengapa apabila mendengarkan kata-kata Razlan dia dapat rasakan perkara yang buruk akan berlaku. Itu tidak termasuk dengan pelbagai panggilan daripada Syazmir yang tidak habis-habis mengacaunya sepanjang ketiadaan Tengku Zamran Hakim. Bermacam-macam ugutan dari lelaki itu sehingga membuatkan hidupnya tidak tenang selama hampir dua minggu ini.

“Jangan takut sayang, abang ada. Selagi abang ada di sisi sayang, tiada siapa yang boleh sentuh isteri abang ni.” bisik Tengku Zamran Hakim memaut erat pinggang Emily.

Emily merenung Tengku Zamran Hakim. Lama. Jika dulu dirinya sendiri yang terpaksa mempertahankan dirinya dan Emilia ketika menghadapi orang yang tidak henti-henti mengganggu ketenteraman mereka, kini dia mahu serahkan tanggungjawab itu pada Tengku Zamran Hakim sepenuhnya.

“Terima kasih, abang.” Ujarnya membalas genggaman Tengku Zamran Hakim.

“Suka abang dengar Emy panggil abang macam tu. Kenapalah sebelum ni degil sangat nak sebut?”

Emily tersenyum. Alhamdulillah. Tidak sangka, akhirnya dia dapat membiasakan dirinya dengan panggilan tersebut. Damai hatinya setiap kali memanggil Tengku Zamran Hakim begitu.

“Abang…” Emily memanggil lembut.

Tengku Zamran Hakim memandang aneh. “Ada apa ni?”

“Abang dengan Mastura tu tak ada apa-apa kan?” soal Emily tiba-tiba. Persoalan itu sudah lama menghantuinya. Sesak otaknya memikirkan hal yang satu itu semenjak reunion Tengku Zamran Hakim lebih dua minggu yang lepas.

“Hah?!” terpinga-pinga Tengku Zamran Hakim. Namun selepas itu ada tawa yang meletus dari bibir merahnya. Dapat menangkap nada pertanyaan Emily.

“Cemburu ya? Jangan risau sayang. Hati abang ni tak pernah terdetik dengan sesiapa sehinggalah hari abang terjumpa dengan seorang gadis yang garang sangat-sangat. Kalau tak menjawab kata tu tak sah.” Tengku Zamran Hakim ketawa lagi apabila mengingat kembali setiap detik-detik pertemuan mereka. Langsung tiada persefahaman.

“Abang la. Suka sangat cari pasal. Mana la orang tak marah.” Emily turut sama ketawa.

“Tapi lelaki yang selalu cari pasal ni jugak yang jadi suami Emy kan?” Bibirnya menyentuh pipi Emily.

Emily mengangguk. “Tak sangka betul masa tu.”

“Opss…Abang teringat yang abang ada something nak bagi Emy.”

Emily menjungkit kening. “Cenderahati dari Jerman eh?”

Tengku Zamran Hakim tersenyum bersahaja tidak menjawab. Sebelah tangannya mengeluarkan sekotak baldu dari kocek seluarnya.

Berkerut dahi Emily menyambut huluran tersebut. Perlahan-lahan dibukanya. Bertambah aneh wajahnya memandang dua bentuk cincin terletak kemas di dalamnya. Cantik! Dua bentuk cincin platinum tersebut jelas direka sepasang.

“Untuk apa ni?”

“Cincin kahwin kita. Hadiah dari abang.”

“Cincin kahwin? Kalau ini cincin kahwin, yang Emy pakai ni cincin apa pulak?” Emily menayang cincin di jari manisnya.

“Cincin ni…” Tengku Zamran Hakim mengeluarkan cincin dari jari manis Emily. “Bukan dari abang. Mummy yang pilih. Jadi abang nak Emy simpan cincin yang mummy beli ni dan pakai cincin yang abang bagi.” Sambung Tengku Zamran Hakim sambil menyarung cincin platinum yang dibelinya ke jari Emily.

“Muat-muat. Macam mana pulak abang boleh tahu saiz jari Emy?”

“Ikut kata hati. Ingat pesan abang ni, jangan sesekali tanggalkan cincin ni dari jari.”

“Sekali pun tak boleh?”

Tengku Zamran Hakim menggeleng. “No.”

“Okey.”

“Abang nak tanya Emy satu soalan.”

“Hmm?”

“Abang tertanya-tanya sama ada sayang ikhlas atau tak terima abang. Abang tak mahu Emy terpaksa terima abang sebab terikat dengan perkahwinan ni.”

“Masa kita akad nikah lagi Emy dah terima abang.” Selepas akad nikah mereka, hatinya seolah menerima Tengku Zamran Hakim dengan rela hati dan suaminya itu menjadi satu-satunya lelaki yang mendapat tempat di hatinya.

Terangkat kening Tengku Zamran Hakim mendengar jawapan Emily. “Betul ni?”

Emily mengangguk. “Susah betul Emy nak percaya lelaki lepas apa yang ayah buat pada bonda. Tapi dalam Emy benci lelaki tu, tiba-tiba Emy terjumpa abang. Mungkin Allah nak tunjuk dalam hidup ni kita harus terima hakikat yang perempuan dan lelaki saling memerlukan antara satu sama lain. Tak kira macam mana Emy nak elak pun, kalau sudah takdir dan jodoh Emy wajib terima.” Panjang lebar Emily bersyarah.

“Pandai isteri abang ni bercakap.” Tengku Zamran Hakim menarik lembut hidung mancung Emily.

“I love you, sayang.” Luahnya pula.

Tersipu Emily mendengarnya. Pertama kali Tengku Zamran Hakim mengucapnya. Sudah lama dia menunggu ucapan tersebut.

Tengku Zamran Hakim membelek cincin yang sudah tersarung cantik di jari manis Emily.

“Sayang bayangkan cincin ni hati abang, kalau sayang tanggalkannya sama seperti sayang dah tak mahukan abang.” Sambung Tengku Zamran Hakim.

Emily menggeleng kecil. Macam-macam perangai Tengku Zamran Hakim yang tidak diketahuinya. Kotak baldu yang masih ditangannya direnung. Sebentuk lagi cincin dikeluarkan dari kotak baldu tersebut.

“Bak tangan.” Pinta Emily.

Tengku Zamran Hakim berkerut pelik tetapi disambut juga huluran tangan Emily.

“Yang ini abang punya kan? Biar Emy sarungkan. Abang anggap ini hati Emy, jangan tanggalkannya. Sekali abang tanggalkannya bererti cinta abang pada Emy dah hilang.”

Mereka berdua memandang jemari mereka yang bercantum sambil tersenyum bahagia.

Emily terpandangkan satu ukiran di cincin mereka. Terdapat ukiran dua potong nama pada cincin platinum tersebut. Zam dan Emy. Di tengah-tengah antara ukiran Zam dan Emy terdapat satu lagi ukiran yang benar-benar membuatkan Emily terkedu. Bunga tulip!

“Kenapa muka terkejut macam tu?”

“Ukiran bunga tulip ni…cantik.” Masa kecil-kecil dahulu sebenarnya dia anti dengan semua bunga. Mengenali Tengku Zamran Hakim pada zaman kanak-kanak mereka membuatkan dia tertarik pada bunga tulip. Lelaki itu sering bercerita keunikan bunga nan satu itu.

“Abang suka betul dengan bunga tulip. Sama dengan dia...” Tengku Zamran Hakim mengeluh. Kesal kerana masih mengingat pada teman kecilnya. Dia sendiri tidak mengerti akan dirinya mengapa semasa tempahan cincin tersebut di buat dia mahukan ukiran bunga tulip.

“Dia?” Emily bertanya walaupun dia dapat mengagak ‘dia’ itu ditujukan untuknya.

“Tak ada apa-apalah.”

“Abang…Emy nak beritahu sesuatu.” Rasanya sudah tiba masa dia menyingkap kembali kisah 15 tahun yang lalu. Dia perlukan kebenaran. Salah siapa semua itu terjadi juga harus ada jawapannya.

“Macam serius je abang dengar. Apa dia?”

“Sebenarnya…” kata-kata Emily terhenti apabila ada suara yang menerjah bilik mereka.

“Kenapa korang berdua ni tak turun makan? Ke dah kenyang duduk berdua dalam bilik ni?” Rozina menyakat.

“Kalau ya kenapa?” balas Tengku Zamran Hakim.

“Baguslah. Dapatlah akak anak saudara nanti.” Terus-terusan Rozina mengusik. Senang melihat adik ipar dan birasnya itu sudah berbaik semula.

“Kalau pasal tu jangan risaulah. Bagi masa setahun pada kami. Ada rezeki InsyaAllah. Emy pun macam dah tak sabar nak anak. Kan sayang?”

“Ishh..merepek je abang ni.” Emily membulatkan matanya. Terasa panas wajahnya ketika itu.

“Apa pulak merepek? Betullah apa yang abang cakap.” Tengku Zamran Hakim mengenyitkan sebelah matanya pada Emily.

“Macam-macamlah korang ni. Dah-dah jom turun makan. Takkan tak boleh sabar malam sikit.” Ujar Rozina lagi sebelum melangkah keluar.

Tengku Zamran Hakim tergelak mendengar usikan kakak iparnya. Emily pula menggigit bibir mendengar ketawa suaminya itu. Kakinya turut sama mengikut langkah birasnya namun belum sempat membuka langkah tubuhnya ditarik.

“Apa kata kalau lepas makan ni kita balik rumah kita?” suara Tengku Zamran Hakim seolah berbisik. Wajahnya nampak begitu nakal.

“Kenapa pulak?” soal Emily penuh tanda tanya. Takkanlah ada kerja tertangguh yang mahu disiapkan Tengku Zamran Hakim.

Tengku Zamran Hakim tersenyum simpul. “Baru ada privasi sikit untuk malam pertama kita.” Selepas berkata itu, terus Tengku Zamran Hakim berlari keluar.

“Abang!!!” jerit Emily geram.

4 comments:

  1. memang sweet..
    akhirnya..zam+emy=ramantic bangat nehh

    ReplyDelete
  2. he..he..
    cartoon btoll laa
    zam u memang sweet
    i willing to be ur 3 rd wife

    ReplyDelete
  3. kalau mcm tu aku nk jd 4 th wife...

    ReplyDelete