Tuesday, January 27, 2009

Hati yang Terluka 24


15 tahun yang lalu....

Bas mula bergerak meninggalkan kawasan sekolah. Riuh isi di dalamnya dengan suara pelajar perempuan tahun 4 Anggerik. Masing-masing bagai tidak sabar menanti untuk tiba ke destinasi mereka.

"Emy, duduklah elok sikit. Tak elok terkangkang macam tu." tegur Emilia pada adiknya yang sedang membaca komik.

"Best apa macam ni. Selesa." Emily menyelak helaian yang lain. Langsung tidak ambil peduli dengan teguran kembarnya.

"Buang masa je kau tegur budak tu. Tak makan saman langsung. Kecuali kalau kau pakai senjata bonda." Juita mencelah di antara mereka. Tahu sangat perangai Emily.

Emilia merengus. "Aku tak kira, dia mesti ikut jugak cara aku. Kitakan nak masuk kampung. Jadi, mestilah kena jaga adab."

"Emy...tengoklah akak ajar ni. Duduk tu rapatkan paha. Bukan ternganga macam tu." sambung Emilia, masih tidak mahu mengalah.

Emily memandang Emilia yang sedang duduk tersipu-sipu. Mental betul kakak aku nih! "Dah macam duyung tersepit je Emy tengok."

Cepat sahaja tangan Emilia menampar lengan Emily. "Menyampah tau Emy ni. Orang ajar dia, dia kata macam tu pulak."

"Jue...kau tengok la Emy ni. Ada ke patut dia cakap aku duduk macam duyung tersepit? Tak patut betul!" adu Emilia.

Juita ketawa kecil. "Aku tak mahu masuk campur."

Matanya memerhati Emily yang menyambung semula bacaannya. Dengan rambut pendek yang tersarung cap, t-shirt, serta seluar jeans, Emily benar-benar nampak lain dari mereka. Nasib baik mereka memang bersekolah di sekolah budak perempuan, kalau tak, mungkin ada yang meragui jantinanya.

"Tengoklah nanti. Akak adu pada bonda. Baru padan dengan muka Emy." Emilia sudah mula mengugut. Satu-satunya perangai Emilia yang sukar dibuang. Segala kehendaknya wajib dituruti.

"Mengada betul mak nenek sorang ni. Sikit-sikit nak mengadu." Emily merungut. Hanya itulah senjata kakak kembarnya jika menemui jalan buntu ketika bercanggah pendapat dengannya. Adu pada bonda! Bonda pulak, pasti berpihak pada Kak Lia. Sekepala!

"Emy panggil akak apa? Mak nenek?" Emilia menjegilkan matanya.

Emily buat tidak faham dengan jegilan tersebut. Buku komiknya ditutup dan disimpan di dalam beg galasnya. Kemudian membawa keluar pula komik yang lain.

"Emy!" Emilia meninggikan suara. Geram melihat Emily yang tidak menghiraukannya.

"Apa? Belum habis lagi ke? Eii...akak ni tolonglah. Sampai bila akak nak membebel? Bagilah telinga Emy rehat kejap. Boringlah!" Emily mendengus kasar. Tiba-tiba timbul pula rasa geram pada kakaknya itu. Selagi arahannya tidak dituruti, mulutnya tidak akan berhenti berkicau.

Emilia sudah terdiam. Sedikit terasa dengan kata-kata Emily.

"Akak sedar akak ni siapa. Tak layak ajar Emy. Aku ni membosankan." Emilia sudah mula mengalirkan air matanya.

Emily menepuk dahi. Adoi la...Macam mana lah bonda boleh turunkan ilmu dia pada mak nenek ni?

Keluhan dilepas perlahan. "Yelah...yelah...orang nak ikut la ni." Emily mengalah akhirnya.

"Betul?"

"Betullah. Ha, hingus tu lap. Menangis macam budak tak cukup bulan." Buku komik dihempas kasar pada begnya. Walau rasa tidak puas hati itu terbit, dia tetap menurut.

Juita menggeleng melihat dua beradik itu. Dari tadi dia hanya memerhati. Tahu sangat akan penghujung 'drama' tersebut. Sungguhpun Emilia dan Emily sering bercanggah pendapat, hubungan akrab yang terjalin tidak dapat dinafikan. Gaduh manja-manja. Lagipun, Emily pasti mengalah setiap kali bertelagah kerana Emily pantang melihat orang yang disayanginya mengalirkan air mata kerananya. Itulah sebabnya Emily selalu kalah apabila berhadapan dengan Puan Zharifah kerana bondanya itu murah sekali dengan air mata. Sekarang ilmu tersebut diturunkan pula pada Emilia. Nasib kaulah Emy...


* * * * *

Setelah lebih 4 jam berada di dalam bas, mereka tiba juga ke Kampung Tok Penghulu.

“Aaahh…” mulut Emily ternganga luas, menguap. Tangannya pula menggeliat bebas.

“Tak senonoh betul! Menguap tu lain kali tutup mulut.” Emilia masih belum berhenti. Sentiasa memerhati segala perlakuan Emily.

Emily tersengih nakal. “Baik, mak nenek.”

Emilia hanya membalas usikan Emily dengan jelingan.

“Jom turun.” Ajak Juita. Pandangannya di hala pada luar melalui tingkap bas. Ada rintik-rintik hujan.

Emily dan Emilia hanya menurut.

“Wah…bestnya angin bertiup.” Ujar Juita apabila kakinya menjejak tanah.

“Tahu tak pe. Dari sini aku boleh dengar ombak la. Emy dengar tak?” Emilia memandang Emily.

Emily jungkit bahu. Tidak berminat untuk turut serta. Jakunnya la budak dua orang tu. Sekarang dia cuma mahu mencari bantal untuk merehatkan mata. Letih semalam pun tidak hilang lagi kemudian ditambah pula dengan perjalanan yang jauh benar-benar membuatkan dia hilang tenaga.

“Boleh dia buat dek je orang tanya?” Emilia merungut sendiri namun sempat ditangkap Juita. Mereka bertiga berjalan masuk ke dalam surau.

“Penat sebab kem yang 4 hari tu la kot. Sudahlah dia baru balik semalam, kau pulak pergi paksa dia ikut program anak angkat ni. Mahu tak layu Emy tu.” Rasa macam budak U pulak bila sekolah buat program anak angkat ni. Sebab itulah dia dan Emilia teruja untuk ikut serta.

Emilia tersengih mendengar kata-kata Juita. Dia bukan sengaja mahu mendera Emily, tapi entah mengapa, dia seperti sukar bernafas kalau Emily jauh dari pandangannya. Kalau Emily terpaksa mengikuti kem-kem anjuran sekolah pun dia terpaksa memendam rasa. Mujur bonda ada. Kali ini, dia terpaksa mendesak Emily mengikutnya kerana dia benar-benar mahu merasai suasana kampung. Mungkin pada Emily masuk kampung perkara biasa. Emily sudah lali malah hutan belantara pun pernah diredahnya kerana antara mereka bertiga, Emily paling aktif dan lincah.

“Anak-anak…kamu semua di minta menunggu di surau ini dahulu sebelum diasingkan ke rumah keluarga angkat masing-masing.” Puan Hamidah, guru pembimbing memberi arahan.

Emily sudah menyandar pada dinding surau. Matanya dipejam rapat.

Emilia dan Juita menggeleng melihat tingkah Emily. Penat sangat la tu.

“Jue…tak sabar pulak rasa nak jelajah kampung ni!” Emilia masih belum puas memberi rasa.

“Samalah. Agaknya siapalah yang jadi keluarga angkat kita ya?”

“Memang padan pun korang teruja sangat masuk kampung, maklumlah korangkan memang kekampungan.” Tiba-tiba kedengaran satu suara yang cukup menjengkelkan di telinga mereka.

“Kau sibuk apasal? Suka hati kitoranglah.” Bidas Juita. Alergik sungguh dia pada Nadiana yang sedari dahulu tidak pernah berpuas hati pada mereka, lebih-lebih lagi pada Emily.

“Eh betul apa? Korang kan, memang ketinggalan zaman. Tak sesuai KL dengan korang. Macam manalah korang boleh sesat dudul kat KL? Menyemakkan pandangan je. Tambah-tambah si tomboy tak sedar diri tu. Tak reti berfesyen langsung.” Nadiana mula menyerang musuh sebenarnya.

Emilia memandang Emily yang tidak menunjukkan sebarang respons. Emy…Emy… selagi dia mampu bersabar, selagi itulah dia bersabar.

“Dah mampus ke tomboy tu?” celupar Nadiana.

“Nad! Mulut tu jaga sikit.” Emilia hilang sabar. Dijelingnya Emily. Reaksi adiknya itu tetap sama.

Nadiana tersenyum sinis. “Apasal pulak kau terasa? Aku cakap dekat tomboy tu. Bukan dengan kau. Oh, lupa pulak aku yang kau dengan tomboy tu kembar. Dua-dua tak de bapak. Entah-entah korang berdua ni anak har…”

“Pang!” satu tamparan tepat mengenai pipi Nadiana. Tangan Emilia sudah menggigil. Macam mana boleh tertampar puteri sekolah ni? Mati aku!

“Kurang ajar!” Suara Nadiana melengking. Tangannya diangkat tinggi, mahu membalas tamparan Emilia.

Emilia sudah menikus. Memejam mata rapat-rapat. Lama dia menunggu, namun langsung tiada tanda-tanda pipinya menjadi mangsa tamparan Nadiana. Matanya dibuka perlahan-lahan. Kelihatan tangan Nadiana sudah dipulas seseorang. Emy! Raut wajah Nadiana pula sudah berkerut-kerut menahan sakit.

“Kalau aku nampak kau sentuh kakak aku walau seinci pun, aku takkan lepaskan kau.” Emily mengugut. Minah ni tak boleh tengok orang senang langsung! Tangan Nadiana dilepas kasar.

Nadiana mendengus tidak puas hati.

“Perhatian semua…” suara Puan Hamidah yang menggunakan pembesar suara membantutkan perkelahian mereka. Semua mata sudah memfokus tepat pada Puan Hamidah.

“Anda semua akan diagihkan kepada keluarga angkat masing-masing. Dua pelajar satu keluarga angkat. Bila saya sebutkan nama, tolong ke depan dan dapatkan keluarga angkat anda masing-masing. Kita mulakan dengan…Zila dan Atilla. Anda berdua ikut Pak Ndak Awang.”

Dua orang pelajar sudah membuntuti keluarga angkat mereka.

“Kemudian…Linda dan Naima. Sila ikut bapa angkat anda, Pak Mail.” Sambung Puan Hamidah lagi.

“Nad…awak berpasangan dengan Emilia. Keluarga Pak Cik Kahar dan Mak Cik Nafisah akan jadi keluarga angkat kamu berdua.”

Emilia terkedu. Biar benar! Tak sanggup dia berpasangan dengan Nadiana.

Nadiana pula tersenyum senang. Senang untuk membalas dendam pada Emilia nanti.

“Seterusnya…Emy dan Juita, boleh ikut Pak Zali ke rumahnya.” Puan Hamidah bersuara lagi.

“Yeay…aku dengan kau la Emy.” Juita bertepuk tangan.

Emily menggeleng kecil melihat aksi keanakan Juita. Pandangannya jatuh pada kakaknya pula. Mendung benar wajah itu. Jauh berbeza jika dibandingkan ketika mereka mula-mula sampai tadi.

Emilia ketap bibir kuat. Sebak menyerang. Dia rasa seperti mahu menangis. Nak menjerit pun ada.

“Emy…akak tak mahu duduk serumah dengan Nad tu.” keluar juga suaranya. Air matanya sudah mengalir lesu. Jemari Emily digenggam erat.

Emily mengeluh. Menangis je kerja budak ni. Cubalah cari ikhtiar sikit.

“Tunggu sini kejap.” Emily bangun dari duduknya dan menghampiri Puan Hamidah.

Emilia hanya memandang adiknya yang menghampiri guru pembimbing itu. Dapat dilihat Puan Hamidah yang memandangnya sekilas kemudian berkata sesuatu pada Pak Zali. Pak Zali pula mengangguk-angguk kecil.

“Emilia, mari sini.” gamit Puan Hamidah padanya.

Cepat sahaja dia bangun dan menghampiri guru itu. Juita turut mengikut jejaknya.

“Maafkan cikgu ye Emilia. Macam mana lah saya boleh lupa kamu ni kembar dengan Emy?” Puan Hamidah mengeluh kecil seakan kesal dengan kesilapan diri.

“Takpelah, oleh sebab Emy dah minta dan Pak Zali pun dah setuju, kamu boleh ikut Pak Zali ke rumahnya.” Sambung Puan Hamidah sambil tersenyum.

“Jadi, saya berpasangan dengan adik saya?” Emilia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Tubuh Emily dipeluk. Tak terucap leganya. Sungguh, adiknya itulah sumber kekuatannya selama ini.

Puan Hamidah mengangguk.

“Habis, saya?” Juita mengambil alih situasi Emilia tadi. Tak mahulah aku berpasangan dengan Si Nad tu. Ya Allah…bantulah hambamu ini.

“Kamu…” Puan Hamidah melambatkan kata. Sengaja.

“Cikgu…janganlah letak saya dengan Si Nad tu. Tak mahulah saya.” Juita tunjuk muka menggerunkan.

“Emy…tolonglah. Jangan buang aku. Aku nak tinggal sekali dengan kau, dengan Lia.” Suara Juita sebak. Lengan Emily digoncang perlahan.

“Kau dengar dulu apa cikgu nak cakap.” Emily tersenyum kecil melihat telatah Juita.

“Entahnya kamu ni Jue. Dengarlah cikgu cakap habis dulu. Alergik betul kamu dengan Nad ye? Sebenarnya, tadi Emy dan minta nak tinggal bertiga dengan kamu dan Emilia di rumah Pak Zali. Pak Zali terima cadangan Emy tu. Jadi…”

“Hooray!” Juita sudah bersorak. Memintas kata-kata Puan Hamidah. Tubuh Emily dipaut erat. Mereka bertiga sudah melekat.

Puan Hamidah menggeleng kecil. Macam kembar tiga pulak!

“Macam ni baru best nak jelajah Kampung Tok Penghulu!” teruja Emilia.

“Betul cakap kau.” Juita mengangguk, setuju.

“Hoi, lemas aku macam ni. Lepaslah wei.” Emily terjerit kecil. Juita dan kakaknya belum melepaskan pautan mereka. Semput dibuatnya.

Juita dan Emilia ketawa sepuas mungkin. Membiarkan Puan Hamidah memanggil para pelajar seterusnya. Apa yang terbayang di minda mereka kini ialah keseronokan meneroka pelusuk kampung.

* * * * *

“Dah sampai pun anak-anak ibu ni.” Seorang wanita awal 30-an menyambut mereka bertiga dengan senyuman dari anak tangga rumah kayu itu.

Emilia dan Juita menyalami wanita itu. Emily pula termenung sendiri. Bantal…hanya itu sahaja yang bermain difikirannya saat itu.

“Emy.” Emilia mencuit Emily sedikit. Menegur.

Emily tersengih. Sedar kesilapan diri. Tangannya dihulur pada wanita tadi.

“Anak-anak…ini isteri ayah, Salmah.” Terang Pak Zali.

Harap-harap dengan kedatangan mereka bertiga ini, dapatlah mengurangkan kesunyian isterinya yang sudah lama inginkan anak walaupun untuk seketika.

“Maaf, mak cik…maaflah kalau kedatangan kami ni nanti menyusahkan pulak.” Emilia berbahasa.

“Ada pulak kata macam tu. Ibu dah lama tunggu kedatangan anak angkat ibu ni sejak penghulu kata ada rombongan sekolah. Lagi satu, jangan panggil ibu mak cik, panggil ibu ye.” Salmah mengharap.

“Baik, ibu.” Emilia dan Juita mengangguk. Emily hanya menjungkit bahu. Tak kisah.

“Baguslah kalau begitu. Mah, saya pergi dulu. Bawaklah anak-anak masuk.” Pak Zali melangkah meninggalkan rumahnya.

Juita memandang langkah yang diayun Pak Zali. “Pak Zali nak pergi mana tu, ibu?”

“Kampung sebelah. Ada hal sikit. Mari masuk, nak. Ibu dah masak untuk semua.” Ujar Salmah, tersenyum hambar. Sebal memikirkan suaminya.

Emily tersenyum sinis. Melihat raut wajah ibu angkatnya, dia dapat mengagak sesuatu. Lelaki, biasalah.

* * * * *

“Kau dah siap ke belum?” soal Juita pada Emily.

“Dah.”

“Kakak kau mana?”

“Dalam bilik air.” Emily membetulkan telekungnya.

“Lambatnya minah yang seorang tu. Tak pasal-pasal kita lambat nak sembahyang nanti. Puan Hamidah mesti menyinga.” Aktiviti mereka pada malam itu adalah sembahyang berjemaah di surau. Wajib!

“Aaaahh…” satu jeritan mengejutkan seisi rumah kayu itu.

Emily dan Juita berpandangan. Kemudian masing-masing berkejar ke tandas. Apabila mereka tiba ke tandas, kelihatan kelibat Emilia yang pucat tak berdarah.

“Ta…tadi...a…ada…kat…katak…” tersekat-sekat suara Emilia.

“Apa? Katak? Mana? Mana?” Juita sudah terloncat-loncat.

Emily menepuk dahi. Adoi la…Tadi beriya-iya berkejar ke sini. Jue…Jue… matanya terarah pada seekor katak di tepi kolah. Tenang sahaja katak itu diambil dan dibuang keluar rumah.

“Ada apa ni?” Salmah yang sudah siap bertelekung baru sahaja tiba di ruangan yang berlaku kekecohan tadi..

“Ada katak, bu.” Adu Emilia.

Salmah menggeleng sambil tersenyum kecil. Kalau nama pun budak bandar…. “Katak datang sebab hujan petang tadi la tu. Mana katak tu?”

“Emy dah buang.” Juita mengunjuk ke luar rumah.

Pandangan Salmah jatuh pada Emily. Anak gadis yang seorang itu, memang lincah dan lain sikit dari Emilia dan Juita.

“Semua dah siap ke? Kalau dah siap, kita berangkat ke surau.”

“Dah. Lia ni je tak pakai telekung lagi. Cepat Lia, pergi pakai telekung.”

Mencicit Emilia berlari ke bilik.

“Semua pergi dulu. Emy nak masuk tandas. Perut ni meragam pulak.” Emily menghilang ke bilik air.

“Kalau Puan Hamidah marah, kau tanggung sendiri ek, Emy.” laung Juita dari luar.

“Tak de hal lah.” pekik Emily kembali.

“Tak pe ke kalau Ibu biar Emy pergi sendiri?” Salmah pula melaung.

“Tak pe…tak pe…”

“Kalau macam tu, Ibu tinggal kunci.”

“Okey!”

* * * * *

Emily kelam-kabut. Habislah aku…Langkahnya dibuka seluas yang boleh. Masa-masa macam ni pulak perut meragam. Mana tak lambat. Setiap langkahnya pula agak terganggu kerana dia terpaksa berhati-hati dari lopak yang terdapat di merata-rata jalan.

Dalam sedang mengatur langkah berhati-hati itu, tiba-tiba dua buah basikal bergerak laju menyainginya dan tayar basikal terus menghampiri lopak air. Zssshh…percikan lopak tepat mengenai telekung putihnya.

“Tak guna!” dengus Emily. Bukan main berhati-hati aku jalan nak elak lopak air, sedap-sedap je dihadiahkan aku lopak air ni. Rungutnya sendiri.

Terhenti agak jauh dua basikal tersebut. Penunggangnya memandang Emily pelik sebelum menghamburkan tawa mereka.

Emily menggenggam buku limanya. Boleh diorang mengekek macam tu? Kurang ajar betul! “Jaga korang.” Emily sudah mengatur langkah mendekati mereka berdua.

“Wei Zam, jom blah. Budak tu mengamuk la.” suara perlahan yang seakan berbisik dapat didengar Emily.

“A’ahlah. Er…sorry. Tak sengaja.” Laung budak lelaki yang seorang lagi sambil memandang sekilas Emily sebelum memecut laju basikalnya.

“Hoi!” Emily memekik. Bertambah membara marahnya memandang kelibat dua orang budak lelaki yang sudah melarikan diri. Telinganya sempat menangkap tawa yang masih bersisa dari mereka. Betul-betul kurang ajar! Matanya memandang telekungnya yang sudah diselaputi lopak air. Macam mana aku nak ke surau dengan telekung macam ni? Surau? Alamak, Puan Hamidah pasti tengah menunggu! Masak aku!

No comments:

Post a Comment