Saturday, January 31, 2009

Hati yang Terluka 30


Emily menggigit bibirya. Sedaya upaya ditahan agar tubir matanya tidak pecah. Tidak mungkin dia salah lihat. Baru sahaja sebentar tadi dia lihat Tengku Zamran Hakim bergandingan dengan Maria memasuki restoran kegemarannya. Niatnya untuk menjamu selera di situ langsung mati.

Pasangan tersebut nampak begitu mesra. Padanlah sejak seminggu ini suaminya itu acuh tak acuh dengannya. Memandangnya juga seperti tidak mahu. Apa salahnya sehingga lelaki itu berubah sikap?

“Jue, kita makan dekat tempat lain ya?” pinta Emily pada Juita di sebelahnya.

“Kenapa pulak? Tadi bukan main beria-ia nak makan dekat sini.”

“Entah, tiba-tiba aku rasa macam nak makan dekat tempat lain.” Emily beralasan. dia tidak mahu Juita perasan gelodak perasaannya ketika itu.

“Baru dapat parking, tak sempat keluar dari kereta pun lagi tiba-tiba tukar selera. Macam-macamlah kawan aku yang sorang ni. Nak makan dekat mana?”

Emily cuma diam tidak menjawab.

“Emy?” panggil Juita bila melihat Emily seolah hanyut dengan dunianya.

“Emily Natasha!” Juita menguatkan suaranya.

Emily terpinga-pinga. “Kenapa?”

“Kenapa kau tanya? Perut aku bukan main keroncong lagi, kau dah kenyang mengelamun. Nak makan dekat mana ni?” sekali lagi Juita bertanya.

Emily menggeleng perlahan. “Ikut kau lah. Aku tak de idea.”

“La…macam tu pulak. Baik turun je makan dekat restoran ni.” Juita membuka pintu kereta.

“Eh, jangan. Aku...ermm.. Ha! tiba-tiba aku teringat tempat yang aku nak pergi tu.” Emily cepat-cepat menghalang.

Juita berkerut-kerut melihat perangai pelik Emily. Tetapi tidak pula dia bertanya lanjut. “Terserah kaulah. Janji perut aku kenyang. Dalam lapar-lapar macam ni, teringat pulak masakan-masakan kau yang mengancam tu. Dah lama aku tak makan. Bila kau nak masak untuk aku?”

“Tengoklah. Malam ni aku janji dengan bonda nak datang, kalau aku rajin aku masaklah.” Katanya sebelum keretanya laju meninggalkan restoran tersebut.

* * * * *

Kereta Emily mamasuki halaman rumah mereka petang itu. Alfa Romeo Tengku Zamran Hakim sudah tersadai elok di garaj.

Emily menolak daun pintu rumah yang tidak berkunci. Kedengaran suara orang bersembang dan ketawa-ketawa. Emily menarik nafas memandang Tengku Zamran Hakim yang sedang bercakap di telefon bimbitnya. Lelaki tu hanya memandang dia sekilas.

Hampir setengah jam dia berdiri menunggu Tengku Zamran Hakim habis berbual. Habis berbual terus sahaja lelaki itu membuka langkah.

“Tunggu dulu, Emy ada benda nak cakap dengan abang.” Halang Emily.

Langkah Tengku Zamran Hakim mati.

“Apa benda? Cakaplah cepat.” Katanya acuh tak acuh. Nadanya tiada kemesraan langsung.

“Emy tengok abang dah banyak berubah. Apa salah Emy smpai abang berubah macam ni?” perlahan sahaja suara Emily bertanya.

“Kenapa? Kau tanya kenapa?” Tajam pandangan Tengku Zamran Hakim pada Emily. Bahasanya sudah bertukar.

Emily terkedu. Terkedu mendengar bahasa Tengku Zamran Hakim yang kedengaran begitu kasar. Selama hampir seminggu lelaki itu tidak bertegur sapa dengannya, tiba-tiba sahaja bahasa panggilannya sudah bertukar..

Tengku Zamran Hakim tersenyum sinis. “Hebat! Dengan rupa yang tak bersalah langsung, tak siapa sangka siapa kau sebenarnya.”

Terpinga-pinga dia memandang Tengku Zamran Hakim “Apa maksud abang? Emy tak faham…”

“Ini.” Tengku Zamran Hakim mencampakkan sekeping gambar yang dia dapat dari Syazmir.

Emily mencapai. Berubah raut wajah Emily ketika melihatnya. Jadi inilah yang menyebabkan Tengku Zamran Hakim berubah laku.

“Mana abang dapat gambar ni?” jemari runcingnya mengenggam perlahan gambar tersebut.

“Penting ke dari mana aku dapat gambar ni? Atau kau terkejut sebab rahsia kau dah terbongkar?”

“Tapi ini bukan gambar Emy…”

“Sampai bila kau nak berlakon?!” Tengking Tengku Zamran Hakim. Geram bila Emily masih tidak mahu mengaku.

Terdiam Emily ditengking begitu. Kolam matanya terasa hangat. Jadi Syazmir benar-benar mengotakan apa yang diugutnya beberapa bulan lepas. Tekad benar lelaki itu. Walau Tengku Zamran Hakim tidak menyatakan siapa, dia masih dapat mengagak.

“Budak ni anak siapa? Anak kau kan?!!” Tengku Zamran Hakim mencampak sekeping lagi gambar. Dia ada mencari kalau-kalau ada bukti lain, dan akhirnya sekeping gambar Emily bersama seorang kanak-kanak perempuan dan sekeping lagi gambar lelaki yang datang ke pejabatnya turut terselit sama di loggokan pakaian isterinya itu.

Emily ketap bibir. Apa yang harus dikatakan lagi untuk membela dirinya? Walau dia jawab jujur sekalipun pasti Tengku Zamran Hakim tidak akan percaya. Syazmir benar-benar sudah meracuni fikiran suaminya itu.

“Anak kau dengan lelaki yang dalam gambar tu kan? Kau tak malu? Mana maruah kau? Nampak macam baik tapi tak ubah macam pela….”

“Abang!” kepala Emily menggeleng perlahan. Air matanya tidak dapat dibendung lagi. Mutiara jernih mengalir lesu ke pipinya. Tanpa sedar langkahnya diatur ke pintu rumah dan terus mendapatkan keretanya sebelum meluncur laju.

Tengku Zamran Hakim yang melihat terkaku. Sumpah, melihat air mata Emily yang gugur tadi seolah ada sembilu yang menghiris ulu hatinya. Ah, persetankan!

* * * * *

Emily baru sahaja melangkah keluar dari masjid selepas menunaikan solat maghrib. Tidak henti-henti air matanya tumpah sepanjang dia menunaikan kewajipan itu. Dia menyandar pada keretanya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Telefon bimbitnya dikeluarkan.

“Jue, aku ni.”

“Emy? Kenapa ni? Suara kau lain. Kau sihat ke tak ni?” Juita terus menyoal bertubi-tubi.

Emily tersenyum dalam tangis mendengar suara Juita yang begitu kalut. “Aku okey. Jue, aku ada janji dengan bonda nak datang jenguk malam ni, tapi aku ada hal. Pesan pada bonda aku minta maaf sangat-sangat.”

“Hal apa?” suara Juita kedengaran tidak puas hati. Melepas nak merasa masakan Emily!

“Hal yang tak dapat dielakkan. Tolong ya Jue?” pinta Emily penuh mengharap.

“Okey.” Pendek jawapan Juita.

Mereka terdiam seketika.

Emily menarik nafas panjang.“Jue, boleh tak kau tolong jaga bonda untuk aku dalam masa yang terdekat ni?”

“La…macamlah aku tak jaga bonda selama ni.”

“Bukan itu maksud aku. Aku mungkin tak akan jumpa bonda dalam masa terdekat ni. Kalau bonda tanya pasal aku, kau bagilah alasan apa-apa pun.”

“Kalau kau tak datang selang dua tiga hari mesti bonda faham kau sibuk.”

Emily menggeleng kecil. Juita benar-benar tak faham maksudnya. “Lagi satu Jue, pesan pada Shima kata aku suruh dia ambil alih kerja aku di butik buat sementara waktu dan kau pulak tolong tengok-tengokkan syarikat. Aku harapkan kau.”

“Kau cakap macam ni, macamlah esok kau tak masuk pejabat.”

“Mungkin.”

“Apasal pulak?” Juita sedikit terjerit.

Emily terdiam. Tidak tahu jawapan yang bagaimanakah patut diberi pada Juita.

“Aku rasa macam ada yang tak kenalah. Aku jumpa kau sekarang?”

“Jangan! Tak ada apa yang tak kena. Aku okey.”

Juita yang pada mulanya mahu mempercayai kata-kata Emily terkedu bila telinganya dapat menangkap esakan kecil dari corong telefonnya.

“Kau menangis?”

Emily senyap. Teringat kejadian di rumahnya tadi, air matanya mengalir tanpa disuruh.

“Emy, please…”

“Jue, bateri aku nak habis ni. Ingat pesan aku baik-baik.” Emily terus mematikan talian. Emily mendongak memandang langit gelap. Tidak tahu mana arah tujuannya selepas ini. Rumah bondanya tidak akan dijejaknya buat masa sekarang. Dia tidak mahu bondanya risau melihat keadaannya seperti ini. Tapi yang pastinya dia tidak mungkin balik ke rumahnya dan Tengku Zamran Hakim lagi. Perit! Bukan dia tidak pernah dihina gara-gara Syira tidak mempunya bapa, tapi entah mengapa hinaan dari suami yang dicintanya benar-benar mengguris lukanya yang hampir sembuh. Lukanya kembali berdarah.

"Lia?"

Emily menoleh. Agak terpinga-pinga apabila disapa begitu.

"Awak Lia kan?"

Hati yang Terluka 29

Tengku Zamran Hakim mengurut dahinya. Masih terngiang-ngiang kata-kata dari mulut Fauzi sebentar tadi. Pada mulanya dia sengaja ingin tahu bagaimana sahabatnya itu mengenali Emily sebelum dia memberitahu hal sebenar mengenai perkahwinannya atas cadangan Naufal semalam. Sebelum dia pulang ke rumah pada majlis perkahwinan Naufal semalam, tidak habis-habis sahabatnya itu berpesan untuk berterus-terang. Namun jawapan Fauzi membantutkan segalanya.

“Aku kenal dia masa dekat hospital.”

“Siapa sakit?” tiba-tiba sahaja dia berminat ingin tahu.

“Anak dia.” Pendek sahaja jawapan Fauzi, namun cukup membuatkan dia seperti dijerut.

“Anak?!” tanyanya kaget. Benar-benar terkejut mendengar perkataan itu.

“A’ah. Anak dia sakit leukemia.”

Dia menarik nafas panjang.

“Kau tak salah orang?” tanyanya lagi, penuh harapan agar Fauzi tersilap.

“Mustahil aku lupa wajah dan nama tu. Tapikan aku rasa itu bukan a…”

“Cukup! Selebihnya aku tak nak dengar.” tenggelam timbul suaranya tika itu.

Fauzi kelihatan terpinga-pinga mendengar nada Tengku Zamran Hakim yang meninggi. Namun tidak pula dia bertanya.

Tengku Zamran Hakim tidak terkata apa selepas itu. Sehingga Fauzi meminta diri, langsung tiada ucapan terkeluar dari bibirya.


Tengku Zamran Hakim menguak rambutnya. Tidak henti-henti kata-kata Fauzi tadi mengganggu fikirannya. Interkom ditekan. “Kak Ina, batalkan semua temu janji saya hari ni. Saya tak nak jumpa dengan sesiapa pun.”

“Tapi Tuan, ada seorang lelaki nak jumpa Tuan sekarang.” Balas Halina pula.

“Saya cakap apa Kak Ina?” suaranya cuba ditahan dari menengking. Dalam keadaan seperti sekarang, sesiapun boleh menjadi mangsa tengkingannya.

“Tapi dia kata penting dan dia tak mahu pergi dari sini sebelum Tuan bertemu dengannya.”

Tengku Zamran Hakim mengepal penumbuk. Memang tak faham bahasa!

“Suruh dia masuk!” kasar nadanya menyuruh.

Tanpa ketukan, tiba-tiba sahaja sudah terjengul wajah seorang lelaki yang seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Siapa?

“Aku tahu kedatangan aku ni mengganggu tapi ada perkara yang perlu aku selesaikan dengan kau.” Ujar Syazmir dingin.

“Kalau hal kerja atau benda remeh aku tak nak dengar. Kalau antara dua tu tujuan kau datang, pintu dah tersedia untuk kau keluar.” Balas Tengku Zamran Hakim malas. Kepalanya benar-benar serabut memikirkan kebenaran yang dibawa Fauzi sehingga tiada ruang di otaknya untuk memikirkan hal kerja dan sewaktu dengannya.

Syazmir merenung Tengku Zamran Hakim. Tajam. Agak bengang mendengar suara acuh tak acuh lelaki itu. Baik, aku nak tengok berapa lama riak wajah itu bertahan. Di kepalanya sudah terbayang rancangan yang disusun teliti.

“Aku datang sebab perempun ni.” Syazmir mencampak beberapa keping gambar di atas meja Tengku Zamran Hakim.

Tengku Zamran Hakim yang pada mulanya acuh tak acuh terus terpaku saat terpandang raut wajah gadis di dalam gambar-gambar tersebut. Emily? Yang lebih mengguris hatinya, gambar tersebut jelas menunjukkan gadis itu berpelukan dengan seorang lelaki. Lelaki sama yang kini sedang tegak berdiri di hadapannya.

“Kenapa? Terkejut?” Sinis Syazmir bila melihat raut Tengku Zamran Hakim.

“Apa hubungan kau dengan dia?” suaranya dikawal supaya tidak kedengaran perubahannya. Wajah dihadapnnya dipandang tepat. Dia teringat sesuatu, tak silapnya ini lelaki yang sama bergelut dengan Emily semasa majlis reunion kelasnya beberapa bulan yang lalu.

“Kami kekasih. Perempuan ni jenis yang suka berfoya-foya dengan lelaki berkedudukan. Dia minta putus dengan aku. Kau nak tahu apa yang paling teruk dia buat?”

Tengku Zamran Hakim tidak menjwab. Namun jelas raut wajahnya yang meronta-ronta ingin tahu.

“Dia tinggalkan anak dia yang sakit tenat masa tu. Hanya sesekali dia melawat. Aku tak tahu berapa ramai lelaki yang dia pikat selepas aku, dan sekarang kau!” lancar Syazmir mereka cerita yang tak pernah wujud. Peduli apa dia! Yang penting, dia dapat Emilianya kembali.

Tengku Zamran Hakim meraup wajahnya. Tidak tahu mahu percaya atau tidak tetapi bila memikirkan cerita Fauzi sebelum ini, tiada yang dapat dinafikan lagi. Emily mempunyai anak! Sungguh, dia tidak mampu menerima kejutan yang sebegini. Baru sahaja dia mengecap bahagia yang tidak sampai satu bulan, tiba-tiba kebenaran yang tak disangkanya langsung, terbentang jelas dihadapan mata.

* * * * *

Syazmir masih tidak henti-henti ketawa. Puas. Ah, apa sahaja sanggup lakukan untuk mndapatkan Emilia kembali. Mujur gambar-gambarnya bersama Emilia dahulu masih disimpannya. Menjadikan semua kata-katanya nampak benar dan realiti. Telefon bimbitnya dicapai.

“Hello? Mar?”

“Macam mana dengan rancangan kita? Berjaya?”

“Settle. Lepas ni kita bergerak sendiri-sendiri. Kau cara kau. Aku cara aku.” Katanya.

“No probs. Anyway, thanks Syaz. Kalau kau tak tolong aku, tak tahulah cara mana lagi aku nak guna untuk hancurkan pasangan kekasih dua sejoli tu.”

“Tak payah cakap terima kasih. Yang penting sekarang, kau dapat apa yang kau nak dan aku dapat apa yang aku nak.”

“Okeylah Syaz. Aku nak mula rancang strategi.”

Maria memutuskan talian. Bibirnya tersenyum lebar. Otaknya penuh strategi yang pelbagai.

Thursday, January 29, 2009

Hati yang Terluka 28


“Emy…aku…aku nak minta maaf banyak-banyak dengan kau.” Terluah juga kata-kata itu dari mulut Syiqa. Bibirnya diketap. Menahan air mata dari mengalir ke pipinya.

Emily kaget. Terasa aneh dengan kata maaf dari bibir Nadiana. Matanya meliar pada sekeliling bilik pengantin yang dihias kemas. Syiqa yang meminta mereka bersembang di bilik tersebut. Pintu pula dikunci dari dalam. Apalah agaknya kata tetamu-tetamu yang lain bila pengantin mengunci diri dalam bilik.

“Aku tahu, aku banyak sangat buat jahat dengan kau. Tapi, aku betul-betul dah menyesal. Kalau kau nak aku melutut pun aku sanggup.”

Emily menggenggam jemari Syiqa. Dia menggeleng sambil tersenyum manis. “Yang dah berlalu, biarkan berlalu. Aku tak pernah berdendam dengan kau. Masa tu, kita sama-sama belum matang.”

Syiqa memeluk tubuh Emily erat. Emily membalas lembut.

“Boleh kau terima aku sebagai sahabat?” tanya Syiqa selepas itu. Wajahnya penuh mengharap.

Emily mengangguk. “Mestilah. Aku nak tanya kau ni. Macam mana nama Rika Nur Nadiana boleh jadi Syiqa?”

“Sebenarnya, nama Syiqa tu nama timangan. Family aku je panggil nama tu. Nenek dengan ayah akulah berebut-rebut nak bagi nama. Ayah aku nak bagi nama Nadiana, nenek aku pulak nak bagi nama Syiqa. Tapi macam mana entah diorang bincang tiba-tiba dalam surat beranak Rika Nur Nadiana, tapi panggil Syiqa. The end.” Cerita Syiqa panjang lebar sambil tersengih.

Emily mengangguk faham.

“Emy, ada satu perkara yang perlu kau tahu. Ini pasal…” ayatnya tergantung.

“Pasal apa?”

“Pasal 15 tahun yang dulu.” Syiqa memandang raut wajah Emily yang nampak tenang. Sukar ditafsir apa yang tersirat dibalik wajah itu. Kau tak pernah berubah!

“Sebenarnya…apa yang berlaku dulu, bukan apa yang kau fikirkan. Atau lebih tepat, semua tu bukan salah dia. Tapi orang lain.”

Tepat mata Emily memandang Syiqa. Inilah jawapan yang dia nanti-nantikan. Orang lain? Jadi selama ini diakah yang salah sangka?

“Siapa?”

“Kak Imah.” Pendek jawapan Syiqa.

Emily sedikit tersentak. Seperti pernah didengar nama itu. Sejenak, satu wajah terlayar kemas dimindanya. “Hazimah?”

Syiqa mengangguk walaupun agak pelik bila Emily dapat meneka tepat padahal Emily tidaklah begitu kenal dengan adik-beradik angkatnya 15 tahun yang lalu itu.

“Nama penuh Kak Imah Hazimah.” Beritahu Syiqa pula.

Emily menarik nafas. Patutlah ketika pertama kali bertemu dengan dua pupu Tengku Zamran Hakim beberapa bulan yang lalu itu, dia seakan pernah melihat pandangan sinis itu. Tidak hairanlah pandangan itu sama seperti budak perempuan yang begitu angkuh memberi amaran kepadanya 15 tahun yang lalu. Kecilnya dunia!

“Macam mana kau tahu nama penuh dia?”

“Teka-teka je.” Dalih Emily.

“Oh… Dah lama aku nak terangkan pada kau, tapi tak ada peluang sehinggalah hari ini. Kalaulah aku sempat terangkan pada kau dulu, mesti kau boleh cari dia kan? Sekarang kau dah kahwin…”

Emily tidak memberi sebarang reaksi. Kalaulah Syiqa tahu Tengku Zamran Hakim dan kanak-kanak lelaki itu orang yang sama, tidak terbayang dia wajah terkejut temannya itu. Namun buat masa ini, dia mahu rahsiakan dahulu dari Syiqa.

“Tapi aku yakin, kau akan bahagia dengan Zam. Dia lelaki baik. Tak pernah aku dengar dia bercerita pasal perempuan dengan Naufal sehinggalah bulan lepas. Rupanya kau gadis yang dia cerita tu.”

“Zam cerita pasal aku?”.

“Yup. Tak silap aku, lebih kurang sebulan yang lepas. Masa tu kata Naufal, Zam merajuk dengan isteri dia. Tekejut aku dengan Naufal masa tu. Iyalah, Zam tu bukan tak ada yang cuba dekat, ramai. Tapi semua dia tak layan. Tak minat katanya. Tup tup tahu-tahu dia dah kahwin. Tak hairanlah aku kalau Zam jauh hati macam tu kalau isteri dia tu Tengku Emily Natasha. Dari dulu sampai sekarang, tak habis–habis orang kejar.” Syiqa mengusik.

“Perli aku eh?” Emily mencubit lembut pipi Syiqa.

“Taklah, aku serius. Kau dari dulu cantik, sekarang pulak bertambah-tambah cantik.”

“Puji-puji ni, nak minta hadiah kahwin mahal-mahallah tu.”

Giliran Syiqa menarik pipi Emily geram. “Aku ikhlaslah. Kalau tak takkan aku selalu jealous dengan kau dulu. Selalu je tak puas hati kan?”

“Tak payah ungkitlah. Emm…cantik rumah kau. Tepi tasik.” Emily memandang tasik yang terbentang indah dari jendela bilik tersebut.

“Dah lama aku impi rumah macam ni. Alhamdulillah, tercapai jugak hasrat aku. Aku teringin rumah dekat dengan tasik sejak kita masuk Kampung Tok Penghulu dulu. Nyaman je suasana kampung tu bila angin bertiup.”

Emily tersenyum kelat. Kalau pada Syiqa laut itu sesuatu yang menarik, padanya pula sebaliknya. Kejadian yang hampir meragut nyawanya itu, membuatkan dia serik ke laut.

“Err…kau masih teringat kejadian tu?” berhati-hati Syiqa bertanya bila melihat raut Emily.

Emily tidak menjawab. Mustahil untuk dia lupa.

“Kejadian tu pun sebenarnya…bukan salah dia.”

Emily mengetap bibir. Terlalu banyak salah faham yang berlaku.

“Kak Imah yang rancang.”

Emily beristighfar panjang mendengar nama yang satu itu.

“Aku minta maaf sebab aku seolah berkomplot. Tapi aku tak tahu nak buat apa masa tu. Pakai ikut je telunjuk Kak Imah. Nasib baik ada yang selamatkan kau. Dia selalu jadi pelindung kau masa dulu walau masa tu kau macam nak elak dengan dia. Bertuah betul kau. Aku yang duduk serumah dengan dia masa tu pun dia tak nak layan. Manalah agaknya dia sekarang ye?”

Emily termenung. Bertuahkah dia? Ya, dia benar-benar bertuah. Cuba kalau lelaki itu lewat sedikit selamatkan dia pada masa itu, pasti dia sudah tiada di sini pada saat ini. Kiranya, dari dulu Allah utuskan lelaki itu sebagai pelindungnya. Untuk dia menumpang teduh. Untuk dia bergantung harap. Dan yang paling penting lelaki itu sebagai Adam dan suaminya.

* * * * *

“Patutlah kau merajuk sampai ke Jerman dulu. Bini lawa siapa tak makan hati.”

Tengku Zamran Hakim buat tak dengar. Ada sahaja modal Naufal untuk mengusiknya.

“So, macam mana kau dengan dia sekarang? Nampak macam bahagia je?” Naufal menyoal ingin tahu.

Tengku Zamran Hakim tersenyum penuh makna. “Baru aku tahu kenapa Allah ciptakan manusia berpasangan. Aku rasa kehidupan aku dah lengkap sekarang ni. Aku dah faham apa maksud kasih, sayang dan cinta dalam erti kata yang sebenarnya. Indah dan menarik!”

Naufal memandang sahabatnya. “Macam tak percaya boleh dengar kata-kata macam ni dari mulut kau. Dulu aku cukup risau bila kau kata tak minat dengan perempuan. Manalah tahu kot-kot kau songsang.”

“Melampau la tu.”

“Serius aku cakap, itulah yang aku fikirkan. Nak pandang perempuan sebelah mata pun kau tak mahu, siapa yang tak fikir macam tu. Aku respect betul dengan mummy kau. Kalau bukan dia yang gertak kau, mesti sampai sekarang kau tak kahwin-kahwin. Dan, kau mesti masih dengan pendirian tak masuk akal kau tu.”

“Tahu tak pe.”

“Pasal kawan kau yang minat isteri kau tu, baik kau berterus-terang dengan dia.”

“Aku pun terfikir macam tu. Tengoklah macam mana nanti.”

“Weh, kau tak nak tanya apa hadiah kahwin yang aku nak?” tanyanya sambil melabuhkan duduk sebelah Tengku Zamran Hakim. Tetamu sudah semakin sedikit kerana hari sudah beransur petang.

“Nak kena tanya ke? Aku dah ada hadiah untuk kau. Nanti aku bagi.”

“Itu yang kau bagi. Ini hadiah yang aku nak.”

Tengku Zamran Hakim memandang Naufal. “Kau nak hadiah apa?”

“Janji kau nak tunaikan?” raut wajah Naufal kelihatan begitu serius.

“Tengok kemampuan akulah.”

“Mesti mampu punya.”

Tengku Zamran Hakim menjungkit kening. “Apa benda?”

“Janji dulu.”

“Yelah. Yelah. Hah, apa yang kau nak?”

Naufal senyum meleret. “Aku nak…” Naufal sengaja menggantung kata.

Tengku Zamran Hakim menanti kata-kata yang seterusnya dari Naufal. Senyuman sahabatnya itu seperti mempunyai muslihat tersendiri.

“Emm…aku nak anak buah dari kau dengan Emy!!!” pekik Naufal lantang.

“Sengal.” Tengku Zamran Hakim menumbuk perlahan bahu Naufal. Tak malu betul! Beberapa pasang mata tetamu sudah memandang ke arah mereka. Pasti pelik mendengar jeritan pengantin yang tiba-tiba itu.

Naufal tergelak. “So, bila aku boleh dapat hadiah aku tu?”

“Tak de permintaan yang pelik dari yang ni ke?”

“Aku nak jugak hadiah aku tu.”

“Mintaklah kat bini kau.” Tengku Zamran Hakim endahtak endah. Pelik benar dia dengan permintaan Naufal. Kalau Emily tahu ni, pasti merah menyala mukanya.

“Aku nak dari kau. Lagipun, kau dengan Emy dah lama kahwin. Aku baru lagi.”

“Kitorang pun baru lagi.” Balas Tengku Zamran Hakim.

“Aku tak kira. Janji tetap janji.” Naufal tidak mahu mengalah.

“Abang.” Sapa Emily sambil memaut manja lengan Tengku Zamran Hakim. Lega benar dia selepas semua jawapan yang dia mahukan terjawab. Untuk masa yang terdekat ni, dia mahu rahsiakan dulu hal tersebut dari lelaki itu. Masih memikir-mikir kejutan yang bagaimana akan dilakukannya nanti.

“Janji apa ni?” Syiqa mencelah.

“Bie mintak hadiah kahwin anak buah dekat diorang berdua ni. Zam janji nak bagi.” Balas Naufal sambil mengenggam jemari isteriya itu.

“Kalau pasal tu kau tanya Emy. Aku on je.” Ujar Tengku Zamran Hakim sambil memaut tubuh langsing Emily. Renungannya pada Emily nampak nakal.

Emily yang pada mulanya terpinga-pinga terus mengetap bibir. Merona merah wajahnya.

“Macam mana Emy? Dah ada tanda-tanda?”

Emily tidak membalas. Kalau mengenai hal itu, dia serahkan pada Yang Maha Esa. Lagi pula, dia dengan Tengku Zamran Hakim baru sahaja menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri tidak sampai sebulan. Namun dalam diam, dia tetap mengharapkan zuriatnya bersama lelaki itu.

Tuesday, January 27, 2009

Hati yang Terluka 27


“Sayang, dah siap ke belum?” tanya Tengku Zamran Hakim sambil membetulkan baju batik yang dipakainya. Matanya memandang televisyen sementara menunggu Emily turun.

“Dah…Majlis start pukul berapa?” Emily sudah tercegat di tepi sofa.

“Pukul se…” kata-kata Tengku Zamran terhenti. Memandang Emily dari atas ke bawah. Dia terkesima. Baju kepaya moden yang berlatar hitam dan bercorak bunga ros merah hati serta kain kipas belakang yang turut bewarna merah hati benar-benar padan dengan tubuh lampai Emily. Dipadan pula dengan tudung yang dililit kemas, turut bewarna merah hati bermanik hitam halus-halus di tepinya. Cantiknya...

“Kenapa ni?” Emily bertanya kaget. Ada yang tak kena ke?

“Bila pulak beli baju ni? Tak pernah nampak pun.” Berkerut-kerut dahinya mengawal nafas.

“Dah lama. Bonda bagi. Tapi tak pernah pakai. Baru hari ni rasa nak cuba. Kenapa muka abang macam tu? Baju ni tak sesuai dengan Emy ek?”

“Eh, tak. Bukan tak sesuai, tapi bila Emy pakai macam ni abang rasa macam…” ayatnya tergantung.

“Macam apa?” Emily merenung suaminya menunggu jawapan.

“Emm…macam…macam tak nak pergi pulak majlis kahwin Naufal. Baik duduk rumah berdua je dengan sayang.” Tengku Zamran Hakim menjungkit kening nakal. Cuba meyampaikan maksudnya pada Emily.

Emily yang pada mulanya terpinga-pinga akhirnya terjerit kecil apabila dapat menangkap maksud Tengku Zamran Hakim.

“Abang ni!” Emily menampar perlahan lengan Tengku Zamran Hakim. Boleh pulak masa-masa macam ni fikir pasal tu. Teruk betul! Terasa membahang wajahnya.

Tengku Zamran Hakim ketawa kecil memandang pipi Emily yang sudah bertukar warna.. “Tak habis-habis blushing. Takkan dengan abang pun nak malu lagi?”

“Mana ada!” Emily mengetap bibirnya geram. Semenjak dua menjak ni Tengku Zamran Hakim suka sangat menyakatnya. Dia pula sering mati akal untuk membalasnya. Penghabisannya, bila muncungnya sudah ditarik sedepa mulalah lelaki itu kelam-kabut memujuk.

“Betul? Kalau macam tu, biar abang test sayang sikit.” Tengku Zamran Hakim mendekatkan wajahnya dengan wajah Emily.

Test? Test apa? Emily tertanya-tanya seketika. Namun belum sempat dia berfikir lanjut terasa bibirnya disentuh lembut. Bulat matanya apabila bibir Tengku Zamran Hakim sudah bercantum dengan bibirnya. Lama.

“Ya Allah…merahnya pipi.” Tengku Zamran Hakim tergelak lagi sambil menyentuh pipi mulus Emily.

“Abang ni memang tau!” Emily menjeling geram. Ambil kesempatan betul! Bibirnya sudah memuncung sedikit.

Tengku Zamran Hakim memandang wajah Emily yang mencuka. Marah ke? Alamak! Mahu mogok tak bercakap pulak lepas ni. Kalut sugguh dia ketika itu. Sebelum mengusik tadi tak pula dia beringat.

“Sayang…” panggilnya lembut, memujuk.

Emily buat-buat tak dengar. Matanya dialihkan ke arah lain. Protes.

“Tak baik tau tak pandang abang masa abang tengah bercakap.”

Emily tetap buat tak tahu.

“Sayang abang ni selalu sangat merajuk sekarang ni.” Tengku Zamran Hakim meletakkan kedua tangannya pada pinggang Emily. Cara biasa yang dilakukannya ketika memujuk isterinya itu.

“Kenapa? Abang dah bosan dengan Emy?” air matanya bertakung. Kecil hati dengan kata-kata Tengku Zamran Hakim.

“Bila pulak abang cakap macam tu?” Tengku Zamran Hakim terpinga-pinga. Sepanjang mereka hidup sebagai pasangan suami isteri yang sebenar selama sebulan ini, tidak pernah langsung terdetik di htinya perasaan bosan. Malah, setiap hari yang dilalui bersama Emily bagaikan tidak puas.

“Habis tu dah abang cakap Emy selalu merajuk.”

“La…memang betul kan?”

Emily terdiam. Dalam diam dia mengakui kata-kata itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa perangainya begitu sejak akhir-akhir ini. Ada sahaja perkara yang dia ingin merajuk dengan Tengku Zamran Hakim. Padahal mana pernah sebelum ini malah seumur hidupnya dia merajuk dengan sesiapa. Namun mudah sahaja dia merajuk dengan suaminya itu. Nasib baik Tengku Zamran Hakim jenis yang penyabar. Sabar sungguh lelaki itu dengan kerenahnya.

“Kenapa diam pulak ni?”

“Emy mintak maaf sebab Emy selalu menyusahkan abang. Mesti abang dah tak larat layan Emy.”

“Sayang, dengar sini. Abang langsung tak kisah kalau Emy nak merajuk dengan abang setiap hari, setap jam, setiap minit, atau setiap saat sekalipun. Abang tak kan pernah jemu memujuk. Abang dah lebih dari bahagia dengan kehidupan macam ni. Sepanjang kita hidup sebagai pasangan suami yang sebenarnya, abang tak pernah langsung terdetik perkataan susah, tak larat, lebih-lebih lagi bosan. Tak puas adalah.” Tiba-tiba Tengku Zamran Hakim tersenyum nakal.

“Abang ni tak habis-habis tau dengan perangai gatal tu.” baru nak menusuk jiwa mendengar kata-kata Tengku Zamran Hakim namun berubah geram bila terdengar nada yang cukup nakal pada ayat terakhir lelaki itu.

“Abang gatal dengan isteri sendiri apa salahnya, bukan gatal dengan orang lain.” Balasnya pula. Sebelah matanya dikenyitkan pada Emily.

“Abang, cuba tengok jam tu. Dah nak dekat pukul 2. Dari tadi kita dekat sini, bila nak bertolak?”

“Opss…abang lupa la sayang. Ingat tak jadi.” Tersenyum-senym Tengku Zamran Hakim ketika menuturnya.

Emily menjeling. Tak habis-habis!

* * * * *

“Mananya wife kau? Kan aku suruh bawak sekali.” Naufal berbisik. Syiqa yang berada disebelahnya tayang wajah pelik melihat perangai suaminya itu.

“Itulah pasal. Tadi aku suruh Emy pergi dulu sementara aku parking kereta. Sekarang bayang-bayang Emy pun aku tak nampak.” Matanya turut melilau mencari kelibat Emily. Dari jauh kelihatan Emily yang sedang bergelak ketawa dengan seorang wanita di tepi tasik. Terdapat beberapa buah khemah yang mengelilingi kawasan tasik.

“Fal, aku pergi sana kejap. Lepas ni aku datang balik.”

Naufal cuma mengangguk.

“Emy, cuba kau tengok tu. Ada pakwe handsome yang datang kat kita la. Aku dapat ni, comfirm tak cari lain.”

Emily tergelak kecil. Juita ni memang. Selalu lupa diri bila nampak lelaki tampan. Padahal terang-terang dia sudah mempunyai buah hati. Tidak sangka dia akan bertemu dengan Juita pada majlis yang sama. Kata Juita, majlis sahabat mereka. Langsung dia tidak mengerti dengan maksud Juita itu.

“Yang peliknya, asal pulak baju kau dengan dia yang sedondon? Merah hitam. Aku hijau. Tak adil betul!”

Emily yang mendengarnya terus menoleh kepada lelaki yang dimaksudkan Juita. Emily menghadiahkan senyuman pada lelaki itu. Dia hampir terlupa yang Juita belum pernah melihat Tengku Zamran Hakim sebelum ini.

“Sayang pergi mana? Puas abang cari.” Ujar Tengku Zamran Hakim sambil tangan kanannya melingkar pada pinggang Emily. Sudah jadi kebiasaannya pula.

Membulat mata Juita. Terkejut melihat keselambaaan lelaki itu memeluk sahabatnya. Emily pula langsung tak melarang walaupun kelihatan wajah Emily yang sudah memerah. Matanya merenung Emily meminta penjelasan.

“Abang, ini Juita. Best friend Emy.”

Tengku Zamran Hakim menunduk sedikit pada Juita. “Zam.” Pendek sahaja dia memperkenalkan dirinya.

“Apa hubungan korang?” Juita blur.

“Jue, Zam ni la hubby aku.” kenalnya sambil mengerling Tengku Zamran Hakim.

Juita ternganga. “Serius?”

“Takkan main-main kot. Itulah kau, masa akad nikah aku tak datang. Lepas tu buat-buat terkejut beruk.”

“Aku terkejut betullah. Bukan buat-buat. Handsomenya hubby kau Emy.” Terus-terang Juita memuji. Pasangan di hadapannya nampak begitu sepadan. Bagai pinang di belah dua!

Tengku Zamran Hakim hanya tersenyum mendengar pujian Juita. Terselah lesung pipitnya.

Juita seolah terpukau. Perghh… senyuman tu. Sweet gila….tapi, seperti pernah dilihatnya sebelum ini.Juita memandang pula pada Emily yang turut tersenyum manis. Sekejap-sekejap matanya memandang pada Emily kemudian beralih pula pada Tengku Zamran Hakim. Akhirnya Juita terlopong. Sama! Lesung pipit mereka berdua memang sama. Tak silapnya, hanya seorang yang lesung pipitnya sama bentuk seperti Emily. Lima belas tahun yang dulu. Budak lelaki itu! Tapi, benarkah telahannya?

Sekali lagi mata Juita memandang Emily menanti sebuah jawapan yang pasti. Kalau benarlah telahannya, sungguh rumit perjalanan hidup mereka berdua.

* * * * *

“Ini ke wife kau?” terjah Naufal tanpa sempat Tengku Zamran Hakim kenalkan. Syiqa diseblahnya pula seolah terpaku.

Tengku Zamran Hakim mengangguk. “Sayang, ini Naufal dan yang sebelah tu isteri dia, Syiqa.”

Emily merenung Syiqa dalam. Seperti pernah dilihat sebelum ini. Lama dia berfikir. Dan…Nad? Mustahil dia lupa dengan musuh tradisinya sejak di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah ini.

“Emilia?” tanyanya.

Emily menggeleng. “Emily...Emily Natasha.”

Wajah Syiqa bertambah terperanjat. “Emy?”

“Yup. Lama tak jumpa…Nad.” tenang Emily menyapa.

Syiqa sudah menggigit bibir. Sudah lama dia ingin bertemu dengan Emily, namun ada sahaja yang menghalangnya. Dia ada berhubung dengan Emilia dan Juita ketika mereka satu universiti dahulu, tapi dia tidak pernah lagi bertemu dengan Emily sejak tamat SPM. Dia mahu memohon kemaafan dari Emily. Mengenal Naufal sedikit sebanyak mengubah tingkah-lakunya. Emilia dan Juita terima baik salam persahabatan darinya, tapi Emily tidak dapat dijejaki. Apabila ditanya pada Juita tentang keberadaan Emily pada ketika itu, katanya Emily menyambung pelajaran di Luar Negara. Lama-kelamaan dia lupa hal yang satu itu. Namun hari ini, bila takdir menemukan mereka kembali, dia jadi kelu.

Hati yang Terluka 26

Emily memandu tenang keretanya ke Vila Astana. Raja Muzairah sudah memesan kepadanya pagi-pagi tadi lagi supaya singgah di situ untuk makan malam bersama. Agak janggal pergi berseorangan tanpa Tengku Zamran Hakim, namun kerana tidak sanggup menghampakan Raja Muzairah yang beria-ria, diturutkan juga hatinya.

Dari luar sudah kedengaran riuh suara orang yang berbual. Kereta tiga pasangan ipar-birasnya turut kelihatan di garaj.

“Assalamualaikum…” Emily memberi salam. Jantungnya tiba-tiba sahaja berdegup laju ketika melangkah masuk.

“Waalaikumusalam…Sampai pun menantu mummy yang seorang ni.” Raja Muzairah menghampiri Emily sambil memeluk tubuh menantu bongsunya itu.

“Maaf mummy, lambat sikit.” Emily menghadiahkan senyuman selepas pelukan mereka terlerai.

“Lambat tak pe, kalau tak datang langsung tu yang mummy akan marah.” Rozina menyampuk. Tersenyum memandang biras yang sudah agak lama tidak ditemuinya.

“Pandailah kamu Ina.” Raja Muzairah pula membalas.

“Ina memang pandai! Ha, Emy ni. Kenapa lama tak datang sini?” Rozina bangun sambil mencubit pipi Emily kuat. Memerah pipi Emily dibuatnya.

“Emy si…”

“Sibuk. Dia memang sibuk memanjang Kak Ina. Kalau boleh tak nak balik rumah langsung.” Tidak sempat Emily menghabiskan ayatnya, kata-katanya sudah disambung seseorang.

Emily terkedu. Bukan sahaja terkedu kerana kata-kata sindiran yang tajam tapi turut sama terkedu kerana suara itu! Suara yang sudah lebih dua minggu tidak didengarinya. Suara yang cukup dirinduinya. Matanya tercari-cari kelibat pemilik suara itu dan matanya terhenti pada sesusuk tubuh yang sudah mengatur langkah ke anak tangga.

Emily tersenyum kelat pada semua yang ada di ruang utama itu. Cuba menutup wajah kecewanya dengan sikap Tengku Zamran Hakim. Salah diakah kedinginan ini berlaku?

Rozina yang berada di sebelah Emily berbisik perlahan.

“Kalau hati kita berdetik sedikit mengatakan kita yang salah, apa salahnya rendahkan sedikit ego untuk memohon kemaafan?”

Emily memandang Rozina. Antara birasnya yang lain, dia paling rapat dengan Rozina. Kata-kata Rozina mengingatkan dia pada nasihat bonda lebih kurang dua minggu yang lepas. Walau ayat yang dituturkan tidak sama, namun maksud yang tersirat disebaliknya tidak jauh beza. Rendahkan ego.

“Pergilah.” Gesa Rozina.

Emily mengangguk sebelum mengatur langkah.

* * * * *

Tengku Zamran Hakim berteleku di birai katil. Mengingat kembali kejadian yang berlaku beberapa minit yang lepas, membuatkan dia mengeluh lemah. Sebenarnya dia langsung tidak berniat untuk menyindir Emily, namun entah mengapa dia sengaja mahu terus menguji isterinya itu.

Pintu biliknya tiba-tiba dibuka dari luar. Tanpa lihat pun, dia sudah dapat mengagak siapa yang sedang melangkah masuh ke biliknya.

“Tak reti nak ketuk pintu dulu?” dingin suaranya menyapa.

Emily menggigit bibir. “Sorry.”

“Nak bagi salam pun dah tak tahu?”

“Tahu! Assalamualaikum, abang.” Emily melepas nafas lega. Alhamdulillah. Terkeluar juga panggilan itu akhirnya.

Tengku Zamran Hakim terkedu. Silap dengarkah? Tajam matanya merenung Emily.

Emily buat-buat tak nampak dengan pandangan maut Tengku Zamran Hakim. Dia menghampiri dan melutut di hadapan lelaki itu. Tangan Tengku Zamran Hakim dicapai dan dikucup lembut.

“Emy minta maaf kalau abang kecil hati dengan Emy. Emy banyak buat abang kecewa. Kalau abang tak nak maafkan pun tak apa, Emy faham.” Air jernih mengalir perlahan ke pipinya. Setiap kali berhadapan dengan Tengku Zamran Hakim, pasti mutiara jernih itu tumpah. Apabila cemburu, marah, atau sakit hati dengan lelaki itu, pasti dia terasa mahu menangis.

Tengku Zamran Hakim terdiam. Masih lagi tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Tapi satu je Emy minta, kalau abang rasa marah, sakit hati, kecil hati, atau tak puas hati dengan Emy sekalipun tolong jangan lari sampai ke Luar Negara macam hari tu. Kecut perut kena tinggal sorang-sorang.” Sambung Emily.

Tengku Zamran Hakim tersenyum setelah hatinya sudah mahu percaya dengan apa yang didengarnya. Lapang benar hatinya mendengar panggilan yang sudah lama dinantikan itu. Marahnya tidak jadi dipanjangkan. Dia bangkit dari duduknya sambil menarik tubuh Emily untuk turut sama bangun. Mata mereka bertentangan.

“Kalau tak menangis tak boleh ek?” tanya Tengku Zamran Hakim lembut sambil mengesat pipi Emily dengan jemarinya.

“Abang lah buat orang menangis.” Emily memuncung.

Tengku Zamran Hakim tersenyum lagi. Tubuh Emily ditarik ke dalam pelukannya. Didakap erat tubuh itu seperti tidak mahu dilepaskan.

“Terima kasih sebab panggil abang dengan panggilan yang abang tunggu-tunggu selama ini. Terima kasih sebab buat abang mengerti maksud cinta. Terima kasih sebab buat abang kenal makna rindu. Terima Kasih sebab buat abang rasa erti cemburu. Terima kasih sebab bagi peluang pada abang untuk bergelar suami. Akhir sekali, terima kasih sebab buat abang bahagia.” Ucap Tengku Zamran Hakim penuh syahdu di telinga Emily yang dilindung tudung.

Emily mengeratkan pelukannya. Kepalanya disandar pada dada bidang itu. Baru hari ini dia benar-benar rasa bahagia setelah 25 tahun berdendam dengan kaum Adam. Dia rela mencampak jauh dendam itu untuk merasa sebahagia ini. Kalau benar ini rasanya cinta Ya Allah, seribu kesyukuran ku panjatkan. Rahmatilah cinta kami berdua hingga ke akhirnya.

Kring! Kring!

“Kacaulah telefon ni.” Tengku Zamran Hakim merungut apabila telefon yang sedia ada di kamar tidurnya berbunyi nyaring. Dengan keluhan berat, pelukannya dilepaskan untuk mengangkat panggilan.

“Hello?”

“Apa helo-helo? Korang berdua buat drama apa dekat atas tu ha? Perut kami semua dah berkeroncong sakan dah ni. Siap ada rentak dangdut lagi sebab tunggu kau dengan Emy turun. Drama apa yang korang buat sampai tak reti-reti nak turun? Sikit-sikit sudahlah. Selebihnya tunggu malam karang. Sekarang, turun!” bagai peluru mulut Tengku Syahmi berkata-kata.

“Kejap lagilah Bang Ngah…suruh yang lain makan dulu.” Balas Tengku Zamran Hakim.

“Bang Ngah tak nak tanggung kalau pintu bilik kau roboh beberapa minit lagi.” Kali ini, nada Tengku Syahmi seolah berbisik.

“Maksudnya?”

“Mak Teh datang bawak satu family.” Mendatar suara Tengku Syahmi.

“Then?”

“Emm…Razlan tak sabar nak jumpa Emy, dan dalam perjalanan ke bilik kau.”

“Razlan? Penyibuk!” Tengku Zamran Hakim mendengus. Ganggang dihempas kuat.

* * * * *

Mata Emily dari tadi tidak lepas memandang kedua-dua lelaki yang sedang merenung antara satu sama lain. Tidak tahu adegan apa yang akan muncul sebentar lagi.

“Emm…Emy keluar dulu.” Minta Emily. Tidak tahan berada dalam suasana tegang dan sunyi itu.

“Jangan nak ke mana-mana!” serentak Tengku Zamran Hakim dan Razlan.

Langsung mati langkah Emily. Berkerut dahinya menyatakan rasa tidak puas hati.

“Habis tu, takkan Emy nak tercangak dekat sini tengok abang dengan Razlan main pandang-pandang. Sampai bila nak habis kalau macam ni.” Rungut Emily perlahan. Menjeling sedikit pada Tengku Zamran Hakim.

Tengku Zamran Hakim tersenyum menengar rungutan manja Emily. Kelat sungguh raut wajah itu. Rasa marahnya tadi hilang. Tangannya menarik jemari Emily dan menggenggam kemas.

“Lan, aku tak de mood nak gaduh dengan kau hari ni. Lagipun aku tak tahu macam mana nak buat kau menyerah mengharapkan Emily.” Putus Tengku Zamran Hakim tenang. Malas mahu bertekak dengan Razlan. Matanya merenung Emily penuh kasih.

“Menyerah? Aku takkan menyerah! Dan kau Emy, aku akan pastikan kau jadi milik aku. Kalau cara baik tak boleh, aku tak akan teragak-agak guna cara kasar. Ingat Zam, kalau aku tak dapat, aku lebih rela kita sama-sama tak dapat!”

Tengku Zamran Hakim merenung tajam Razlan. Terbakar hatinya mendengar ugutan sepupunya itu.

Usai mengeluarkan kata-kata itu, Razlan melangkah keluar dari kamar mereka berdua.

Kecut perut Emily mendengar kata-kata Razlan. Lelaki itu nampak begitu tekad. Jika sebelum ini dia masih mampu bertenang menghadapi segalanya tapi entah mengapa apabila mendengarkan kata-kata Razlan dia dapat rasakan perkara yang buruk akan berlaku. Itu tidak termasuk dengan pelbagai panggilan daripada Syazmir yang tidak habis-habis mengacaunya sepanjang ketiadaan Tengku Zamran Hakim. Bermacam-macam ugutan dari lelaki itu sehingga membuatkan hidupnya tidak tenang selama hampir dua minggu ini.

“Jangan takut sayang, abang ada. Selagi abang ada di sisi sayang, tiada siapa yang boleh sentuh isteri abang ni.” bisik Tengku Zamran Hakim memaut erat pinggang Emily.

Emily merenung Tengku Zamran Hakim. Lama. Jika dulu dirinya sendiri yang terpaksa mempertahankan dirinya dan Emilia ketika menghadapi orang yang tidak henti-henti mengganggu ketenteraman mereka, kini dia mahu serahkan tanggungjawab itu pada Tengku Zamran Hakim sepenuhnya.

“Terima kasih, abang.” Ujarnya membalas genggaman Tengku Zamran Hakim.

“Suka abang dengar Emy panggil abang macam tu. Kenapalah sebelum ni degil sangat nak sebut?”

Emily tersenyum. Alhamdulillah. Tidak sangka, akhirnya dia dapat membiasakan dirinya dengan panggilan tersebut. Damai hatinya setiap kali memanggil Tengku Zamran Hakim begitu.

“Abang…” Emily memanggil lembut.

Tengku Zamran Hakim memandang aneh. “Ada apa ni?”

“Abang dengan Mastura tu tak ada apa-apa kan?” soal Emily tiba-tiba. Persoalan itu sudah lama menghantuinya. Sesak otaknya memikirkan hal yang satu itu semenjak reunion Tengku Zamran Hakim lebih dua minggu yang lepas.

“Hah?!” terpinga-pinga Tengku Zamran Hakim. Namun selepas itu ada tawa yang meletus dari bibir merahnya. Dapat menangkap nada pertanyaan Emily.

“Cemburu ya? Jangan risau sayang. Hati abang ni tak pernah terdetik dengan sesiapa sehinggalah hari abang terjumpa dengan seorang gadis yang garang sangat-sangat. Kalau tak menjawab kata tu tak sah.” Tengku Zamran Hakim ketawa lagi apabila mengingat kembali setiap detik-detik pertemuan mereka. Langsung tiada persefahaman.

“Abang la. Suka sangat cari pasal. Mana la orang tak marah.” Emily turut sama ketawa.

“Tapi lelaki yang selalu cari pasal ni jugak yang jadi suami Emy kan?” Bibirnya menyentuh pipi Emily.

Emily mengangguk. “Tak sangka betul masa tu.”

“Opss…Abang teringat yang abang ada something nak bagi Emy.”

Emily menjungkit kening. “Cenderahati dari Jerman eh?”

Tengku Zamran Hakim tersenyum bersahaja tidak menjawab. Sebelah tangannya mengeluarkan sekotak baldu dari kocek seluarnya.

Berkerut dahi Emily menyambut huluran tersebut. Perlahan-lahan dibukanya. Bertambah aneh wajahnya memandang dua bentuk cincin terletak kemas di dalamnya. Cantik! Dua bentuk cincin platinum tersebut jelas direka sepasang.

“Untuk apa ni?”

“Cincin kahwin kita. Hadiah dari abang.”

“Cincin kahwin? Kalau ini cincin kahwin, yang Emy pakai ni cincin apa pulak?” Emily menayang cincin di jari manisnya.

“Cincin ni…” Tengku Zamran Hakim mengeluarkan cincin dari jari manis Emily. “Bukan dari abang. Mummy yang pilih. Jadi abang nak Emy simpan cincin yang mummy beli ni dan pakai cincin yang abang bagi.” Sambung Tengku Zamran Hakim sambil menyarung cincin platinum yang dibelinya ke jari Emily.

“Muat-muat. Macam mana pulak abang boleh tahu saiz jari Emy?”

“Ikut kata hati. Ingat pesan abang ni, jangan sesekali tanggalkan cincin ni dari jari.”

“Sekali pun tak boleh?”

Tengku Zamran Hakim menggeleng. “No.”

“Okey.”

“Abang nak tanya Emy satu soalan.”

“Hmm?”

“Abang tertanya-tanya sama ada sayang ikhlas atau tak terima abang. Abang tak mahu Emy terpaksa terima abang sebab terikat dengan perkahwinan ni.”

“Masa kita akad nikah lagi Emy dah terima abang.” Selepas akad nikah mereka, hatinya seolah menerima Tengku Zamran Hakim dengan rela hati dan suaminya itu menjadi satu-satunya lelaki yang mendapat tempat di hatinya.

Terangkat kening Tengku Zamran Hakim mendengar jawapan Emily. “Betul ni?”

Emily mengangguk. “Susah betul Emy nak percaya lelaki lepas apa yang ayah buat pada bonda. Tapi dalam Emy benci lelaki tu, tiba-tiba Emy terjumpa abang. Mungkin Allah nak tunjuk dalam hidup ni kita harus terima hakikat yang perempuan dan lelaki saling memerlukan antara satu sama lain. Tak kira macam mana Emy nak elak pun, kalau sudah takdir dan jodoh Emy wajib terima.” Panjang lebar Emily bersyarah.

“Pandai isteri abang ni bercakap.” Tengku Zamran Hakim menarik lembut hidung mancung Emily.

“I love you, sayang.” Luahnya pula.

Tersipu Emily mendengarnya. Pertama kali Tengku Zamran Hakim mengucapnya. Sudah lama dia menunggu ucapan tersebut.

Tengku Zamran Hakim membelek cincin yang sudah tersarung cantik di jari manis Emily.

“Sayang bayangkan cincin ni hati abang, kalau sayang tanggalkannya sama seperti sayang dah tak mahukan abang.” Sambung Tengku Zamran Hakim.

Emily menggeleng kecil. Macam-macam perangai Tengku Zamran Hakim yang tidak diketahuinya. Kotak baldu yang masih ditangannya direnung. Sebentuk lagi cincin dikeluarkan dari kotak baldu tersebut.

“Bak tangan.” Pinta Emily.

Tengku Zamran Hakim berkerut pelik tetapi disambut juga huluran tangan Emily.

“Yang ini abang punya kan? Biar Emy sarungkan. Abang anggap ini hati Emy, jangan tanggalkannya. Sekali abang tanggalkannya bererti cinta abang pada Emy dah hilang.”

Mereka berdua memandang jemari mereka yang bercantum sambil tersenyum bahagia.

Emily terpandangkan satu ukiran di cincin mereka. Terdapat ukiran dua potong nama pada cincin platinum tersebut. Zam dan Emy. Di tengah-tengah antara ukiran Zam dan Emy terdapat satu lagi ukiran yang benar-benar membuatkan Emily terkedu. Bunga tulip!

“Kenapa muka terkejut macam tu?”

“Ukiran bunga tulip ni…cantik.” Masa kecil-kecil dahulu sebenarnya dia anti dengan semua bunga. Mengenali Tengku Zamran Hakim pada zaman kanak-kanak mereka membuatkan dia tertarik pada bunga tulip. Lelaki itu sering bercerita keunikan bunga nan satu itu.

“Abang suka betul dengan bunga tulip. Sama dengan dia...” Tengku Zamran Hakim mengeluh. Kesal kerana masih mengingat pada teman kecilnya. Dia sendiri tidak mengerti akan dirinya mengapa semasa tempahan cincin tersebut di buat dia mahukan ukiran bunga tulip.

“Dia?” Emily bertanya walaupun dia dapat mengagak ‘dia’ itu ditujukan untuknya.

“Tak ada apa-apalah.”

“Abang…Emy nak beritahu sesuatu.” Rasanya sudah tiba masa dia menyingkap kembali kisah 15 tahun yang lalu. Dia perlukan kebenaran. Salah siapa semua itu terjadi juga harus ada jawapannya.

“Macam serius je abang dengar. Apa dia?”

“Sebenarnya…” kata-kata Emily terhenti apabila ada suara yang menerjah bilik mereka.

“Kenapa korang berdua ni tak turun makan? Ke dah kenyang duduk berdua dalam bilik ni?” Rozina menyakat.

“Kalau ya kenapa?” balas Tengku Zamran Hakim.

“Baguslah. Dapatlah akak anak saudara nanti.” Terus-terusan Rozina mengusik. Senang melihat adik ipar dan birasnya itu sudah berbaik semula.

“Kalau pasal tu jangan risaulah. Bagi masa setahun pada kami. Ada rezeki InsyaAllah. Emy pun macam dah tak sabar nak anak. Kan sayang?”

“Ishh..merepek je abang ni.” Emily membulatkan matanya. Terasa panas wajahnya ketika itu.

“Apa pulak merepek? Betullah apa yang abang cakap.” Tengku Zamran Hakim mengenyitkan sebelah matanya pada Emily.

“Macam-macamlah korang ni. Dah-dah jom turun makan. Takkan tak boleh sabar malam sikit.” Ujar Rozina lagi sebelum melangkah keluar.

Tengku Zamran Hakim tergelak mendengar usikan kakak iparnya. Emily pula menggigit bibir mendengar ketawa suaminya itu. Kakinya turut sama mengikut langkah birasnya namun belum sempat membuka langkah tubuhnya ditarik.

“Apa kata kalau lepas makan ni kita balik rumah kita?” suara Tengku Zamran Hakim seolah berbisik. Wajahnya nampak begitu nakal.

“Kenapa pulak?” soal Emily penuh tanda tanya. Takkanlah ada kerja tertangguh yang mahu disiapkan Tengku Zamran Hakim.

Tengku Zamran Hakim tersenyum simpul. “Baru ada privasi sikit untuk malam pertama kita.” Selepas berkata itu, terus Tengku Zamran Hakim berlari keluar.

“Abang!!!” jerit Emily geram.

Hati yang Terluka 25


“Pagi ni ada aktiviti apa?” Salmah bertanya pada anak-anak angkatnya ketika mereka sedang menjamu selera pagi itu.

“Gotong-royong bersihkan kampung.” Juita menjawab sambil menggigit pisang goreng.

“Boringnya….bila agaknya nak mandi laut ek? Teringin nak berenang.”

Emilia ketawa mengejek. “Jangan beranganlah Emy. Bukannya Emy reti berenang pun. Lainlah kitorang ni.” Ya, satu-satunya kekurangan Emily dari mereka berdua. Emily tak takut air, tapi tak pandai berenang. Ajarlah berkali-kali pun, tetap tak reti.

Emily memuncung. “Bisinglah akak ni.”

“Kau pun bukannya pandai sangat Lia. Sikit-sikit je. Letak dekat air dalam pun kau tenggelam jugak.” Bidas Juita membela Emily.

“Betul-betul. Kak Lia ni berlagak je lebih.” Emily menaikkan ibu jarinya tanda bagus pada Juita.

“Ish, kau ni.” Emilia menyiku Juita.

“Tapi, aku okey lagi dari Emy yang tak pandai langsung.” sambung Emilia masih mahu membangga diri.

“Eh, dah lambatlah. Kita kena berangkat ke surau. Nak kena berkumpul dulu kan?” Juita mematikan pertelingkahan mereka.

Emilia mengangguk. “A’ah. Jomlah. Nanti jadi macam Emy semalam.” Emilia ketawa lagi. Lucu bila teringat keadaan Emily ketika tiba di surau malam tadi.

Juita yang pada mulanya berkerut, turut tumpang sekaki. “Mandi lumpur.” katanya sambil tergelak-gelak.

“Wei, agak-agaklah. Ada pulak kata aku mandi lumpur. Tapi kan, aku geram betullah dengan budak dua ekor tu. Kalau aku dapat, memang aku kerjakan cukup-cukup.” Emily mendengus geram. Tak pasal-pasal telinganya terpaksa ditadah mendengar leteran Puan Hamidah. Rakan sekolahnya pulak tak habis-habis gelak. Lebih-lebih lagi Nadiana. Kurang asam betul!

Salmah yang dari tadi hanya mendengar perbualan mereka menggeleng sambil tersenyum kecil. Macam-macam. Tapi, dia senang dengan suasana mesra begini. Sudah lama dia tidak merasa sebahagia ini sejak suaminya, Pak Zali berkahwin lagi satu. Alasannya, mahukan anak. Namun, sehingga kini madunya tidak pernah mengandung apatah lagi beranak.

“Kami pergi dulu, Ibu.” Emilia menyalam Salmah, diikuti Juita, akhir sekali Emily.

* * * * *

“Tak pernah aku buat kerja macam ni.” Rungut Emilia. Sambil tangannya ligat mengutip daun kering di kawasan surau.

“Okeylah tu, boleh exercise.” Emily duduk senang di kerusi yang berdekatan. Untung mereka dapat tugas membersihkan kawasan surau. Tidak perlu berjalan jauh-jauh.

Juita memandang Emily dengan ekor matanya. “Banyaklah kau punya exercise. Kau tu, dari tadi sesedap je duduk goyang kaki.”

“Alah, okey apa. Goyang kaki pun exercise jugak. Lagi pun, aku nak bagi peluang korang bakar lemak. Tak delah payah bila nak buat aktiviti lain lepas ni.” Emily jawab selamba.

“Eh-eh budak ni. Macam-macam dia punya cara kalau nak mengelat.” Ujar Emilia sambil membelek kukunya. “Jue…kau tengok ni. Rosak kuku aku!”

“Ye lah… sama dengan aku.” Giliran Juita menunjukkan kukunya.

“Mengadanya…” Emily mencebik. “Korang ni sebijik macam Nad. Sotong betina!”

“Apa kau cakap?” Juita dan Emilia sudah membulatkan mata. Faham sangat ‘sotong betina’ yang Emily maksudkan. Nak cakap mereka gediklah tu!

“Opss…” Emily ketawa sambil membuka langkah melarikan diri.

“Jaga kau. Kitorang dapat tahulah. Sotong betina ye?” Berkejar kedua-duanya mendapatkan Emily yang sudah jauh di hadapan.

“Cubalah kalau boleh.” Emily memecut laju sambil sesekali menoleh ke belakang. Tanpa sedar, dia terlanggar seseorang yang juga sedang berlari bertentangan dengannya. Dushh…

Emily jatuh terduduk. Sakitnya….macam nak hancur je dahi aku ni. Itu belum termasuk punggungnya yang terduduk pada…tanah? Eh, bukan…Perlahan-lahan mata bundarnya memandang hadapan. Mahu tahu orang yang menyambutnya.

“Lain kali, nak lari tu pandang depan.” Dengus Tengku Zamran Hakim. Nasib baik hidung aku tak patah. Naya je kalau patah. Hidung mancungnya digosok perlahan.

“Kalau kau lari pandang depan, asal kau tak elak masa nampak aku?” Emily tak mahu mengalah.

“Er…” Kantoi! Sebenarnya, dia sedang melarikan diri daripada sepupunya. Seronok sangat jeling belakang sambil berlari, kesudahannya beginilah.

“Nak lari mana Zam?” Laung Razlan.

Tengku Zamran Hakim memusingkan kepalanya kebelakang. Razlan sudah menghampiri.

“Buat pertama kali aku berjaya tangkap kau. Jadi, seminggu ni kau kena pergi kedai kalau mak aku suruh.” Razlan ketawa bangga ketika sudah berada berdekatan Tengku Zamran Hakim.

Matanya menangkap susuk tubuh dipangkuan sepupunya itu. “Budak lelaki mana yang kau peluk tu Zam?”

Tengku Zamran Hakim terkedu. Peluk budak lelaki? Bila pulak? Tangannya dipandang lama. Hah?!

“Peluk? Mana ada!” Nafi Tengku Zamran Hakim. Cepat-cepat melepaskan pautannya pada pinggang Emily. Macam mana boleh terpeluk ni? Tapi…budak lelaki? Pada pandangan pertamanya, serasanya budak perempuan. Aku tersilap ke?

Emily pula bingkas bangun dari pangkuan Tengku Zamran Hakim dan berhadapan dengan Razlan. “Kau cakap apa tadi? Budak lelaki? Siapa budak lelaki?” jerkah Emily tidak puas hati.

“Kaulah…” Razlan mengunjuk pada Emily, namun kata-katanya terhenti seketika.

“Err…atau… kau ni…perempuan?” sambung Razlan teragak-agak.

“Habis tu?” Emily menajamkan pandangannya pada Razlan. Sesedap dia je cakap aku ni lelaki.

Razlan memandang Emily atas bawah untuk seketika sebelum menghamburkan tawanya. Biar betul!

Tengku Zamran Hakim tersenyum kecil. Aku dah cakap! Raut wajah Emily dipandang lama. Comel dengan sepasang lesung pipit, tapi…tomboy!

Memuncung Emily mendengar tawa Razlan. Tak guna! Eh, kejap…gelak ni macam pernah dengar je...Oh, aku dah ingat!

“Emm…korang berdua ni la yang hadiahkan aku lopak semalam.” ujar Emily menahan geram.

Tawa Razlan terhenti, dahinya pula berkerut seperti cuba mengingati sesuatu.

“Dan…kau hantu lumpur tu?” Razlan menyambung gelak. Tengku Zamran Hakim turut tergelak kecil.

Emily memandang Razlan yang sudah ketawa tak ingat dunia. Bestnya gelak…Hantu lumpur ek? Pap! Kaki Razlan disepak kuat. Dush! Kemudian perut Razlan disiku. Itu baru best!

Terduduk Razlan disebelah Tengku Zamran Hakim. Menahan senak diperutnya.

Tengku Zamran Hakim bangkit dari jatuhnya dan berdepan dengan Emily. Rasa tercabar melihat Razlan dibelasah teruk dengan budak perempuan.

“Dan kau…” Emily memandang pula Tengku Zamran Hakim. Buku limanya diangkat, namun Tengku Zamran Hakim pantas menahan.

Pergelangan tangan Emily digenggam erat.

“Tangan kau lembut macam budak perempuan, tapi…perangai macam budak lelaki.” ujarnya sinis.

“Suka hati akulah!” herdik Emily.

Tengku Zamran Hakim tersenyum. Mukanya didekat pada wajah Emily. Mahu lihat tahap keberanian gadis itu. Tangan gadis itu masih tidak dilepaskan.

Emily pula menjauh, memandang tempat lain. Perasaannya tidak menentu.

“Emm…kenapa pandang tempat lain? Aku rasa aku ni dah cukup handsome.”

Emily mencebik. Perasannya!

“Bukan aku yang cakap, ramai yang cakap macam tu.” Sambung Tengku Zamran Hakim bila melihat reaksi Emily.

“Aku tak nak tahu. Tangan aku ni, lepaslah!” Emily cuba merentap tangannya. Namun gagal. Malah, dapat dirasakan pegangan di tangannya makin kejap.

“Aku tak nak lepas...”

“Adik! Jangan lari!!”

Alamak! Kak Lia dengan Jue dah nak dekat. Tangannya direntap kali kedua…kali ini lebih kuat. Dan…berjaya! Biru tangan aku dibuatnya.

“Kau hutang aku.” Pesan Emily pada Tengku Zamran Hakim sebelum meyambung semula lariannya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia membalas perbuatan lelaki itu, namun bila memikirkan jari ketam Juita dan kembarnya hasrat itu dilupakan dahulu. Nanti-nantiah...

“Jangan risau, pasti aku ingat!” bisik Tengku Zamran Hakim sendiri. Tak lama kemudian, dua orang budak perempuan lalu dihadapannya dengan keadaan termengah-mengah. Dia lari dari diorang ni rupanya...

“Woi...kau tak nak tolong aku ke?”

Pandangannya di hala ke bawah. Kemudian ketawa kecil. “Tak habis lagi ke senak dekat perut kau tu?”

* * * * *

Salmah memerhati Emily yang sedang mengusap pergelangan tangannya. Pasti ada yang tidak kena ni.

“Tangan Emy kenapa?” tanyanya.

“Ha? Er…tak de… tak de apa-apa.” Tergagap-gagap Emily menjawab. Takkan nak cakap pada Ibu yang dia bergaduh dengan budak kampung ni padahal baru dua hari dia di situ.

“Betul ni? Sini, ibu tengok.”

“Tak payahlah ibu. Mana ada apa-apa.” Emily mahu bangun melarikan diri, namun ditahan Salmah. Pergelangan tangan Emily sempat ditangkap.

“Ya Allah…kenapa biru sampai macam ni?” Berkerut-kerut dahi Salmah memandang lebam di pergelangan tangan anak angkatnya itu.

“Emm…jatuh.” Bohong Emily.

Emilia mencebik mendengar jawapan Emily. Macamlah dia tak nampak adiknya itu bergaduh dengan budak lelaki petang tadi.

“Jue, logik ke kalau jatuh pergelangan tangan yang lebam?” sindirnya sinis.

“Tak logik…tak logik…” Juita menggeleng beberapa kali.

“Ha…tengok tu. Lia dengan Jue pun tak percaya.”

Emily menjeling. Sibuk je budak dua orang ni. Silap hari bulan ada jugak yang kena hempuk dengannya.

“Betullah, tak percaya pulak…” sangkalnya lagi.

“Eleh tipu…Ingat aku dengan Lia tak nampak ke? Ibu nak tahu tak… Emy ni sebenarnya gaduh dengan budak lelaki.” Tersengih-sengih Juita membocor rahsia.

“Mana ada!”

“Tengok, nak tipu lagi tu. Betul bu…kitorang nampak.” Emilia mengukuhkan lagi kata-kata Juita.

Salmah memandang Emily, menunggu kata-kata yang seterusnya dari Emily.

“Pandai-pandai je akak dengan Jue ni. Orang kata tak de, tak de la.” Emily masih dengan jawapannya. Pergelangan tangannya sudah dilepas Salmah. Matanya mengerling Salmah yang bangun dan kembali dengan sebotol minyak gamat.

“Nak mengaku pun susah budak ni. Tapi kan bu, yang paling penting budak lelaki tu handsome...handsome giler!” tambah Juita.

“Handsome kau kata? Baik kau tarik balik pujian kau tu. Kalau mangkuk tu dengar karang makin naik minyak pulak. Tadi pun siap puji diri sendiri lagi. Perasan betul!” Emily mendengus. Tapi hanya untuk seketika apabila terasa semua mata memandangnya. Mulutnya cepat ditutup. Macam mana boleh terlepas cakap ni? Nampak sangat dia sedang mengiakan cerita yang dibawa Juita dan Emilia.

Salmah mengangkat kening. Juita dan Emilia tersenyum menang.

“Mangkuk mana Emy?” Salmah tersenyum meleret sambil menutup kembali botol minyak gamat yang sudah disapu ke pergelangan tangan Emily.

“Mangkuk konon. Macam malu-malu gitu masa budak lelaki tu pegang tangan dia. Ingat akak duduk jauh, akak tak nampak ke?” Emilia jungkit kening, mengusik. Seronok melihat pipi adiknya yang sudah memerah.

“Lepas nampak kitorang terus cabut lari. Marah-marah, tapi sebenarnya suka.” giat Juita pula.

“Merepek je akak dengan Jue ni. Emy nak masuk bilik. Mengantuk!” Bingkas dia mengatur langkah ke bilik. Entah mengapa, malam ini dia kering idea untuk mematahkan usikan mereka.

* * * * *

Tengku Zamran Hakim sedang berbaring di katil tempatnya dan Razlan tidur. Bila terdetik peristiwa petang tadi, tanpa disangka-sangka bibirnya menguntum senyum. Ganas betul budak tu! Buktinya, Razlan sampai sekarang masih terbaring dan sesekali mengerang.

“Yang kau tersenyum-senyum dari tadi apasal? Suka tengok aku sakit macam ni?” Razlan tiba-tiba naik angin.

“Yang kau terasa sangat apahal? Nak aku bagitahu satu rumah ni yang kau kena belasah dengan budak perempuan?” gertak Tengku Zamran Hakim. Sesuka hati dia je nak marah tak pasal-pasal. Memang padanlah sepupunya itu dibelasah teruk petang tadi.

“Janganlah…”

“Tahu takut. Baik kau tidur sebelum aku tambah sakit kau lagi.”

“Yelah…Yelah…” Razlan cepat-cepat menarik selimut menutupi keseluruhan wajahnya.

Tengku Zamran Hakim katawa kecil memandang tingkah laku Razlan. Baru tenang sikit nak berangan.

* * * * *

Ting Tong! Ting Tong!

Emily cepat-cepat mengelap air matanya apabila bunyi loceng kedengaran dari luar rumah. Gambar tadi diletakkan kembali ke tempat asalnya. Cukuplah setakat itu dahulu peristiwa itu dikenang. Selebihnya pasti akan mengguris hatinya. Entah mengapa tika ini dia benar-benar rindukan lelaki itu.

Ting Tong! Ting Tong!

Loceng rumah kedengaran lagi. Cepat-cepat dia menuruni anak tangga dan terus ke pintu utama.

“Bonda! Kenapa tak cakap nak datang?” Emily terjerit kecil ketika menguak pintu. Tubuh Puan Zharifah didakap erat. Agak lama dia tidak bertemu dengan bondanya itu.

“Saje. Nak bagi surprise. Kenapa muka kamu nampak sembab je ni?” Puan Zharifah meneliti raut wajah Emily.

“Baru bangun tidur.” Bohong Emily. Rasanya, tidak perlu mengkahabarkan pada bonda mengenai halnya.

“Ada pulak tidur petang-petang. Tak elok. Emm…Zam mana?” Tanya Puan Zharifah. Kereta menantunya itu ada, batang hidungnya tak nampak pulak.

“Outstation.” Ujar Emily hambar. Masih berkecil hati memikirkan sikap lelaki itu yang tidak langsung memaklumkan padanya.

“Outstation? Dekat mana?”

“Jerman kot..”

“Apa kot-kot? Suami pergi kerja kat mana pun kamu tak ambil kisah. Tak elok macam tu Emy. Silap hari bulan Zam kecil hati macam mana? Kamu jugak yang susah nanti. Bila Zam bertolak?”

“Err…Emm…” Emily garu kepalanya yang tidak gatal. Sumpah tak tahu!

“Emm…Emm dari tadi. Tak tahu la tu.”

Emily hanya mampu tersengih.

“Kamu ni Emy…bonda tak faham betul dengan perangai kamu. Sekejap macam okey, sekejap pulak macam KO. Sampai suami kamu tu bertolak bila pun kamu tak tahu.”

“Zam yang tak bagitahu dia nak pergi bila.” Emily membela diri.

“Kamu panggil laki kamu tu apa? Zam?” Puan Zahrifah menjegil.

“Ish bonda ni…dah macam Inspektor Sahab pulak. Masuk dalam dulu bonda. Takkan bonda nak jadi mak guard dekat luar ni?” Selorohnya. Rindu melihat bondanya marah-marah begitu.

“Macam tu lah perangai kamu. Tak pernah nak serius. Kamu ingat suami kamu tu anak patung? Dia pun ada perasaan.” Bebel Puan Zahrifah lagi sambli melangkah masuk.

“Mana ada Emy buat Zam tu macam anak patung…” gumamnya perlahan namun masih sempat ditangkap Puan Zharifah.

“Pandai menjawab. Ni, bonda nak tanya kamu sebenarnya serius ke tak masa cakap nak kahwin dengan Zam tu? Atau…kamu kahwin main-main?” Serkap jarang Puan Zharifah benar-benar mengena.

“Ha? Eh, mana ada. Seriuslah bonda. Takkan main-main pulak.” Tergagap suaranya. Susahlah kalau bonda dapat menghidu mengenai perkahwinan mereka.

“Habis tu, kenapa bonda tengok kamu macam tak kisah je dengan Zam? Kamu sayang tak dengan laki kamu tu?” Giat Puan Zharifah lagi.

Emily terdiam seketika. Bohonglah kalau dia menidakkan perasaannya kerana hakikatnya, lelaki itu kini sudah mendapat tempat teratas dalam hatinya.

“Sayang…sayang sangat-sangat.” Jujurnya. Perlahan sahaja suaranya. Tubir matanya kembali bertakung ketika luahan itu diungkap. Ya Allah…bila jauh begini, baru dia terasa betapa rindunya dia pada lelaki itu. Ini baru sehari, macam agaknya hari esok dan seterusnya?

Puan Zharifah tersenyum.Selama ini, baik dia atau Raja Muzairah tidak percaya dengan Emily dan Tengku Zamran Hakim. Tapi hari ini, hatinya benar-benar lega mendengar ungkapan anaknya itu. Nampak betul-betul ikhlas. Alhamdulillah…perkembangan ini harus dikhabarkan pada Raja Muzairah secepat mungkin.

“Kalau sayang, layan dia sebaiknya. Tak elok buat endah tak endah. Kalau dia merajuk, pujuklah baik-baik. Tak habis-habis dengan ego kamu yang tak mahu mengalah tu. Cuba rendahkan ego kamu tu sikit.”

Emily tidak membalas apa-apa kerana dia tahu memang salahnya. Selama dia berkahwin dengan Tengku Zamran Hakim, dia tidak pernah mengalah dengan lelaki itu. Sentiasa dengan egonya.

* * * * *

“Kalau tenung lama-lama gambar tu pun, bukan dia boleh muncul depan kau sekarang.”

Tersentak Tengku Zamran Hakim dengan sapaan tersebut. Memandang kelibat Naufal yang baru melangkah masuk ke dalam bilik hotel mereka.

“Kalau rindu, baliklah. Kerja kau dekat sini pun dah selesai semalam.” Sekali lagi suara Naufal meluahkan pandangan.

Tengku Zamran Hakim cuma terdiam mendengar kata-kata Naufal, sahabat yang ditemui ketika sama-sama terlibat dalam urusan kerja di Jerman sejak dua tahun lalu. Walau mereka berdua bukan dari syarikat yang sama, namun bekerja dalam bidang tugas yang sama membuatkan mereka serasi.

“Merajuk lama-lama pun tak elok.” Ujar Naufal lagi. Agak lama tidak bertemu dengan sahabatnya itu, namun bertemu kembali kerana syarikat mereka sekali lagi berkerjasama dalam projek di Jerman.

Tapi yang memeranjatkannya, bila Tengku Zamran Hakim dengan selambanya memberitahu dia sudah berkahwin. Dah tu pulak, datang ke Jerman bukan semata-mata hal kerja, tapi membawa rajuk di hati. Teruk betul! Parah bila orang yang benci perempuan tiba-tiba jatuh cinta pada isteri sendiri. Paling sadis, bila sahabat sendiri turut mencintai gadis tersebut. Belum cukup dengan itu, ada lelaki lain yang mengejar isterinya. Rumit sungguh.

“Mana ada aku merajuk!” sangkal Tengku Zamran Hakim. Skrin handphone yang terhias wajah Emily tidak jemu-jemu ditatap. Gambar yang diambil curi-curi tanpa pengetahuan Emily. Selama dia berada di sini, rindunya pada gadis itu sukar diterjemahkan. Ketika hari pertama tiba di Jerman, serasa mahu sahaja dia terbang kembali ke tanah air. Sungguh! Dia benar-benar rindu pada gadis itu. Namun terkenangkan kata-kata Doktor Fauzi dan kejadian majlis reunion kelasnya membuatkan dia terpaksa tekad dengan keputusannya.

“Lagipun, bukan salah dia kalau kawan kau tu minat dia. Entah-entah, dia pun tak tahu.”

“Itu aku tahu. Tapi…entahlah. Selagi aku tak tahu perasaan sebenar Emy pada aku, aku jadi takut. Walaupun aku yakin perasaan kami sama, tapi ego dia buat aku kalah. Tak pernah aku jumpa perempuan seego tu.”

“Kau tak takut ke tinggal dia lama-lama macam ni? Elok-elok jadi hak kau, tiba-tiba terlepas kat tangan orang lain. Dah jadi kes naya tu.” Dah tahu ada pesaing, berani pulak tinggal lama-lama. Pelik betul sahabatnya yang seorang itu.

“Kau ingat, aku akan biarkan Emy lepas kat tangan orang lain? Mimpilah. Aku tak merajuk, tapi aku frust sebab dia tak cerita kat aku langsung apa sebenarnya yang jadi malam reunion tu. Macam aku ni tiada hak nak tahu.” Luah Tengku Zamran Hakim. Sakit hati bila Emily buat seperti tiada yang berlaku. Yang paling penting, apa hubungan Emily dengan lelaki yang bertengkar dengannya itu?

“Kau tanya dia tak?”

Tengku Zamran Hakim menggeleng.

“Aku nak dia bukak mulut sendiri. Takkan aku yang nak kena tanya. Sepatutnya dia kena faham sendiri.” Ulas Tengku Zamran Hakim lagi.

“Ceh! Kau kata dia ego, habis kau apa? Sama je ego. Memang padan pun korang berdua. Kau macam ni, dia pulak macam tu. Sama-sama tak mahu mengalah. Kalau kawan kau tu pikat isteri kau nanti, jangan pulak kau menyesal.”

Tengku Zamran Hakim ketap bibir. Tidak senang mendengar kata-kata Naufal.

“Kau ni sengaja tambah masalah aku. Dahlah aku bengang gila dengan si Fauzi tu. Tiap-tiap hari telefon tanya pasal Emy. Mintak nombor telefonlah. Kerja dekat manalah. Ada ke patut dia ingat Emy tu client syarikat aku. Ikut hati, nak je terus terang dengan dia, atau kalau tak boleh sangat pun bagi sebijik dekat muka dia cukuplah. Nasib baik aku masih boleh bersabar.”

“Rumit betul problem kau ni. Nasib baiklah nasib aku tak macam kau.” Kata Naufal sambil buat-buat tadah tangan tanda syukur. Sengaja mahu memerli Tengku Zamran Hakim.

Tengku Zamran Hakim mencebik memandang kelakuan Naufal.

“Tapikan, aku tabik gila dekat gadis yang berjaya buat kau jadi tak betul macam ni. Dalam banyak-banyak perempuan yang nak dekat dengan kau, kau boleh terjatuh cinta dengan gadis yang selalu bertekak dengan kau setiap kali jumpa. Hebat!”

“Sebab tu aku jatuh cinta dengan Emy. Emy lain. Kadang-kadang rasa macam main tarik tali pulak dengan dia. Sekejap aku rasa dah dapat, sekejap pulak rasa sebaliknya.” Kedinginan Emily kadang-kadang mencabar egonya. Ditambah pula dengan kedegilan gadis itu terus mati akalnya. Sehingga kini dia masih menanti panggilan yang sepatutnya Emily guna ketika memanggilnya. Bukan panggilan ‘awak’ dan ‘saya’.

“Macam jinak-jinak burung merpatilah ni.” Naufal jungkit kening.

“Tahu tak pe.”

“Nasib kaulah Zam. Emm, dari tadi aku nak tanya kau ni. Emy pandai ikat tie?” Naufal bertanya tiba-tiba.

Tengku Zamran Hakim mengangguk.

“Kenapa kau tanya?”

“Baguslah kalau macam tu. Patutlah kau sayang sangat dekat Emy. Mesti hari-hari dia yang tolong ikat tie kau kan?” Naufal senyum menyindir.

Tengku Zamran Hakim yang pada mulanya terpinga-pinga mendengus setelah dapat menangkap masksud Naufal. Sejak dulu, tak habis-habis nak mengutuk kekurangannya yang satu itu.

“Tak salahkan?”

“Memanglah tak salah. Untunglah kau. Boleh manja hari-hari. So, bila kau nak balik Malaysia?”

“Tengoklah nanti.” Tengku Zamran Hakim kembali merenung gambar Emily di telefon bimbitnya. Rindu benar dengan wajah itu.

“Tak habis-habis renung lagi tu. Susah betul kalau duduk jauh-jauh ni. Tak dapat tengok orang, dapat tengok gambar pun jadilah kan….” Sindir Naufal selamba. Belum puas mengusik sahabatnya itu.

Tengku Zamran Hakim mengambil bantal lalu dilempar ke arah Naufal.

“Cakap aku pandai, kau pun apa kurangnya. Sekarang bolehlah kau berlagak sebab makwe kau pun kursus dekat sini. Duduk bilik sebelah pulak tu. Cuba kalau makwe kau duduk jauh, mahu terbengkalai semua kerja. Lepas tu, malam-malam mula la berhikayat betapa rindunya kau. Sampai orang nak tidur pun susah.” Bidas Tengku Zamran Hakim pula.

Naufal tersengih. Tepat mengenai batang hidungnya.

“Sebab tu aku nak cepat-cepat kahwin. Bolehlah nanti kalau aku ada kerja mana-mana heret sekali si Syiqa tu. Bukan macam kau. Merajuk sikit, lari ke Luar Negara.”

Tengku Zamran Hakim menarik telinga Naufal dan bersuara kuat.

“Berapa kali aku nak cakap? Aku tak merajuk! Cuma terasa sikit je. Lagipun, aku memang ada kerja dekat sini.” Telinga Naufal dilepas. Tersenyum melihat sahabatnya menggosok telinga yang sudah memerah.

“Bila kau tarik telinga aku ni teringat pulak dekat mak aku. Mak…” panggil Naufal sambil menggoncang tangan Tengku Zamran Hakim. Kemudian ketawa mengekek.

“Mental lah kau ni.” Tengku Zamran Hakim menyiku perlahan perut Naufal, turut sama tergelak. Sahabatnya yang seorang itu tidak pernah serius. Bergurau tidak kira masa.

“Aku nak tanya kau ni. Apa bezanya terasa dengan merajuk? Sama je kan? Harap muka je handsome, tapi masalah cinta pun susah nak settle. Masalah kau cuma satu, ego! Cuba jadi macam aku ni. Lepas cinta baru kahwin. Bukan macam kau. Kenal pun tak, dah ajak kahwin. Sebab tu lah angau macam ni. Ke hulur hilir bawak gambar bini.” Naufal buat wajah kesal. Sekali lagi mengenakan Tengku Zamran Hakim.

“Bisinglah kau. Setidak-tidaknya aku kahwin dulu dari kau. Kau pulak, lepas tujuh tahun bercinta baru ajak kahwin. Dah tu pulak, nak ajak kahwin sampai terketar-ketar kepala lutut.” Tengku Zamran Hakim tersenyum kecil apabila teringat kembali kisah lamaran Naufal. Naufal sendiri yang bercerita kepadanya.

“Janganlah ingatkan aku pasal tu.” Tersipu-sipu Naufal.

“Sebenarnya masa tu aku pun tak ready lagi. Tapi, aku paksa diri jugak. Kalau tidak, sampai bila pun kitorang tak kahwin-kahwin. Eh, jangan lupa datang kenduri aku bulan depan. Jangan pulak buat-buat lupa tak datang. Bukan aku tak kenal kau. Bukan main liat lagi kalau nak suruh datang majlis. Kalau kau tak datang, aku tuntut hadiah kahwin mahal-mahal. Lagi satu, mesti bawak bini kau yang cun tu. Aku dah bagikan kad kahwin?” sambung Naufal selepas itu.

Tengku Zamran Hakim mengangguk cuma. Malas mahu menambah.

Hati yang Terluka 24


15 tahun yang lalu....

Bas mula bergerak meninggalkan kawasan sekolah. Riuh isi di dalamnya dengan suara pelajar perempuan tahun 4 Anggerik. Masing-masing bagai tidak sabar menanti untuk tiba ke destinasi mereka.

"Emy, duduklah elok sikit. Tak elok terkangkang macam tu." tegur Emilia pada adiknya yang sedang membaca komik.

"Best apa macam ni. Selesa." Emily menyelak helaian yang lain. Langsung tidak ambil peduli dengan teguran kembarnya.

"Buang masa je kau tegur budak tu. Tak makan saman langsung. Kecuali kalau kau pakai senjata bonda." Juita mencelah di antara mereka. Tahu sangat perangai Emily.

Emilia merengus. "Aku tak kira, dia mesti ikut jugak cara aku. Kitakan nak masuk kampung. Jadi, mestilah kena jaga adab."

"Emy...tengoklah akak ajar ni. Duduk tu rapatkan paha. Bukan ternganga macam tu." sambung Emilia, masih tidak mahu mengalah.

Emily memandang Emilia yang sedang duduk tersipu-sipu. Mental betul kakak aku nih! "Dah macam duyung tersepit je Emy tengok."

Cepat sahaja tangan Emilia menampar lengan Emily. "Menyampah tau Emy ni. Orang ajar dia, dia kata macam tu pulak."

"Jue...kau tengok la Emy ni. Ada ke patut dia cakap aku duduk macam duyung tersepit? Tak patut betul!" adu Emilia.

Juita ketawa kecil. "Aku tak mahu masuk campur."

Matanya memerhati Emily yang menyambung semula bacaannya. Dengan rambut pendek yang tersarung cap, t-shirt, serta seluar jeans, Emily benar-benar nampak lain dari mereka. Nasib baik mereka memang bersekolah di sekolah budak perempuan, kalau tak, mungkin ada yang meragui jantinanya.

"Tengoklah nanti. Akak adu pada bonda. Baru padan dengan muka Emy." Emilia sudah mula mengugut. Satu-satunya perangai Emilia yang sukar dibuang. Segala kehendaknya wajib dituruti.

"Mengada betul mak nenek sorang ni. Sikit-sikit nak mengadu." Emily merungut. Hanya itulah senjata kakak kembarnya jika menemui jalan buntu ketika bercanggah pendapat dengannya. Adu pada bonda! Bonda pulak, pasti berpihak pada Kak Lia. Sekepala!

"Emy panggil akak apa? Mak nenek?" Emilia menjegilkan matanya.

Emily buat tidak faham dengan jegilan tersebut. Buku komiknya ditutup dan disimpan di dalam beg galasnya. Kemudian membawa keluar pula komik yang lain.

"Emy!" Emilia meninggikan suara. Geram melihat Emily yang tidak menghiraukannya.

"Apa? Belum habis lagi ke? Eii...akak ni tolonglah. Sampai bila akak nak membebel? Bagilah telinga Emy rehat kejap. Boringlah!" Emily mendengus kasar. Tiba-tiba timbul pula rasa geram pada kakaknya itu. Selagi arahannya tidak dituruti, mulutnya tidak akan berhenti berkicau.

Emilia sudah terdiam. Sedikit terasa dengan kata-kata Emily.

"Akak sedar akak ni siapa. Tak layak ajar Emy. Aku ni membosankan." Emilia sudah mula mengalirkan air matanya.

Emily menepuk dahi. Adoi la...Macam mana lah bonda boleh turunkan ilmu dia pada mak nenek ni?

Keluhan dilepas perlahan. "Yelah...yelah...orang nak ikut la ni." Emily mengalah akhirnya.

"Betul?"

"Betullah. Ha, hingus tu lap. Menangis macam budak tak cukup bulan." Buku komik dihempas kasar pada begnya. Walau rasa tidak puas hati itu terbit, dia tetap menurut.

Juita menggeleng melihat dua beradik itu. Dari tadi dia hanya memerhati. Tahu sangat akan penghujung 'drama' tersebut. Sungguhpun Emilia dan Emily sering bercanggah pendapat, hubungan akrab yang terjalin tidak dapat dinafikan. Gaduh manja-manja. Lagipun, Emily pasti mengalah setiap kali bertelagah kerana Emily pantang melihat orang yang disayanginya mengalirkan air mata kerananya. Itulah sebabnya Emily selalu kalah apabila berhadapan dengan Puan Zharifah kerana bondanya itu murah sekali dengan air mata. Sekarang ilmu tersebut diturunkan pula pada Emilia. Nasib kaulah Emy...


* * * * *

Setelah lebih 4 jam berada di dalam bas, mereka tiba juga ke Kampung Tok Penghulu.

“Aaahh…” mulut Emily ternganga luas, menguap. Tangannya pula menggeliat bebas.

“Tak senonoh betul! Menguap tu lain kali tutup mulut.” Emilia masih belum berhenti. Sentiasa memerhati segala perlakuan Emily.

Emily tersengih nakal. “Baik, mak nenek.”

Emilia hanya membalas usikan Emily dengan jelingan.

“Jom turun.” Ajak Juita. Pandangannya di hala pada luar melalui tingkap bas. Ada rintik-rintik hujan.

Emily dan Emilia hanya menurut.

“Wah…bestnya angin bertiup.” Ujar Juita apabila kakinya menjejak tanah.

“Tahu tak pe. Dari sini aku boleh dengar ombak la. Emy dengar tak?” Emilia memandang Emily.

Emily jungkit bahu. Tidak berminat untuk turut serta. Jakunnya la budak dua orang tu. Sekarang dia cuma mahu mencari bantal untuk merehatkan mata. Letih semalam pun tidak hilang lagi kemudian ditambah pula dengan perjalanan yang jauh benar-benar membuatkan dia hilang tenaga.

“Boleh dia buat dek je orang tanya?” Emilia merungut sendiri namun sempat ditangkap Juita. Mereka bertiga berjalan masuk ke dalam surau.

“Penat sebab kem yang 4 hari tu la kot. Sudahlah dia baru balik semalam, kau pulak pergi paksa dia ikut program anak angkat ni. Mahu tak layu Emy tu.” Rasa macam budak U pulak bila sekolah buat program anak angkat ni. Sebab itulah dia dan Emilia teruja untuk ikut serta.

Emilia tersengih mendengar kata-kata Juita. Dia bukan sengaja mahu mendera Emily, tapi entah mengapa, dia seperti sukar bernafas kalau Emily jauh dari pandangannya. Kalau Emily terpaksa mengikuti kem-kem anjuran sekolah pun dia terpaksa memendam rasa. Mujur bonda ada. Kali ini, dia terpaksa mendesak Emily mengikutnya kerana dia benar-benar mahu merasai suasana kampung. Mungkin pada Emily masuk kampung perkara biasa. Emily sudah lali malah hutan belantara pun pernah diredahnya kerana antara mereka bertiga, Emily paling aktif dan lincah.

“Anak-anak…kamu semua di minta menunggu di surau ini dahulu sebelum diasingkan ke rumah keluarga angkat masing-masing.” Puan Hamidah, guru pembimbing memberi arahan.

Emily sudah menyandar pada dinding surau. Matanya dipejam rapat.

Emilia dan Juita menggeleng melihat tingkah Emily. Penat sangat la tu.

“Jue…tak sabar pulak rasa nak jelajah kampung ni!” Emilia masih belum puas memberi rasa.

“Samalah. Agaknya siapalah yang jadi keluarga angkat kita ya?”

“Memang padan pun korang teruja sangat masuk kampung, maklumlah korangkan memang kekampungan.” Tiba-tiba kedengaran satu suara yang cukup menjengkelkan di telinga mereka.

“Kau sibuk apasal? Suka hati kitoranglah.” Bidas Juita. Alergik sungguh dia pada Nadiana yang sedari dahulu tidak pernah berpuas hati pada mereka, lebih-lebih lagi pada Emily.

“Eh betul apa? Korang kan, memang ketinggalan zaman. Tak sesuai KL dengan korang. Macam manalah korang boleh sesat dudul kat KL? Menyemakkan pandangan je. Tambah-tambah si tomboy tak sedar diri tu. Tak reti berfesyen langsung.” Nadiana mula menyerang musuh sebenarnya.

Emilia memandang Emily yang tidak menunjukkan sebarang respons. Emy…Emy… selagi dia mampu bersabar, selagi itulah dia bersabar.

“Dah mampus ke tomboy tu?” celupar Nadiana.

“Nad! Mulut tu jaga sikit.” Emilia hilang sabar. Dijelingnya Emily. Reaksi adiknya itu tetap sama.

Nadiana tersenyum sinis. “Apasal pulak kau terasa? Aku cakap dekat tomboy tu. Bukan dengan kau. Oh, lupa pulak aku yang kau dengan tomboy tu kembar. Dua-dua tak de bapak. Entah-entah korang berdua ni anak har…”

“Pang!” satu tamparan tepat mengenai pipi Nadiana. Tangan Emilia sudah menggigil. Macam mana boleh tertampar puteri sekolah ni? Mati aku!

“Kurang ajar!” Suara Nadiana melengking. Tangannya diangkat tinggi, mahu membalas tamparan Emilia.

Emilia sudah menikus. Memejam mata rapat-rapat. Lama dia menunggu, namun langsung tiada tanda-tanda pipinya menjadi mangsa tamparan Nadiana. Matanya dibuka perlahan-lahan. Kelihatan tangan Nadiana sudah dipulas seseorang. Emy! Raut wajah Nadiana pula sudah berkerut-kerut menahan sakit.

“Kalau aku nampak kau sentuh kakak aku walau seinci pun, aku takkan lepaskan kau.” Emily mengugut. Minah ni tak boleh tengok orang senang langsung! Tangan Nadiana dilepas kasar.

Nadiana mendengus tidak puas hati.

“Perhatian semua…” suara Puan Hamidah yang menggunakan pembesar suara membantutkan perkelahian mereka. Semua mata sudah memfokus tepat pada Puan Hamidah.

“Anda semua akan diagihkan kepada keluarga angkat masing-masing. Dua pelajar satu keluarga angkat. Bila saya sebutkan nama, tolong ke depan dan dapatkan keluarga angkat anda masing-masing. Kita mulakan dengan…Zila dan Atilla. Anda berdua ikut Pak Ndak Awang.”

Dua orang pelajar sudah membuntuti keluarga angkat mereka.

“Kemudian…Linda dan Naima. Sila ikut bapa angkat anda, Pak Mail.” Sambung Puan Hamidah lagi.

“Nad…awak berpasangan dengan Emilia. Keluarga Pak Cik Kahar dan Mak Cik Nafisah akan jadi keluarga angkat kamu berdua.”

Emilia terkedu. Biar benar! Tak sanggup dia berpasangan dengan Nadiana.

Nadiana pula tersenyum senang. Senang untuk membalas dendam pada Emilia nanti.

“Seterusnya…Emy dan Juita, boleh ikut Pak Zali ke rumahnya.” Puan Hamidah bersuara lagi.

“Yeay…aku dengan kau la Emy.” Juita bertepuk tangan.

Emily menggeleng kecil melihat aksi keanakan Juita. Pandangannya jatuh pada kakaknya pula. Mendung benar wajah itu. Jauh berbeza jika dibandingkan ketika mereka mula-mula sampai tadi.

Emilia ketap bibir kuat. Sebak menyerang. Dia rasa seperti mahu menangis. Nak menjerit pun ada.

“Emy…akak tak mahu duduk serumah dengan Nad tu.” keluar juga suaranya. Air matanya sudah mengalir lesu. Jemari Emily digenggam erat.

Emily mengeluh. Menangis je kerja budak ni. Cubalah cari ikhtiar sikit.

“Tunggu sini kejap.” Emily bangun dari duduknya dan menghampiri Puan Hamidah.

Emilia hanya memandang adiknya yang menghampiri guru pembimbing itu. Dapat dilihat Puan Hamidah yang memandangnya sekilas kemudian berkata sesuatu pada Pak Zali. Pak Zali pula mengangguk-angguk kecil.

“Emilia, mari sini.” gamit Puan Hamidah padanya.

Cepat sahaja dia bangun dan menghampiri guru itu. Juita turut mengikut jejaknya.

“Maafkan cikgu ye Emilia. Macam mana lah saya boleh lupa kamu ni kembar dengan Emy?” Puan Hamidah mengeluh kecil seakan kesal dengan kesilapan diri.

“Takpelah, oleh sebab Emy dah minta dan Pak Zali pun dah setuju, kamu boleh ikut Pak Zali ke rumahnya.” Sambung Puan Hamidah sambil tersenyum.

“Jadi, saya berpasangan dengan adik saya?” Emilia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Tubuh Emily dipeluk. Tak terucap leganya. Sungguh, adiknya itulah sumber kekuatannya selama ini.

Puan Hamidah mengangguk.

“Habis, saya?” Juita mengambil alih situasi Emilia tadi. Tak mahulah aku berpasangan dengan Si Nad tu. Ya Allah…bantulah hambamu ini.

“Kamu…” Puan Hamidah melambatkan kata. Sengaja.

“Cikgu…janganlah letak saya dengan Si Nad tu. Tak mahulah saya.” Juita tunjuk muka menggerunkan.

“Emy…tolonglah. Jangan buang aku. Aku nak tinggal sekali dengan kau, dengan Lia.” Suara Juita sebak. Lengan Emily digoncang perlahan.

“Kau dengar dulu apa cikgu nak cakap.” Emily tersenyum kecil melihat telatah Juita.

“Entahnya kamu ni Jue. Dengarlah cikgu cakap habis dulu. Alergik betul kamu dengan Nad ye? Sebenarnya, tadi Emy dan minta nak tinggal bertiga dengan kamu dan Emilia di rumah Pak Zali. Pak Zali terima cadangan Emy tu. Jadi…”

“Hooray!” Juita sudah bersorak. Memintas kata-kata Puan Hamidah. Tubuh Emily dipaut erat. Mereka bertiga sudah melekat.

Puan Hamidah menggeleng kecil. Macam kembar tiga pulak!

“Macam ni baru best nak jelajah Kampung Tok Penghulu!” teruja Emilia.

“Betul cakap kau.” Juita mengangguk, setuju.

“Hoi, lemas aku macam ni. Lepaslah wei.” Emily terjerit kecil. Juita dan kakaknya belum melepaskan pautan mereka. Semput dibuatnya.

Juita dan Emilia ketawa sepuas mungkin. Membiarkan Puan Hamidah memanggil para pelajar seterusnya. Apa yang terbayang di minda mereka kini ialah keseronokan meneroka pelusuk kampung.

* * * * *

“Dah sampai pun anak-anak ibu ni.” Seorang wanita awal 30-an menyambut mereka bertiga dengan senyuman dari anak tangga rumah kayu itu.

Emilia dan Juita menyalami wanita itu. Emily pula termenung sendiri. Bantal…hanya itu sahaja yang bermain difikirannya saat itu.

“Emy.” Emilia mencuit Emily sedikit. Menegur.

Emily tersengih. Sedar kesilapan diri. Tangannya dihulur pada wanita tadi.

“Anak-anak…ini isteri ayah, Salmah.” Terang Pak Zali.

Harap-harap dengan kedatangan mereka bertiga ini, dapatlah mengurangkan kesunyian isterinya yang sudah lama inginkan anak walaupun untuk seketika.

“Maaf, mak cik…maaflah kalau kedatangan kami ni nanti menyusahkan pulak.” Emilia berbahasa.

“Ada pulak kata macam tu. Ibu dah lama tunggu kedatangan anak angkat ibu ni sejak penghulu kata ada rombongan sekolah. Lagi satu, jangan panggil ibu mak cik, panggil ibu ye.” Salmah mengharap.

“Baik, ibu.” Emilia dan Juita mengangguk. Emily hanya menjungkit bahu. Tak kisah.

“Baguslah kalau begitu. Mah, saya pergi dulu. Bawaklah anak-anak masuk.” Pak Zali melangkah meninggalkan rumahnya.

Juita memandang langkah yang diayun Pak Zali. “Pak Zali nak pergi mana tu, ibu?”

“Kampung sebelah. Ada hal sikit. Mari masuk, nak. Ibu dah masak untuk semua.” Ujar Salmah, tersenyum hambar. Sebal memikirkan suaminya.

Emily tersenyum sinis. Melihat raut wajah ibu angkatnya, dia dapat mengagak sesuatu. Lelaki, biasalah.

* * * * *

“Kau dah siap ke belum?” soal Juita pada Emily.

“Dah.”

“Kakak kau mana?”

“Dalam bilik air.” Emily membetulkan telekungnya.

“Lambatnya minah yang seorang tu. Tak pasal-pasal kita lambat nak sembahyang nanti. Puan Hamidah mesti menyinga.” Aktiviti mereka pada malam itu adalah sembahyang berjemaah di surau. Wajib!

“Aaaahh…” satu jeritan mengejutkan seisi rumah kayu itu.

Emily dan Juita berpandangan. Kemudian masing-masing berkejar ke tandas. Apabila mereka tiba ke tandas, kelihatan kelibat Emilia yang pucat tak berdarah.

“Ta…tadi...a…ada…kat…katak…” tersekat-sekat suara Emilia.

“Apa? Katak? Mana? Mana?” Juita sudah terloncat-loncat.

Emily menepuk dahi. Adoi la…Tadi beriya-iya berkejar ke sini. Jue…Jue… matanya terarah pada seekor katak di tepi kolah. Tenang sahaja katak itu diambil dan dibuang keluar rumah.

“Ada apa ni?” Salmah yang sudah siap bertelekung baru sahaja tiba di ruangan yang berlaku kekecohan tadi..

“Ada katak, bu.” Adu Emilia.

Salmah menggeleng sambil tersenyum kecil. Kalau nama pun budak bandar…. “Katak datang sebab hujan petang tadi la tu. Mana katak tu?”

“Emy dah buang.” Juita mengunjuk ke luar rumah.

Pandangan Salmah jatuh pada Emily. Anak gadis yang seorang itu, memang lincah dan lain sikit dari Emilia dan Juita.

“Semua dah siap ke? Kalau dah siap, kita berangkat ke surau.”

“Dah. Lia ni je tak pakai telekung lagi. Cepat Lia, pergi pakai telekung.”

Mencicit Emilia berlari ke bilik.

“Semua pergi dulu. Emy nak masuk tandas. Perut ni meragam pulak.” Emily menghilang ke bilik air.

“Kalau Puan Hamidah marah, kau tanggung sendiri ek, Emy.” laung Juita dari luar.

“Tak de hal lah.” pekik Emily kembali.

“Tak pe ke kalau Ibu biar Emy pergi sendiri?” Salmah pula melaung.

“Tak pe…tak pe…”

“Kalau macam tu, Ibu tinggal kunci.”

“Okey!”

* * * * *

Emily kelam-kabut. Habislah aku…Langkahnya dibuka seluas yang boleh. Masa-masa macam ni pulak perut meragam. Mana tak lambat. Setiap langkahnya pula agak terganggu kerana dia terpaksa berhati-hati dari lopak yang terdapat di merata-rata jalan.

Dalam sedang mengatur langkah berhati-hati itu, tiba-tiba dua buah basikal bergerak laju menyainginya dan tayar basikal terus menghampiri lopak air. Zssshh…percikan lopak tepat mengenai telekung putihnya.

“Tak guna!” dengus Emily. Bukan main berhati-hati aku jalan nak elak lopak air, sedap-sedap je dihadiahkan aku lopak air ni. Rungutnya sendiri.

Terhenti agak jauh dua basikal tersebut. Penunggangnya memandang Emily pelik sebelum menghamburkan tawa mereka.

Emily menggenggam buku limanya. Boleh diorang mengekek macam tu? Kurang ajar betul! “Jaga korang.” Emily sudah mengatur langkah mendekati mereka berdua.

“Wei Zam, jom blah. Budak tu mengamuk la.” suara perlahan yang seakan berbisik dapat didengar Emily.

“A’ahlah. Er…sorry. Tak sengaja.” Laung budak lelaki yang seorang lagi sambil memandang sekilas Emily sebelum memecut laju basikalnya.

“Hoi!” Emily memekik. Bertambah membara marahnya memandang kelibat dua orang budak lelaki yang sudah melarikan diri. Telinganya sempat menangkap tawa yang masih bersisa dari mereka. Betul-betul kurang ajar! Matanya memandang telekungnya yang sudah diselaputi lopak air. Macam mana aku nak ke surau dengan telekung macam ni? Surau? Alamak, Puan Hamidah pasti tengah menunggu! Masak aku!

Hati yang Terluka 23


Emily menjeling jam di pergelangan tangannya. 7.50 malam! Dia tidak sedar masa yang berlalu begitu pantas. Pembentangan oleh kakitangannya juga belum selesai kerana mesyuarat bermula agak lewat.

“Shiela, cukup sampai sini dulu. Sekarang dah pukul 7.50. Nanti terlepas pulak maghrib. Mesyuarat ni kita sambung pagi Isnin nanti.” Emily memberi kata putus.

* * * * *

“Kau jadi pergi ke tak ni? Jangan pulak cakap tak jadi. Penat aku usung baju tu.” Tanya Juita selepas mereka selesai menunaikan solat Maghrib.

“Jadilah.”

“Majlis start pukul berapa?” Jangan Emily tak pergi sudahlah. Rosak rancangannya.

“8.30 tak silap aku.” jawab Emily sambil tangannya menyeluk handbag mencari jam tangannya.

“8.30? kau tahu tak sekarang pukul berapa? Nak dekat 8.10 dah tau! Siap pun tak lagi.” Juita terjerit.

“Ye ke?” Emily acuh tak acuh. “Susah-susah sangat aku pakai macam ni je lah.” Bukan dia tak teringin nak pergi, tapi mengingatkan nama-nama yang disebut Tengku Zamran Hakim dia jadi sebal.

“Kau jangan nak mengada. Sini, ikut aku. Aku tak kira, kau mesti pakai jugak baju tu. Punyalah cantik baju yang aku bawak. Baju pejabat ni jugak kau nak pakai.” Juita membebel sambil menarik tangan Emily ke bilik pejabatnya.

Baju yang dibawanya tadi diunjuk pada Emily. Emily mengalihkan tumpuannya pada gaun labuh yang dipegang Juita. Warna blue turquoise yang diperbuat dari kain jenis sifon. Di bahagian kaki lengan dan bawah baju pula dijahit labuci dan manik yang bewarna hitam. Cantik!

“Tak macam over sangat ke?” Emily beralasan. Tiba-tiba timbul geram pada Juita yang beria-ria mahu dia memakai gaun labuh tersebut. Rasa menyesal pula kerana memaklumkan pada Juita mengenai reunion Tengku Zamran Hakim. Minah ni pulak tiba-tiba sahaja mahu menghulurkan bantuan mencari baju yang sesuai untuknya. Pelik!

“Banyaklah kau punya over. Bukannya ada terdedah sana-sini. Aku siap pesan pada Shima buat yang terbaik untuk kau. Kau pulak yang tak hargai jasa kitorang yang bertungkus-lumus ni. Siap dengan tudung lagi aku cari untuk kau.” Ujar Juita sambil menanyangkan pula sehelai tudung yang bercorak abstrak campuran warna biru turquoise dan hitam.

“Shima buat? Cepatnya….” Tidak pula terdetik di fikirannya Juita menemui Shima di butik. Bersemangat betul! Apalah agaknya rancangan sahabatnya itu.

“Tahu pun. Dah, jangan nak beralasan lagi. Setidak-tidaknya kau hargai pengorbanan kitorang ni.”

“Kenapa kau beria-ria sangat ni Jue?” terdetik di hati Emily untuk menyoal.

“Err…” Juita terdiam. Apa alasan yang patut diberinya agar rancangannya bersama Puan Zharifah dan Raja Muzairah tidak dihidu Emily? Juita gigit bibir berfikir.

“Bukan selalu kau boleh bersama dengan suami kau. Sibuk memanjang. Aku ni, sampai sekarang tak pernah jumpa dengan suami kau, Emy.” Juita membelit. Dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi disebalik pernikahan Emily sehingga dua besan terpaksa merancang sesuatu untuk mengekalkan perkahwinan Emily dan suaminya yang dipanggil Zam. Bukan dia tidak mahu bertanya pada Emily, tapi baginya biarlah Emily sendiri yang membuka mulut.

Emily menunduk memikirkan kata-kata Juita. Sampai kini, dia masih belum menceritakan pada sahabat baiknya itu cerita sebenar di sebalik perkahwinannya dengan Tengku Zamran Hakim.

“Emy!” tegur Juita. “Cepat bersiap.” Sekali lagi Juita mengarah.


* * * * *

Sudah lebih sepuluh kali Tengku Zamran Hakim menjeling jam di dashboard. Hampir 20 minit juga dia menunggu di dalam keretanya. Namun kelibat Emily masih tidak kelihatan. Dari tempat letak keretanya di memerhati dewan yang digunakan untuk majlis malam itu. Kedaannya di sekitarnya terang-benderang dengan kerlipan lampu.

“Tuk! Tuk! Tuk!” Tingkapnya diketuk.

Terpinga-pinga dia menurunkan cermin.

“Kenapa tak masuk lagi? Tinggal 5 minit je lagi majlis nak mula.” Doktor Fauzi menegur sambil matanya memerhati tempat duduk disebelah Tengku Zamran Hakim. Kosong!

“Kejap lagilah.” Tengku Zamran Hakim beralasan.

“Kau…datang sorang?” lambat-lambat Doktor Fauzi menyoal.

“Err….Huh!” Keluhan terbit dari bibirnya.

Doktor Fauzi tersenyum sinis. “Jadi, kau dah mengalahlah ni?”

Tengku Zamran Hakim malas nak menjawab. Dibiarkan soalan sahabatnya tergantung. Dah tahu, tanya lagi.

“Jomlah masuk.” ajak Doktor Fauzi.

“Kau masuklah dulu.”

“Okeylah Zam. Aku masuk dulu. Kau jangan tak masuk pulak.” Doktor Fauzi terus mengatur langkah ke dewan.

Buat yang entah ke berapa kali Tengku Zamran Hakim memandang jam. Sekarang sudah pukul 8.28. Jika dalam 2 minit lagi dia tidak melangkah ke dewan itu, matlamat Maria akan tercapai. Dangan secara rasminya gelaran gay akan disandang olehnya. Huh! Tak tercapai dek akal langsung.

Wajahnya diraup kesal. Kehadiran Emily yang diharap dapat menolongnya juga hanya tinggal harapan. Nak tak nak dia terpaksa keluar dari keretanya. Melangkah berseorangan lima anak tangga. Lemah sahaja gayanya. Tinggal dua anak tangga sahaja lagi sebelum tiba di pintu dewan, dirasakan ada sentuhan di lengannya kirinya. Sentuhan tersebut mendatangkan debaran didadanya. Perlahan-lahan dia menoleh.

“Kenapa tak tunggu saya?” Suara lunak merdu itu kedengaran.

Tengku Zamran Hakim terlongo. Terpegun disitu. Tidak percaya.

Emily berkerut memandang Tengku Zamran Hakim yang seperti patung. Tangannya melambai-lambai pada wajah itu.

Tengku Zamran Hakim tersedar. Entah mengapa, dia berpaling dari memandang wajah Emily.

Emily mengeluh. Merajuklah tu. “Sorry…” tutur Emily. Dalam diam matanya membelek Tengku Zamran Hakim yang tampak begitu segak malam itu.

“Emy buat abang putus asa tau tadi.” Tengku Zamran Hakim mahu melempiaskan perasaan amarahnya, namun perasaan lega mengatasi segalanya. Matanya kembali memandang Emily. Cantik! Tubuh lampai Emily nampak begitu jelita dengan gaun labuh biru muda itu. Tak berkelip matanya.

“Jom.” Tengku Zamran Hakim menghulurkan tangannya. Emily buat tidak tahu dengan huluran tersebut. Degil! Desis Tengku Zamran Hakim. Akhirnya tubuh langsing Emily dipaut rapat ke sisinya. Emily menjegil. Giliran Tengku Zamran Hakim pula tayang muka tidak bersalah.

* * * * *

Semua mata sudah memberi tumpuan pada Shamsul Amir selaku pengacara majlis pada malam itu.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera pada semua yang sudi datang pada majlis sempena menyambut kepulangan sahabat kita yang kembali ke tanah air selepas merantau di negeri orang lebih dari lima tahun." Tepukan kedengaran buat seketika.

Kemudian Shamsul Amir menyambung kembali ucapannya, "Semua ahli jawatankuasa yang mengendali majlis ini langsung tidak menyangka kesemua bekas pelajar kelas kita dahulu menghadirkan diri....kecuali..." Mata pengacara majlis tersebut meliar pada kerusi Tengku Zamran Hakim. "Prince charming kita, Tengku Zamran Hakim."

“Zam tak masuk lagi?” Maria bertanya pada Yuliza setelah kembali ke tempat duduknya.

Yuliza menggeleng. “Aku rasa dia dah boleh agak yang dia akan sandang gelaran gay tu.”

Maria senyum sinis. “Tahu tak pe. Padanlah. Siapa suruh jual mahal sangat masa aku ajak hari tu.”

“Serious ke nak buat macam tu dekat prince charming?” tanya Rina pula. Kasihan pula pada lelaki yang pernah dia minati satu ketika dahulu.

“Mestilah. Biar dia rasa sikit macam mana perasaan orang perempuan ni bila kena tolak mentah-mentah. Sebelah mata pun tak nak pandang.” Balas Dilla dengan rasa dendam yang membara.

“Betul tu. Aku pun pernah kena tolak dengan prince. Malu bila fikir macam mana perasaan bila cinta tak disambut.” Giliran Suraya menambah.

Tidak jauh dari mereka, kelihatan puak Mastura pula.

“Kau tak ajak prince jadi pasangan kau ke Mas?”

“Ajak, tapi macam biasalah. Dia tak nak.” Hambar suara Mastura. Teringat bagaimana ajakannya pada Tengku Zamran Hakim tidak dilayan. Mungkin tidak akan ada seorang pun wanita yang dapat membuka pintu hati Tengku Zamran Hakim yang keras mengalahkan batu.

“Pelik aku dengan Zam tu. Bukan dia tak tahu pasal gelaran gay tu. Tapi still dengan perangai dia yang tak mahu lekat dengan perempuan.” sambung Aliya.

Bising dewan buat seketika apabila mendengar perkataan prince charming.

"Zam dah masuklah!” pekik satu suara.

Suasana yang tadinya kedengaran hingar-bingar sekelip mata sahaja bertukar menjadi sepi. Yang kedengaran hanyalah alunan muzik yang tiba-tiba kedengaran seolah dirancang untuk menyambut ketibaan Tengku Zamran Hakim bersama pasangannya. Semua mata sudah tertumpu pada sepasang pasangan yang sedang melangkah di atas karpet merah.

* * * * *

Emily ketap bibir. Mukanya pada ketika itu terasa hangat. Perasaannya tidak enak apabila terasa semua mata memandang mereka dengan lagak seolah melihat makhluk asing yang sedang berjalan.

Tengku Zamran Hakim pula hanya mampu melemparkan senyuman kemenangan pada semua mata yang memandang. Puas hatinya dapat melihat kumpulan Maria yang masing-masing dengan reaksi tersendiri. Masam-masam kelat! Yang ternganga pun ada. Padan muka! Riak wajah Mastura pula berkerut-kerut. Sudah tentu cuba mengingati di mana Emily pernah dijumpainya. Pandangannya jatuh pula pada Emily disisi. Muka Emily nampak sangat seperti kebingungan. Ditambah pula pipi yang kemerah-merahan. Cantik! Pasti gadis itu hairan mengapa mereka menjadi tumpuan.

“Itu dia…tetamu yang kita nantikan, Prince charming kita, Tengku Zamran Hakim nampaknya sudah tiba bersama pasangannya…..” kata-kata Shamsul Amir terhenti sambil merenung dalam gadis di sebelah Tengku Zamran Hakim. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Emily Natasha? Dan…gadis itu bersama Tengku Zamran Hakim?

Di satu sudut lain, tanpa mereka sedari, ada sepasang mata yang meratah tajam seraut wajah Emily.

“You pandang apa? suara wanita di sebelahnya kedengaran tidak puas hati.

“No…nothing.” Balas Syazmir. Kedatangannya malam itu hanya menemani salah seorang kawan perempuannya yang mahu menghadiri majlis reunion sekolah lamanya, tidak sangka pula akan bertemu Emilia di sini. Makin jelita gadisnya itu. Dan Emilia bersama lelaki lain? Aku takkan lepaskan kau pada lelaki lain, Lia. Ikrarnya.

Maria dan kawannya yang lain pula sudah panas punggung.

“Perempuan tu...memang cari nahas.” nafas Maria turun naik mengawal suhu marahnya.

Perempuan yang berpasangan dengan Tengku Zamran Hakim itu tidak silapnya pernah ditemui sebelum ini. “Tapi kan Yuli…aku rasa macam pernah tengok je perempuan tu.”

“Betullah cakap kau. Dia tu yang datang Teguh Holdings dulu.” tambah Yuliza. Emily direnung tajam. Sejak kali pertama bertemu dengan Emily, dia benar-benar rasa tercabar dengan kecantikan yang gadis itu miliki. Gadis yang diperkenalkan Kak Ina sebagai isteri Tengku Zamran Hakim. Tidak pernah dia menceritakan hal yang satu itu pada Maria kerana baginya Kak Ina hanya bergurau.

“Korang pernah jumpa ke perempuan cantik tu?” tanya Suraya lurus.

“Apa kau cakap? Perempuan cantik?” garang suara Maria. Pantang betul aku dengar ayat tu!

“Err…” Suraya tergagap-gagap. Lupa pada perangai Maria yang tidak suka kalau gadis lain dipuji di hadapannya.

“Alah Maria….memang betul apa cakap Sue. Yang kau marah sangat tu apasal? Jealous?” Dilla yang sememangnya dari dulu tidak sebulu dengan Maria memihak pada Suraya. Jengkel betul dengan perangai Maria yang perasan tak bertempat. Kononnya, dialah paling sempurna. Tapi yang peliknya, macam manalah aku boleh join sekali dengan dia nak balas dendam pada Tengku Zamran Hakim malam ni?

Maria terjegil. “Jealous pada perempuan tu? Tak de masa!” Sangkalnya sedaya mungkin.

Kemudian menyambung, “Apa yang cantikya kalau pakai macam tu? Tutup habis semua. Nak bandingkan dia dengan aku…oh..please… aku lebih seksi tahu!” bongkak Maria.

Dilla buat muka meloya.

Maria ketap bibir kuat memandang riak Dilla itu.

“Sudahlah korang ni. Takkan pasal perempuan yang dah rosakkan rancangan kita korang nak bertekak.” Yuliza menjadi penyelemat di antara mereka. Rimas dia apabila Maria terus-terusan membangga diri.

“Sebab perempuan tu, rosak semua rancangan kita!” dengus Maria keras.

“Prince charming kita tu dari dulu lagi boleh elak setiap rancangan kita.” Rina mencelah kesal. Kagum dengan cara Tengku Zamran Hakim yang dapat menyangkal segala jenis rancangan yang mahu menjatuhkannya.

Mastura dapat mendengar bait-bait kata dari kumpulan Maria. Perasaannya ketika itu juga serupa seperti kumpulan itu. Marah. Kesal. Tak percaya. Cemburu. Semua bercampur baur menjadi satu. Dia rasa kalah pada gadis itu. Padanlah Tengku Zamran Hakim bermati-matian menolak ajakannya.

Rasanya dia pernah melihat gadis di samping Tengku Zamran Hakim itu sebelum ini, namun masih kabur di kotak ingatannya. Tak silapnya, di pentas….oh, hari pementasan beberapa bulan yang lalu. Tapi, bagaimana pula Tengku Zamran Hakim dengan gadis itu boleh bertemu? Andailah dia mampu mencari cara memutuskan hubungan tersebut….

Emily dan Tengku Zamran Hakim sudah duduk di tempat yang disediakan. Satu meja menempatkan 10 orang. Emily membalas senyum pada mereka yang duduk satu meja dengannya.

Shamsul Amir meneruskan ucapannya. Matanya seakan tidak dapat dikawal dari menjeling Emily.

“Jangan main jeling-jeling dengan lelaki lain!” bisik Tengku Zamran Hakim serius.

“Siapa yang main jeling-jeling?” Emily membulatkan matanya.

“Emy ingat abang tak perasan ke ada mata asyik pandang kat tempat duduk kita ni?”

“Mata? Siapa?”

“Yang tengah membebel dekat depan tu bukan?” Tengku Zamran Hakim membalas acuh tak acuh. Geram melihat Amir yang tidak reti nak pandang tempat lain.

Emily memandang pentas. Memang benar, mata lelaki itu tidak lepas dari memandangnya. Dan…lelaki itu melemparkan senyumannya. Macam kenal…tapi, siapa? Emily mengangkat bahu tanda dia tidak kenal.

Tengku Zamran Hakim memeluk tubuh. Marah.

“Sekarang saya mempersilakan Mastura untuk memberi sepatah dua kata.” Amir menyudahkan ucapannya.

‘Matura!’ Emily berbisik perlahan. Matanya mencari-cari kelibat gerangan yang bernama Mastura. Tidak jauh dari tempat duduknya, dia dapat melihat seorang wanita yang agak tinggi berjalan menuju ke pentas. Boleh tahan! “Itu ke girlfriend awak?”

Tengku Zamran Hakim tiba-tiba tersenyum nakal mendengar pertanyaan Emily. “Sayang rasa?”

Emily mencebik. Suruh rasa-rasa pulak. “Entah! Tapi cantik. Kenapa awak tak jadi pasangan dia malam ni?”

“Kalau abang dengan dia malam ni, nanti ada pulak orang tu merajuk tak nak cakap seminggu.” Balas Tengku Zamran Hakim menyindir. Matanya melilau mencari Doktor Fauzi. Dari mula-mula dia masuk masih tidak kelihatan kelibat sahabatnya itu.

Emily mendengus kecil, terasa. Suka sangat buat orang sakit hati.

Selepas Mastura berucap, Amir kembali ke pentas dan menjemput semua tetamu menjamu selera.

Mastura mengatur langkah menuju terus pada tempat duduk Tengku Zamran Hakim.

“I miss you a lot, Zam.” Bisiknya di telinga Tengku Zamran Hakim. Emily yang berada di sebelah Tengku Zamran Hakim dijeling tajam.

Emily telan liur. Ucapan Mastura, walaupun perlahan masih dapat ditangkap oleh telinganya. Meluat pula mendengar suara manja yang dibuat-buat itu. Zam pun macam seronok je layan. Aku dekat sini dah macam tungkul.

Sekejap-sekejap mata Tengku Zamran Hakim menjeling Emily bila isterinya itu tidak sedar. Suka melihat Emily yang mencebik mendengar perbualan dia dengan Mastura. Bukannya dia nak sangat layan Mastura, hanya mahu melihat reaksi Emily.

Akhirnya, Emily bangkit dari duduknya untuk mengambil makanan. Tak kuasa mendengar perbualan sepasang kekasih itu. Serta-merta Mastura melabuhkan puggung di kerusinya. Emily hanya mampu bersabar. Baru sahaja langkahnya di hanyun, pengacara majlis tadi sudah tercegat di hadapannya.

“Kenal I lagi tak?” Tanya Shamsul Amir tak menyempat. Dari tadi, tidak sabar-sabar dia mahu turun ke pentas bertemu Emily.

“Kenal?” Emily terpinga-pinga.

Shamsul Amir mengeluh. “Selalu macam ni.” Katanya seolah merajuk.

La…merajuk pulak. Mengada betul. Tapi betullah aku tak kenal. “Awak kenal saya ke?” Emily bertanya serba salah.

“Takkanlah I tak kenal gadis tomboy yang seorang ni. Emy…Emily Natasha kan?”.

Emily masih tayang muka blurr…

“Atau..perlu ke I sebut nama penuh? Teng….”

“Cukup-cukup.” Emily memotong. “Kita pernah jumpa ke sebelum ni?”

“Ya Tuhanku….berilah aku kesabaran untuk mengembalikan ingatan gadis ini agar dia mengenaliku.” Ujar Shamsul Amir berlawak.

Emily tergelak kecil. “Seriouslah…kita pernah jumpa ke?”

Keluhan terbit dari bibirnya buat kali kedua. “I Amirlah. Ingat tak? Teman seuniversiti you sebelum you sambung belajar ke oversea. Orang yang you pernah reject bertahun-tahun dulu. Tak tahulah sebab apa kena reject. Rasanya dah cukup handsome.” Terang Shamsul Amir diselit jenaka.

Emily berkerut, kemudian... “La…You rupanya Mir. Really sorry. Otak ni blur sikit.” Emily tersenyum. Kelemahannya yang satu ini sukar dibuang. Pelupa! “Kita ada jumpa lima bulan lepas dekat gedung pakaian kan?” tanyanya pula.

“Ingat pun.”

“Yup. I ingat. Ye la, mana ada orang yang puji diri dia handsome selain you.” Sengaja Emily mengenakan Amir.

Shamsul Amir ketawa mendengar sindiran Emily. “Nakallah you ni.” Tangannya mencuit hidung Emily.

Emily mengelak. Tidak senang diperlakukan begitu.

“Ehem! Ehem!” Suara deheman kedengaran.

Emily menjeling sekilas bunyi suara itu. Opss…Tengku Zamran Hakim sedang merenung tajam mereka berdua. Emily mengerti maksud pandangan mata lelaki itu tapi sengaja buat tak endah. Balas dendam.

Shamsul Amir lagilah buat-buat tak faham. “Eh, you tak ambil makanan lagi. Jom, kita ambil sama-sama.”

Emily mengangguk dan berlalu bersama Shamsul Amir.

Tengku Zamran Hakim mendengus kasar. Mahu buat Emily cemburu tetapi dia yang cemburu. Yang Emily pun satu, ikut jantan tu buat apa? Macamlah Emily tak boleh ajaknya untuk temankan mengambil makanan.

“Awek kau ke tadi Zam?” Hilman yang duduk semeja dengannya bertanya tiba-tiba.

Tengku Zamran Hakim tidak menjawab hanya senyuman yang terpamer di bibirnya. Awek? Isterilah….desisnya.

“Masuk jugak kau Zam.” Tegur satu suara dari arah belakangnya. Dia menoleh. Syed Fauzi.

“Kau pergi mana tadi?”

“Melabur kat tandas. Perut aku meragam.” Ujar Doktor Fauzi sambil tersengih. Mastura di sebelah Tengku Zamran Hakim di pandang aneh. Zam masuk dengan minah ni ke?

“Mas, I rasa you patut balik meja you.” Mendatar nada Tengku Zamran Hakim.

“You halau I, Zam?”

“Terserahlah kalau itu yang you rasa.”

Mastura mendengus dan berlalu dari situ. Giliran Doktor Fauzi pula mengambil tempat duduk Emily.

“Kau datang dengan dia Zam?” perlahan suara Doktor Fauzi.

“Dia?” Tengku Zamran Hakim tidak dapat menangkap siapa yang dimaksudkan sahabatnya.

“Maksud aku, kau datang dengan Mas ke?”

“Bukanlah.”

“Kau masuk sorang?” Tanya Doktor Fauzi lagi.

Tengku Zamran Hakim menggeleng. “Aku datang dengan…” belum sempat ayatnya habis, terdengar bising di ruang makanan. Matanya dialihkan pada ruangan tersebut. Orang ramai sudah mengerumuni. Lehernya dipanjangkan untuk melihat apa yang berlaku. Darahnya mendadak naik tiba-tiba. Kelihatan Emily sedang cuba melepaskan tangannya dari pegangan seorang lelaki. Cepat sahaja dia bangun dari tempatnya dan menuju ke arah Emily.

Doktor Fauzi turut bangun kerana dia terperasan sesuatu…ya, gadis itu!

“Sakitlah.” Emily masih lagi bergelut. Kudratnya tidak mampu melawan tenaga Syazmir dengan pakaiannya yang sebegitu.

“Peduli apa I. You ingat I tak sakit hati bila tengok you berkepit dengan lelaki lain. Ikut I!” Syazmir menengking.

“Abang! Tak malu ke depan orang ramai macam ni?” Shamsul Amir cuba menghalang abang tirinya dari mengheret Emily.

“Kau diam. Jangan masuk campur urusan aku!” Giliran Amir pula dijerkah.

Emily terpinga-pinga. Abang? Amir kenal Syazmir? Patutlah pada pertemuaannya dengan Amir beberapa bulan yang lalu lelaki itu seolah mengetahui rahsianya. Lagi satu, tidak hairanlah Amir seperti teragak-agak mahu menolongnya sekarang. Mungkin mahu menghormati abangnya. Zam…hanya nama tersebut yang mampu dia berharap untuk menolongnya dari cengkaman Syazmir yang seperti singa lapar.

Dush! Tiba-tiba satu tumbukan padu tepat mengenai wajah Syazmir. Terlepas pegangannya pada Emily.

Emily pula cepat-cepat menyorok di belakang Tengku Zamran Hakim bila melihat Syazmir cuba mencengkam lengannya sekali lagi.

Syazmir mengusap kasar pipinya yang terasa sakit. Geram bila melihat Emilia berjaya melepaskan diri darinya. Cepat sahaja dia mahu membalas tumbukan Tengku Zamran Hakim, namun mudah sahaja lelaki itu mengelak. Malah, satu tumbukan mengenainya buat kali kedua. Kali ini, dia jatuh terduduk.

“Kalau aku nampak kau ganggu is…”

Cepat-cepat Emily memaut lengan Tengku Zamran Hakim dan digoncang perlahan. Tidak mahu Tengku Zamran Hakim mengumumkan status mereka.

Tengku Zamran Hakim mendengus kasar. Tertanya-tanya dia siapa lelaki yang mengganggu Emily tadi.

Orang ramai yang memandang adegan beberapa minit tadi berbisik-bisik.

Maria dan rakan seperjuangannya tersenyum sinis. Tidak sabar mahu mencungkil lanjut hubungan Emily dengan pemuda yang lagi seorang. Peluang!

Mastura juga berfikiran serupa.

Dari belakang Tengku Zamran Hakim, Emily dapat melihat Syazmir yang dipimpin seorang wanita keluar dari dewan. Nampak teruk betul dia dibelasah Tengku Zamran Hakim.

“I sumpah Lia. I akan musnahkan hidup you. I takkan biarkan you hidup bahagia dengan lelaki lain.” Sempat Syazmir mengugut.

Emily telan liur. Pautannya pada lengan Tengku Zamran Hakim dieratkan.

Shamsul Amir mengeluh. “I’m sorry Emy. Abang I ingat you…”

“I tahu.” Emily memotong pantas. “Dan...you tak perlulah beritahu dia perkara sebenar. Dia tak perlu tahu.” Yakin dia yang Amir sudah mengetahui hujung pangkal cerita.

Amir mengangguk.

Tengku Zamran Hakim hanya mendengar perbualan Emily dengan Shamsul Amir tanpa memahami apa-apa

Doktor Fauzi menerpa mendapatkan Emily. “Emy okay?”

Emily terkebil-kebil. Siapa pulak ni?

Doktor Fauzi mengeluh. “I’m Fauzi, Doktor Fauzi. Ingat lagi?”

“Oh…” Hanya itu yang mampu dikatakan Emily. Doktor Syira….

Tengku Zamran Hakim berkerut. “Kau kenal Emy, Zi?”

“Dialah gadis yang aku cerita tu.” ujar Doktor Fauzi sambil tersenyum meleret. Ada sedikit aneh yang menerpa bila Tengku Zamran Hakim mengenali Emily, namun dia tidak peduli. Lebih penting padanya pada saat ini adalah Emynya. Bertemu juga akhirnya.

Tengku Zamran Hakim terpempan. Mengapa begitu ramai yang mengenali isterinya? Dan…paling tidak sangka sahabatnya sendiri mencintai Emily. Dia hilang kata. Ayat yang bagaimana harus digunakan pada Fauzi untuk menerangkan statusnya dengan Emily? Dulu Razlan, kini Syed Fauzi. Drama apakah ini?

* * * * *

Emily memandang secebis kertas yang tertampal pada pintu bilik Tengku Zamran Hakim. Kertas tersebut ditarik dan dibacanya perlahan….

Abang pergi Jerman.
Ada urusan.
Tak tahu lagi balik bila.


Nota tersebut digenggam perlahan. Tubir matanya terasa hangat. Sampai hati Zam… Kenapa perlu berpesan melalui nota? Tidak bolehkah memberitahunya secara langsung? Sejak dari majlis reunion beberapa hari yang lalu, Emily perasan Tengku Zamran Hakim sengaja menjauh darinya.

Pintu bilik lelaki itu dibuka perlahan. Pertama kali bilik itu dijejaknya. Tenang suasana di dalam bilik tersebut. Warna yang menjadi peneman dinding juga menarik. Di tengah dinding, terpampang jelas frame gambar perkahwinan mereka yang sederhana besar. Sebak menyerang dadanya. Tidak menyangka lelaki itu serius dengan perkahwinan mereka. Rindu menerpa tiba-tiba. Rindu pada usikan, renungan, dan senyuman lelaki itu.

Matanya diliarkan pada seluruh bilik. Mencari kedamaian di situ. Seperti ada magnet, tangannya laju membuka almari baju. Tik! Tiba-tiba sekeping gambar jatuh mengenai hujung kakinya. Cepat sahaja dia mencapai gambar tersebut. Sebaik matanya melekap pada gambar bersaiz 4R itu, dia terkedu. Gambar dua orang kanak-kanak itu amat dikenalinya. Tapi…kenapa ia ada di sini? Dalam bilik Tengku Zamran Hakim! Gambar tersebut dikalihkan mencari sesuatu yang dapat menyakinkan apa yang bermain di mindanya kini. Terdapat tulisan di situ…

Ten…
Kalaulah kau dapat bayangkan macam mana perasaan aku…
Kalaulah kau tahu apa yang ada dalam hati aku…
Kalaulah kau tahu yang kau amat bererti dalam hidup aku…
Dan…
Kalaulah aku tahu kenapa kau tinggalkan aku…
-zam-



Terlepas gambar tersebut dari pegangannya. Badannya pula seolah tidak dapat diimbang, akhirnya dia jatuh terduduk di pintu almari baju. Air matanya mengalir tanpa dapat ditahan-tahan. Zam dengan kanak-kanak lelaki itu orang yang sama? Anehnya, bila jawapan yang dia harap selama ini juga dibalas dengan persoalan. Tulisan tersebut, benar-benar menjadikan dia bagai seorang pesalah.

Namun…benarkah? Benarkah aku yang salah? Tapi…kata-kata penghinaan itu…dari siapa? Kisah lampau bagai terlayar kembali di kotak fikirannya. Patutkah kisah lima belas tahun dahulu disingkap kembali? Dan…perlukah dibiarkan luka di hatinya yang berparut dahulu kembali berdarah? Ya Allah…berikan aku sedikit kekuatan andai kata aku terpaksa menghadapinya buat kali kedua.