Saturday, February 21, 2009

Hati yang Terluka 35

Tengku Zamran Hakim menyandar lesu pada dinding di ruang menunggu. Sejak tadi tidak jemu-jemu dia menunggu. Pakaiannya yang basah juga masih belum berganti.

“Banyak bersabar, Zam.” Naufal menepuk-nepuk bahu Tengku Zamran Hakim. Dia tidak dapat merungkai apa yang bermain di fikiran sahabatnya itu. Hanya Tengku Zamran Hakim yang menaggung segalanya dan hanya dirinya sendiri yang mengerti.

“Kalaulah aku selalu ada di sisi Emy…mesti benda ni tak jadi.” Keluh Tengku Zamran Hakim.

“Semua ni memang sudah ditakdirkan. Kau tak boleh salahkan diri kau. Kau dah cuba sedaya upaya selamatkan Emy. Aku pun belum tentu mampu nak buat apa yang kau buat tadi. Kau langsung tak fikir nyawa kau yang mungkin akan turut terkorban.”

“Masa tu aku cuma fikir perkara lima belas tahun yang lepas. Aku tak mahu peristiwa tu berulang. Paling penting, aku betul-betul takut kehilangan Emy.” Tengku Zamran Hakim mengurut kepalanya yang berdenyut.

Naufal mengerti. Siapa yang sanggup kehilangan orang yang dicintai?

“Aku terlupa nak telefon keluarga aku.” Kata Tengku Zamran Hakim selepas itu.

“Aku dah call tadi. Mereka dalam perjalanan ke sini. Jue pun dah beritahu pada bonda Emy.” Dia, Syiqa, dan Juita membuat keputusan mengikut ambulans yang dinaiki Tengku Zamran Hakim dan Emily. Afiqah tidak mengikut kerana membantu menguruskan majlisnya, namun berjanji akan datang keesokan harinya. Amir mahu turut serta pada mulanya, namun awal-awal lagi sudah ditegah Juita.

“Thanks Fal. Majlis kau macam mana?” Baru dia teringat pada majlis Naufal yang menjadi kecoh kerana kejadian yang menimpa Emily.

“Abah dengan mak aku uruskan.”

“Kau jangan fikir pasal tu lah. Sekarang ni, kau tumpukan pasal Emy dulu.” Syiqa mencelah.

“Aku tak sangka Maria sekejam tu. Macam mana kau kenal dengan Maria, Nad?” Juita meyoal. Marahnya masih belum hilang.

Syiqa mengeluh. “Anak kawan ayah aku.”

“Amir pulak?"

“Client Naufal.”

“Patutlah kau jemput dia.”

“Sebenarnya aku jemput diorang berdua tu sebab nak bongkar pasal Zam dengan Emy. Tapi tak sangka jadi macam ni. Sekarang benda ni dah jadi kes polis. Maria tu dah comfirm bermalam dalam lokap malam ni.” Syiqa menggeleng. Masih terbayang Maria yang meronta-ronta digari tadi.

“Keluarga Zam dah sampai.” Juita memandang ahli keluarga Tengku Zamran Hakim yang baru tiba.

“Macam mana dengan Emy?” Raja Muzairah bertanya kalut.

“Belum ada berita. Doktor pun belum keluar lagi.” Beritahu Juita.

“Sebenarnya apa yang jadi ni? Macam mana boleh jatuh dalam tasik tu?” Kecoh Vila Astana apabila menerima panggilan telefon dari Naufal sebentar tadi.

“Sebanarnya, masa kejadian tu kami tak ada di situ. Tapi ada orang nampak Maria tolak Emy.” cerita Syiqa.

“Maria? Maria anak Tan Sri Shuhaimi tu?” Tengku Zaidi terperanjat.

Syiqa mengangguk.

Mengucap panjang mereka yang berada di situ.

“Apa yang nak dimarahkan sangat pada Emy tu?” tanya Tengku Zaidi lagi sambil menggeleng tidak percaya.

“Mungkin sebab Zam tak mahu dia. Tu jadi macam tu. Mak dia pun sibuk sangat nak jodohkan Maria dengan Zam. Saya pulak buat tak faham bila Kamariah tu berkias.” ujar Raja Muazairah pula. Matanya memandang Tengku Zamran Hakim yang diam dari tadi. Ada sesuatu yang menghairankannya.

“Boleh pulak kamu tahan lama duduk dalam hospital ni Zam. Selalunya nak mengelat memanjang.”

Tengku Zamran Hakim terkedu. Sungguh, kerana terlalu risau dia langsung terlupa mengenai kelemahannya yang satu itu. Patutlah kepalanya terasa berdenyut dari tadi. Rupanya kerana bau hospital ini.

Tidak lama kemudian, kelihatan pula Puan Zharifah yang dipimpin Tengku Tajuddin.

Tengku Zamran Hakim memandang serba-salah wajah sembab Puan Zharifah. Raut wajah Ayah Dinnya juga mendung. Makin tebal perasaan bersalahnya.

“Emy tak apa-apa kan Zam?” sebak suara Puan Zharifah. Air matanya tidak henti-henti mengalir.

Tengku Zamran Hakim diam. Tidak tahu apa yang patut dikatakannya.

Tiba-tiba pintu bilik kecemasan ditolak dari dalam. Muncul seorang doktor dengan pakaian seragamnya.

“Boleh saya tahu siapa Tengku Zamran Hakim, suami kepada Puan Tengku Emily Natasha?" tanyanya.

Semua mata terarah pada Tengku Zamran Hakim.

“Saya. Bagaimana dengan keadaan isteri saya?" tanya Tengku Zamran Hakim risau ketika menghampiri doktor tersebut. Dadanya berdebar. Seolah ada berita buruk mengenai Emily.

“Kalau lambat sikit dia dibawa ke sini tadi, memang kami tak boleh nak membantu lagi. Sekarang ni pun, dia masih tidak sedar. Saya cuma boleh katakan sekarang isteri Tengku berada dalam keadaan koma." Ujar doktor awal 40-an itu.

“Koma?”

Puan Zharifah menekup mulut. Tengku Tajuddin memeluk isterinya. Air matanya tidak dapat dibendung dari turut sama mengalir.

Doktor Sarimah mengangguk. “Hanya itu yang boleh saya katakan mengenai keadaan isteri Tengku. Kalau boleh saya tahu, isteri Tengku pernah mengalami keadaan yang sama sebelum ini?”

Lambat-lambat Tengku Zamran Hakim mengangguk. Peristiwa lampau itu menjengah kembali.

“Hasil daripada ujian, menunjukkan tanda-tanda perkara yang sama pernah berlaku. Tanda-tanda inilah yang menyebabkan keadaan isteri Tengku bertambah parah dan mungkin…” penerangan Doktor Sarimah terhenti seketika.

“Saya rasa Tengku juga mengerti apa yang saya cuba maksudkan. Tengku perlu bersedia walau apapun yang berlaku selepas ini.” Sambungnya.

Tengku Zamran Hakim mengetap bibirnya. Kalaulah apa yang didengarnya ini hanya mimpi…

“Dan, paling saya takut…kandungannya mungkin tidak dapat bertahan jika keadaannya terus begini.” Ujar doktor itu lagi.

Tengku Zamran Hakim tersentak. Matanya tepat memandang Doktor Sarimah. “Kandungan? Maksud doktor?”

“Ya, kandungan. Tengku tak tahu yang isteri Tengku mengandung lapan minggu?”

“Isteri saya...mengandung?” nafasnya tersekat.

Doktor Sarimah mengangguk lagi, teragak-agak. “Saya tak pasti sama ada ini masa yang sesuai untuk saya ucap tahniah. Keadaan isteri Tengku sendiri pun saya tak boleh nak kata apa. Berserah pada takdir, banyak-banyakkan berdoa agar semuanya selamat.”

Sehingga doktor tersebut berlalu, Tengku Zamran Hakim masih terpaku di situ. Dia kehilangan kata. Emily mengandung?

“Emy mengandung, Zam?” Raja Muzairah bertanya mahukan kepastian dengan apa yang didengarnya tadi.

Puan Zharifah sudah terduduk. Tengku Tajuddin masih setia di sisi isterinya itu.

Rozina, Farhana, dan Farzana memandang sesama sendiri. Doa mereka bertiga yang mahukan anak saudara dari Emily dan Tengku Zamran Hakim hampir tercapai. Hanya Emily satu-satunya harapan mereka untuk memberikan waris pada keluarga itu. Tapi berita tentang keadaan Emily membuatkan harapan mereka hanya tinggal harapan.

Air mata Juita semakin laju mengalir. Tangannya menggigil. Takut untuk marasai kehilangan lagi.

Tengku Zamran Hakim terus membisu. Perasaan bersalahnya bertimpa-timpa bila terbayang wajah pucat Emily setelah mereka bertemu kembali seminggu yang lepas. Dengan masalah yang dia timbulkan ditambah pula bila mengandungkan zuriatnya, pasti kesihatan isterinya itu terganggu. Air matanya menistis untuk kesekian kalinya.

Naufal hanya mampu memandang keadaan sahabatnya. Begitu berat dugaan untuk Tengku Zamran Hakim dan Emily tempuhi.

Syiqa memandang Naufal dan berkata perlahan. “Mungkin Allah beri ujian yang bermacam pada mereka sekarang untuk hadiahkan kebahagiaan yang lebih bernilai pada mereka satu masa nanti.”

Naufal membalas pandangan Syiqa. Dalam sungguh makna yang diucapkan isterinya. “Kita kena pergi balai polis kan?”

Syiqa mengangguk. “Kita pergi sekarang. Tadi kita janji nak bagi keterangan lepas tahu keadaan Emy.”

Naufal menghampiri Tengku Zamran Hakim. “Aku nak pergi balai polis. Buat keterangan. InsyaAllah esok aku datang lagi.”

“Bila kau berangkat?”

“Sabtu minggu depan. Aku harap masa tu kau dan Emy datang sama-sama ke airport.”

Tengku Zamran Hakim mengeluh berat. “Harap-harap macam tu lah.”

“Banyakkan sabar. Allah menguji hambanya bersebab. Allah tahu kau mampu untuk hadapi dugaan ini.” Mata Naufal memerah ketika menuturkan kata-kata itu. Sedikit sebanyak dia dapat merasakan kesedihan yang ditanggung sahabatnya itu.

“Aku yakin Emy dapat bertahan selagi ada kau di sisinya. Saat-saat macam ni lah Emy amat perlukan semangat dari kau. Kau perlu kuat semangat untuk Emy dan anak kau.” Syiqa mencelah memberikan kata-kata semangat.

“Thanks.” Tengku Zamran Hakim tersenyum hambar. Matanya menghantar pemergian Naufal dan Syiqa.

“Lebih baik kita sembahyang hajat berjemaah untuk Emy. Hanya itu yang kita mampu lakukan sekarang. Berserah pada Allah. Dia lebih mengetahui segala-galanya.” Tengku Tajuddin mengesat matanya. Parasaan sedihnya tidak mampu diluahkan. Belum sempat dia mohon maaf pada anak gadisnya, tiba-tiba sahaja dia terpaksa menerima hakikat yang anak gadisnya itu sedang betarung nyawa antara hidup atau mati.

* * * * *

“Mummy balik dulu. Pagi-pagi esok mummy datang lagi. Kamu jaga Emy dan cucu mummy tu elok-elok. Mereka perlukan kamu sekarang ni.” Pesan Raja Muzairah setelah melihat keadaan Emily. Sepenuh harapan dia mengharapkan Emily dan cucunya yang dalam kandungan selamat.

“Betul cakap mummy kamu tu Zam. Jaga menantu dan cucu daddy tu baik-baik.” Tengku Zaidi tidah mahu melepaskan peluang meninggalkan pesan.

Tengku Zamran Hakim hanya mampu mengangguk.

Tengku Tajuddin memandang Tengku Zamran Hakim. “Kamu pun Zam, jangan tanggung masalah kamu sorang-sorang. Jaga kesihatan kamu. Kalau kamu sakit, macam mana nak jaga Emy?”

Puan Zharifah yang berada di sebelah suaminya mengiakan. Kasihan melihat wajah menantunya yang kelihatan agak pucat. Mungkin letih kerana terlalu memikirkan keadaan Emily.

“InsyaAllah.” Balas Tengku Zamran Hakim.

“Akak pulang dulu ya Zam. Jaga Emy untuk kami. Anak buah kami tu pun, tolong jaga ya.” Rozina mewakili biras-birasnya yang lain.

Tengku Syahmi menepuk-nepuk bahu adiknya memberikan semangat. Adik-beradiknya yang lain turut melakukan hal yang sama.

“Emy satu-satunya harapan untuk lahirkan zuriat dan menyambung salasilah keluarga ni. Jaga adik ipar dan anak saudara kami tu.” Ujar Tengku Rizal. Adiknya itulah harapan mereka untuk memenuhi keinginan mummy mereka yang mahukan cucu.

“Dah nak jadi papa adik Bang Chik ni.” Tengku Aizat tersenyum.

Juita pula menghampiri Tengku Zamran Hakim. “Aku yakin Zam yang aku kenal sekarang dengan budak lelaki lima belas tahun yang lalu akan terus tabah untuk orang yang dicintainya.”

* * * * *

Tengku Zamran Hakim menolak pintu wad yang menempatkan Emily setelah ahli keluarganya pulang. Pilu hatinya melihat wajah pucat isterinya yang terbaring kaku.

“Sayang…” sebutnya perlahan. Jemari runcing Emily digenggam lembut. Tubir matanya bertakung.

“Abang rindu sayang sangat-sangat.” Air matanya mengalir perlahan. Sungguh, dia benar-benar rindukan isterinya itu. Rindu dia untuk merenung wajah jelita itu. Rindu mendengar gelak tawa Emily. Rindu melihat senyum manis isterinya. Rindu untuk mengusik sehingga merah pipi isterinya itu dan akhirnya pasti Emily merajuk. Rindu dia untuk memujuk Emily yang sering merajuk apabila diusik. Dia rindukan segala-galanya tentang Emily. Mungkinkah semua itu dapat diulang kembali?

“Abang tak kisah kalau sayang nak merajuk satiap saat sebab abang pernah cakap abang takkan pernah jemu memujuk. Tapi…satu yang abang minta. Sayang perlu bertahan demi kita. Demi anak kita.” Ujarnya sayu. Pipi Emily dikucup lembut.

Dia menyentuh pula perut Emily. “Masa doktor kata sayang mengandung, tak dapat abang gambarkan perasaan abang. Abang gembira. Tapi sepatutnya kita tahu berita gembira ni sama-sama. Bukan dalam keadaan sayang yang macam ni.”

“Abang rela kalau abang yang gantikan tempat sayang. Abang nak tanggung segala penderitaan sayang.” Jemarinya mengusap lembut pipi Emily.

“Sayang…kenapa kita berpisah kemudian bertemu dan berpisah, lepas tu bertemu kembali dan berpisah lagi sehingga akhirnya kita bertemu dalam keadaan sayang yang seperti ini? Nyawa abang turut sama melayang bila tahu sayang lemas. Abang teringat peristiwa tu…tapi sebab peristiwa lemas tu lah budak perempuan yang benci sangat-sangat dengan budak lelaki tu boleh berbaik.”

Tengku Zamran Hakim menarik nafas sebelum menyambung. “Sama macam mula-mula kita jumpa beberapa bulan yang lepas. Setiap kali jumpa pasti bertekak. Patut abang rasa dekat dengan sayang masa kita jumpa tu. Rupanya sayang budak perempuan tu. Kalaulah abang tahu lebih awal maksud T.E.N tu Tengku Emily Natasha, pasti peristiwa macam ni tak kan berlaku. Sayang pun tak menderita macam sekarang.”

Emily terus kaku. Tengku Zamran Hakim mengeluh berat.

“Sayang…bangunlah…banyak yang abang nak cerita pada sayang. Bagi abang peluang kedua untuk membahagiakan sayang dan anak kita. Abang janji abang takkan lukakan sayang lagi.” Setitik air matanya jatuh mengenai wajah Emily.

Sunday, February 15, 2009

Hati yang Terluka 34

“Datang jugak kau. Risau jugak aku kalau-kalau kau tak datang.” sapa Naufal dari khemah tempatnya berdiri apabila Tengku Zamran Hakim menghampirinya.

“Kenapa pulak nak risau?” Mata Tengku Zamran Hakim sempat meliar pada sekeliling rumah tepi tasik itu. Lampu sudah menerangi keseluruhan kawasan. Agak ramai tetamu yang sudah membanjiri khemah-khemah yang terpacak.

“Kau akan tahu kejap lagi.” balas Naufal penuh makna.

“Ha! Itu dia. Dah sampai pun.” Sambung Naufal sambil menunjuk pada wanita yang tersenyum menghampiri mereka.

Sekali lagi Tengku Zamran Hakim diterpa tanda tanya.

“Hai…saya Afiqah. Saya tahu awak tak kenal saya. Tapi saya kenal awak. Dan, baru hari ini saya berpeluang bertemu dengan awak.” Afiqah memperkenalkan dirinya. Matanya meneliti Tengku Zamran Hakim yang bergaya kasual dengan t-shirt lengan panjang disingsing ke siku dan jeans. Kacak! Walau wajah itu kelihatan menanggung beban masalah yang berat, tetap terlihat ketampanannya. Memang padan benar dengan Emily.

Naufal memandang Afiqah sambil menjungkit keningnya seolah bertanyakan sesuatu.

“Dia datang lambat sikit.” Kata Afiqah berbisik perlahan memahami maksud pertanyaan Naufal.

Naufal mengangguk. “Barang penting yang aku suruh bawak tu ada?”

“Ditanggung beres.”

Tengku Zamran Hakim cuma memandang tingkah mereka yang aneh. Tapi tidak pula berminat untuk bertanya.

“Zam, jom ke dalam. Syiqa dah menunggu.” Ajak Naufal.

Tengku Zamran Hakim nampak terpinga-pinga. “Ada sesuatu yang tak kena ke? Kenapa pulak nak masuk ke dalam.”

“Lebih privasi. Macam yang aku cakap sebelum ni, tentang jawapan yang dah lama kau cari.”

“Habis tu, tetamu-tetamu kau macam mana?”

“Mak dan abah aku ada. Ayah dengan umi Syiqa pun ada sekali. Aku dah beritahu pada mereka.”

Mereka bertiga melangkah menuju ke dalam rumah. Tengku Zamran Hakim pula makin berdebar dadanya. Sejak dari rumah tadi perasaannya tidak enak. Seperti ada sesuatu yang akan berlaku nanti. Ah, mungkin cuma mainan perasaannya.

* * * * *

Mereka berempat duduk bertentangan di bilik bacaan. Tengku Zamran Hakim masih diburu persoalan demi persoalan. Masih menunggu dengan debaran.

“Zam, sebelum semua jawapan yang kau cari terjawab, aku nak tanya kau apa sebenarnya yang terjadi di Kampung Tok Penghulu lima belas tahun yang lepas.” Syiqa memulakan bicaranya. Malam ini, segalanya perlu dibongkar!

Tengku Zamran Hakim tersentak. Kampung Tok Penghulu? “Macam mana kau tahu pasal kampung tu? Dan peristiwa lima belas tahun yang lepas pun… kau tahu?”

“Kalau kau ingat pasal rombongan anak angkat dari bandar, mesti kau masih ingat ada seorang budak perempuan yang menumpang rumah Mak Cik Zai dan Pak Cik Kahar.”

Agak lama Tengku Zamran Hakim terdiam.

“Budak tu…kau?” tanyanya teragak-agak.

Syiqa mengangguk.

Naufal dan Afiqah hanya menjadi pendengar. Buat sementara, biar Syiqa yang bersoal jawab dahulu kerana antara mereka bertiga, Syiqa yang lebih mengetahui hal tersebut.

“Kanapa tiba-tiba kau ungkit pasal ni?” Tengku Zamran Hakim mendengus. Sebolehnya dia tak mahu mengingat lagi perkara yang melukakan itu. Kenapa tiba-tiba peristiwa lampau itu ditimbulkan kembali? Apa tujuan mereka sebenarnya?

“Sebab aku baru tahu kebenaran yang menjadi tanda tanya aku sebelum ni. Aku baru tahu kau budak lelaki yang sepupu dengan Kak Imah tu.”

“Macam mana kau boleh tahu?”

“Fiqa...tunjukkan pada Zam.” Suruh Syiqa pada Afiqah.

Afiqah mengeluarkan kotak baldu yang dibawanya tadi dan diletak pada meja kecil yang berada ditengah-tengah antara mereka. Kotak tersebut dibuka perlahan, dan terserlah isi di dalamnya.

Tengku Zamran Hakim terpana di tempatnya melihat isi kotak baldu tersebut. Klip rambut bunga tulip! Perlahan diambil klip tersebut. Masih seperti dulu. Berkilau. Matanya memandang Syiqa dengan seribu pertanyaan.

“Aku yakin kau pasti masih ingat dengan klip rambut tu.”

“Klip rambut ni aku bagi pada…”

“Budak tomboy tu kan?” potong Syiqa.

Tengku Zamran Hakim mengangguk lemah. “Tapi dia tipu aku.”

“Tak. Tak Zam. Kau silap.” Syiqa menggeleng berkali-kali.

“Aku silap?” berkerut Tengku Zamran Hakim menyoal.

“Boleh aku tahu, ada tak sesiapa yang sengaja mereka cerita atau cakap buruk pada kau pasal budak tomboy tu lepas dia tinggalkan kau dulu?”

“Kalau ya, kenapa?”

“Siapa? Kak Imah?” tanpa sabar Syiqa menyoal.

“Mana kau tahu?” Tengku Zamran Hakim sedikit terperanjat.

“Sebab dia jugak yang cakap buruk pasal kau pada budak tomboy tu.”

“Cakap buruk pasal aku?”

Syiqa mengangguk. “Emm…Kak Imah cakap buruk pasal kau depan budak tomboy tu.” ulang Syiqa lagi.

“Maksud kau?”

Syiqa menarik nafas. “Zam, depan aku Kak Imah hina dia. Dia cakap kau sebenarnya saja nak mainkan budak tomboy tu. Dia suruh budak tomboy tu sedar diri dan paling teruk dia kata budak tomboy tu anak luar nikah. Tapi dia kata, semua tu keluar dari mulut kau.”

“Mengarut!” suara Tengku Zamran Hakim meninggi. Sumpah, tidak pernah terlintas difikirannya perkataan-perkataan tersebut apatah lagi untuk diucapkan.

“Betul Zam. Itulah yang Kak Imah cakap. Kata Kak Imah lagi, masa budak tu hampir lemas, kau yang sengaja bocorkan pelampung tu. Petang lepas Kak Imah jumpa dia, budak tu jatuh sakit dan malam tu jugak dia balik sebab demam panas teruk.”

Tengku Zamran Hakim tersandar lemah. Jadi, semua yang berlaku ini hanya satu salah faham yang dicipta Hazimah? Tidak menyangka, seburuk itu perangai sepupunya itu.

“Yang aku tak faham, apa tujuan Hazimah buat semua benda ni.”

“Sebab dia cintakan kau. Dia cemburu.” Syiqa teringat apa yang diberitahu Hazimah padanya dulu.

Tengku Zamran Hakim meraup wajah. Baru dia teringat, pada waktu itu dia buat sambil lewa layanan Hazimah padanya. Buat tidak mengerti maksud disebalik layanan tersebut.

“Mana kau dapat klip ni?” tanyanya selepas itu. Pasti mereka yang berada di hadapannya kenal dengan pemilik klip tersebut. Kalau tidak mengapa klip tersebut boleh berada ditangan mereka.

“Fiqah, aku serah pada kau untuk jelaskan.”

Afiqah mengangguk. Faham akan peranannya. “Pemilik klip ni tinggal dengan saya. Ada satu hari tu, saya pernah nampak dia belek klip ni sambil menangis. Mulanya saya buat tak kisah, lepas tu baru saya teringat cerita sahabat saya. Sahabat saya tu ada cerita pasal kisah unik cinta monyet kawannya yang tidak kesampaian. Saya call balik kawan saya tu, minta kepastian. Dan, tekaan saya betul.”

“Habis, macam mana awak tahu saya yang bagi klip tu pada rakan awak?”

“Itu biar saya yang jawab.” Tiba-tiba ada suara yang mencelah. Juita yang baru tiba terpacak di pintu bilik.

“Datang jugak kau. Apasal lambat?” Syiqa tersenyum lega melihat kemunculan Juita.

“Jalan sesak.” balasnya mengah.

“Aku serah pada kau, Jue.” Ujar Afiqah pula.

Juita melabuh duduk di sebelah Afiqah. “Saya tahu masa saya teman bonda hari yang awak terangkan pada keluarga awak pasal kehilangan Emy. Saya ternampak gambar waktu awak sekolah dulu. Patutlah lesung pipit awak macam pernah saya tengok sebelum ni. Rupanya memang awak.”

“Awak pun tahu pasal peristiwa lima belas tahun tu?” Tengku Zamran Hakim bertambah pelik.

“Sebab saya satu rombongan dengan Nad.” Juita memandang Syiqa.

“Tapi, takkan satu rombongan tahu pasal kisah ni.” Tak masuk akal langsung!

“Saya tahu sebab saya orang paling dekat pada pemilik klip tersebut.” Juita berkias.

“Siapa lagi yang awak rapat selain Em…” Tengku Zamran Hakim tersentak. Dia seolah baru terjaga dari lenanya. Tubuhnya tegak.

“Tolong jangan cakap Emy tu…” Dia kehilangan kata. Rambutnya yang terjatuh ditolak ke belakang.

“Betul Zam…betul. Memang Emy.” Juita mengangguk beberapa kali.

“Emy dengan budak tomboy tu orang yang sama, Zam.” Syiqa pula mengiakan kata-kata Juita.

Tengku Zamran Hakim memincing mata. Tersandar lemah pada kerusinya. Sandiwara apa yang sedang dimainkan mereka? Kenapa semua yang terjadi ini bagai satu kebetulan? Jadi, Emily adalah gadis tomboy yang dicari-carinya selama ini? Gadis yang membuatkan hatinya tutup pada semua wanita dan terbuka kembali setelah menjumpai kuncinya, Emily. Sesungguhnya perancangan Allah itu langsung tidak pernah tercapai oleh akal warasnya.

“Emy…dah tahu pasal ni?” tanyanya sayu selepas itu.

“Aku rasa, Emy dah tahu. Kalau tak takkan Emy boleh kenal Hazimah.” Jawab Syiqa. Teringat bagaimana Emily boleh mengetahui nama penuh kakak angkatnya itu ketika majlis perkahwinannya bulan lepas.

“Habis, kenapa Emy tak cakap langsung pasal ni?” kecewa nadanya. Kalaulah dia lebih awal tahu tentang ini, pasti kemelut yang berlaku antara dia dan Emily sekarang takkan terjadi.

“Mungkin Emy pernah nak cakap, tapi belum ada kesempatan.” Tambah Juita. Simpati dia melihat raut Tengku Zamran Hakim yang bercelaru.

Tuk! Tuk!

Pintu bilik bacaan tersebut diketuk kuat dari luar. Mereka berpandangan.

“Pak Long. Buka pintu cepat.” Kali ini suara memanggil pula kedengaran.

Naufal bangun untuk membuka. Kelihatan anak buahnya yang sedang termengah-mengah.

“Kenapa ni Haikal?”

“Nenek suruh bagitahu Pak Uda ada orang jatuh dalam tasik.” Beritahu anak buahnya itu.

“Ya Allah…macam mana boleh jadi macam tu? Siapa yang jatuh?” cemas Naufal bertanya.

“Haikal tak tahu. Tapi perempuan. Ada orang nampak ada seorang perempuan tolak perempuan tu.”

Berdebar-debar dada Tengku Zamran Hakim mendengarkan itu. Hatinya benar-benar tidak enak. “Fal, Emy datang tak majlis ni?”

“Aku ada jemput. Aku suruh Syiqa pujuk dia datang. Rasanya Emy dah sam...” Tergantung ayatnya apabila dipintas Tengku Zamran Hakim.

“Jom kita ke sana. Hati aku tak sedaplah.” Tengku Zamran Hakim mengajak tanpa sempat Naufal menghabiskan kata.

“Betullah cakap Zam. Mari kita tengok apa yang berlaku dekat tasik tu. Kenapalah tiba-tiba boleh jadi kecoh macam ni.” Syiqa mengeluh.

Juita mengangguk. “Jom cepat. Aku pun dah rasa lain macam ni.”

“Aku pun nak ikut.” Afiqah mencelah antara mereka.

Apabila mereka tiba di kawasan tasik tersebut, orang ramai sudah mula mengerumuni.

“Kenapa ni?” Naufal bertanya pada salah seorang tetamunya yang berada di kawasan tersebut.

“Ada orang jatuh. Orang kata, perempuan tu yang tolak.” Beritahunya sambil mengunjuk ke arah satu susuk tubuh.

Naufal menoleh. “Maria?”

Syiqa dan Juita berpandangan. Turut melihat ke arah yang sama. Kelihatan Maria dan Amir bertekak di situ.

Tengku Zamran Hakim mendengar teliti bait-bait pergaduhan mulut antara Maria dan Amir.

“Yang you tolak dia tu kenapa?” jerkah Amir.

“Hati I sakit tahu tak. I betul-betul nak perempuan tu lenyap!” Balas Maria juga dalam nada meninggi.

“Amir, siapa yang jatuh dalam tasik?” Naufal mencelah, seolah mengerti perasaan yang melanda Tengku Zamran Hakim.

Terhenti seketika perang mulut antara Maria dan Amir. Wajah Amir kelihatan tidak senang ketika matanya terpandang Tengku Zamran Hakim. Mulutnya teragak-agak untuk memberitahu.

“Siapa?” desak Tengku Zamran Hakim pula.

“Err…E…E…Emy…” ujar Amir tergagap-gagap.

“Apa?!” Tengku Zamran Hakim terasa dadanya seperti mahu pecah. Maria dipandang dengan pandangan yang tak dapat diertikan. Tajam. Marah.

“Maria! Kau ni kenapa hah?” bergetar suara Syiqa menahan geram. Niatnya menjemput Maria ke situ untuk membongkarkan hubungan antara Tengku Zamran Hakim dan Emily. Mahu Amir dan Maria sedar dan tidak mengharap lagi pada pasangan tersebut. Namun, kejadian yang berlaku ini benar-benar di luar jangkaannya.

Maria diam. Tiada riak bersalah di wajahnya.

“Habis tu, dah call pasukan penyelamat?” Naufal bertanya selepas itu. Risau dia melihat Tengku Zamran Hakim yang seperti kehilangan kata.

“Dah. Mereka dalam perjalanan ke sini.”

Juita sudah terduduk lemah di rumput. Afiqah mengusap perlahan belakang temannya itu.

“Zam, macam mana ni? Emy tu…” Juita tidak menyudahkan kata kerana terperanjat melihat Tengku Zamran Hakim yang sudah terjun ke dalam tasik.

Semua yang berada di situ turut terkejut. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.

Amir terlopong. Mana mungkin dalam keadaan cahaya malap begini, ditambah dengan keluasan tasik dan paras air yang tinggi, sesuatu yang dirasakan amat mustahil jika Tengku Zamran Hakim dapat menemui Emily.

Maria pula terkedu di tempatnya. Sedalam manakah cinta Tengku Zamran Hakim pada Emily sehingga sanggup mempertaruhkan nyawanya begitu?

‘Bagus Zam. Aku tahu kau lebih memahami segala tindak-tanduk kau. Dan, ini memang tindakan terbaik yang patut kau buat.’ detik Naufal sendirian. Kagum melihat sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk isteri yang dicintainya.

Mereka masih setia menunggu. Lima belas minit telah berlalu. Namun kelibat Tengku Zamran Hakim masih belum kelihatan.

“Bie, macam mana ni? Zam tak naik lagi.” Syiqa bersuara risau.

“Cuba bawak bertenang sikit. Bie yakin pada Zam. Zam pasti akan jumpa Emy. Ha, pasukan penyelamat pun dah sampai tu.” Pujuk Naufal sambil mengunjuk pada sekumpulan penyelamat yang baru tiba.

Namun belum sempat kumpulan tersebut memulakan kerja, kelihatan tubuh lampai Tengku Zamran Hakim yang muncul dari tasik. Tangannya mencempung sesusuk tubuh yang tidak bermaya.

Tetamu yang mengerumuni tadi terperanjat besar. Jika tadi mereka merasakan amat mustahil, kini perasaan kagum mula terbit. Masing-masing tertanya-tanya hubungan lelaki dan gadis tersebut sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa begitu sekali.

Pasukan yang baru tiba turut terpinga-pinga. Mata Amir membuntang tidak percaya. Maria mengetap bibir, geram.

“Sama seperti lima belas tahun yang lepas…” Syiqa berkata sayu.

Juita mengangguk lemah. Air mata kesyukuran mengalir di pipinya. “Dari dulu hingga sekarang…Emy memang perlukan Zam.”

“Perkara ni pernah berlaku ke?” Afiqah bertanya agak terkejut.

“Orang yang sama lemas, orang yang sama selamatkan. Cuma jarak masa yang berubah.” Balas Syiqa pula.

Afiqah memandang kagum Tengku Zamran Hakim yang melangkah sambil mencempung tubuh Emily yang sudah tidak sedarkan diri. Kaget dia sebentar memandang wajah Tengku Zamran Hakim.

“Jue…cuba tengok Zam…” Afiqah menunjuk ke arah wajah Tengku Zamran Hakim.

Juita turut memandang. “Siapa yang tak sedih kalau orang yang dicintai sedang bertarung nyawa…”

Hati Tengku Zamran Hakim bagai ditusuk sembilu melihat wajah pucat Emily. Air mata lelakinya tumpah. Dia tidak peduli kalau semua yang berada di situ melihat. Mereka tidak mengerti gelodak perasaan yang ditanggungnya. Bagaimana dengan janjinya dengan keluarga untuk membawa Emily pulang dalam keadaan sihat walafiat? Wajah-wajah yang mengharap itu masih terbayang difikirannya. Tidak putus-putus dia berdoa agar isterinya itu dapat diselamatkan. Matanya merenung tajam Amir yang tiba-tiba menahan langkahnya.

“Aku rasa, baik aku yang bawak Emy. Aku yang paling layak.” Kata Amir yang tidak jemu-jemu mahu mempertahankan haknya.

Juita yang mendengar naik angin. “Layak kepala hotak kau!” jerkahnya bersama air mata.

“Apa hak kau nak tentukan siapa layak atau tak? Sepatutnya kalau kau rasa kau bertangungjawab pada Emy, pasti kau dah buat terlebih dahulu apa yang Zam buat. Bukan bertekak menyalahkan orang.” sambungnya. Nadanya masih sama. Geram dengan Amir yang masih tidak sedar diri.

“Tapi aku cintakan Emy...”

“Cinta saja tak cukup, Mir. Kalau inilah cara kau tunjukkan cinta, kau memang tak layak untuk Emy.”

“Aku terlebih dulu kenal dengan Emy, Jue. Dari lepas SPM lagi. Zam pulak baru lagi. Tapi kenapa mesti dia dulu yang Emy pilih? Aku pun risau masa Emy lemas tadi.” Amir masih tidak mahu mengalah.

Juita menggeleng mendengar kata-kata Amir. “Kau patut belajar makna setia selama lima belas tahun dari Zam dan Emy. Kalau kau rasa kau kenal Emy dah cukup lama, cuba kau bayangkan lama mana lima belas tahun itu. Mereka kenal sudah lebih lima belas tahun, Mir. Tentang perasaan risau yang kau katakan, cuba kau fikirkan perasaan seorang suami kalau isteri yang dicintainya mungkin tak dapat diselamatkan. Kalau kau rasa kau risau, fikirkan perasaan Zam.”

Amir rasa terhenyak. “Aku tak faham. Zam dan Emy…”

“Ya, mereka suami isteri.” Ujar Juita terus-terang. Malas mahu berkias dengn Amir yang tidak pernah mahu mengerti. Abang dan adik sama saja. Dua-dua menyakitkan hati.

Mulut Maria dan Amir ternganga mendengar sebaris ayat Juita.

“Jadi sekarang ni, siapa kau rasa lebih layak? Bayangkan perasaan seorang suami bila lelaki lain mengharapkan isterinya. Fikirkan…”

“Zam, cepat bawak Emy ke hospital.” Juita menyuruh.

Dengan berat hati, Amir berganjak sedikit memberi laluan pada Tengku Zamran Hakim. Tengku Zamran Hakim kembali melangkah apabila sudah tiada halangan di hadapannya.

Mereka di situ cuma memandang sayu Tengku Zamran Hakim yang menghampiri ambulans.

“Lagi satu Mir, cinta itu perlukan pengorbanan. Kau patut belajar dari Zam tentang ini.”

Sunday, February 8, 2009

Hati yang Terluka 33

Tengku Zamran Hakim menjumpai jalan buntu dalam pencariannya mencari Emily. Langsung tak dapat dijejak. Hari ini, pencariannya terpaksa diberhentikan buat sementara waktu kerana menolong Tan Sri Shuhaimi bertemu dengan clientnya. Ikutkan hatinya dia mahu menolak, namun memikirkan hubungan baik bapanya dengan Tan Sri Shuhaimi dia bersetuju dengan berat hati. Pintu bilik pejabatnya tiba-tiba ditolak dari luar.

“Hai Zam…you dah bersiap nak jumpa client?”

“Apa kena-mengena dengan you?”

“Abah ada kerja. Jadi dia suruh I ganti tempat dia. Emm…I rasa mungkin abah I nak bagi kita peluang berdua.” Ujar Maria manja. Bukan main dia memujuk abahnya menyerahkan projek kali ini padanya supaya dia dapat berada dekat dengan lelaki tampan itu. Sejak sebulan ini, Tengku Zamran Hakim langsung tidak mahu melayannya. Ingatkan, bila putus dengan Emily dia boleh mendekati lelaki itu, tapi sebaliknya pula yang berlaku.

“You jangan nak beranganlah Maria. Telinga I tak lalu dengar you merepek yang bukan-bukan.”

“Kenapa you layan I macam ni? Tiga minggu lepas elok je you layan I, layan panggilan-panggilan I.”

Tengku Zamran Hakim buat tak dengar. Briefcasenya dicapai dan melangkah keluar dari pejabat.

“I sedih tengok keadaan you sekarang. Ada kekasih pun tak guna. Jual body dengan bermacam jantan.” Maria masih cuba memancing perhatian Tengku Zamran Hakim.

Langkah Tengku Zamran Hakim berhenti mendadak. Matanya memandang tajam Maria. “Sekali lagi I dengar you cakap buruk pasal Emy…”

“Apa? You nak buat apa? Peduli apa I. Kalau perlu, lenyapkan perempun tu pun I sanggup.” Ujar Maria memotong kata-kata Tengku Zamran Hakim.

“Cuba sentuh dia kalau you rasa, you dah lama hidup.” Tidak pernah dia rasa sepedih itu sebelum ini. Hatinya turut sama terguris mendengar hinaan Maria tentang isterinya. Agaknya inilah perasaan Emily ketika mendengar hinaan darinya. Lukakan Emily samalah seperti merobek-robek sekeping hatinya. Langkahnya kembali diatur menuju ke kereta.

“I naik kereta you ya?”

“Tak boleh!” tegas Tengku Zamran Hakim sambil masuk ke dalam keretanya.

“Boleh la…Kitakan nak pergi tempat yang sama.”

“You ada keretakan? Naiklah kereta you sendiri. I tak nak kereta I kotor.” Dingin Tengku Zamran Hakim membalas sebelum memecut laju. Tak ada masa untuk bertekak dengan Maria.

Maria mengetap gigi ditinggalkan begitu sahaja. Bertambah geramnya mendengar kata-kata Tengku Zamran Hakim. Betapa hinanya dia pada pandangan mata lelaki itu. Arrghhhhh!

* * * * *

“Zam! Tunggulah I. Kenapa jalan laju sangat?” suara Maria terjerit-jerit memanggil Tengku Zamran Hakim sejak mereka tiba di bangunan Bumi Development. Mata-mata yang memandang jengkel dibiarkan.

Tengku Zamran Hakim buat tidak tahu. Tak ada masa melayan kerenah Maria yang merimaskan. Langkahnya semakin dilajukan. Perasaannya tidak menentu. Seperti akan ada sesuatu berlaku nanti.

Bukk!!!

Tubuhnya terlanggar seseorang yang baru keluar dari pintu lif. Seperti magnet, cepat sahaja tubuh tinggi lampai yang dilanggarnya disambut. Berterabur segala kertas yang dipegang gadis tersebut. Jantungnya berdegup kencang. Untuk sesaat dua pandangan mereka bertaut. Masing-masing terpaku di situ.

“Emy?” satu suara yang tiba-tiba mencelah di antara mereka, membuatkan dunia yang mereka cipta tadi pecah berderai.

“Tak nak lepaskan my girl ke?” Suara Amir kedengaran tidak puas hati. Bengang melihat tangan Tengku Zamran Hakim yang masih dipinggang Emily.

Terlepas tangan Tengku Zamran Hakim mendengar sebaris ayat tersebut. Pedih. Itulah yang dirasakan hatinya ketika itu. My girl? Dia silap dengar atau dia tersalah orang? Mana mungkin dia tidak dapat mengenal isterinya sendiri? Sebatu jarak mereka pun sudah cukup membuatkan hatinya berdegup rancak. Hanya Emily yang mampu membuatkan perasaannya begitu. Matanya memandang Emily dengan seribu pertanyaan.

Emily buat tidak mengerti dengan pandangan tersebut. Matanya dilarikan dari bertentang dengan mata redup itu. Kenapa takdir menemukan mereka kembali? Tidak cukupkah langkah yang dibukanya untuk menjauh dari lelaki itu?

“You tak apa-apa Zam?” giliran Maria mencelah. Sibuk membelek Tengku Zamran Hakim. Matanya menjeling tajam Emily. Hairan dia bila bertemu dengan gadis cantik itu di sini.

Wajah Emily berubah ketika Maria terjengul di situ. Tak mahu melayan perasaan, tangannya ligat mengutip kertas-kertas yang bertaburan di lantai. Setitik. Dua titik. Akhirnya mutiara jernih itu tidak henti-henti mengalir. Nafasnya ditarik beberapa kali mengawal emosinya. Tidak mahu orang-orang di situ sedar akan tangisannya.

Tengku Zamran Hakim turut sama menunduk, menolong isterinya itu mengutip kertas. Pada kertas terakhir yang tinggal, tangan mereka bertaut ketika sama-sama mahu mengambil kertas tersebut. Mereka berpandangan sebelum Emily mengalihkan matanya ke tempat lain.

Tengku Zamran Hakim terkedu melihat mata yang berkaca-kaca itu. ‘Jangan menangis, sayang.’ bibirnya berbisik lembut pada Emily.

Emily cepat-cepat bangun. Kertas yang sudah dikutipnya tadi diberi pada Amir.

“I nak pergi toilet.” Katanya sebelum melangkah pantas meninggalkan tempat tersebut.

Tengku Zamran Hakim mahu mengejar namun niatnya terbantut apabila semua seperti sudah bersedia untuk memulakan perbincangan.

* * * * *

Emily menyandarkan kepalanya pada dinding bilik air. Air matanya masih belum berhenti menitis. Kepalanya yang berdenyut dipicit perlahan. Sejak akhir-akhir ini kesihatannya tidak menentu. Mungkin terlalu banyak memikirkan masalahnya.

‘Jangan menangis, sayang.’ Suara itu kembali bergema di fikirannya. Sudah lama panggilan tersebut tidak menyapa telinganya.

Telefon bimbitnya berbunyi tiba-tiba.

“Emy, you dekat mana ni? Semua tengah tunggu you.”

“Sorry Mir. Kejap lagi I sampai.”

“You tak apa-apakan?” suara Amir kedengaran risau.

“Tak. I tak apa-apa. Kenapa you tanya?”

“Boleh I tanya something?”

“Pasal apa?”

“You dengan Zam dah putuskan?”

“Putus?” Emily terpinga-pinga.

“Yeah…I masih ingat lagi masa reunion kelas I dulu, you berpasangan dengan dia. Tapi, I harap sekarang ni you dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan lagi.”

Emily terdiam mendengarkan kata-kata Amir.

“You tahukan Emy, sampai sekarang I masih mengharapkan you.” Amir merayu di hujung talian.

“Tapi...”

“Emy, I tak harap jawapannya sekarang. You fikir dulu. Satu masa nanti, I akan tagih jawapan dari you. I harap masa tu cinta I terbalas.”

“Mir, I rasa you perlu tahu sesuatu…”

“I tak mahu dengar apa-apa sekarang, Emy. I bagi you masa untuk berfikir.” Amir cepat-cepat mematikan talian. Takut mendengar penolakan dari Emily yang entah untuk kali ke berapa. Dia mahu gadis itu berfikir sebaiknya.

Emily memandang kosong telefon bimbitnya. Geram dengan tingkah Amir. Langsung tak mahu mendengar jawapannya. Apa lagi yang boleh diberikan untuk lelaki itu jika sekeping hatinya sudah diserah pada lelaki lain? Lelaki yang lebih layak dan satu-satunya lelaki yang dapat mengetuk pintu hatinya.

Sejak dia tinggalkan rumah, dia menumpang di rumah rakan seuniversiti Kak Lia. Afiqah. Mujur dalam memikir-mikir tempat yang sesuai untuk dia berteduh, dia terserempak dengan Afiqah di masjid yang sama dia singgah selepas meninggalkan rumah. Sangka Afiqah dia Emilia. Terjerit wanita itu bila mengetahui kebenaran. Bersugguh mahu dia tinggal sekali dengannya. Pada Afiqah, disuruh merahsiakan keberadaannya pada Juita. Kalau Afiqah rakan seuniversiti Kak Lia, sudah tentu wanita itu rakan Juita kerana Juita dan Kak Lia satu universii.

Dan, siapa sangka dia lulus temuduga di Bumi Development berbekalkan sijil yang sentiasa tersimpan di dalam keretanya. Tiga hari dia memulakan tugas, dia bertemu dengan Amir. Memikirkan hubungan Amir dan Syazmir, terdetik di hatinya mahu meletak jawatan namun kontrak kerja yang ditanda tanganinya menghalang niatnya. Dia hanya mampu berdoa Amir tidak bercerita kepada abang tirinya tentang dirinya. Alhamdulillah, sampai kini bayang-bayang Syazmir masih belum kelihatan di pandangan matanya.

* * * * *

Mata Tengku Zamran Hakim tidak lepas dari memandang Emily yang berada di sisi Amir. Dia mahu mendekti Emily, tapi melihat cara isterinya yang tidak mahu memandangnya, rasanya dia perlu bertindak perlahan-lahan. Dia tidak mahu memaksa Emily kerana tak mahu hati yang sedia terluka itu bertambah terluka dengan sikapnya. Wajah isterinya itu nampak agak pucat. Tidak sihatkah dia?

Emily yang perasan pandangan mata Tengku Zamran Hakim menunduk. Sesekali dia melayan kerenah Amir yang berubah mendadak. Ada sahaja perkataan yang diucap Amir bagi mengguris hati Tengku Zamran Hakim.

Sebetulnya, selesai sahaja perbincangan tadi dia mahu pulang ke rumah. Namun tiba-tiba sahaja Amir mendesak dia untuk minum petang bersama Maria dan Tengku Zamran Hakim. Konon mahu berbual kosong dengan teman-teman lamanya. Pada mulanya dia menolak keras ajakan tersebut, namum kerana tidak mahu bertekak panjang dia mengalah.

“You two look great together. Macam loving couple pun ada. Amir, apa lagi? Tak takut terlepas?” Maria sengaja berkata begitu. Matanya menjeling Tengku zamran Hakim di sebelahnya.

“Itulah Mar. I tunggu green light dari Emy ni. Bila kami disatukan nanti, I akan pastikan kami tidak berpisah atau bergaduh. I tak nak rugi di kemudian hari sebab sakitkan gadis yng sesempurna Emy. Tak pasal-pasal pening kepala I memujuk.” Amir membalas sinis.

“Mir!” Emily memberi amaran keras. Amir benar-benar dah melampau.

“It’s okay Emy. I tahu you malu nak cakap pasal hubungan you dengan Amir. I pun ada perasaan yang sama bila dengan Zam. Bila I dah jadi suri Zam nanti, I takkan curang dengan dia. Nanti tak pasal-pasal ada yang bawak diri.” Giliran Maria menyindir. Ketawa sinis memandang Emily.

“Mar!” tegas nada Tengku Zamran Hakim. Matanya menjeling Emily. Sayu raut wajah jelita itu.

Emily tersenyum kelat.

“Tak sangka pulak you dengan Zam ada hubungan istimewa.” Amir turut sama ketawa tanpa memahami maksud yang tersirat. Langsung tidak menyedari kata-kata itu ditujukan khas buat Emily.

“Itulah. Kami putus tunang, tapi orang kata kalau dah jodoh tak ke mana kan? Maklumlah kami dah lama kenal. Sejak mula-mula masuk sekolah menengah lagi. Cuma, adalah orang luar yang tak sedar diri ni cemburu dengan kebahagiaan kami. Mujur kekuatan cinta kami teguh.”

“Stop it, Maria!” tengking Tengku Zamran Hakim. Kesabarannya sudah sampai kemuncak. Perhatiaannya tertumpu pada Emily yang sudah bangun dari duduknya.

“I dah janji dengan kawan I nak balik awal sikit. Jadi I terpaksa minta diri. Anyway, tahniah untuk you berdua.” Emily mahu berlalu cepat dari situ sebelum air matanya gugur.

“I hantar you?” Amir menawar diri.

Emily menggeleng. “I balik sendiri.”

Tengku Zamran Hakim perasan mata bundar Emily yang berkaca-kaca. Hari ini sudah dua kali mata itu berkaca. Serasa ingin dia belai tubuh itu dan meminjam dadanya untuk memujuk isterinya itu. Tapi tingkah Amir membantutkan tindakannya.

Maria merenung tajam langkah Emily. Gara-gara gadis itu, dia ditengking Tengku Zamran Hakim. Kau tak layak hidup, Emy!

* * * * *

Tengku Zamran Hakim menyandar lemah pada sofa di ruang tamu. Menenangkan fikirannya yang runsing. Kejadian petang tadi membuatkan hatinya resah.

Telefon bimbitnya berbunyi tiba-tiba. Berkerut dahinya memandang nombor yang tidak dikenali. Tapi tetap dijawabnya.

“Zam?”

“Amir?” Tengku Zamran Hakim menyoal kembali.

“Tak sangka kau kenal suara aku. Aku malas nak pusing sana pusing sini. Tujuan sebenar aku call kau ni, pasal Emy.”

Dia tidak membalas. Hanya menanti kata yang seterusnya dari Amir.

“Jangan ganggu Emy lagi. Aku tahu kau pernah lukakan dia. Aku tak nak kemunculan kau menggugat hubungan aku dengan Emy. Aku hanya menanti kata putus dari Emy untuk menyunting dia jadi suri aku.”

Tengku Zamran Hakim terhenyak di tempatnya. Ini amaran atau minta izin? Dan, perlukah dia mengalah?

“Zam, kalau kau cintakan dia, aku pun cintakan dia. Kau pernah lukakan dia, jadi beri peluang pada aku yang tak pernah lukakan dia. Kalau benar kau cintakan Emy aku rasa kau patut biarkan dia merasa bahagia. Dan, orang yang paling layak beri kebahagiaan pada Emy adalah aku. Lagi satu, aku rasa antara kau dengan aku, aku terlebih dahulu mengenali Emily. Sejak lepasan sekolah lagi. Jadi aku lebih layak untuk Emy.”

Tengku Zamran Hakim memicit kepalanya yang berputar hebat. Keputusan harus dibuatnya. Mungkin ini akan melukakan hatinya namun hakikat cinta perlukan pengorbanan mungkin diperlukan saat ini. Tidak kira tinggi melangit cintanya, kesilapan yang dibuat tidak mungkin dapat dibetulkan kembali. Kalaulah peluang kedua masih ada untuknya…

* * * * *

“Kenapa dengan kau ni? Sejak balik tadi kau asyik termenung. Naik hairan aku.” Afiqah menegur sambil natanya tidak lepas merenung raut Emily yang mendung.

Emily menggeleng. “Tak ada apa-apalah.”

“Inilah perbezaan kau dengan Lia. Betul apa yng Lia cakap dulu. Adik kembar dia suka sangat tanggung sorang-sorang kalau ada masalah. Dia pula lebih senang meluahkan.”

Emily terdiam. Namun dalam diam bersetuju dengan kata-kata tersebut. Memang benar. Walau mereka kembar seiras, namun banyak perangai dan sifat mereka berbeza. Baik dari segi kegemaran atau minat. Amat berbeza.

“Janganlah diam macam ni. Mana tahu aku boleh ringankan beban kau sikit. Sampai bila nak pendam macam ni? Aku dah janji dengan Jue akan jaga kau.”

“Janji dengan Jue?” Emily memandang Afiqah.

“Ha?” Afiqah terpinga-pinga seketika. Cuba mengingati kembali apa yang diucapnya pada Emily. Takkan aku terlepas cakap?

“Err…tak. Maksud aku kami bertiga kawan, dan sangat rapat. Kau kembar Lia, jadi aku rasa bertanggungjawab.” Dalihnya pantas.

“Oh…aku ingat kau bagitahu Juita pasal aku.”

Afiqah telan liur. Tekaan Emily memang mengena. Itupun baru hari ini diberitahu pada Juita. Ada satu perkara yang mengganggu fikirannya jadi dia mahukan kepastian dari Juita. Dan segalanya terjawab. Bukan dia sengaja mahu mungkiri janji, tapi ini semua dilakukan untuk menjernihkan kembali salah faham yang sudah terlalu lama terjadi.

Emily mengalihkan perhatiannya pada kaca televisyen. Namun fikirannya melayang mengingati kejadian petang tadi. Bibirnya digigit. Sanggupkah dia menerima hakikat suaminya itu sudah menjumpai penggantinya?

Afiqah yang melihat keadaan Emily menggeleng kecil. Sampai bila agaknya gadis itu mahu menanggung segalanya seorang diri? Mungkin dia harus menerima hakikat bahawa cuma seorang sahaja yang boleh memahami Emily sepenuhnya. Yang boleh berkongsi rasa dengan Emily. Yang boleh melindungi Emily. Cuma dia! Cuma lelaki itu!

* * * Bahagian (ii) * * *

Tengku Zamran Hakim berjalan pantas menyaingi langkah Emily. Apabila sudah dekat jemari isterinya itu dicapai.

“Lepaslah!” Emily cuba merentap tangannya namun tidak berjaya. Jarak tubuh mereka ketika itu Cuma beberapa inci.

“Abang tak nak lepas sebelum abang dengar penjelasan Emy.” Tengku Zamran Hakim mengeratkan genggamannya. Tidak menyangka takdir menemukan mereka pada hari itu. Jika semalam ada Amir dan juita yang mengganggu, hari ini mereka cuma berdua. Di restoran kegemaran isterinya. Dia amat memerlukan kata putus dari Emily mengenai kata-kata Amir malam tadi.

“Kalau awak tak sakitkan saya mesti awak tak puas kan? Tak cukup lagi awak sakitkan hati saya dulu?” Emily sudah menukar panggilan. Walau terasa begitu janggal, dia terpaksa.

Tengku Zamran Hakim melepas pergelangan tangan Emily. Aneh mendengar panggilan yang terasa asing di telinganya.

“Jangan ganggu saya. Berikan saya peluang untuk cari ketenangan sebelum saya buat kata putus mengenai hubungan antara kita.”

“Agak-agak masih ada tak peluang kedua untuk abang?” Tengku Zamran Hakim bertanya menharap.

Emily tidak menjawab. Matanya meliar ke arah lain.

Melihat kebisuaan Emily, harapannya yang meggunung hancur berkecai. Benarlah Emily sudah tawar hati dengannya.

“Emy dah ada orang lain sebagai pengganti abang?”

“Awak pun dah ada Maria.” balasnya mendatar.

Tengku Zamran Hakim menarik nafas dalam. Jawapan Emily seperti mengiakan pertanyaannya. Mungkin Amir pilihan terbaik isterinya itu. Bukan dia tak mahu berjuang demi cintanya, tapi untuk apa dia memaksa Emily menerimanya kalau itu akan membuatkan gadis itu lebih terluka? Demi kebahagiaan isterinya, dia redha.

“Abang doakan kebahagiaan Emy.” Ujar Tengku Zamran Hakim tersenyum pahit sebelum berlalu. Tidak tahu bagaimana dengan janjinya pada keluarga untuk membawa pulang Emily. Mungkin hanya mimpi dalam realiti.

Emily memandang pilu langkah Tengku Zamran Hakim. Mahu ditahan suaminya itu, namun suaranya tidak terkeluar.

* * * * *

Tengku Zamran Hakim mengambil telefon bimbitnya yang berbunyi dari tadi. Ikutkan hati dia malas mahu melayan panggilan tersebut. Fikirannya sarat dengan kejadian-kejadian yang berlaku dalam dua hari ini.

“Hello kawan. Susahnya la nak cakap dengan kau ni. Apasal kali kesembilan baru nak angkat? Kenapa tak tunggu yang ke sepuluh je terus?”

“Kalau macam tu aku letak sekarang, nanti kau call aku balik. Cukupkan sepuluh.”

“Eh, janganlah. Penat tau aku tunggu kau jawab.”

“Tahu pun. Kenapa kau call aku?”

“Hmmm…Macam mana sekarang? Ada good news tak pasal Emy?” tanya Naufal. Sememangnya dia tahu mengenai hal kehilagan Emiy itu. Itu pun dari Juita yang menceritakan pada Syiqa. Mulanya bising juga mulutnya meleteri Tengku Zamran Hakim, namun cepat dia tersedar. Tiada guna marah-marah. Benda dah jadi.

Tengku Zamran Hakim membisu di hujung talian. Tidak pasti jawapan yang sebagaimana patut diberi pada Naufal. Berita gembirakah jika bertemu namun sudah ada pengganti dirinya?

“Kau…dah jumpa?”

“Dah.” Sepatah Tengku Zamran Hakim membalas.

“Iya? Alhamdulillah.”

“Tapi…bukan seperti yang aku harapkan.” Sambungnya hambar.

“Aku tak terkejut kalau Emy terlepas ke tangan orang lain dalam keadaan korang berdua yang macam ni.” Ujar Naufal seolah dapat menangkap maksud tengku Zamran Hakim.

“Tak terbayang hidup aku nanti tanpa Emy. Sekarang pun aku macam dah naik gila fikirkan perkara ni.”

“Jadi, apa tindakan kau lepas ni? Kau nak biarkan Emy terlepas ke tangan lelaki tu?”

Agak lama dia terdiam. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum menjawab. Sayu sahaja nadanya. “Kalau itu dapat bahagiakan Emy aku takkan menghalang. Macam mana susah pun untuk aku terima, aku perlu redhakan ketentuan takdir. Cukuplah aku lukakan dia sekali. Aku tak mahu rampas kebahagiaan dia.”

“Aku dapat rasa jodoh korang berdua panjang. Berdoalah banyak-banyak.” Naufal turut sama sebak. Kalau benar itu yang akan dilakukan Tengku Zamran Hakim, kesungguhan cinta sahabatnya itu tidak boleh disangkal lagi. Mungkin betul kata pujangga cinta itu perlukan pengorbanan.

“Aku tak pernah lupa minta Allah beri petunjuk pada hubungan kami.” Setiap kali solatnya, tidak jemu dia berdoa supanya dipanjangkan jodoh antara mereka.

“InsyaAllah. Aku pun sama-sama berdoa agar jodoh kau dengan Emy panjang. Eh, sebelum aku lupa malam sabtu ni datang rumah aku. Ada makan-makan.”

“Sempena apa?”

“Jangan cakap aku belum bagitahu kau pasal aku kena transfer ke Jerman.”

“Jerman? Macam mana pulak boleh jadi macam tu?”

“Kakitangan tak cukup. Jadi, pekerja professional macam aku ni lah yang terpilih. Terbaik di antara yang terbaik.” Naufal cuba berlawak. Terletus tawa di mulutnya.

“Poyolah kau.” Tengku Zamran Hakim turut tergelak namun tiada lagi gelak mesranya. Segalanya hambar. Sehambar hatinya.

“Poyo poyo jugak. Jangan pulak kau tak datang.” Naufal terus-terusan mengingatkan. Tahu perangai Tengku Zamran Hakim.

“Aku tak janji.”

“Sampai hati kau. Aku dah nak pergi jauh pun kau tak nak jumpa aku lagi. Walau macam mana pun kau wajib datang. Ada perkara penting yang kau perlu tahu. Jawapan yang selama ini kau cari.”

“Lain macam je kau ni. Jawapan? Jawapan apa?”

“Kalau kau nak tahu, datanglah. Mungkin ini adalah jawapan bagi segala tanda tanya kau sejak berbelas tahun yang lalu.”

Tengku Zamran Hakim terdiam. Kata-kata Naufal masih kabur. Dia tidak dapat menangkap maksud sebenar sahabatnya itu. Kalau benarpun dia masih mencari jawapan yang berbelas tahun lama itu, apa kaitannya dengan Naufal? Bagaimana sahabatnya itu tahu kisah silamnya?

Hati yang Terluka 32

Suasana di ruang tamu Vila Astana di selubungi kesedihan malam itu apabila Tengku Zamran Hakim membuat keputusan berterus-terang tentang kehilangan Emily. Segalanya diceritakan pada keluarganya.

Tengku Zamran Hakim hanya mampu kaku di tempatnya apabila berpasang-pasang mata merenungnya dengan rasa marah yang berbuku.

“Mummy tak pernah ajar anak-anak mummy cakap macam tu. Kenapa tak boleh bersabar sikit?” Ujar Raja Muzairah sayu. Malu dia pada Puan Zharifah yang duduk tidak jauh darinya. Besannya itu tak habis-habis mengalirkan air mata sejak mengetahui kehilangan Emily. Juita yang sentiasa berada di samping Puan Zharifah berusaha menenangkan bondanya itu.

Dia tidak menjawab. Tidak kisah kalau semua yang berada di sekelilingnya itu mahu memarahinya. Segalanya memang berpunca darinya, memang salahnya.

“Daddy pun tak pernah cakap kasar macam tu pada mummy kamu sepanjang 30 tahun perkahwinan kami. Kalau marah sekalipun bawak-bawaklah bersabar sikit. Bila dah jadi macam ni, nak buat apa lagi dah? Isteri kamu tu makan minum dia macam manalah agaknya sekarang ni.” suara Tengku Zaidi penuh kesal. Apa nak jadi dengan budak-budak zaman sekarang? Sebelum cakap tak fikir langsung baik buruknya.

Anak-menantunya yang lain langsung tidak mencelah. Masing-masing menunduk. Turut merasai kesedihan dan kehilangan yang tiba-tiba melanda keluarga mereka.

Tengku Zamran Hakim menyandar pada sofa. Tidak dapat diluahkan risaunya pada saat ini. Kalau semua yang berada di situ risau, dia berganda-ganda lagi risau dari mereka. Fikirannya tak henti-henti berfikir bagaimana keadaan Emily sekarang.

“Emy…dah banyak kali terluka sebelum ni.” Tiba-tiba Puan Zharifah bersuara. Masih ada sedu-sedan dalam suaranya. Semua mata tertumpu ke arahnya.

“Bonda salah seorang yang lukakan hati dia. Dulu…bonda banyak lebihkan Emilia dari Emy. Bonda fikir Emilia yang akan menjaga keluarga. Tapi sayang, anak yang bonda harapkan dapat bertanggungjawab pada keluarga pulak yang menconteng arang. Bonda selalu cakap Emilia yang akan tolong bonda urus syarikat tapi sebaliknya yang berlaku. Emilia awal-awal lagi dah bangkang kata-kata bonda. Anak yang bonda pinggir itulah yang berkorban akhirnya.” Puan Zharifah menarik nafas sebelum menyambung..

“Masa keputusan SPM mereka keluar, memang keputusan Emy lebih bagus. Bonda masa tu langsung tak ada hati perut. Tanpa fikir perasaan Emy, bonda hantar dia ke luar negara ambil jurusan yang dia tak minat. Emy mulanya memang menolak. Tapi bila bonda mogok dengan dia, dia mengalah. Kehendak bonda diturutnya walaupun terpaksa lupakan cita-cita dia yang sebenarnya.” cerita Puan Zharifah. Bibirnya diketap menahan sebak.

Raja Muzairah dan menantunya yang lain kelihatan mengelap tubir mata masing-masing. Tidak menyangka gadis yang nampak begitu sempurna, pernah melalui pelbagai onak duri kehidupan.

Tengku Zamran Hakim hilang kata. Nasib Emily lebih kurang sama dengannya. Tidak dapat mencapai cita-cita yang diingini. Namun hidupnya tidak dipenuhi dengan beban dan amanah yang terpaksa dipikul seperti isterinya itu. Tabah sungguh hatimu, sayang.

Suasana hiba itu terhenti bila ketukan dan suara orang memberi salam dari luar pintu rumah.

Tengku Syahmi bangun dan membuka pintu.

Semua mata terarah pada pintu termasuk Puan Zharifah. Tidak tahu puncanya, tangannya menggigil tiba-tiba.

“Kenapa ni bonda?” tanya Juita. Pelik melihat perubahan bondanya yang tiba-tiba. Puan Zharifah tidak menjawab, cuma kepalanya yang ditundukkan.

“Eh, Tajuddin masuklah.” pelawa Tengku Zaidi. Aneh dengan kedatangan sepupunya yang tidak diduga.

Tengku Tajuddin melangkah perlahan ke dalam rumah. Tidak tahu kenapa, malam itu hatinya bagai menyeru-nyeru dia supaya ke rumah abang sepupunya itu. Matanya memandang satu-persatu wajah yang berada dalam vila tersebut. Dan akhirnya matanya terkaku pada satu wajah yang sedang menunduk. Berkocak hebat jantungnya.

“Ifah…” bibirnya menyebut perlahan. Walau wajah itu ditundukkan, dia maih dapat mengenali isterinya itu. Pandangan Tengku Tajuddin kabur dengan air mata yang bertakung di kolam matanya.Ya Allah…akhirnya Engkau makbulkan doaku. Sudah sekian lama dia menunggu saat ini.

Kepala Puan Zharifah mendongak serta-merta mendengar panggilan tersebut. Bibirnya bergetar melihat wajah yang sedang merenungnya sayu.

“Kau kenal dengan Zha Din?” Raja Muzairah menyoal aneh mendengar panggilan Tengku Tajuddin. Ifah? Macam pernah dengar. Takkanlah…Ifah…yang itu?

“Ya Allah…” sambungnya sambil menekup mulut.

“Kenapa ni Din? Awak pun Zai…kenapa muka terkejut macam tu?” tegur Tengku Zaidi. Hairan melihat besan dan sepupunya seolah dengan dunia mereka.

Raja Muzairah berbisik perlahan pada Tengku Zaidi yang berada di sebelahnya.

“Maha suci Allah…” Beristighfar panjang Tengku Zaidi selepas mendengar apa yang disampaikan isterinya.

“Dia…Ifah bang. Isteri yang saya tinggalkan berpuluh tahu yang lalu.” Tumpah air matanya ketika menutur ayat tersebut. Sungguh, dia benar-benar rindukan isterinya itu. Berbuku rasa bersalahnya.

Air mata Puan Zharifah semakin laju menuruni pipi. Benarlah, ini suami yang meninggalkannya lebih 25 tahun yang lalu.

Tengku Zamran Hakim terkedu mendengar pengakuan tersebut. Drama apakah ini? Segalanya bagai satu kebetulan. Jadi, Ayah Din adalah ayah kandung…isterinya? Ayah kandung Emily? Benarkah begitu?

Tengku Tajuddin mengatur langkah menghampiri Puan Zharifah dan melutut di hadapan isterinya. Juita yang seakan faham, berganjak dari tempatnya.

“Maafkan abang…maafkan abang…” katanya.

Puan Zharifah membisu. Dia masih dalam keadaan terkejut. Tak percaya.

“Abang tahu, abang salah sebab tinggalkan Ifah. Tapi masa tu abang terpaksa.” Jari-jemari isterinya digenggam erat. Puan Zharifah membiarkan. Kekuatan yang selama ini dipinjamkan Emily padanya, sudah berada di hadapan mata. Untuk apa dia berkeras? Jauh di sudut hatinya, langsung tiada perasaan marah. Cuma sedikit berjauh hati.

Melihatkan kebisuaan isterinya, Tengku Tajuddin kecewa. Mahu sahaja dia merayu isterinya itu supaya memaafkannya. Tapi dia tidak mahu mendesak. Cukuplah hati itu dilukakannya dulu. Dengan berat hati, genggaman dilepasnya dan mula bergerak jauh. Biarlah hati itu tenang dahulu.

“Abang nak pergi mana? Nak tinggalkan Ifah lagi?” terkeluar juga suara dari mulut Puan Zharifah setelah agak lama mendiamkan diri.

Langsung mati langkah Tengku Tajuddin. Matanya bertentang dengan mata isterinya. “Ifah maafkan abang?”

Puan Zharifah mengangguk. “Ifah tak pernah marahkan abang.”

“Terima kasih Ya Allah.”

Bersaksikan semua penghuni Vila Astana, pasangan suami isteri yang sudah lama terpisah itu bersatu kembali.

“Alhamdulillah. Tak sangka kamu berdua ditemukan di sini. Selesai pencarian kau selama ini, Din.” Tengku Zaidi menepuk perlahan belakang Tengku Tajuddin.

“Ya lah. Syukur Alhandulillah. Yang belum selesai kisah anak-anak kita ni ha!” Raja Muzairah menjeling Tengku Zamran Hakim yang membisu.

“Kalaulah abang tak tinggalkan Ifah dulu, mesti kita dah ada anak macam Abang Idi dengan Kak Zai.” Tiba-tiba sahaja ayat tersebut terpancul dari bibir Tengku Tajuddin. Agak kecewa bila mereka berdua tiada zuriat untuk menyambung salasilah keturunan mereka.

“Abang silap.” Kata Puan Zharifah sambil menyandarkan kepalanya pada bahu suaminya itu.

“Silap?” Tengku Tajuddin terpinga-pinga.

Penghuni lain yang berada di sekeliling mereka hanya mendiamkan diri dan memasang telinga seolah memberi peluang pasangan tersebut meluah rasa.

“Beberapa hari selepas abang tinggalkan Ifah dulu Ifah disahkan mengandung 5 minggu.”

Mulut Tengku Tajuddin terbuka sedikit. Berseri-seri wajahnya. “Ki…kita ada anak?”

Puan Zharifah mengangguk lagi. Air matanya yang kering tadi kembali menitis mengenai baju melayu yang dipakai Tengku Tajuddin. “Kita dapat anak kembar perempuan. Tengku Emilia Natilly dan Tengku Emily Natasha. Dan…seorang cucu, Syira.”

Tengku Zaidi terdiam. Emily? Seperti pernah didengarnya sebelum ini. Bukankan itu nama isteri Tengku Zamran Hakim?

Puan Zharifah menarik nafas sebelum menyambung. “Tapi Emilia dan Syira dah tak ada.”

Tengku Tajuddin kembali kecewa. Matanya kembali bertakung. Terkilan tidak dapat bertemu dengan darah dagingnya. Tidak sangka, sepanjang peninggalannya bermacam-macam perkara telah berlaku.

Tiba-tiba wajah jelita yang dilihat beberapa bulan yang lepas terbayang di ruang matanya.

“Emily…anak kita yang lagi seorang tu isteri Zam kan?” Tengku Tajuddin menyoal Puan Zharifah. Masih teringat pandangan tajam gadis itu padanya.

Raja Muzairah mengangguk.

“Lesung pipit dia macam abang.” Tengku Tajuddin tersenyum senang. Tak terkata bahagianya. Patutlah pertama kali mereka bersua, perasaannya bagai ditarik-tarik untuk menyanyangi gadis jelita itu.

Puan Zharifah tersentak. “Abang pernah jumpa Emy?”

“Pernah. Abang rasa masa tu, Emy pun kenal abang. Mungkin dia agak-agak. Dari pandangan matanya, abang tahu dia berdendam. Dia marah pada abang kan?” nada Tengku Tajuddin pilu.

Puan Zharifah tidak membalas. Tidak mahu mengecilkan hati suaminya itu. Sempat dia berfikir. Emily sudah terlebih dulu mengetahuinya, namun langsung tidak diberitahu padanya. Betapa anak itu takut dia terluka lagi.

“Betul Emy marahkan abang?” Tengku Tajuddin seakan mendesak.

Dalam terpaksa Puan Zharifah mengiakan. “Tapi dia banyak ikut abang.”

Raut wajah Tengku Tajuddin berubah kecewa. “Mana Emy? Dari tadi abang tak nampak. Abang nak minta ampun.” Tanyanya selepas itu. Pandangannya dikitar pada kelilingnya. Wajah gadis itu tiada. Dia berharap sangat dia masih boleh menatap wajah anak dari darah dagingnya walau yang tinggal cuma seorang.

Puan Zharifah menggeleng lemah. Sedu-sedannya berbunyi kembali.

“Shhh….kenapa ni? Anak kita mana?” Tengku Tajuddin memujuk Puan Zharifah yang sudah teresak.

Tengku Zamran Hakim menarik nafas. “Semuanya salah Zam.”

Walaupun kata-kata yang bakal diucapkan sebentar lagi akan menggurus hati Tengku Tajuddin, dia terpaksa.

Perhatian Tengku Tajuddin terarah pula pada anak saudara kesayangannya. “Maksud Zam?”

“Emy dah hilang dua minggu. Semuanya sebab Zam.” Tengku Zamran Hakim menceritakan perkara sama yang diceritakan kepada keluarganya tadi. Wajahnya diraup, kesal.

Tengku Tajuddin tidak dapat menahan air matanya dari gugur mendengar cerita tersebut. Ya Allah, Kau berikanlah ketabahan pada satu-satunya anak kandungku itu.

“Zam, mummy nak kamu cari menantu bongsu mummy tu sampai jumpa. Kalau selepas ni kamu dah tak mahukan Emy, pulangkan pada bonda dan ayahnya sesempurna ketika kamu ambil dari bondanya dulu.”

Mendengarkan itu hati Tengku Zamran Hakim seperti dihiris-hiris. “Memang Zam akan cari Emy sampai jumpa, itu janji Zam. Tapi untuk lepaskan Emy tak mungkin Zam mampu.”

Puan Zharifah tersenyum senang mendengar janji menantunya. Air matanya dikesat. “Janji ya Zam? Jangan sampai perkara silam bonda dan ayah berulang kembali pada kalian berdua.”

Tengku Zamran Hakim mengangguk. Dia tidak akan membiarkan perkara yang sama berlaku kepada dia dan Emily. Tak dapat dibayangkan hidup bertahun-tahun tanpa Emily. Dua minggu tanpa isterinya sudah cukup menjadikan dia separuh nanar.

“Awak mesti cari Emy secepat yang mungkin. Syazmir ugut nak apa-apakan Emy kalau dia bertemu dengan Emy nanti.” Juita menyampuk. Bukan niatnya mahu menambah kerisauan Tengku Zamran Hakim, namun rasanya perkara itu patut diberitahu agar lelaki itu bertindak cepat.

Wajah Tengku Zamran Hakim tepat memandang Juita. Risaunya menjadi-jadi. “Dia ugut apa?”

“Dia tak cakap. Cuma dia suruh bersedia kalau sesuatu yang buruk berlaku pada Emy.”

Tengku Zamran Hakim menghela nafas berat. Makin berserabut otaknya.

“Zam…mummy risaulah. Macam mana sekarang ni? Emy dalam bahaya.” Raja Muzairah resah.

“Walau apa pun terjadi, Zam takkan benarkan dia sentuh isteri Zam.” Kalau apa-apa terjadi pada isterinya itu, dia tidak dapat bayangkan apa yang akan dilakukan pada lelaki durjana itu.

“Tolong bawa pulang anak ayah ya Zam? Ayah nak jumpa Emy dalam keadaan Emy yang sihat walafiat.” Pesan Tengku Tajuddin penuh mengharap.

Tengku Zamran Hakim mengangguk lagi. Hatinya benar-benar nekad. Isteri kesayangannya itu akan pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan yang sama ketika kali terakhir mereka melihatnya. Tidak akan dibiarkan air mata Emily mengalir lagi kerananya. Cukuplah sekali. Itu janjinya!

Wednesday, February 4, 2009

Hati yang Terluka 31


Juita termenung. Sudah hampir dua minggu Emily menghilang. Telefon bimbitnya juga tidak diangkat. Bonda pula sudah bising bertanyakan Emily.

Interkomnya berbunyi tiba-tiba. “Cik Juita, ada orang nak jumpa.”

“Siapa?” tanyanya kembali pada penyambut tetamu tersebut.

“Dia kata kawan lama Cik Juita. Syazmir.”

Mendengarkan nama itu, tangannya terasa ringan nak mencekik orang. “Suruh dia pergi. Saya tak nak jumpa dia!”

“Dia berkeras tak nak pergi. Dia ugut nak buat kecoh kalau Cik Juita tak nak jumpa dia.”

Juita mendengus kasar. “Suruh dia masuk bilik saya!”

“Mana Lia?!” Tanpa ketukan mahupun salam, Syazmir menyergah.

“Assalamualaikum Encik Syazmir.” Juita berdiri sambil menyindir sinis. Sudahlah datang tidak diundang, biadab pulak tu!

“Waalaikumussalam.” Balas Syazmir perlahan bila terasa disindir.

“So, apa kau nak?” soal Juita kasar. Manusia seperti Syamir mana boleh layan elok-elok. Tak layak!

“Mana kau sembunyikan Lia?” Syazmir menyoal soalan yang sama.

Juita berkerut. Lia? Emilykah? “Lia? Sembunyi? Maksud kau?”

“Jangan berlagak macam kau tak tahu apa-apa!” bentak Syazmir. Otaknya sudah buntu untuk mencari Emilia. Jejak gadis tersebut tidak dapat dikesan.

“Kalau kau datang sini nak marah-marah, baik kau pergi balik!” radang Juita. Darahnya terasa mendidih.

“Aku takkan berganjak selagi kau tak cakap di mana Emilia!”

“Kau nak aku panggil pengawal heret kau?” ugutnya serius.

Syzmir buat bodoh dengan gertakan tersebut.

Tangan Juita mencapai ganggang.

“Okey-okey, aku akan pergi.” Syazmir mengalah.

Juita meletakkan kembali gangang tersebut di tempatnya.

“Tapi kau jangan menyesal kalau aku jumpa Lia nanti. Aku tak tahu apa yang akan aku buat pada dia masa tu. Kau tahu, aku dah berjaya buat kekasih dia tinggalkan dia, dan aku tak akan teragak-agak buat benda yang lagi teruk daripada tu!”

“Kekasih?” Juita bertanya aneh.

“Yeah. Tengku Zamran Hakim. Bulat-bulat dia percayakan aku. Kau tak takut aku buat perkara yang lagi teruk pada kawan kau tu?”

Juita terkedu. Benarlah Syazmir masih menyangka Emily itu adalah Emilia. Jadi kehilangan Emily mempunyai hubung kait dengan Syazmir. Kurang ajar punya jantan! Juita menyumpah dalam diam. Kalau negara ini tiada undang undang, pasti bersepai kepala Syazmir dikerjakannya. Tidak habis-habis menyusahkan hidup orang.

“Kenapa? Terkejut? Aku tak pernah main-main dengan apa yang aku katakan.” Ujar Syazmir bongkak.

“Jantan tak guna! Kau keluar sekarang! Keluar!” jerkah Juita tiba-tiba. Begitu lantang suaranya. Kakitangan jabatannya mula berkerumun di depan biliknya. Mungkin terkejut mendengar jerkahan tersebut. Belum pernah seumur hidupnya dia meninggikan suara seperti itu. Namun hari ini, Syazmir benar-benar buat dia hilang sabar.

Syazmir telan liur. Gerun melihat mata Juita yang membulat seperti mahu menelannya hidup-hidup.

“Err…ingat apa yang aku katakan tadi baik-baik.” Tergagap-gagap suaranya Syazmir memesan sebelum bergegas keluar.

Juita memandang Hana penuh makna.

“Semua bersurai.” Kata Hana pada kakitangan yang masih mengerumuni. Faham maksud renungan Juita. Pintu bilik ketuanya ditutup.

Juita terduduk lemah selepas itu. Dahinya dipicit. Masih terngiang-ngiang esakan halus Emily dua minggu yang lepas. Pasti sekeping hati sahabatnya itu terluka teruk. Jarang sekali Emily menangis sebegitu dan seingatnya cuma tiga kali dia lihat sahabatnya itu mengalirkan air mata sepanjang perkenalannya dengan gadis itu. Yang pertama, lima belas tahun yang lalu ketika meninggalkan Kampung Tok Penghulu selepas dirinya puas dihina, yang kedua ketika Emilia menghembuskan nafas terakhir, dan terakhir ketika pemergian Syira beberapa bulan yng lepas. Dan, sekarang Emily menangis kerana Tengku Zamran Hakim, suaminya. Tidak langsung tercapai dek akal warasnya Syazmir sanggup merosakkan rumah tangga orang. Dahinya ditepuk beberapa kali. Kenapalah dua minggu ini dia tidak pernah cuba mencari Emily di rumahnya? Jika tidak pasti dia tahu lebih awal tentang kemelut yang terjadi ini.

Beg tangannya dicapai. Dia perlu merungkaikan salah faham ini sebelum terlambat!

* * * * *

Tengku Zamran Hakim merenung bingkai gambar yang sudah pecah kacanya berkat hasil seni tangannya. Di situ, kekal terhias wajah isterinya dengan kaca yang retak seribu. Walau bingkai gambar itu pernah dicampakkannya, namun langsung tidak terdetik dihatinya untuk membuang gambar tersebut.

Dua minggu hidupnya terumbang-ambing sejak tiada khabar berita tentang Emily. Ah, pasti sedang sibuk memikat jantan lain. Panggilan telefon dari mummy dan bonda tidak pernah diangkat. Dia seolah melarikan diri dari ibu dan mentuanya. Dia belum sanggup menceritakan perkara yang bakal mengguris hati kedua wanita itu.

Interkomnya berbunyi tiba-tiba. “Ada apa Kak Ina?”

“Ada seorang perempuan nak berjumpa dengan Tuan.”

“Kalau Maria, suruh dia pergi.” Balasnya. Muak memandang wajah Maria yang berrtempek mekap berinci-inci. Berbeza sekali dengan Emily yang jelita semulajadi. Sentiasa jelita walaupun tanpa mekap. Dia menggeleg sendiri. Fikirannya langsung tidak dapat melupakan isterinya itu walau untuk sesaat.

“Bukan perempuan tu lah Tuan. Perempuan yang datang ni, saya tak pernah tengok sebelum ini.”

“Nama dia?”

“Juita.”

Tengku Zamran Hakim berkerut. Macam pernah didengar nama itu sebelum ini. Siapa?

“Saya tak ada mood nak jumpa sesiapa hari ni.” Bukan sahaja untuk hari ini, mood dia benar-benar tiada sepanjang dua minggu ini. Segala kerjanya terbengkalai begitu sahaja.

“Tapi Tuan, saya macam kesian pulak tengok dia mengharap. Katanya ada perkara penting.”

Tengku Zamran Hakim mengeluh berat.

“Suruh je lah dia masuk.” ujarnya separuh hati, malah moodnya hilang sejak dia kecewa tentang hakikat yang dibawa Fauzi dan Razlan.

Tuk! Tuk! Tuk!

“Masuk!” suruhnya.

“Masih kenal saya?”

Tengku Zamran Hakim memandang Juita sekilas. Dia berfikir sejenak sebelum mengangguk sedikit.

“Kalau awak datang sini nak tanyakan pasal kawan awak saya tak ada jawapan.” Dingin suaranya.

“Saya tahu.”

“Jadi?”

“Saya datang jumpa awak sebab ada perkara penting yang perlu awak tahu. Very important!” ujar Juita merenung Tengku Zamran Hakim yang kelihatan tidak terurus. Betapa Syazmir benar-benar menyeksa mereka.

“Kalau pasal Emily saya tak nak dengar!”

“Tapi awak perlu dengar jugak sebelum awak menyesal seumur hidup.”

Tengku Zamran Hakim terdiam.

“Sebelum tu, saya nak tahu apa yang terjadi pada awak dengan Emy sampai dia menghilangkan diri.”

“Awak tak perlu tahu.”

“Emy sahabat saya. Apapun yang terjadi pada dia saya patut tahu. Bonda, hari-hari tanyakan Emy. Awak tak kesian pada mertua awak tu? Setidak-tidaknya kalau awak ceritakan apa sebenarnya yang tejadi, pandai-pandailah saya nanti nak bagi jawapan yang bagaimana pada bonda.” Juita sudah melabuhkan duduk di sofa yang terdapat di situ.

Tengku Zamran Hakim mengeluh berat. Akhirnya diceritakan juga serba sedikit pada wanita yang tiba-tiba sahaja muncul bertanyakan tentang apa yang terjadi di antara dia dan Emily.

Juita menekup mulutnya. “Awak cakap macam tu pada Emy?”

Tengku Zamran Hakim mengangguk serba salah.

Juita mengetap bibir. Tubir matanya bertakung. Dia seolah dapat merasa perasaan Emily ketika dihina begitu oleh orang yang disayangi. Pasti hatimu benar-benar terluka, sahabat!

“Awak menghukum Emily tanpa mengetahui kebenaran yang sebenarnya. Awak hukum dia atas kesalahan yang dia tak pernah lakukan.” Sebak suara Juita.

“Kebenaran yang sebenarnya? Kesalahan yang dia tidak lakukan? Awak tak boleh nafikan kebenaran dan kesalahan yang dia buat.”

Juita bangun mendekati meja Tengku Zamran Hakim. “Awak ada bukti yang mengatakan memang Emy yang salah?”

Tengku Zamran Hakim membuka laci mejanya dan mengeluarkan beberapa keping gambar. Gambar yang sama ditunjukkan pada Emily dua minggu yang lepas.

“Semua ni gambar original.”

“Memang. Saya tahu tu. Tapi…awak yakin itu gambar Emy?”

“Saya jumpa gambar yang sama dalam simpanan dia.”

“Zam, saya nak tanya awak satu perkara. Awak betul-betul cintakan Emy?”

Tengku Zamran Hakim tidak menjawab. Namun dalam diam dia mengakuinya. Ya, sampai saat ini hatinya masih terukir nama Emily Natasha.

“Kalau awak betul-betul cintakan Emy, pasti awak dapat bezakan perempuan dalam gambar tu Emy atau bukan.”

Tengku Zamran Hakim berkerut namun tetap mengambil sekeping gambar tersebut dan wajah gadis dalam gambar ditenungnya. Gadis itu tidak bertudung, tapi apa yang nak dihairankan? Mungkin Emily baru sahaja memakainya. Lama gambar itu ditenung sehinggalah matanya dapat menangkap sesuatu yang membuatkan jantungnya berkocak hebat. Senyuman gadis dalam gambar tersebut berlainan dengan Emily dan keistimewaan yang sepatutnya ada pada Emily tidak kelihatan pada wajah itu. Mana lesung pipitnya?

Kepalanya diangkat memandang Juita. Mengharap jawapan yang pasti.

Juita mengangguk. “Percaya pada kata hati awak, Zam.”

Tengku Zamran Hakim tarik nafas panjang. Masih sukar untuk menerima kata hatinya.

“Zam…Emy dengan awak pernah bersama?”

Tengku Zamran Hakim tersentak. Soalan jenis apa ni?

“Kalau betul awak pernah sentuh Emy pasti awak tahu dia masih suci atau tidak.”

Kepalanya terasa dihempap batu besar mendengar kata-kata Juita. Benar, kali pertama ketika mereka bersama, isterinya itu masih suci. Ya Allah...kesilapan bodoh apa yang aku lakukan ini?

“Perempuan dalam gambar tu Emilia. Kakak kembar Emy.” Kata Juita selepas itu.

Tengku Zaman Hakim hanya terkelu di situ. Fikirannya tidak habis-habis terbayang air mata Emily yang gugur mendengar penghinaannya. Sayang, maafkan abang…

“Cuba awak tengok gambar ni.” Juita menghulurkan sekeping gambar pada Tengku Zamran Hakim yang diambil dari handbagnya. Gambar kenangan mereka bertiga tujuh tahun yang lalu.

Tengku Zamran Hakim menyambut perlahan.

“Emy yang rambut pendek tu dan sebelah Emy tu Emilia.”

Dia merenung wajah gadis berambut pendek itu. Lama. Ini...wajah ini seperti pernah dilihatnya.

“Dulu Emy memang macam tu. Macam lelaki. Mungkin sebab dia nak tunjuk perempuan ni kuat tanpa lelaki sebab tu agaknya dia jadi macam tu. Dari kecil lagi mereka tidak pernah punya saudara lelaki. Ayah mereka pergi sejak mereka dalam kandungan lagi. Lepas tu, masa zaman kanak-kanak dia pulak ada kenangan pahit. Sejak tu, hati dia beku untuk semua lelaki. Ditambah pula dengan kejadian yang menimpa Lia. Bertambah-tambah dendam dalam diri dia pada kaum Adam.”

Juita mencuri nafas sebentar sebelum menyambung. “Awak tahu Zam, saya tak pernah jumpa gadis setabah dia. Masa kejadian yang menimpa Lia tu Emy masih di oversea. Tahun akhir tak silap saya. Serba salah saya nak suruh dia balik masa tu tapi Emilia masa tu betul-betul dah tenat. Sebab tak tahan dengan permintaan Lia yang nak sangat jumpa Emy, saya terpaksa. Kemudian bila Emy sampai Malaysia, wajah dia nampak betul-betul kecewa. Mungkin kecewa dia tak dimaklumkan lebih awal tentang kembarnya. Sepanjang masa dia jaga Lia, sampailah Emilia melahirkan anak dia sebelum menghembuskan nafas terakhir sebab kanser. Sebelum tu sempat Lia serahkan gambar ayah Syira pada Emy. Gambar lelaki yang awak jumpa tu gambar yang Lia bagi. Awak bayangkan Emy yang masa tu masih dengan gaya lelakinya tiba-tiba diberi amanah menjaga anak saudaranya. Emy buat keputusan berhenti belajar di luar Negara. Dia sambung belajar dekat sini. Bonda pulak terus bermurung dengan pemergian Lia. Keadaan syarikat masa tu terumbang-ambing. Rupanya sejak tahu Lia mengandung bonda dah tak pedulikan tentang syarikat. Saya selalu tertanya-tanya macam mana Emy bahagikan masa dengan Syira, belajar, syarikat, bonda, dan amanah Lia, Butik EN. Macam sesuatu yang mustahil. Tapi itulah hakikatnya.”

“Butik?” Tengku Zamran Hakim tiba-tiba teringat malam dia sekali lagi berlanggar dengan Emily ketika menhadiri pertunjukan pakaian pereka dari butik yang terkenal beberapa bulan yang lalu.

Juita mengangguk. “Masa tu Butik EN baru dibuka tak sampai setahun. Belum teratur sepenuhnya. Kadang-kadang ada jugak timbul marah saya pada Lia sebab bebankan Emy sampai macam tu. Sudahlah Emy keras macam lelaki, di suruh pulak urus butik memang langsung saya tak boleh nak terima. Tapi lepas tu saya macam tak percaya bila Emy dapat hasilkan rekaan yang membuatkan jenama pakaian EN setanding dengan pereka antarabangsa. Tapi siapa perekanya dirahsiakan. Perkasa Holdings kembali teguh bila Emy ambil alih. Nasib baik Emy bijak mencari dalang yang nak menjatuhkan syarikat kalau tak pasti dah lama Perkasa Holdings gulung tikar. Saya pulak masa tu memang tak membantu langsung sebab saya dapat tawaran belajar ke London. Impian yang dah lama saya impikan. Serba-salah salah sangat masa tu. Tapi Emy paksa saya pergi. Dia tak mahu saya jadi macam dia, tak dapat mencapai cita-cita yang diimpikan. Bila saya kembali ke Malaysia memang saya betul-betul terkejut tengok perubahan Emily. Berubah 100%. Saya tahu dia berubah demi bonda dan Syira. Dia korbankan semua kebahagiannya untuk melihat kebahagiaan orang lain.” Cerita Juita lagi. Air matanya tidak henti-henti mengalir memikirkan segala pengorbanan sahabatnya itu.

Tengku Zamran Hakim sudah terkedu di tempatnya mendengar cerita Juita yang panjang lebar mengenai kisah hidup Emily. Dia langung tidak tahu penderitaan yang dialami Emily selama ini. Banyak…terlalu banyak. Dan dia pula menambah penderitaan tersebut. Makin bartambah rasa bersalahnya. Saat itu dia teringat pada lelaki yang membawa fitnah tempoh hari. Meluap-luap marahnya pada lelaki itu. Telefon bimbit dikeluarkan dan menekan nombor seseorang.

“Beberapa bulan lepas tu, tiba-tiba Emy cakap dia nak kahwin. Terkejut saya dibuatnya. Walau Emy tak beritahu saya, saya dapat mengagak semua tu pasti sebab bonda. Tapi sekurang-kurangnya saya lega sebab Emy dah boleh terima lelaki. Awak tahu Zam, sejak dia berkahwin dengan awak ketika itulah baru saya nampak kebahagiaan pada wajah dia. Masa awak pengsan dulu tu, bukan main risau dia. Pada waktu tu, pertama kali saya lihat sinar cinta yang dah lama saya tunggu nak lihat dari mata Emy. Dah ramai mencuba nasib, tapi semuanya kecewa apabila ditolak mentah-mentah. Awak benar-benar bertuah sebab cinta Emy hanya untuk awak, Zam.” Juita memerhati Tengku Zamran Hakim yang bercelaru sambil memegang telefon bimbit.

“Kenapa?” tanyanya.

“Emy tak angkat.” Balas Tengku Zamran Hakim sayu. “Awak tahu di mana Emy berada sekarang?”

Juita menggeleng. “Saya pun tengah risau. Saya ada cuba call dia tapi langsung tak dijawab. Macam mana kalau benda buruk berlaku pada Emy?”

“Saya takkan benarkan perkara tersebut berlaku!” tegas Tengku Zamran Hakim. Cukuplah sekali dia lukakan isterinya itu, dia tidak mahu perkara yang lebih buruk melukakan isteri kesayangannya itu.

“Zam…janji dengan saya. Bila awak dah bertemu dengan Emy kembali, jangan sesekali lukakan dia untuk kali kedua. Dia sudah cukup menderita.”

“Selagi saya masih bernafas selama itulah saya akan beri kebahagiaan pada Emy.” Janjinya.

“Dan, saya harap awak bersedia menghadapi segala kemungkinan apabila bertemu dengan Emy nanti.” Pesan Juita lagi. Dia seolah dapat merasakan sesuatu masalah yang bukan mudah untuk lelaki di hadapannya ini hadapi selepas bertemu Emily.