Tuesday, January 27, 2009

Hati yang Terluka 15

Majlis akad nikah dan pertunangan Tengku Zamran Hakim dan Emily begitu meriah walaupun hanya dengan kehadiran saudara-mara pihak Tengku Zamran Hakim.

Emily melepaskan keluhan lega selepas akad nikah selesai. Segala-galanya berjalan lancar. Pernikahan mereka, walaupun terlalu pantas, namun segala-galanya sempurna. Mereka berdua juga sempat mengambil kursus perkahwinan beberapa hari sebelum pernikahan. Cumanya majlis berinai tidak di buat atas permintaan Emily sendiri.

Emily teringat pula pada bonda dan mummynya. Sejak Puan Zharifah dan Raja Muzairah bertemu pada malam peminangan beberapa hari yang lepas, mereka berdua begitu ‘kamceng’. Seperti sudah kenal lama pula. Nampak serasi.

Dalam Emily sedang termenung, tiba-tiba Tengku Zamran Hakim masuk untuk majlis pembatalan air sembahyang.

Emily memandang Tengku Zamran Hakim yang tampak begitu tampan dengan baju melayu ungu lembut yang juga setona dengan warna bajunya. Sesuai benar dengan tubuh lampai lelaki itu.

Tengku Zamran Hakim yang perasan Emily memandangnya turut terkesima melihat Emily yang duduk ayu di katil. Dengan solekan yang nipis, Emily begitu jelita dan sopan. Matanya bertaut dengan mata Emily.

Mereka berdua hanyut seketika dengan perasaan yang tidak dapat dimengertikan.

“Sabar-sabarlah kamu berdua ni. Majlis tak habis lagi. Nak main-main mata malam karang. Masa tu, nak buat apa pun tak pe. Sekarang ni, masa nak sarung cincin.” Tiba-tiba suara usikan ibu saudara Tengku Zamran Hakim yang di panggil Mak Ngah menerjah gegendang telinga mereka berdua. Mematikan segala khayalan indah.

Cepat-cepat Tengku Zamran Hakim dan Emily mengalihkan pandangan. Muka Emily sudah bertukar warna.

Ahli keluarga yang berada disitu ketawa melihat aksi mereka berdua.

“Ha…Zam, sarung cincin tu.” Raja Muzairah menyampuk. Senyuman masih di bibirnya. Hatinya benar-benar gembira anaknya dan Emily sudah selamat disatukan. Dipandangnya anak dan menantunya yang masih menunduk. ‘Memang sepadan mereka berdua ni.’ Detiknya.

Juru kemera yang diupah juga sudah bersiap sedia merakamkan majlis tersebut.

Tengku Zamran Hakim menyarungkan perlahan cincin di jari manis Emily. Emily pula menyalami Tengku Zamran Hakim.

“Zam…cium dahi Emy.” Suruh satu suara lagi.

“Hah?” Tengku Zamran Hakim terkejut.

Tengku Syahmi yang turut berada di situ menepuk dahi. “Teruknya kau Zam. Takkan tak pernah tengok orang kahwin kot.” Tengku Syahmi seolah mengeluh.

Yang lain, mengangguk setuju.

Gulp. Emily telan liur. Tak mungkinlah.

Tengku Zamran Hakim tarik nafas. Perlahan-lahan didekatkan bibirnya ke dahi Emily. Sedikit-sedikit, dan akhirnya, sebuah kucupan terlekat di dahi Emily. Lama.

Mata Emily membuntang.

* * * * *

Malam itu, selepas majlis akad nikah mereka tamat, Emily duduk beramai-ramai dengan biras-birasnya. Ibu mertuanya turut berada di situ. Seperti mesyuarat kaum wanita pula lagak mereka. Daddy dan abang-abang Tengku Zamran Hakim masing-masing berada di dalam bilik. Saudara-mara semuanya sudah pulang memandangkan mereka tinggal agak berdekatan di antara satu sama lain. Bondanya tidak pulang malam tersebut atas permintaan Raja Muzairah untuk tidur semalam di Vila Astana.

Ketika ini, bondanya dan Tengku Zamran Hakim berbual di ruang yang agak jauh dari ‘mesyuarat kaum wanita’.

“Kebetulan kita berkumpul kat sini bolehlah kita cungkil rahsia dengan Emy ni. Kak Ana nak tahu jagak macam mana Emy boleh kenal dengan Zam.” Farhana isteri Tengku Syahmi bersuara ramah.

“Ye lah. Kak Ina pun tak sempat tanya Zam macam mana kamu berdua boleh kenal. Kak Ina tengok Zam tu macam tak minat dengan perempuan. Tup-tup mummy dok cerita pasal menantu bongsu dia. Ceritalah kat kami Emy. Mesti romantikkan?” Rozina mengenyitkan matanya nakal.

Farzana pula mengangguk setuju. Menyetujui pendapat kakak dan birasnya.

Emily tersenyum melihat gelagat biras-birasnya. Satu-persatu wajah mengharap di hadapannya di pandang. Mulanya, matanya tertumpah pada Rozina. Kecil molek orangnya. Kemudian matanya tertumpah pada Farhana dan Farzana. Wajah mereka agak sama. Menurut cerita Tengku Zamran Hakim, dua orang kakak iparnya adalah adik-beradik. Mungkin Farhana dan Farzana yang dimaksudkan lelaki itu.

Emily kembali teringat soalan birasnya. Apa nak jawab ye? Emily bermonolong sendiri. Resah dia mencari jawapan yang sesuai. Takkan nak cakap yang mereka bertemu dalam waktu yang tidak disangka-sangka. Dan pertemuan mereka dimulakan dengan pertelingkahan dan berakhir dengan sindir-menyindir.

“Kamu bertiga ni…tak payah lah tanya Emy. Adalahlah tu rahsia pertemuan diorang. Takkan semua Emy nak cerita.” Raja Muzairah menyelamatkan keresahan Emily.

Emily menghela nafas lega.

Biras-birasnya pula mengeluh hampa.

“Emy...”

Emily terasa Raja Muzairah menggengam tangannya. Dipandang ibu mertuanya itu. Mata Raja Muzairah pada ketika itu penuh mengharap.

“Ada apa, mummy?” tanya Emily lembut.

“Mummy harap sangat Emily dapat bahagiakan Zam. Mummy mahu perkahwinan kamu ni berkekalan sepanjang hayat. Kalau boleh, beri mummy cucu sebelum mummy tutup mata.” Pinta Raja Muzairah sayu.

“Err…” Emily terkebil-kebil. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Kalaulah wanita ini tahu hal yang sebenarnya….

“Janji dengan mummy, Emy. Janji dengan mummy yang Emy akan temankan Zam sepanjang hayat.” Pinta Raja Muzairah lagi.

Emily semakin buntu! Dia takut untuk berjanji. Perkahwinan ini hanya sementara! Bagaimana dia mahu berjanji jika segala yang berlaku adalah satu pembohongan!

“Janji dengan mummy, Emy.” Desak Raja Muzairah pula dengan linangan air mata.

Emily ketap bibir melihat air mata ibu mertuanya mengalir. Dia memang lemah melihat air mata wanita yang dianggap seperti bondanya itu mengalir.

Akhirnya…dengan satu keluhan Emily mengangguk.”Baiklah mummy.” Emily terpaksa berjanji walaupun belum tentu dia akan mengotakan janjinya itu.

“Sudah la tu mummy. Kesian Emy tu. Serba-salah dia jadinya. Faz yakin, Emily pasti akan bahagiakan Zam.” Farzana mencelah.

“Ye lah mummy. Ana pun setuju dengan pendapat Faz tu. Pasti Emy adalah yang paling terbaik buat Zam. Kalau tak, kenapa Zam pilih Emy.” Farhana menyetujui pendapat adiknya.

“Emy jangan pulak terkejut dengar permintaan mummy. Kami semua pun pernah kena macam ni dulu.” Kata Rozina sambil tersenyum lucu.

Raja Muzairah cubit pipi Rozina geram. Bertambah lebar senyuman Rozaina mengusik ibu mertuanya.

Emily tersenyum senang melihat telatah keluarga barunya itu. Perasaan serba-salahnya tadi cuba diusir.

Selepas itu, meraka semua rancak. Raja Muzairah menceritakan mengenai anak bongsunya pada Emily. Bermula dari apa yang Tengku Zamran Hakim suka, sehinggalah apa yang tidak disukai.

“Ha…lagi satu yang mummy nak bagitahu pasal Zam.”

Emily menanti kata-kata seterusnya dari ibu mertuanya itu.

“Kalau Emy nak tahu, Zam ni tak suka pergi hospital. Nak kata takut tak kena pulak, lebih kurang macam fobia la. Rasanya sejak dia berumur 2 tahun. Sejak Ayah Din dia masuk hospital sebab kemalangan teruk. Lepas tu, dia langsung tak mahu langsung jejak hospital. Klinik pun dia tak mahu pergi.” Cerita Raja Muzairah.

Emily berkerut. ‘Ada juga kes macam ni?’ Hati Emily berdetik.

Raja Muzairah tersenyum melihat wajah bingung Emily. “Tapi Emy jangan risaulah. Zam ni jarang kena demam. Tapi, kalau sekali kena demam, memang teruk jugaklah.”

Emily mengangguk.

“Emmm…, kamu semua sembanglah dulu. Mummy nak jenguk daddy kamu.” Raja Muzairah bangkit dan berlalu.

“Emy.” Rozaina memanggil Emily perlahan sebaik sahaja bayangan ibu mertua mereka hilang dari pandangan.

Emily mengalihkan pandangan kepada birasnya.

“Kak Ina nak pesan pada Emy ni.”

Emily memandang hairan wajah birasnya. “Pesan apa kak Ina?”

“Macam ni… mummy ada seorang lagi kakak.” Ujar Rozaina.

“Habis, yang datang tadi tu?”

“Yang datang tadi tu Mak Long, Mak Ngah, Mak Lang, 2 orang abang, dan mummy anak bongsu. Mummy ada 7 orang adik-beradik semuanya. Cuba Emy kira, semuanya baru 6 orang kan?” Farhana pula mencelah.

Emily mencongak sebentar, kemudian mengangguk. “Err…mana lagi seorang?” tanya Emily.

“Dia tak datang lagi.” Farzana menjawab.

Dahi Emily kembali berkerut. “Tak datang lagi?”

Biras-birasnya mengangguk serentak.

“Kenapa pula?”

“Kakak mummy yang tak datang lagi ni, kami panggil Mak Teh. Mak Teh ni…ish…susah Kak Ina nak cerita. Kak Ina bukan nak buruk-burukkan Mak Teh, tapi Kak Ina hanya mahu memberi peringatan pada Emy.” Rozina dilihatnya seperti serba salah.

Melihatkan wajah-wajah birasnya yang seperti membayangkan sesuatu yang gerun, Emily jadi bertambah bingung.

Rozina menarik nafas sebelum bercerita. “Kami tiga orang ni, semua dah pernah kena gulai habis-habis dengan Mak Teh. Nak putus telinga bila dia start hujahnya.” Rozina memandang biras-birasnya yang mengangguk menyetujui kata-katanya.

Kemudian Rozina menyambung, “Mak Teh ni, memang tak akan datang masa perkahwinan. Dia akan datang beberapa hari selepas perkahwinan dengan seluruh keluarganya. Masa tu, dia akan suruh semua pembantu dalam rumah ni pergi berehat di bilik. Lepas tu, kita ni lah yang kena buat semua kerja rumah. Mengemas, memasak, menghidang, semua kami kena buat. Maksud Kak Ina siapa jadi menantu baru mummy memang kena macam ni. Entah, peraturan mana yang dia ikut. Tapi, dengan menantu mummy je dia buat macam tu. Mungkin sebab, yang lain tu lebih tua darinya. Kami pula, jenis yang tak tahu buat kerja rumah. Nak menangis rasanya bila dia kata masakan yang kami buat teruklah, masinlah, lepas tu dia kata lagi yang kami ni tak layak jadi menantu keluarga ni sebab tak reti nak buat kerja rumah."

"Paling kami tak berkenan, dia suka sangat bandingkan kami dengan anak dan menantunya. Mummy pula tak berani membantah sebab Mak Teh tu kakak dia. Waktu dia datang pula, masa suami kami tak ada kat rumah. Tiada siapa boleh bela kami masa tu. Pandai betul Mak Teh cari masa yang sesuai. Datang hari kerja, memanglah tak ada orang. Masa suami kami balik, Mak Teh dah bergerak pulang ke rumah dia. Dia ni jenis yang balik hari. Tak pun, dia pergi rumah sedara lain tumpang. Sebab katanya, orang rumah ni menyakitkan matanya. Nak bernafas pun susah.” Panjang lebar Rozina bercerita.

Emily yang sedari tadi hanya mendengar bertanya, “Mak Teh duduk mana?”

“Dia duduk kawasan kampung. Tak silap, suami dia ketua kampung dekat kawasan dia tinggal tu.” Farhana memberitahu.

Emily mengangguk faham memdengar penerangan Farhana.

“Mak Teh tu dah ada cucu. Itu lah sebabnya dia pandang rendah pada kami, pada mummy.” Terang Farzana sayu. Teringat dia pada kandungannya yang tidak sempat dilahirkan.

“Sudahlah tu kak.” Emily yang menyedari situasi Farzana, mengusap perlahan bahu wanita itu.

“Itu je lah yang kami nak pesan pada Emy. Jaga-jaga!” Rozina menamatkan cerita mengenai ibu saudara mereka.

Emily meminta kebenaran untuk masuk ke bilik. Matanya sudah memberat.

Farhana meliarkan matanya pada jam dinding. “Emm…dah pukul 9.30 malam. Kesian Emy ni ha. Kita ganggu malam ‘penting’ dia pulak.” Farhana mengusik.

Emily yang belum sempat mengatur langkah terdengar kata-kata birasnya. Tanpa di sangka-sangka wajahnya bertukar warna. Tiba-tiba dia teringat majlis pembatalan air sembahyang petang tadi. Bartambah-tambah merah wajahnya.

Rozina pula mengenyitkan matanya nakal.

Emily hanya tersenyum sebelum melangkah ke bilik Tengku Zamran Hakim.

* * * * *

Emily masuk ke kamar Tengku Zamran Hakim dan terus berbaring di katil tanpa membuka tudungnya. Baru hendak melelapkan mata, tiba-tiba Tengku Zamran Hakim masuk.

Tengku Zamran Hakim melangkah ke sisi katil.

“Kalau awak tidur di sini, saya nak tidur mana?” Tengku Zamran Hakim tidak berpuas hati.

Tanpa bangkit dari pembaringannya, Emily berkata, “Tidur la dekat karpet ni ke, tak pun atas sofa tu.” Emily mengunjukkan pada karpet di lantai dan sofa satu ‘seat’ di penjuru dinding.

Berkerut-kerut dahi Tengku Zamran Hakim mendengar cadangan Emily. Takkan nak tidur di atas karpet tanpa alas? dingin! Kemudian matanya beralih ke sofa yang mempunyai satu tempat duduk. Kalau dia tidur di situ untuk beberapa bulan, alamatnya patahlah pinggang. Tengku Zamran Hakim memikir sendiri.

Akhirnya, dengan riak selamba, dia melabuhkan badannya di sebelah Emily.

Emily yang mahu melelapkan mata, terus menukar pembaringannya kepada duduk. Hilang mengantuk apabila terasa ada badan yang berbaring di sebelahnya.

Emily mencerun pada Tengku Zamran Hakim yang sedang berbaring sambil mata tertutup. “Awak ni kenapa?”

“Kenapa apa?” tanya Tengku Zamran Hakim seolah-olah tidak mengerti apa yang dimaksudkan Emily.

Emily ketap bibir geram. “Apasal pulak awak tidur atas katil ni? Katil ni tempat saya.”

“Bila masa pulak katil saya jadi tempat awak?” Tengku Zamran Hakim turut bangun dari pembaringan.

“Awak jangan nak cari pasal dengan saya. Awak tidurlah atas karpet tu. Kan tadi saya dah suruh.” Emily mendengus marah.

“Kalau nak dibandingkan karpet dengan katil, saya rasa katil lebih selesa. Jadi, saya nak tidur atas katil ni. Kalau awak tak mahu tidur atas katil, awak tidurlah atas sofa tu.”

“Memanglah saya nak tidur atas katil. Tapi bukan tidur sekatil dengan awak.” Emily membalas geram.

“Terpulang pada awak nak buat pilihan.”

Kesudahannya, kedua-dua mereka bersenkang mata pada malam tersebut. Jika pasangan pengantin lain, pasti sedang melalui malam pertama yang indah di tempat peraduan. Mereka berdua pula…. tidak habis-habis berbalah kata di atas katil. Masing-masing tidak mahu mengalah.

1 comment: