Tuesday, January 27, 2009

Hati yang Terluka 13


Malam itu Emily menerima panggilan dari Tengku Zamran Hakim.

“Assalamulaikum. Boleh saya bercakap dengan cik Emily Natasha?” Begitulah lebih kurang ayat pertama yang keluar dari mulut Tengku Zamran Hakim.

“Ye saya. Boleh saya bantu?” Emily yang tidak mengenali lelaki yang menelefonnya bertanya.

“Saya lelaki yang awak jumpa tengah hari tadi.” Tengku Zamran Hakim berkias.

Emily tersentak. Dia rupanya. Detik hati Emily. “Apa awak nak?” Emily bertanya garang. Lelaki macam ni tak layak dibuat baik.

Garang sungguh. Bisik hati kecil Tengku Zamran Hakim.

“Saya nak jumpa awak waktu makan tengah hari esok.” ujar Tengku Zamran Hakim.

“Buat apa awak nak jumpa saya? Nak kenalkan saya dengan daddy awak pulak? Ataupun dengan abang awak? Hmm...ha...saya tahu, ni mesti dengan kakak awak kan?” Emily menyindir.

Tengku Zamran Hakim ketap bibir. Sempat lagi tu kutuk aku. Tak pe. Sabar Zam. Sabar.

“Tak. Hanya saya dengan awak. Saya betul-betul perlukan pertolongan awak.” Walaupun telinganya panas diejek tadi, hatinya tetap cuba disabarkan. Dia betul-betul perlukan pertolongan perempuan tersebut.

Teringat petang tadi bila dia balik dari pejabatnya. Habis mummy khabarkan mengenai bakal menantu bongsunya pada penghuni Vila Astana Sakura petang tadi. Semua pakat tak sabar menunggu dia naik pelamin. Bijak betul mummy ni. Sampai daddy pun suruh dia kahwin dalam masa terdekat ni. Macamlah dia bujang telajak. Umurnya tidaklah sampai 30 tahun lagi. Kira muda lagi kalau 27 tahun tu.

Emily terdiam. Kemudian menyambung. “Saya tak fahamlah apa sebenarnya masalah awak. Lagi satu, pasal kejadian tengah hari tadi, kanapa awak heret saya? Lepas tu siap kenalkan saya sebagai calon menantu pada mummy awak lagi.”

“Sebab tu la saya nak jumpa awak tengah hari esok.” Tengku Zamran Hakim cuba memancing.

Pandainya taktik. Detik hati Emily. Kemudian dia mencongak-congak kalau-kalau esok ada urusan dengan pelanggannya.

“Emmm...ok. Saya akan jumpa awak tengah hari esok. Awak setkan tempatnya.” Emily bersetuju akhirnya. Manalah tahu lelaki ni dapat membantunya. Jadi menantu bonda!

Tengku Zamran Hakim tersenyum. Menjadi juga taktiknya.

Setelah tempat temu janji ditetapkan, masing-masing memutuskan talian.


* * * * *

Keesokan harinya...

Emily menghampiri meja di mana Tengku Zamran Hakim sedang menunggu.

Tengku Zamran Hakim bangun dan mempersilakan Emily duduk.

Sebaik sahaja punggungnya melekat di kerusi, seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan dan berlalu.

“Boleh kita mulakan sekarang?” Tengku Zamran Hakim bertanya.

Emily hanya mengangguk. “Cuba awak cerita balik mengenai kejadian semalam. Maksud saya hal yang menyebabkan awak heret saya jumpa mummy awak.”

Tengku Zamran Hakim menceritakan serba sedikit mengenai desakan mummynya dan paksaan supaya dia menerima Maria.

Emily hanya mendengar. Lebih kurang kisahnya sahaja.

“Maknanya, awak nak saya jadi isteri awak untuk elak dari menikahi bekas tunang awak, gitu?” Emily meminta kepastian.

Tengku Zamran Hakim mengangguk.

“Kan mummy awak kata, kalau awak datang tak bawa sesiapa, kena kahwin dengan bekas tunang awak. Dan kalau awak tak datang jumpa dia semalam pun begitu jugak. Dah awak memang tak ada calon, kenapa awak pergi jugak jumpa mummy awak kat restoran tu?” Emily mengungkit kembali apa yang dicerita Tengku Zamran Hakim padanya.

Tiba-tiba pelayan datang membawa pesanan. Perbincangan mereka tergendala seketika.

Selepas pelayan tersebut berlalu, Tengku Zamran Hakim menjawab pertanyaan Emily.

“Takkan saya nak biarkan mummy saya tunggu sorang-sorang kat restoran tu. Saya pun ada rasa hormat pada mummy saya.” Jelas Tengku Zamran Hakim. Sebenarnya ada sebab lain. Tapi malas dia nak mengulas lagi.

“Macam mana? Awak setuju tak jadi isteri saya?” sambung Tengku Zamran hakim seolah-olah melamar.

Lama Emily termenung kemudian berkata, “Awak tak terfikir ke kalau saya ni isteri orang?” Emily menduga. Sengaja.

Tengku Zamran Hakim tersentak. Ye tak ye. Aku pakai tarik je dia semalam. Macam mana kalau dia isteri orang?

“Saya tak rasa awak dah kahwin. Tengok dari segi gaya, awak macam orang belum kahwin.” Tengku Zamran meneka yakin.

“Awak kata orang perempuan teruk, tapi tak sangkakan awak ni jenis perhatikan orang perempuan. Sampaikan saya dah kahwin atau tak pun awak tahu? Kalu lelaki tu, lelaki jugak.” Emily menyindir. Sengaja mengusik. Mahu lihat tahap kesabaran lelaki dihadapnnya ini.

Tengku Zamran Hakim terkedu. Perempuan ni! Tak pe Zam. Sabar.

“Saya jumpa awak bukan nak dengar awak menyindir saya.”

“Uishhh....terasa ke? Sorry.” Tak habis-habis Emily mengusik.

Tengku Zamran hakim ketap bibir marah.

“Berbalik pada perkara tadi, awak belum kahwin kan?” Tengku Zamran Hakim cuba bersabar.

“La...tadi bukan beria-ria yakin. Sekarang ragu-ragu pulak?” Emily sengaja berteka-teki. Seronok melihat wajah tampan dihadapannya begitu.

“Awak...straight to the point tak boleh ke?” Perempuan ni macam tahu bagaimana mahu menaikkan darahnya.

“Ok...ok...Betullah tekaan awak.” Akhirnya Emily mengalah.

“Maksud awak, awak belum berkahwin?” Tengku Zamran Hakim meminta kepastian.

Emily hanya mengangguk.

Tengku Zamran Hakim tarik nafas lega.

“So, awak sudi jadi isteri saya? Maksud saya isteri pada umumnya, tapi hakikatnya tidak. Hanya mengaburi mata keluarga saya.”

“Maksud awak isteri kontrak?”

“Mungkin macam kontrak. Tapi, saya tak mahu apa-apa perjanjian dalam kertas. Tak perlu kertas kontrak. Tak perlu saksi.”

Emily mengerutkan dahinya kurang mengerti.

“Saya tak mahu nanti ada orang jumpa kontrak kita. Tak pasal-pasal semua orang tahu. Habislah saya.” Tengku Zamran Hakim menyambung apabila dilihatnya Emily seperti kebingungan.

“Boleh ke saya percayakan awak? Maklumlah lelaki ni kan...”

“Awak kena belajar mempercayai orang lain. Terutamanya lelaki.” Tengku Zamran hakim memintas.

Emily hanya menjungkit bahu. Matanya merenung makanan yang dipesan tadi. Hanya luak sedikit. Air minuman pula tinggal separuh.

“Sampai bila perkahwinan ni?” Tanya Emily selepas itu.

Tengku Zamran Hakim terdiam seketika. Memikir-mikir.

“Itu saya tak pasti. Mungkin setahun, mungkin dua tahun. Bila tiba masanya kita akan berpisah.” ujar Tengku Zamran Hakim. 'Kau memang gila Zam.' detik hatinya. Kerja paling gila yang dia pernah buat inilah.

Emily tarik nafas. Cuba memikirkan baik-buruknya jika dia bersetuju.

“Baiklah. Saya setuju.” Emily menuturkan kata-kata itu tenang. Biarlah. Demi bonda.

Tengku Zamran Hakim tersenyum lega.

“Ada apa-apa ganjaran atau syarat yang awak nak minta?”

Emily menggeleng. “Tak perlu.”

“Awak terima pernikahan ni tanpa syarat atau ganjaran? Awak ni peliklah. Lagi satu, saya nak tanya kenapa awak boleh bersetuju untuk pernikahan gila ni?” Tanya Tengku Zamran Hakim pelik.

Dah tahu pernikahan gila buat jugak. Detik hati Emily. “Kerana saya juga berada dalam situasi yang sama dengan awak.”

Berkerut dahi Tengku Zamran Hakim. 'Situasi yang sama dengan aku?' Walaupun pelik dengan ayat yang terkeluar dari bibir comel dihadapannya, tetapi tidak pula dia bertanya lanjut.

“Lepas kahwin nanti, kita akan tinggal di rumah keluarga saya untuk beberapa bulan. Kemudian baru kita bincang untuk tinggal di rumah lain.” ujar Tengku Zamran Hakim seolah-olah sudah merancang semuanya.

“Maknanya saya kena duduk sebilik dengan awak untuk beberapa bulan?”

Tengku Zamran Hakim mengangguk. “Jangan risau. Tak ingin saya 'usik' awak.”

Emily mencebik. Ego sungguh! Tiba-tiba perasaan meluat muncul dalam dirinya. Macam manalah aku nak hidup sebumbung dengan dia ni.

“Awak yakin ke kita takkan bertekak atau bertelagah pendapat lepas kahwin? Saya tak mahu ada orang syak pulak nanti.”

“Itu saya tak jamin.”

No comments:

Post a Comment