Tuesday, January 27, 2009

Hati yang Terluka 25


“Pagi ni ada aktiviti apa?” Salmah bertanya pada anak-anak angkatnya ketika mereka sedang menjamu selera pagi itu.

“Gotong-royong bersihkan kampung.” Juita menjawab sambil menggigit pisang goreng.

“Boringnya….bila agaknya nak mandi laut ek? Teringin nak berenang.”

Emilia ketawa mengejek. “Jangan beranganlah Emy. Bukannya Emy reti berenang pun. Lainlah kitorang ni.” Ya, satu-satunya kekurangan Emily dari mereka berdua. Emily tak takut air, tapi tak pandai berenang. Ajarlah berkali-kali pun, tetap tak reti.

Emily memuncung. “Bisinglah akak ni.”

“Kau pun bukannya pandai sangat Lia. Sikit-sikit je. Letak dekat air dalam pun kau tenggelam jugak.” Bidas Juita membela Emily.

“Betul-betul. Kak Lia ni berlagak je lebih.” Emily menaikkan ibu jarinya tanda bagus pada Juita.

“Ish, kau ni.” Emilia menyiku Juita.

“Tapi, aku okey lagi dari Emy yang tak pandai langsung.” sambung Emilia masih mahu membangga diri.

“Eh, dah lambatlah. Kita kena berangkat ke surau. Nak kena berkumpul dulu kan?” Juita mematikan pertelingkahan mereka.

Emilia mengangguk. “A’ah. Jomlah. Nanti jadi macam Emy semalam.” Emilia ketawa lagi. Lucu bila teringat keadaan Emily ketika tiba di surau malam tadi.

Juita yang pada mulanya berkerut, turut tumpang sekaki. “Mandi lumpur.” katanya sambil tergelak-gelak.

“Wei, agak-agaklah. Ada pulak kata aku mandi lumpur. Tapi kan, aku geram betullah dengan budak dua ekor tu. Kalau aku dapat, memang aku kerjakan cukup-cukup.” Emily mendengus geram. Tak pasal-pasal telinganya terpaksa ditadah mendengar leteran Puan Hamidah. Rakan sekolahnya pulak tak habis-habis gelak. Lebih-lebih lagi Nadiana. Kurang asam betul!

Salmah yang dari tadi hanya mendengar perbualan mereka menggeleng sambil tersenyum kecil. Macam-macam. Tapi, dia senang dengan suasana mesra begini. Sudah lama dia tidak merasa sebahagia ini sejak suaminya, Pak Zali berkahwin lagi satu. Alasannya, mahukan anak. Namun, sehingga kini madunya tidak pernah mengandung apatah lagi beranak.

“Kami pergi dulu, Ibu.” Emilia menyalam Salmah, diikuti Juita, akhir sekali Emily.

* * * * *

“Tak pernah aku buat kerja macam ni.” Rungut Emilia. Sambil tangannya ligat mengutip daun kering di kawasan surau.

“Okeylah tu, boleh exercise.” Emily duduk senang di kerusi yang berdekatan. Untung mereka dapat tugas membersihkan kawasan surau. Tidak perlu berjalan jauh-jauh.

Juita memandang Emily dengan ekor matanya. “Banyaklah kau punya exercise. Kau tu, dari tadi sesedap je duduk goyang kaki.”

“Alah, okey apa. Goyang kaki pun exercise jugak. Lagi pun, aku nak bagi peluang korang bakar lemak. Tak delah payah bila nak buat aktiviti lain lepas ni.” Emily jawab selamba.

“Eh-eh budak ni. Macam-macam dia punya cara kalau nak mengelat.” Ujar Emilia sambil membelek kukunya. “Jue…kau tengok ni. Rosak kuku aku!”

“Ye lah… sama dengan aku.” Giliran Juita menunjukkan kukunya.

“Mengadanya…” Emily mencebik. “Korang ni sebijik macam Nad. Sotong betina!”

“Apa kau cakap?” Juita dan Emilia sudah membulatkan mata. Faham sangat ‘sotong betina’ yang Emily maksudkan. Nak cakap mereka gediklah tu!

“Opss…” Emily ketawa sambil membuka langkah melarikan diri.

“Jaga kau. Kitorang dapat tahulah. Sotong betina ye?” Berkejar kedua-duanya mendapatkan Emily yang sudah jauh di hadapan.

“Cubalah kalau boleh.” Emily memecut laju sambil sesekali menoleh ke belakang. Tanpa sedar, dia terlanggar seseorang yang juga sedang berlari bertentangan dengannya. Dushh…

Emily jatuh terduduk. Sakitnya….macam nak hancur je dahi aku ni. Itu belum termasuk punggungnya yang terduduk pada…tanah? Eh, bukan…Perlahan-lahan mata bundarnya memandang hadapan. Mahu tahu orang yang menyambutnya.

“Lain kali, nak lari tu pandang depan.” Dengus Tengku Zamran Hakim. Nasib baik hidung aku tak patah. Naya je kalau patah. Hidung mancungnya digosok perlahan.

“Kalau kau lari pandang depan, asal kau tak elak masa nampak aku?” Emily tak mahu mengalah.

“Er…” Kantoi! Sebenarnya, dia sedang melarikan diri daripada sepupunya. Seronok sangat jeling belakang sambil berlari, kesudahannya beginilah.

“Nak lari mana Zam?” Laung Razlan.

Tengku Zamran Hakim memusingkan kepalanya kebelakang. Razlan sudah menghampiri.

“Buat pertama kali aku berjaya tangkap kau. Jadi, seminggu ni kau kena pergi kedai kalau mak aku suruh.” Razlan ketawa bangga ketika sudah berada berdekatan Tengku Zamran Hakim.

Matanya menangkap susuk tubuh dipangkuan sepupunya itu. “Budak lelaki mana yang kau peluk tu Zam?”

Tengku Zamran Hakim terkedu. Peluk budak lelaki? Bila pulak? Tangannya dipandang lama. Hah?!

“Peluk? Mana ada!” Nafi Tengku Zamran Hakim. Cepat-cepat melepaskan pautannya pada pinggang Emily. Macam mana boleh terpeluk ni? Tapi…budak lelaki? Pada pandangan pertamanya, serasanya budak perempuan. Aku tersilap ke?

Emily pula bingkas bangun dari pangkuan Tengku Zamran Hakim dan berhadapan dengan Razlan. “Kau cakap apa tadi? Budak lelaki? Siapa budak lelaki?” jerkah Emily tidak puas hati.

“Kaulah…” Razlan mengunjuk pada Emily, namun kata-katanya terhenti seketika.

“Err…atau… kau ni…perempuan?” sambung Razlan teragak-agak.

“Habis tu?” Emily menajamkan pandangannya pada Razlan. Sesedap dia je cakap aku ni lelaki.

Razlan memandang Emily atas bawah untuk seketika sebelum menghamburkan tawanya. Biar betul!

Tengku Zamran Hakim tersenyum kecil. Aku dah cakap! Raut wajah Emily dipandang lama. Comel dengan sepasang lesung pipit, tapi…tomboy!

Memuncung Emily mendengar tawa Razlan. Tak guna! Eh, kejap…gelak ni macam pernah dengar je...Oh, aku dah ingat!

“Emm…korang berdua ni la yang hadiahkan aku lopak semalam.” ujar Emily menahan geram.

Tawa Razlan terhenti, dahinya pula berkerut seperti cuba mengingati sesuatu.

“Dan…kau hantu lumpur tu?” Razlan menyambung gelak. Tengku Zamran Hakim turut tergelak kecil.

Emily memandang Razlan yang sudah ketawa tak ingat dunia. Bestnya gelak…Hantu lumpur ek? Pap! Kaki Razlan disepak kuat. Dush! Kemudian perut Razlan disiku. Itu baru best!

Terduduk Razlan disebelah Tengku Zamran Hakim. Menahan senak diperutnya.

Tengku Zamran Hakim bangkit dari jatuhnya dan berdepan dengan Emily. Rasa tercabar melihat Razlan dibelasah teruk dengan budak perempuan.

“Dan kau…” Emily memandang pula Tengku Zamran Hakim. Buku limanya diangkat, namun Tengku Zamran Hakim pantas menahan.

Pergelangan tangan Emily digenggam erat.

“Tangan kau lembut macam budak perempuan, tapi…perangai macam budak lelaki.” ujarnya sinis.

“Suka hati akulah!” herdik Emily.

Tengku Zamran Hakim tersenyum. Mukanya didekat pada wajah Emily. Mahu lihat tahap keberanian gadis itu. Tangan gadis itu masih tidak dilepaskan.

Emily pula menjauh, memandang tempat lain. Perasaannya tidak menentu.

“Emm…kenapa pandang tempat lain? Aku rasa aku ni dah cukup handsome.”

Emily mencebik. Perasannya!

“Bukan aku yang cakap, ramai yang cakap macam tu.” Sambung Tengku Zamran Hakim bila melihat reaksi Emily.

“Aku tak nak tahu. Tangan aku ni, lepaslah!” Emily cuba merentap tangannya. Namun gagal. Malah, dapat dirasakan pegangan di tangannya makin kejap.

“Aku tak nak lepas...”

“Adik! Jangan lari!!”

Alamak! Kak Lia dengan Jue dah nak dekat. Tangannya direntap kali kedua…kali ini lebih kuat. Dan…berjaya! Biru tangan aku dibuatnya.

“Kau hutang aku.” Pesan Emily pada Tengku Zamran Hakim sebelum meyambung semula lariannya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia membalas perbuatan lelaki itu, namun bila memikirkan jari ketam Juita dan kembarnya hasrat itu dilupakan dahulu. Nanti-nantiah...

“Jangan risau, pasti aku ingat!” bisik Tengku Zamran Hakim sendiri. Tak lama kemudian, dua orang budak perempuan lalu dihadapannya dengan keadaan termengah-mengah. Dia lari dari diorang ni rupanya...

“Woi...kau tak nak tolong aku ke?”

Pandangannya di hala ke bawah. Kemudian ketawa kecil. “Tak habis lagi ke senak dekat perut kau tu?”

* * * * *

Salmah memerhati Emily yang sedang mengusap pergelangan tangannya. Pasti ada yang tidak kena ni.

“Tangan Emy kenapa?” tanyanya.

“Ha? Er…tak de… tak de apa-apa.” Tergagap-gagap Emily menjawab. Takkan nak cakap pada Ibu yang dia bergaduh dengan budak kampung ni padahal baru dua hari dia di situ.

“Betul ni? Sini, ibu tengok.”

“Tak payahlah ibu. Mana ada apa-apa.” Emily mahu bangun melarikan diri, namun ditahan Salmah. Pergelangan tangan Emily sempat ditangkap.

“Ya Allah…kenapa biru sampai macam ni?” Berkerut-kerut dahi Salmah memandang lebam di pergelangan tangan anak angkatnya itu.

“Emm…jatuh.” Bohong Emily.

Emilia mencebik mendengar jawapan Emily. Macamlah dia tak nampak adiknya itu bergaduh dengan budak lelaki petang tadi.

“Jue, logik ke kalau jatuh pergelangan tangan yang lebam?” sindirnya sinis.

“Tak logik…tak logik…” Juita menggeleng beberapa kali.

“Ha…tengok tu. Lia dengan Jue pun tak percaya.”

Emily menjeling. Sibuk je budak dua orang ni. Silap hari bulan ada jugak yang kena hempuk dengannya.

“Betullah, tak percaya pulak…” sangkalnya lagi.

“Eleh tipu…Ingat aku dengan Lia tak nampak ke? Ibu nak tahu tak… Emy ni sebenarnya gaduh dengan budak lelaki.” Tersengih-sengih Juita membocor rahsia.

“Mana ada!”

“Tengok, nak tipu lagi tu. Betul bu…kitorang nampak.” Emilia mengukuhkan lagi kata-kata Juita.

Salmah memandang Emily, menunggu kata-kata yang seterusnya dari Emily.

“Pandai-pandai je akak dengan Jue ni. Orang kata tak de, tak de la.” Emily masih dengan jawapannya. Pergelangan tangannya sudah dilepas Salmah. Matanya mengerling Salmah yang bangun dan kembali dengan sebotol minyak gamat.

“Nak mengaku pun susah budak ni. Tapi kan bu, yang paling penting budak lelaki tu handsome...handsome giler!” tambah Juita.

“Handsome kau kata? Baik kau tarik balik pujian kau tu. Kalau mangkuk tu dengar karang makin naik minyak pulak. Tadi pun siap puji diri sendiri lagi. Perasan betul!” Emily mendengus. Tapi hanya untuk seketika apabila terasa semua mata memandangnya. Mulutnya cepat ditutup. Macam mana boleh terlepas cakap ni? Nampak sangat dia sedang mengiakan cerita yang dibawa Juita dan Emilia.

Salmah mengangkat kening. Juita dan Emilia tersenyum menang.

“Mangkuk mana Emy?” Salmah tersenyum meleret sambil menutup kembali botol minyak gamat yang sudah disapu ke pergelangan tangan Emily.

“Mangkuk konon. Macam malu-malu gitu masa budak lelaki tu pegang tangan dia. Ingat akak duduk jauh, akak tak nampak ke?” Emilia jungkit kening, mengusik. Seronok melihat pipi adiknya yang sudah memerah.

“Lepas nampak kitorang terus cabut lari. Marah-marah, tapi sebenarnya suka.” giat Juita pula.

“Merepek je akak dengan Jue ni. Emy nak masuk bilik. Mengantuk!” Bingkas dia mengatur langkah ke bilik. Entah mengapa, malam ini dia kering idea untuk mematahkan usikan mereka.

* * * * *

Tengku Zamran Hakim sedang berbaring di katil tempatnya dan Razlan tidur. Bila terdetik peristiwa petang tadi, tanpa disangka-sangka bibirnya menguntum senyum. Ganas betul budak tu! Buktinya, Razlan sampai sekarang masih terbaring dan sesekali mengerang.

“Yang kau tersenyum-senyum dari tadi apasal? Suka tengok aku sakit macam ni?” Razlan tiba-tiba naik angin.

“Yang kau terasa sangat apahal? Nak aku bagitahu satu rumah ni yang kau kena belasah dengan budak perempuan?” gertak Tengku Zamran Hakim. Sesuka hati dia je nak marah tak pasal-pasal. Memang padanlah sepupunya itu dibelasah teruk petang tadi.

“Janganlah…”

“Tahu takut. Baik kau tidur sebelum aku tambah sakit kau lagi.”

“Yelah…Yelah…” Razlan cepat-cepat menarik selimut menutupi keseluruhan wajahnya.

Tengku Zamran Hakim katawa kecil memandang tingkah laku Razlan. Baru tenang sikit nak berangan.

* * * * *

Ting Tong! Ting Tong!

Emily cepat-cepat mengelap air matanya apabila bunyi loceng kedengaran dari luar rumah. Gambar tadi diletakkan kembali ke tempat asalnya. Cukuplah setakat itu dahulu peristiwa itu dikenang. Selebihnya pasti akan mengguris hatinya. Entah mengapa tika ini dia benar-benar rindukan lelaki itu.

Ting Tong! Ting Tong!

Loceng rumah kedengaran lagi. Cepat-cepat dia menuruni anak tangga dan terus ke pintu utama.

“Bonda! Kenapa tak cakap nak datang?” Emily terjerit kecil ketika menguak pintu. Tubuh Puan Zharifah didakap erat. Agak lama dia tidak bertemu dengan bondanya itu.

“Saje. Nak bagi surprise. Kenapa muka kamu nampak sembab je ni?” Puan Zharifah meneliti raut wajah Emily.

“Baru bangun tidur.” Bohong Emily. Rasanya, tidak perlu mengkahabarkan pada bonda mengenai halnya.

“Ada pulak tidur petang-petang. Tak elok. Emm…Zam mana?” Tanya Puan Zharifah. Kereta menantunya itu ada, batang hidungnya tak nampak pulak.

“Outstation.” Ujar Emily hambar. Masih berkecil hati memikirkan sikap lelaki itu yang tidak langsung memaklumkan padanya.

“Outstation? Dekat mana?”

“Jerman kot..”

“Apa kot-kot? Suami pergi kerja kat mana pun kamu tak ambil kisah. Tak elok macam tu Emy. Silap hari bulan Zam kecil hati macam mana? Kamu jugak yang susah nanti. Bila Zam bertolak?”

“Err…Emm…” Emily garu kepalanya yang tidak gatal. Sumpah tak tahu!

“Emm…Emm dari tadi. Tak tahu la tu.”

Emily hanya mampu tersengih.

“Kamu ni Emy…bonda tak faham betul dengan perangai kamu. Sekejap macam okey, sekejap pulak macam KO. Sampai suami kamu tu bertolak bila pun kamu tak tahu.”

“Zam yang tak bagitahu dia nak pergi bila.” Emily membela diri.

“Kamu panggil laki kamu tu apa? Zam?” Puan Zahrifah menjegil.

“Ish bonda ni…dah macam Inspektor Sahab pulak. Masuk dalam dulu bonda. Takkan bonda nak jadi mak guard dekat luar ni?” Selorohnya. Rindu melihat bondanya marah-marah begitu.

“Macam tu lah perangai kamu. Tak pernah nak serius. Kamu ingat suami kamu tu anak patung? Dia pun ada perasaan.” Bebel Puan Zahrifah lagi sambli melangkah masuk.

“Mana ada Emy buat Zam tu macam anak patung…” gumamnya perlahan namun masih sempat ditangkap Puan Zharifah.

“Pandai menjawab. Ni, bonda nak tanya kamu sebenarnya serius ke tak masa cakap nak kahwin dengan Zam tu? Atau…kamu kahwin main-main?” Serkap jarang Puan Zharifah benar-benar mengena.

“Ha? Eh, mana ada. Seriuslah bonda. Takkan main-main pulak.” Tergagap suaranya. Susahlah kalau bonda dapat menghidu mengenai perkahwinan mereka.

“Habis tu, kenapa bonda tengok kamu macam tak kisah je dengan Zam? Kamu sayang tak dengan laki kamu tu?” Giat Puan Zharifah lagi.

Emily terdiam seketika. Bohonglah kalau dia menidakkan perasaannya kerana hakikatnya, lelaki itu kini sudah mendapat tempat teratas dalam hatinya.

“Sayang…sayang sangat-sangat.” Jujurnya. Perlahan sahaja suaranya. Tubir matanya kembali bertakung ketika luahan itu diungkap. Ya Allah…bila jauh begini, baru dia terasa betapa rindunya dia pada lelaki itu. Ini baru sehari, macam agaknya hari esok dan seterusnya?

Puan Zharifah tersenyum.Selama ini, baik dia atau Raja Muzairah tidak percaya dengan Emily dan Tengku Zamran Hakim. Tapi hari ini, hatinya benar-benar lega mendengar ungkapan anaknya itu. Nampak betul-betul ikhlas. Alhamdulillah…perkembangan ini harus dikhabarkan pada Raja Muzairah secepat mungkin.

“Kalau sayang, layan dia sebaiknya. Tak elok buat endah tak endah. Kalau dia merajuk, pujuklah baik-baik. Tak habis-habis dengan ego kamu yang tak mahu mengalah tu. Cuba rendahkan ego kamu tu sikit.”

Emily tidak membalas apa-apa kerana dia tahu memang salahnya. Selama dia berkahwin dengan Tengku Zamran Hakim, dia tidak pernah mengalah dengan lelaki itu. Sentiasa dengan egonya.

* * * * *

“Kalau tenung lama-lama gambar tu pun, bukan dia boleh muncul depan kau sekarang.”

Tersentak Tengku Zamran Hakim dengan sapaan tersebut. Memandang kelibat Naufal yang baru melangkah masuk ke dalam bilik hotel mereka.

“Kalau rindu, baliklah. Kerja kau dekat sini pun dah selesai semalam.” Sekali lagi suara Naufal meluahkan pandangan.

Tengku Zamran Hakim cuma terdiam mendengar kata-kata Naufal, sahabat yang ditemui ketika sama-sama terlibat dalam urusan kerja di Jerman sejak dua tahun lalu. Walau mereka berdua bukan dari syarikat yang sama, namun bekerja dalam bidang tugas yang sama membuatkan mereka serasi.

“Merajuk lama-lama pun tak elok.” Ujar Naufal lagi. Agak lama tidak bertemu dengan sahabatnya itu, namun bertemu kembali kerana syarikat mereka sekali lagi berkerjasama dalam projek di Jerman.

Tapi yang memeranjatkannya, bila Tengku Zamran Hakim dengan selambanya memberitahu dia sudah berkahwin. Dah tu pulak, datang ke Jerman bukan semata-mata hal kerja, tapi membawa rajuk di hati. Teruk betul! Parah bila orang yang benci perempuan tiba-tiba jatuh cinta pada isteri sendiri. Paling sadis, bila sahabat sendiri turut mencintai gadis tersebut. Belum cukup dengan itu, ada lelaki lain yang mengejar isterinya. Rumit sungguh.

“Mana ada aku merajuk!” sangkal Tengku Zamran Hakim. Skrin handphone yang terhias wajah Emily tidak jemu-jemu ditatap. Gambar yang diambil curi-curi tanpa pengetahuan Emily. Selama dia berada di sini, rindunya pada gadis itu sukar diterjemahkan. Ketika hari pertama tiba di Jerman, serasa mahu sahaja dia terbang kembali ke tanah air. Sungguh! Dia benar-benar rindu pada gadis itu. Namun terkenangkan kata-kata Doktor Fauzi dan kejadian majlis reunion kelasnya membuatkan dia terpaksa tekad dengan keputusannya.

“Lagipun, bukan salah dia kalau kawan kau tu minat dia. Entah-entah, dia pun tak tahu.”

“Itu aku tahu. Tapi…entahlah. Selagi aku tak tahu perasaan sebenar Emy pada aku, aku jadi takut. Walaupun aku yakin perasaan kami sama, tapi ego dia buat aku kalah. Tak pernah aku jumpa perempuan seego tu.”

“Kau tak takut ke tinggal dia lama-lama macam ni? Elok-elok jadi hak kau, tiba-tiba terlepas kat tangan orang lain. Dah jadi kes naya tu.” Dah tahu ada pesaing, berani pulak tinggal lama-lama. Pelik betul sahabatnya yang seorang itu.

“Kau ingat, aku akan biarkan Emy lepas kat tangan orang lain? Mimpilah. Aku tak merajuk, tapi aku frust sebab dia tak cerita kat aku langsung apa sebenarnya yang jadi malam reunion tu. Macam aku ni tiada hak nak tahu.” Luah Tengku Zamran Hakim. Sakit hati bila Emily buat seperti tiada yang berlaku. Yang paling penting, apa hubungan Emily dengan lelaki yang bertengkar dengannya itu?

“Kau tanya dia tak?”

Tengku Zamran Hakim menggeleng.

“Aku nak dia bukak mulut sendiri. Takkan aku yang nak kena tanya. Sepatutnya dia kena faham sendiri.” Ulas Tengku Zamran Hakim lagi.

“Ceh! Kau kata dia ego, habis kau apa? Sama je ego. Memang padan pun korang berdua. Kau macam ni, dia pulak macam tu. Sama-sama tak mahu mengalah. Kalau kawan kau tu pikat isteri kau nanti, jangan pulak kau menyesal.”

Tengku Zamran Hakim ketap bibir. Tidak senang mendengar kata-kata Naufal.

“Kau ni sengaja tambah masalah aku. Dahlah aku bengang gila dengan si Fauzi tu. Tiap-tiap hari telefon tanya pasal Emy. Mintak nombor telefonlah. Kerja dekat manalah. Ada ke patut dia ingat Emy tu client syarikat aku. Ikut hati, nak je terus terang dengan dia, atau kalau tak boleh sangat pun bagi sebijik dekat muka dia cukuplah. Nasib baik aku masih boleh bersabar.”

“Rumit betul problem kau ni. Nasib baiklah nasib aku tak macam kau.” Kata Naufal sambil buat-buat tadah tangan tanda syukur. Sengaja mahu memerli Tengku Zamran Hakim.

Tengku Zamran Hakim mencebik memandang kelakuan Naufal.

“Tapikan, aku tabik gila dekat gadis yang berjaya buat kau jadi tak betul macam ni. Dalam banyak-banyak perempuan yang nak dekat dengan kau, kau boleh terjatuh cinta dengan gadis yang selalu bertekak dengan kau setiap kali jumpa. Hebat!”

“Sebab tu aku jatuh cinta dengan Emy. Emy lain. Kadang-kadang rasa macam main tarik tali pulak dengan dia. Sekejap aku rasa dah dapat, sekejap pulak rasa sebaliknya.” Kedinginan Emily kadang-kadang mencabar egonya. Ditambah pula dengan kedegilan gadis itu terus mati akalnya. Sehingga kini dia masih menanti panggilan yang sepatutnya Emily guna ketika memanggilnya. Bukan panggilan ‘awak’ dan ‘saya’.

“Macam jinak-jinak burung merpatilah ni.” Naufal jungkit kening.

“Tahu tak pe.”

“Nasib kaulah Zam. Emm, dari tadi aku nak tanya kau ni. Emy pandai ikat tie?” Naufal bertanya tiba-tiba.

Tengku Zamran Hakim mengangguk.

“Kenapa kau tanya?”

“Baguslah kalau macam tu. Patutlah kau sayang sangat dekat Emy. Mesti hari-hari dia yang tolong ikat tie kau kan?” Naufal senyum menyindir.

Tengku Zamran Hakim yang pada mulanya terpinga-pinga mendengus setelah dapat menangkap masksud Naufal. Sejak dulu, tak habis-habis nak mengutuk kekurangannya yang satu itu.

“Tak salahkan?”

“Memanglah tak salah. Untunglah kau. Boleh manja hari-hari. So, bila kau nak balik Malaysia?”

“Tengoklah nanti.” Tengku Zamran Hakim kembali merenung gambar Emily di telefon bimbitnya. Rindu benar dengan wajah itu.

“Tak habis-habis renung lagi tu. Susah betul kalau duduk jauh-jauh ni. Tak dapat tengok orang, dapat tengok gambar pun jadilah kan….” Sindir Naufal selamba. Belum puas mengusik sahabatnya itu.

Tengku Zamran Hakim mengambil bantal lalu dilempar ke arah Naufal.

“Cakap aku pandai, kau pun apa kurangnya. Sekarang bolehlah kau berlagak sebab makwe kau pun kursus dekat sini. Duduk bilik sebelah pulak tu. Cuba kalau makwe kau duduk jauh, mahu terbengkalai semua kerja. Lepas tu, malam-malam mula la berhikayat betapa rindunya kau. Sampai orang nak tidur pun susah.” Bidas Tengku Zamran Hakim pula.

Naufal tersengih. Tepat mengenai batang hidungnya.

“Sebab tu aku nak cepat-cepat kahwin. Bolehlah nanti kalau aku ada kerja mana-mana heret sekali si Syiqa tu. Bukan macam kau. Merajuk sikit, lari ke Luar Negara.”

Tengku Zamran Hakim menarik telinga Naufal dan bersuara kuat.

“Berapa kali aku nak cakap? Aku tak merajuk! Cuma terasa sikit je. Lagipun, aku memang ada kerja dekat sini.” Telinga Naufal dilepas. Tersenyum melihat sahabatnya menggosok telinga yang sudah memerah.

“Bila kau tarik telinga aku ni teringat pulak dekat mak aku. Mak…” panggil Naufal sambil menggoncang tangan Tengku Zamran Hakim. Kemudian ketawa mengekek.

“Mental lah kau ni.” Tengku Zamran Hakim menyiku perlahan perut Naufal, turut sama tergelak. Sahabatnya yang seorang itu tidak pernah serius. Bergurau tidak kira masa.

“Aku nak tanya kau ni. Apa bezanya terasa dengan merajuk? Sama je kan? Harap muka je handsome, tapi masalah cinta pun susah nak settle. Masalah kau cuma satu, ego! Cuba jadi macam aku ni. Lepas cinta baru kahwin. Bukan macam kau. Kenal pun tak, dah ajak kahwin. Sebab tu lah angau macam ni. Ke hulur hilir bawak gambar bini.” Naufal buat wajah kesal. Sekali lagi mengenakan Tengku Zamran Hakim.

“Bisinglah kau. Setidak-tidaknya aku kahwin dulu dari kau. Kau pulak, lepas tujuh tahun bercinta baru ajak kahwin. Dah tu pulak, nak ajak kahwin sampai terketar-ketar kepala lutut.” Tengku Zamran Hakim tersenyum kecil apabila teringat kembali kisah lamaran Naufal. Naufal sendiri yang bercerita kepadanya.

“Janganlah ingatkan aku pasal tu.” Tersipu-sipu Naufal.

“Sebenarnya masa tu aku pun tak ready lagi. Tapi, aku paksa diri jugak. Kalau tidak, sampai bila pun kitorang tak kahwin-kahwin. Eh, jangan lupa datang kenduri aku bulan depan. Jangan pulak buat-buat lupa tak datang. Bukan aku tak kenal kau. Bukan main liat lagi kalau nak suruh datang majlis. Kalau kau tak datang, aku tuntut hadiah kahwin mahal-mahal. Lagi satu, mesti bawak bini kau yang cun tu. Aku dah bagikan kad kahwin?” sambung Naufal selepas itu.

Tengku Zamran Hakim mengangguk cuma. Malas mahu menambah.

No comments:

Post a Comment