Monday, January 26, 2009

Hati yang Terluka 8

Juita dan Nazrin meronda-ronda di pusat membeli-belah berhampiran KLCC. Ketika Juita sedang memilih pakaian di sebuah gedung pakaian, dia ternampak kelibat seorang lelaki yang dikenalinya bersama seorang wanita. Matanya dikecilkan. Pakaian yang sudah dipilihnya tadi, diberi kepada Nazrin. Terpinga-pinga Nazrin seketika.

"Tolong pegang kejap." pinta Juita pada Nazrin. Kemudiannya dia menghampiri lelaki yang menarik pandangan matanya sejak tadi.

“Lawa isteri kau.” tegurnya selamba.

Syazmir berpaling. Ada riak terkejut di wajahnya.

“Oh, kau Jue....apalah kau ni. Tegur aku bukan nak bagi salam dulu. Ni adik sepupu aku, Sharina dan dia bukan isteri aku. Kau datang dengan siapa ni?” Syazmir memandang Juita. Memang dia mengenali Juita. Juita kawan seuniversiti Emilia. Dan dia pasti, Juita tahu mengenai kisah silamnya dengan Emilia.

Juita tersenyum sinis. Dasar buaya. Menyampah dia dengan keramahan yang ditunjukkan Syazmir.

“Aku tak de masa nak beramah mesra dengan kau. Kalau tak fikirkan Lia dan Syira tak ingin aku tegur kau tadi. Aku nak bercakap dengan kau. Kau ada masa tak?” Caranya bercakap sudah seperti gengster.

Syazmir hanya mengangguk. 'Syira? Siapa pulak tu? Kalau Lia aku kenallah.' Hati Syazmir berdetik.

Selepas itu, dilihatnya Juita menghampiri seorang lelaki dan berkata sesuatu. Lelaki tersebut hanya terangguk-angguk.

Juita menghampiri Syazmir semula.

“Kita bercakap dekat food court depan tu. Aku dengan kau sahaja.” Juita berkata tegas sempat menjeling pada Sharina yang berada di sebelah Syazmir.

Syzmir mengangguk sekali lagi. Pandangannya dialihkan ke Sharina yang berada disisinya.

“Ina tunggu abang di kereta. Lepas ni abang datang.” suruh Syazmir.

Riak di wajah Sharina seperti kurang senang. Tetapi, tetap menurut.

*****

“Kau nak cakap apa dengan aku. Bunyi Macam penting je.” Tanya Syazmir sejurus selepas pelayan membawa pesanan mereka.

“Mana kau menghilang selama hampir 3 tahun ni?” Juita bertanya terus. Matanya memandang sekitarnya. Agak ramai juga pengunjung waktu begini. Mungkin ramai yang sudah kelaparan memandangkan sudah masuk waktu makan tengah hari.

Syazmir melepas keluhan perlahan. Terasa berat mulutnya mahu menjawab soalan tersebut.

"Soalan aku yang mudah macam tu pun buat kau mengeluh?" Juita memeluk tubuh menunjukkan kejengkelannya.

“Aku ke Australia, rumah Mak Su aku.”

Juita tersenyum sinis. “Lari dari bertanggungjawab atas perbuatan kau kan?”

“Tak. Aku ke Australia sebab nak tenangkan fikiran. Aku nak..."

“Cuba lupakan Lia?” Juita memintas kata-kata Syazmir.

“Bukan itu yang aku maksudkan. Memang aku cuba lupakan Lia, tapi aku tak boleh. Aku tak dapat nak lupakan apa yang aku dah buat pada dia. Kau tak tahu perasaan aku ketika itu. Aku rasa bersalah sangat. Mak Su aku juga sedarkan aku erti tanggungjawab. Kau tahu kan, masa tu usia aku terlalu muda. Lepas aku rasa aku boleh bertanggungjawab, aku pulang ke Malaysia. Aku cuba cari Lia, tapi dia sudah tidak duduk di rumah sewa dia.”

“Takkan nak kenal erti tanggungjawab ambik masa sampai 3 tahun.” Mata Juita memandang Syazmir tajam.

“Sebenarnya Juita, aku berada di Australia selama setahun. Kemudian, aku balik ke Malaysia, aku cuba cari Lia. Hampir 2 tahun. Baru beberapa bulan yang lepas aku jumpa dia, tapi dia mengelak dari aku.” Syazmir menerangkan. Matanya memandang sekitarnya. Sengaja dia mengelak dari memandang Juita yang seperti mahu menelannya hidup-hidup.

“Setahun baru kau rasa bertanggungjawab? Kau tahukan, masa kau lari tu Lia dah mengandung anak kau.”

Syazmir mengangguk. Masakan dia tidak tahu. Kerana Emilia memberitahu mengenai hal kehamilannyalah dia melarikan diri ke Australia. Dalam pada itu, dia amat mengharap Emilia sudah menggugurkan kandungannya.

Juita menyambung. “Kau sanggup tinggalkan dia terkapai-kapai. Kau sanggup biarkan dia bertanggungjawab seorang diri. Nasib baik keluarganya masih mahu menerimanya. Kalau tidak aku tidak tahu bagaimana nasib anak kau sekarang.”

Syazmir telan air liur. “Anak? Lia tak gugurkan kandungannya ke?” Syazmir bertanya bodoh.

Hati Juita tersentap. Sampainya hati Syazmir memikirkan Emilia sanggup gugurkan kandungannya. Juita terasa seperti mahu menampar Syazmir saat itu kalau tidak difikirkan mereka di tempat awam. “Dari kata-kata kau seolah-olah kau macam tak bersedia nak bertanggungjawab. Apa gunanya kau lari ke Australia dulu? Kau kata kau dah sedia nak bertanggungjawab.” Juita cuba bersabar.

“Aku memang dah sedia nak bertanggungjawab, tetapi aku cuma bersedia nak bertanggungjawab pada Lia je.”

Juita ketap bibir. Lelaki di hadapannya ini memang tak siuman. Cakap putar belit. “Kau tahu tak sekarang anak kau sedang bertarung dengan maut?”

Syazmir hanya memandang Juita kosong. Tiada riak simpati langsung.

Juita menyambung. “Aku nak kau pergi lawat anak kau. Aku nak kau bertanggungjawab pada anak kau. Hanya kau sahaja yang kami harapkan untuk selamatkan Syira.” ujar Juita tegas.

“Beri aku masa untuk fikirkan semasak-masaknya pasal ni. Aku belum bersedia.”

“Aku beri kau masa. Dengan syarat, beri aku nombor telefon kau.” Sengaja Juita minta. Senang dia mahu menghubungi Syazmir nanti. Lagipun, Juita dapat merasakan yang Syazmir cuba mengelak.

Syazmir mengeluarkan dompetnye dan memberikan kad namanya kepada Juita. Kemudian dia ke kaunter membuat pembayaran, walaupun air mereka langsung tidak diusik.

3 comments: