Monday, May 18, 2009

Hati yang Terluka 38


“Selamat tengah hari, Tuan.” Halina menyapa Tengku Zamran Hakim yang tersenyum sejak dia melangkah masuk ke bilik ketuanya itu.

“Selamat tengah hari.”

“Puan Emy dan keluar hospital?”

“Dah. Kelmarin.”

“Oh…patutlah berseri-seri sejak masuk pejabat pagi tadi. Senyum pun dah tak boleh nak contol dah. Kalaulah Kak Ina boleh ambil gambar kamu yang sebelum ni dengan hari ni, siap boleh buat sebelum dan selepas lagi. Sebulan ni, Kak Ina nak tegur pun takut.”

“Saya macam tu ke Kak Ina?” Tengku Zamran Hakim memanggung kepalanya.

“Iyelah. Satu pejabat kecut.” Halina tayang muka gerun.

Tengku Zamran Hakim tergelak. “Hmm…fail tu untuk saya ke?” tanyanya selepas itu apabila terpandang fail di tangan setiausahanya itu.

“Ha? A’ah. Ye la. Lupa pulak nak bagi.” Halina menghulur fail yang dipegangnya. “Kak Ina keluar dula ya, bos.”

Tengku Zamran Hakim mengangguk. Hanya memerhati pintunya yang ditutup. Senyuman kembali terbit di bibirnya. Hatinya benar-benar lapang apabila mengenang Emily yang sudah kembali ke sisinya. Buat sementara ini, Emily bercuti dari menyibukkan diri di pejabat.

Cuma perangai Emily sejak malam mereka menghantar Syiqa dan Naufal agak berlainan. Langsung tidak berminat mengenai majlis sanding yang diperkatakannya.

Bunyi dari telefon bimbitnya yang tiba-tiba menyentak lamunannya.

“Zam! Kak Ina ni. Akak ada depan rumah kamu sekarang. Mummy suruh akak jenguk Emy. Emy tak kerjakan?” Bagai peluru Rozina memulakan bicara.

“Tak. Kenapa Kak Ina?” Tadi Kak Ina sekarang pun Kak Ina. Mujur dia masih mampu membezakan.

“Akak tekan loceng tak ada orang buka pun.”

“Akak dah cuba panggil?”

“Dah nak terkeluar anak tekak akak terlolong tadi. Nasib baik tak ada orang tengok. Kalau tak, mesti akak dah kena hantar pergi rumah sakit jiwa.” Selorohnya.

“Biar betul kak.” Nadanya berubah risau. Tadi, tak ada pula Emily pesan kepadanya mahu keluar.

“Apa yang tak betulnya pulak. Akak call handset Emy pun tak dapat.”

Tengku Zamran Hakim terdiam seketika. Lama dia memikir. Tiba-tiba dia teringat perangai Emily yang berubah. Kalau perangai isterinya itu berubah mendadak, satu sahaja puncanya.

“Saya rasa saya tahu Emy di mana.” Ujarnya selepas itu.

“Kalau macam tu Kak Ina balik dulu. Lepas kamu jumpa Emy, beritahu akak.”

Selepas mematikan talian, Tengku Zamran Hakim tergesa-gesa keluar dari bilik pejabatnya.

“Kak Ina, saya nak keluar. Kalau ada apa-apa pesanan untuk saya nanti, akak call terus handphone saya.” Sempat dia berpesan pada Halina sebelum keluar mendapatkan keretanya.

Keretanya dipecut selaju mungkin ke rumah mertuanya. Nalurinya kuat mengatakan Emily ke rumah bonda. Dalam keadaan sekarang, tidak mungkin Emily boleh pergi jauh dari itu. Terfikir-fikir dia apa agaknya yang membuatkan Emily merajuk dengannya.

Keretanya laju sahaja masuk ke perkarangan rumah apabila pagar dibuka dari dalam.

“Syukurlah kamu datang Zam.” sapa Puan Zharifah apabila kelihatan kelibat Tengku Zamran Hakim yang keluar dari keretanya.

“Ya lah. Elok benar kamu datang.” Ujar Tengku Tajuddin pula. Sejak dia bersatu semula dengan keluarganya, dia sudah mengambil keputusan untuk menetap di rumah isterinya.

“Bonda dengan ayah sihat?”

“Alhamdulillah, sihat.”

“Maaf bonda, ayah kalau saya ganggu. Tapi saya cari Emy. Emy ada datang ke sini kan?”

Puan Zharifah mengangguk. “Ada di bilik dia. Bonda bukan nak masuk campur, tapi bila sampai lari dari rumah macam ni bonda pun naik risau. Kalau boleh bonda tahu, kamu berdua bergaduh?”

“Tak ada pulak bonda.” Sejak kejadia sebulan yang lalu, dia cukup serik untuk bertengkar dengan Emily. Tambah sejak Emily mengandung, makin sensitif pula isterinya itu.

“Terkejut bonda bila Emy sampai pagi tadi. Yang bonda pelik, Emy bawak beg besar. Bila ditanya, dia tak nak jawab.”

“Bawa beg besar?!” Terkejut Tengku Zamran Hakim. Sah Emily merajuk dengannya.

“Itulah bonda pelik. Dia pesan pada bonda jangan beritahu kamu. Jadi bonda pun tak telefon kamu. Lagipun bonda tahu kamu pasti datang jugak nanti. Tak tahulah sebab apa tiba-tiba dia jadi macam tu.”

“Dia merajuk dengan saya.”

“Merajuk?”

“Selalunya kalau perangai Emy macam ni, maknanya dia merajuk dengan saya. Tapi sebelum ni tak adalah sampai keluar rumah.”

“Kamu tahu Zam, selama bonda jaga dia dari kecil sampai dia besar tak pernah dia merajuk. Tapi dengan kamu bonda tengok ada je benda yang dia nak rajukkan.” Dia perasan mengenai hal itu sejak Emily berada di hospital tempoh hari. Kadang-kadang kasihan melihat menantunya itu.

Tengku Zamran Hakim tersenyum. “Kalau sehari tak pujuk isteri saya tu, macam tak lengkap pulak hidup saya.”

“Sajalah tu nak bermanja dengan Zam.” Tengku Tajuddin yang berdiam diri sejak tadi mencelah.

“Zam pergi jumpa Emy dululah.”

“Pergilah. Ada dekat atas tu. Berkurung dari pagi tadi tak turun-turun. Ajak Emy makan sekali. Kesian anak dalam perut tu.”

“Emy tak makan lagi dari pagi tadi?” nada Tengku Zamran Hakim berubah mendengarkan itu.

“Bonda ajak, tapi katanya tak lapar. Merajuk betul la tu.”

“Kunci pendua ada tak bonda?”

“Nak buat apa?”

“Mesti Emy kunci bilik dari dalam.”

“Betul jugak. Bonda pun tak cuba buka pintu bilik dia tadi. Ketuk dari luar je. Sekejap ya, bonda pergi ambil.” Puan Zahrifah berlalu dan kembali bersama segugus kunci.

Selepas mendapat kunci pendua, Tengku Zamran Hakim terus ke tingkat atas, ke bilik Emily. Seperti jangkaannya, pintu berkunci. Pintu dibuka perlahan-lahan. Matanya menangkap satu tubuh yang sedang terbaring lesu di katil.

Katil dihampiri. Emily sedang tidur. Dia terperasan air mata yang masih bersisa di tepi mata Emily. Dikesat perlahan. Apa agaknya kesalahan dia kali ini sehingga Emily menangis begitu?

Emily yang terasa sentuhan pada wajahnya, terjaga dari lenanya. Perlahan-lahan dibuka kelopak mata. Dia kaget melihat wajah yang sedang menatapnya sayu.

“Tolong jangan tinggalkan abang macam dulu lagi.” pinta Tengku Zamran Hakim lirih.

Mendengarkan itu, air mata Emily laju menitis.

“Kenapa ni sayang?” Tengku Zamran Hakim mengelus lembut pipi Emily.

Emily tidak menjawab. Dikesat air matanya.

“Abang buat salah lagi?”

Emily menggeleng dan perlahan bangkit dari pembaringannya.

“Abang tahu sayang merajuk. Dan kalau sayang merajuk pasti ada yang merunsingkan sayang. Cerita dengan abang apa yang sayang risaukan. Abang dah janji kalau sayang sedih, abang lagi sedih. Kalau sayang runsing abang pun runsing sama. Kita dah janji nak hadapinya sama-sama.”

Air mata Emily kembali menitis. Dia benar-benar bertuah dihadiahi lelaki seperti Tengku Zamran Hakim. Rasanya Tengku Zamran Hakim patut tahu apa yang terjadi. Nafasnya ditarik supaya teratur.

“Mastura datang jumpa Emy di hospital hari tu.” Dia menceritakan segala yang berlaku di hospital ketika kedatangan Mastura. Satu pun tidak tercicir.

“Ya Allah…kenapa tak beritahu abang langsung?” Tengku Zamran Hakim terasa darahnya mendidih mendengar cerita Emily. Mastura benar-benar suda melampau.

“Jadi, sayang ingat abang nak bersanding dengan dia?” sambung Tengku Zamran Hakim, sudah mula dapat menangkap perkara yang membuatkan isterinya itu merajuk.

Emily dia tidak menjawab. “Dah abang yang cakap nak bersanding.”

“Memanglah abang nak bersanding, tapi abang nak bersanding dengan sayang. Bukan dengan dia.”

Emily membulatkan matanya. “Hisy, merepek je abang ni. Kita dah lebih setengah tahun kahwin. Apa orang cakap nanti. Emy pun dah…” Emily membiarkan ayatnya tergantung namun matanya memandang pada perut yang belum kelihatan.

“Baguslah tu. Bersanding tiga orang. Lagipun kata mummy, ramai yang tak tahu kita dah kahwin. Mummy tuntut janji majlis kesyukuran yang abang janji dengan dia masa mula-mula kita nak kahwin dulu. Dia suruh tukar jadi majlis bersanding.” Teringat pilihan yang dibuat dengan mummy dahulu. Punyalah nak kahwin cowboy sampai mummy terpaksa mengugut kenduri kahwin tujuh hari tujuh malam atau kenduri kesyukuran. Sekarang ni, buat kenduri apa pun tak kisah.

“Abang setuju dengan cadangan mummy?”

“Apa salahnya sayang. Abang nak jadikan detik tu sebagai kenangan terindah dalam hidup kita. Biar semua orang tahu Emily Natasha ni dah jadi milik abang. Nanti jadi salah faham macam dulu.” Tengku Zamran Hakim sudah lama tidak bertemu Doktor Fauzi. Dia yakin hingga kini sahabat yang seorang itu belum tahu statusnya.

Emily menyandar pada bahu Tengku Zamran Hakim. Hatinya sudah lega. “Abang…”

“Hmm?”

“Janji dengan Emy….”

“Janji apa?”

“Janji jangan tinggalkan Emy. Masa Emy bersalin nanti, Emy nak abang ada di sisi Emy. Apa pun yang terjadi Emy nak abang ada dengan Emy. Kalau tak, Emy tak tahu macam mana keadaan Emy nanti. Janji ya?” Sungguh, perkara yang dia amat takutkan sekarang jika Tengku Zamran Hakim jauh darinya. Dia benar-benar takut.

Tengku Zamran Hakim terdiam. Tidak tahu kenapa, dia terasa berat untuk berjanji.

“Abang?” Panggil Emily bila tiada jawapan dari suaminya itu.

Tengku Zamran Hakim memandang Emily sebelum mengangguk perlahan. Walau dirinya dalam keadaan apa sekalipun pada waktu itu, dia akan cuba untuk menemani Emily.

“Emy peliklah. Macam mana abang tahu Emy balik rumah bonda?” Tak silapnya dia sudah pesan pada bondanya jangan beritahu pada Tengku Zamran Hakim kedatangannya dan dia yakin bonda pasti pegang akan janjinya.

“Abangkan ada enam deria.” Balasnya.

“Ya la tu.” Emily mecebik.

“Betul, salah satunya abang tahu sayang dah buat satu kesalahan yang sangat besar.”

Emily mengangkat kepala. Menunggu bicara dari suaminya.

“Sayang tak makan lagi kan?” Nada Tengku Zamran Hakam bertukar tegas apabila teringat pesanan bonda yang menyuruhnya mengajak Emily turun makan.

“Err…” Emily terkebil-kebil. Dia teragak-agak untuk mengiakan. Dia kenal suaminya itu. Tengku Zamran Hakim cukup pantang kalau dia melambatkan menjamah makanan.

“Nak suruh abang pesan berapa kali? Kalau merajuk sekalipun, jangan sampai tak makan. Ini dah tengah hari, nak masuk petang dah pun.” Tengku Zamran Hakim mula mahu bersyarah walau dia pasti ia takkan lama.

Emily sudah menunduk. Tidak berani memandang Tengku Zamran Hakim. Dia terasa mahu menangis.

Tengku Zamran Hakim mengeluh.

“Kenapa buat macam ni? Sayang tak kesian kat abang ke?” suaranya kembali kendur apabila melihat tubir mata Emily yang bertakung. Hanya tinggal beberapa saat sahaja untuk jatuh ke pipi.

“Emy minta maaf.” Seperti yang diduga, air matanya mengalir perlahan.

“La…kenapa menangis ni?” sengaja Tengku Zamran Hakim bertanya walaupun dia sudah maklum akan Emily yang begitu sensitif dengannya. Bila difikir balik, Emily sekarang dengan budak tomboy yang dikenali dulu memang terlalu jauh berbeza.

“Sebab abang marah Emy.”

“Abang tak marah.”

“Tadi tu…”

“Itu tanggungjawab abang."

“Abang dah maafkan Emy?”

“Belum, sampai abang tengok sendiri sayang makan.” Tegasnya lagi.

Emily memuncung. Selera makannya makin berkurang sejak berbadan dua.

“Kenapa buat muka macam tu? Nak tak nak, selera tak selera, makan sampai abang puas hati.” Tengku Zamran Hakim memberi kata putus. Sikap lain berubah tetapi perangai degil yang satu ni susah sangat nak berubah.

Makin panjang muncung Emily. Namun dituruti juga langkah Tengku Zamran Hakim yang menarik lembut tangannya.

Hati yang Terluka 37


Hari ini Emily sudah dibenarkan pulang. Hampir seluruh keluarga menjemputnya pada hari itu. Namun cuma seorang yang tidak kelihatan.

“Abang…” Emily memanggil perlahan Tengku Zamran Hakim yang sedang mengemas pakaiannya.

Tengku Zamran Hakim menoleh. “Kenapa sayang?”

Emily memaut lengan suaminya itu. “Hurm…”

Tengku Zamran Hakim menghentikan kerjanya. Pelik melihat tingkah Emily. “Ada apa sayang?” tanyanya lagi.

“Ayah mana? Dia tak datang jemput Emy sekali?”

“Datang. Tapi dia tunggu di kereta. Abang ajak tadi, tapi dia takut sayang tak nak jumpa dia.”

“Emy dah tak marahkan dia…” Emily menunduk sayu.

“Sayang…” Tengku Zamran Hakim memanggil lembut bila melihat Emily begitu namun isterinya itu tetap menunduk.

“Janganlah macam ni. Lepas ni abang bawak sayang jumpa ayah, okey?” Pujuknya pula sambil memaut bahu Emily.

Emily mengangguk.

“Dah siap kemas Zam?” tanya Raja Muzairah. Dahinya berkerut sedikit melihat Tengku Zamran Hakim seperti sedang memujuk Emily.

“Dah.” Balasnya sepatah. Tangannya masih tidak lepas dari bahu Emily.

Juita yang turut memandang Tengku Zamran Hakim dan Emily hanya tersenyum. Dia perasan sejak beberapa hari ini, ada sahaja perkara yang sahabatnya itu mahu merajuk. Kalau bukan salah Tengku Zamran Hakim sekalipun, Emily tetap mahu merajuk. Namun cuma dengan Tengku Zamran Hakim sahaja Emily berperangai begitu, dengan orang lain masih sama dengan caranya. Paling dia kagum, Tengku Zamran Hakim masih tenang menanganinya. Penuh dengan sabar dan ketenangan.

“You tengok apa?” Nazrin yang berada disebelahnya menegur.

“Cuba you tengok cara Zam layan Emy. You rasa kalau I merajuk lepas kita kahwin nanti, you pujuk I macam tu tak?”

Nazrin terpinga-pinga mendengar soalan Juita yang tiba-tiba. Apa kes pulak ni? “Kenapa I nak kena pujuk pulak? You pujuk sendirilah.”

“Nazrin!” Suara Juita naik mendadak. Geram melihat wajah tak berperasaan Nazrin. Ah, dia tidak pernah ada perasaan! Gerutunya sebal.

Mereka yang berada disekeliling memandang ke arah mereka berdua. Juita hanya mampu tersenyum kelat. Sedar akan keterlanjuran diri. Satu kelemahan yang tak dapat dikawalnya, cepat naik darah.

“Kenapa jerit nama I?” bisik Nazrin perlahan. Wajahnya benar-benar seperti tidak tahu menahu langsung apa yang dimarahkan Juita.

Juita hanya mampu mengetap bibir. Dia tahu, dalam keadaannya yang begini walau sepatah yang keluar dari mulutnya mungkin ada yang akan terkena serangan jantung.

Akhirnya dia keluar dari bilik tersebut. Takut kalau-kalau marahnya tak dapat ditahan lagi. Memang selalunya dia terpaksa memujuk dirinya sendiri. Nak harapkan Nazrin pujuk…jangan haraplah!

Nazrin hanya mampu mengangkat bahu apabila banyak mata memandangnya. Dia tidak mengikut Juita kerana menganggap kekasihnya itu tidak tahan untuk ke tandas. Hal perempuan…tak elok masuk campur. Dia menggeleng sendiri.

* * * * *

Kesemua ahli keluarga mereka beriringin keluar dari hospital tersebut. Mata Emily melilau seolah mencari seseorang.

Dari jauh Emily dapat mengecam wajah bersih yang sedang berdiri di tepi pintu kereta. Wajah itu masih takut-takut mahu bertentang mata dengannya. Tengku Zamran Hakim menggenggam lembut jemari isterinya. Mengerti dengan gelodak perasaan Emily. tangan Emily ditarik lembut menghampiri Tengku Tajuddin. Ahli keluarga yang lain cuma memandang faham.

Tengku Tajuddin kaget melihat Tengku Zamran Hakim dan Emily yang sudah berdiri dekat dengannya.

“Zam dah janji untuk jernihkan hubungan Ayah Din dan Emy.” Tengku Zamran Hakim tersenyum.

“Tapi…” Ayat Tengku Tajuddin terhenti apabila Emily sudah mencapai tangannya.

“Emy minta maaf, ayah.” Setitis air mata Emily gugur.

Tengku Tajuddin yang pada mulanya terkejut akhirnya turut sama menitiskan air mata. Tidak henti-henti kesyukuran dipanjatkan pada Ilahi. Emily ditarik ke dalam pelukannya. Hanya Allah yang tahu perasaannya pada ketika itu. Selama hidupnya, tidak pernah dia terasa sebahagia ini. Keluarganya yang dulunya berpecah kembali bersatu.

Tengku Zamran Hakim hanya tenang memerhati. Dari jauh, kelihatan bonda yang sedang menyapu air mata. Dia mengerti pasti ibu mertuanya itu merasai kebahagiaan yang dirasakan anak dan suaminya. Hatinya terasa lapang. Telefon bimbitnya berbunyi tiba-tiba.

Melihat nama pemanggil, dia menggeleng. Hari ini sahaja sudah lebih sepuluh kali Naufal menelefonnya.

“Zam, comfirmkan kau datang malam ni?” terjah Naufal sebaik sahaja Tengku Zamran Hakim menjawab panggilannya.

“Dua belas.”

“Hah? Apa yang dua belas?”

“Ini kali ke dua belas kau tanya soalan yang sama.”

“Err…ye ke? Apasal aku tak perasan?” nada Naufal kedengaran terkejut.

Tengku Zamran Hakim hanya mampu mengeluh.

“So, kau datang ke tak?”

“Insya Allah…”

“Aku anggap kau dah berjanji.”

“Mana ada aku janji.” Tengku Zamran Hakim masih mahu bermain tarik tali.

“Kau jangan…aku berharap sangat ni.”

“Aku dah pesan jangan harap sangat.”

“Cakaplah betul-betul. Nanti setiap minit aku telefon kau tanya pasal ni.” Naufal seolah mengugut.

Tengku Zamran Hakim memandang Emily. “Kau tanya Emy sendiri. Aku bagi phone pada dia. Kalau dia nak, aku on je.”

“Okey, set. Aku bagi phone ni pada Syiqa.”

“Sayang...” panggilnya.

Emily memandang Tengku Zamran Hakim.

Tengku Zamran Hakim menghulur telefon bimbitnya. “Syiqa.”

Emily mengangguk sambil menyambut telefon bimbit yang dihulur.

Tengku Zamran Hakim hanya memerhati Emily yang sesekali tersenyum ketika berbual. Tengku Tajuddin turut menunggu. Beberapa minit kemudian, Emily menghulur kembali telefon bimbit padanya.

“Kita pergi ya, bang? Kesian kat diorang.” pinta Emily lembut.

Tengku Zamran Hakim tersenyum dan mengangguk.

* * * * *

“Aku doakan kebahagiaan kau dari jauh.” Syiqa memeluk Emily erat. Ahli keluarganya yang lain cuma memandang dari jauh.

“Kau pun sama Syiqa. Korang duduk jauh dari keluarga, lagi banyak dugaan.”

Tengku Zamran Hakim dan Naufal hanya tersenyum memerhati. Orang perempuan kalau dalam ‘emosi’ mereka, jangan diganggu.

“Insya Allah…Insya Allah…” Syiqa mengangguk. “Kau pun Jue. Bila nak merasa nasi minyak dari kau pulak?” Syiqa menyoal Juita yang turut sama menghantar pemergiannya.

“Tak tahulah. Aku geram betul dengan si Nazrin tu. Aku cakap berkias-kias bukan nak faham. Takkan aku pulak nak kena buat muka tak malu ajak kahwin. Orang lelaki ni memang suka menyakitkan hati agaknya.” Juita mendengus.

Syiqa pula mencelah. “Betul cakap kau Jue. Tak pernah nak faham kita yang perempuan ni.”

“Biasalah tu Syiqa. Nama pun lelaki…” Emily menjungkit keningnya nakal.

“Ehem…” Tengku Zamran Hakim dan Naufal sama-sama berdehem.

“Fuhh…menusuk kalbu tu. Depan-depan mengutuk tak pandang kiri kanan.” Naufal bercakap sedikit kuat tanpa memandang sekumpulan wanita itu.

“Biasalah tu Fal. Nama pun perempuan…” Tengku Zamran Hakim menjungkitkan keningnya, meniru gaya Emily.

Emily membulatkan matanya, namun selepas itu dia terasa mahu tergelak apabila masing-masing nampak seolah menahan tawa. Akhirnya kedengaran tawa dari mereka berlima.

“Emy, jaga diri ya. Ini anak angkat aku ni, jaga elok-elok.” Syiqa masih memesan setelah tawanya terhenti. Perut Emily yang masih belum ketara disentuh lembut. Berat benar mahu meninggal sahabatnya itu. Kini, baru dia sedar erti nilai persabahatan.

“Sayang, sudahlah tu. Bukan tak jumpa lagi lepas ni. Dua minggu lagikan kita kena balik sini.” Naufal memujuk lembut Syiqa yang masih mendung.

Syiqa menyapu air matanya. “Tapi dua minggu tu bukannya sekejap.”

Emily yang mendengar berkerut. Agak aneh kerana Naufal dan Syiqa cuma pergi untuk dua minggu. Tak silapnya Naufal di transfer ke Jerman. “Dua minggu?”

“A’ah. Dua minggu lagi kami balik sini, raikan sesuatu yang sangat istimewa. Lepas tu ke Jerman balik. Kalau ikutkan kami nak berangkat lagi dua minggu, tapi Naufal dah kena lapor diri Isnin ni.”

“Raikan sesuatu yang sangat istimewa?” Emily makin terpinga-pinga.

Juita cepat-cepat meletakkan jari telunjuk di bibirnya.

Syiqa menekup mulutnya. “Oppss…ini mesti cik abang kau tak bagitahu lagi. Alamak! Mesti aku dah terlebih ni.”

“Aku tak fahamlah. Tak bagitahu apa?”

“Err…aku rasa baik kau tanya Zam sendiri.”

“Betul. Kau tanya Zam ya, Emy.” Juita menyokong Syiqa.

Emily memandang Tengku Zamran Hakim menagih jawapan. Namun lelaki itu buat-buat tidak mengerti.

“Naufal, dekat sana nanti jaga Syiqa elok-elok. Kalau mak dapat call dari Syiqa kata kamu buat perangai, siap!” Puan Rahimah tiba-tiba mencelah, menggertak dalam gurauan buat anak sulungnya itu.

Mereka yang berada di situ tergelak.

“Yalah mak. Dah berapa kali mak pesan macam tu. Along tak nyanyuk lagi.” Naufal sedikit memuncung.

“Kamu tu bukan boleh percaya sangat. Selalu sangat buat main-main pesan mak.”

“Kalau bab Syiqa mana boleh buat main-main. Kalau sekali dia mengamuk dengan saya, tahun ni merajuk tahun depan baru baik.”

“Memanglah lambat baik sebab awak tak pernah nak pujuk.” Syiqa menjeling geram suaminya. Panggilannya pada Naufal juga sudah bertukar.

“La…dah tak tahu nak buat macam mana?”

“Cuba belajar dari kawan baik awak tu.” Syiqa menjeling sekilas pada Tengku Zamran Hakim.

Naufal menggaru kepala yang tidak gatal. Sudah! Tengku Zamran Hakim hanya mampu menjungkit bahu apabila Naufal memandangnya mohon simpati.

Tidak lama kemudian pengumuman untuk para penumpang diumumkan.

“Aku harap lepas ni tak ada lagi kes keluar masuk hospital. Kecualilah kalau masuk hospital nak dapat orang baru.” Naufal ketawa kecil sambil bersalam dengan Tengku Zamran Hakim.

“Jangan lupa pujuk Syiqa tu.”

“Ini pun satu masalah jugak.” Naufal memandang isterinya yang sudah melangkah mendahuluinya.

“Zam, Emy, kami pergi dulu. Insya Allah, ada rezeki jumpa lagi.” Naufal menyambung.

“Insya Allah.” Mata mereka menghantar pemergian Naufal dan Syiqa.

* * * * *

“Abang…” Emily memanggil Tengku Zamran Hakim yang sedang memandu tenang.

“Hmm?”

“Apa maksud Syiqa nak raikan sesuatu yang istimewa?” Sejak mendengar kata-kata Syiqa tadi, persoalan yang satu ini berlegar-legar di benaknya.

“Ohh…pasal tu.”

“Betullah abang tahu?”

“Kalau abang tak tahu macam mana nak raikan perkara istimewa tu.”

Emily memandang Tengku Zamran Hakim. “Jadi, apa yang istimewa?”

“Mummy nak buat majlis bersanding.”

“Bersanding? Siapa nak bersanding?” Emily kalut.

“Abang.”

“Abang nak bersanding?” Hisy, nak sanding dengan siapa?

“Mummy yang minta abang terima permintaan dia. Abang tak sampai hati…jadi abang terpaksa setuju. Bila abang fikir balik, okey jugak cadangan mummy tu. Mungkin majlis bersanding tu boleh jadikan kenangan terindah dalam hidup abang.”

Emily menunduk. Kata-kata Mastura yang menemuinya di hospital sehari yang lepas.

Pintu wadnya ditolak kasar dari luar.

“Hai…” sapa Mastura dengan pandangan sinis.

“Awak…”

“I tak tahu sama ada you ingat I atau tak. Tapi I…tak lupa you lagi, Tengku Emily Natasha.”

Emily mengetap bibir mendengar nada Mastura yang seolah mengejek. Mastura merenung Emily setiap inci.

“I kasihan dengan you, Tengku. Nak hidup tenang pun susah. Sepatutnya you lepaskan apa yang patut kalau nak tenteram.”

“Awak nak apa dari saya, Cik Mastura?”

Mastura tersenyum. “Oh, tak sangka you ingat pada I. By the way, dah you tanya apa yang I nak…you sanggup ke bagi apa yang I nak?”

“Apa?”

“Zam.”

Emily memandang tepat wajah Mastura. “Awak ingat Zam tu barang mainan?”

“You tahu Tengku, kalau tak sebab you yang datang entah dari mana, mungkin Zam dah jadi milik I sekarang ni.”

“Dari awak minta-minta dari saya, saya rasa baik awak balik rumah sembahyang sunat istikharah. Kalau boleh tiga hari tiga malam. Mungkin selepas tu awak nampak jodoh sebenar awak.” Balas Emily selamba.

Mata Mastura membulat. “Hey perempuan, aku tak peduli kau ni siapa pada dia. Aku akan pastikan Zam jatuh ke tangan aku.” Bahasanya tadi sudah bertukar.

Emily tetap dengan wajah tenangnya. “Hurm…saya pernah dengar ayat yang sama dari Maria. Entah-entah awak belajar dari dia tak?”

“Kau…!”

“Cop-cop…saya belum habis cakap lagi. Apa kata awak ajak dia sekali sembahyang sunat istikharah? Mana tahu nanti naik pelamin sama-sama. Baru namanya sahabat sehati sejiwa.” Emily menjungkit kening sambil tersenyum manis.

Mastura mengepal tangannya menahan geram. “Mungkin hari ni kau boleh tenang macam ni. Tapi kau tunggu tak lama lagi. Memang aku naik pelamin, tapi aku akan pastikan pasangan aku masa tu adalah Zam!”


Kisah kedatangan Mastura langsung tidak dikhabarkan pada sesiapa kerana malas mahu memberatkan kepalanya memikirkan perkara yang menyakitkan hati. Sehingga kini dia masih tertanya-tanya tidak ada lagikah lelaki di dunia ini untuk dijadikan suami sehingga mahu mengambil hak orang lain?

Sehingga kereta memasuki perkarangan rumah mereka, dia hanya mendiamkan diri. Apabila ditanya Tengku Zamran Hakim, cuma gelengan yang dibalas.