Tuesday, January 27, 2009

Hati yang Terluka 21

“Dah bangun?” Emily menyapa Tengku Zamran Hakim yang sedang menuruni anak tangga. Tangannya lincah mengatur makanan di atas meja.

Tengku Zamran Hakim melemparkan senyuman ceria. “Hai sayang.”

Emily buat-buat tidak dengar dengan panggilan Tengku Zamran Hakim padanya. Kerusi ditarik untuk Tengku Zamran Hakim. Hari ini hari pertama mereka kembali ke pejabat setelah sama-sama mengambil cuti untuk seminggu.

Emily mengambil tempat berhadapan Tengku Zamran Hakim.

“Kunci kereta abang, sayang letak mana?” Tanya Tengku Zamran Hakim ketika menyapu jem pada roti.

“Ini.” Emily menghulur. Sambil itu, matanya mengerling jam di pergelangan tangannya. 8.40!

“Awak, dah lewatlah. Kita bergerak sekarang?”

“Abang tak sempat nak telan pun roti ni.” Tengku Zamran Hakim berkerut, tidak setuju.

“Tapi dah lewat lah.” Desak Emily lagi. Apalah pekerja-pekerjanya fikir tentang dirinya. Sejak dia berumah tangga, sering sahaja dia terlewat. Mungkin kalau mereka tahu dia sudah bersuami tak akan jadi bualan mulut. Masalahnya, mereka sama sekali tidak tahu melainkan Juita dan Hana.

“Okey, tapi dengan satu syarat.” Tengku Zamran Hakim menjungkit sebelah keningnya.

“Ishh…tak habis-habis dengan syarat. Syarat apa pulak kali ni?” Emily memuncung.

“Abang drive.”

Emily menjungkit bahu. “Saya okey je.”

* * * * *

“Thanks sebab jaga abang hari tu.” Tengku Zamran Hakim yang sedang memandu mencapai jemari Emily dan diramas lembut. Teringat kesungguhan Emily menjaganya siang malam. Terasa makin bercambah kasihnya pada isteri kesayangannya itu.

“Benda kecik je. Lagipun memang tanggungjawab saya. Nanti tak pasal-pasal awak mengadu kat mummy kata saya dera awak sampai demam.” selamba tutur kata Emily.

Tengku Zamran Hakim ketawa. "Tak ikhlas ek jaga abang? Tapi, boleh jugakkan kalau abang bagitahu mummy yang menantu bongsu dia yang seorang ni tak nak panggil suami dia dengan panggilan yang sepatutnya. Lepas tu abang tambah lagi yang sayang abang ni lebih suka tengok suami dia sakit dari memenuhi permintaan yang satu tu."

Emily cuba merentap jemarinya tanda protes namun Tengku Zamran Hakim mengeratkan lagi genggamannya. Akhirnya, Emily membiarkan. Malas mahu melayan.

Tak lama selepas itu, mereka tiba di bangunan Teguh Holdings. Tetapi Tengku Zamran Hakim masih di tempat duduk pemandu dan kelihatan sedang mencari sesuatu di kocek seluarnya.

Emily memandang pelik. Dia hanya memerhati perlakuan lelaki itu.

“Ha! Dapat pun.” Pekik Tengku Zamran Hakim tiba-tiba.

Emily mengurut dadanya, terkejut. “Awak ni kenapa?”

Tengku Zamran Hakim mengunjukkan tali leher sambil tersengih.

Membulat mata Emily. “Tak tahu ikat lagi?”

“Abang takkan belajar ikat tie. Masa nilah peluang abang nak dekat dengan sayang. Nak manja-manja.” Tengku Zamran Hakim mengenyitkan matanya. “Sayang tahu tak, lepas kita masuk rumah kita, abang langsung tak sentuh tie. Tak tahu nak suruh siapa yang ikatkan.”

“Kenapa pulak?”

“Ye lah, ada orang tu sombong. Macam mana nak mintak tolong ikat? Pergi kerja tak bagitahu langsung. Tengok-tengok lesap. Masa tu, abang rasa menyesal sangat sebab ikut cakap sayang nak tinggal berasingan dengan mummy. Rupa-rupanya sayang nak mengelak dari abang, kan?”

“Mana ada. Awak tu yang nak mengelak dari saya.” Emily cuba menegakkan benang yang basah.

“Iye? Abang yang elak?” sindir Tengku Zamran Hakim.

Emily terdiam sebentar. “Habis tu, kenapa tak suruh Maria yang ikatkan? Dia kan buah hati awak.”

Terangkat kening Tengku Zamran Hakim mendengar kata-kata Emily. “Pulak? Kenapa timbul pasal Maria pulak ni?”

“Ye la…dia kan buah hati awak. Mesti awak lagi suka kalau dia yang ikatkan.”

“Lain macam je bunyi?” Tengku Zamran Hakim sudah tersenyum meleret. Baru dia mengerti mengapa sikap Emily begitu. Cemburu tak habis lagi rupanya isteri aku ni. Tapi, egonya bukan main. Cemburu, tapi tak nak mengaku.

“Lain macam konon.” Emily mencebik.

“Sayang ni kenapa? Jealous ek?” riak Tengku Zamran Hakim tampak nakal.

Emily terkebil-kebil. Aku jealous ke? Oh tak…tak…mana mungkin! “Buat apa saya nak jealous dengan awak?” Ego Emily.

“Baguslah kalau Emy tak cemburu. Oleh kerana Emy tak nak tolong ikat, nanti kenalah abang call Maria suruh ke pejabat. Lepas tu kan sayang, abang bawak dia masuk bilik abang, biar dia yang ikatkan tie ni dalam bilik abang. Ayang tahu tak, kalau duduk berdua-duaan dalam bilik office tu, macam-macam boleh jadi.” Tengku Zamran Hakim sengaja bermain dengan api. Kemudian dia buat-buat mahu keluar dari kereta.

Kalut Emily bila melihat Tengku Zamran Hakim yang sudah membuka pintu kereta. Nak berdua-duan dengan Maria? Tidak boleh dibiarkan!

“Biar saya yang ikat!” Emily mengambil cepat tali leher di tangan Tengku Zamran Hakim.

Tengku Zamran Hakim memberhentikan serta-merta perlakuannya. Yes, mengena! Namun, senyumannya disembunyikan. Ditayangnya muka tiada perasaan.

Emily menyimpul perlahan tali leher. Begitu dekat dirasakan dirinya disamping lelaki itu pada tika ini. Tak dapat dibayangkan perasaannya jika Maria berada dekat dengan Tengku Zamran Hakim sepertinya. Cemburunya seolah tidak dapat diakwal. Meleleh air matanya.

“Okey, dah siap.” Emily cuba mengelap air matanya tadi namun Tengku Zamran Hakim lebih pantas bertindak. Disapunya perlahan mutiara jernih itu.

“Jangan menangis sayang. Ingat lagi kata-kata abang tempoh hari?” Lembut ucapan Tengku Zamran Hakim.

Emily mengangguk perlahan. Kenapalah sejak akhir-akhir ni aku jadi cengeng?

“Thanks sayang.” Cepat ciumannya hinggap di dahi Emily kemudian terus keluar kereta diikuti Emily.

“Bye sayang. Bawak kereta elok-elok.” Tengku Zamran Hakim sempat berpesan sebelum mengatur langkah laju, risau pulak kalau Emily naik angin gara-gara dia mengambil kesempatan sebentar tadi.

“Zam!” Panggil Emily.

Tengku Zamran Hakim buat tak dengar. Mesti Emily mahu mengamuk dengannya.

“Zam…” Panggil Emily, kali ini lebih lembut.

Langkah Tengku Zamran Hakim terhenti.

Emily hampiri Tengku Zamran Hakim dan cepat-cepat mencapai tangan lelaki itu lalu dikucup perlahan.

Tengku Zamran Hakim terkedu. Tekaannya tadi tersasar sama sekali. Dia sedar, ucapan terima kasih patut diberikan pada mummy yang banyak mengajar mereka erti hubungan suami isteri.

Kucupan dihadiahkan pula pada pipi Emily. Kepala Emily diusap, “Jangan layan lelaki lain.” Pesannya bersungguh-sungguh.

Emily membulatkan matanya buat kali kedua. “Awak ingat saya ni apa?”

“Abang gurau jelah.” Tengku Zamran Hakim tersenyum hambar. Hakikatnya dia serius dengan pesanannya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia mengheret isterinya itu ke mana sahaja langkahnya dihayunkan. Agaknya ketika itu, baru hatinya benar-benar lega.

“Jangan risau, saya tahu status saya.” Ujar Emily yang sedar akan kerisauan dari nada Tengku Zamran Hakim.

Dan Tengku Zamran Hakim terus tersenyum lega. “Tahu pun.”

Emily mencebik. Matanya memandang lama lekuk yang terserlah di kedua belah pipi lelaki itu. Kacaknya dia….

“Tapi, kalau orang tu yang cari saya, saya tak boleh nak elak.” Emily sempat mengenakan Tengku Zamran Hakim.

Kali ini mata Tengku Zamran Hakim pula yang membulat. Hilang senyumannya yang meleret tadi.

“Beranilah nak kacau buah hati abang.” Dengusnya tidak puas hati.

Emily ketawa. “Okeylah, saya pergi dulu.” Emily sudah bersedia di tempat pemandu.

“Ingat, jangan layan lelaki lain selain abang.” Tengku Zamran Hakim masih lagi berpesan.

Emily menjeling. “Awak tu yang patut beringat. Kalau Maria datang buat dek je. Jangan layan sangat perangai gatal dia.” Usai mengeluarkan kata-kata itu Emily terus memecut laju.

Mulanya Tengku Zamran Hakim tersenyum lebar. Cemburu? Dia benar-benar gembira sekiranya Emily cemburu. Cemburukan tandanya sayang. Hatinya berbunga riang ketika melangkah masuk ke bangunan Teguh Holdings.

“Selamat pagi semua.” Ujar Tengku Zamran Hakim sambil tersenyum mesra pada pekerja di bahagiannya.

Semua pekerja di bahagian pentadbiran pandang pelik. Cuak melihat ketua mereka yang berubah tiba-tiba. Tidak pernah ketua mereka itu meyapa pekerjanya sebelum ini. Hari ini dalam sejarah. Baru cuti seminggu, tiba-tiba berubah macam ni? Aneh! Mungkin demamnya masih belum sembuh. Ya, mungkin.

“Ceria Tuan hari ni.” Halina bersuara. Dia yakin, kegembiraan bosnya itu pasti ada kena-mengena dengan Emily.

“Biasa je.” Tengku Zamran Hakim berdalih. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya.

"Ada apa-apa pesanan untuk saya?"

"Oh ya, tuan ada tetamu pagi ni."

"Tetamu? Siapa?"

"I'm not sure. Tapi, katanya dia kawan Tuan."

Kerutan di dahi Tengku Zamran Hakim jelas kelihatan. "Lelaki ke perempuan?"

"Lelaki."

Tengku Zamran Hakim terdiam memikir. Selalunya, hanya seorang sahaja kawan lelakinya yang mencari di pejabat. Tapi, agak lama dia tidak berjumpa dengan sahabat karibnya yang seorang itu. Temannya yang lain hanya lebih senang berhubung melalui telefon.

“Dia ada cakap tak nama dia?”

“Ada. Kejap, saya ingat balik. Emm…Razi? Bukan, bukan. Rozi? Eh bukan jugak, itu nama perempuan.”

Tengku Zamran Hakim menggeleng melihat telatah setiausahanya. Selalu sahaja lupa untuk mengingati nama seseorang yang baru dikenalinya. “Fauzi ke Kak Ina?”

“Ha! Itulah yang Kak Ina nak sebut tadi.” Halina tersenyum dan mengangguk beberapa kali. “Dia cakap tadi nama dia Syed Fauzi.”

"Dia tunggu saya di mana?"

"Tadi saya suruh dia tunggu di bilik Tuan."

Tengku Zamran Hakim mengangguk dan berlalu.

* * * * *

Tengku Zamran Hakim menguak pintu bilik pejabatnya. Kelihatan satu susuk tubuh sedang bersandar tenang di sofa.

“Termenung panjang nampak?”

Doktor Fauzi yang tidak bersedia dengan sapaan itu tersentak. “Fuhh….lemah semangat aku. Kau ni betullah. Bagilah salam dulu lain kali.”

“Cehh…lemah semangat konon. Kau berangan apa sampai khusyuk sangat? Ini mesti dok berangan nurse-nurse dekat hospital tu kan? Dah mula ada hati nak kahwin?” usik Tengku Zamran Hakim sambil mengambil tempat di kerusi koperatnya. Syed Fauzi merupakan sahabat paling rapat dengannya semasa mereka di Sekolah Menengah dan juga ketika sama-sama menuntut pelajaran ke Luar Negara.

“Buat apa nak ingat kat diorang? Hari-hari aku boleh jumpa kalau nak. Emm…soalan terakhir kau tu, unik sikit jawapan dia.” Ujar Doktor Fauzi sambil manarik kerusi bertentangan Tengku Zamran Hakim.

Terangkat kening Tengku Zamran Hakim. “Kiranya, kau dah jatuh hati la ni?”

“Kau dah lama tak jenguk aku. Tak datang tanya khabar langsung.” Doktor Fauzi cuba mengubah topik.

Tengku Zamran Hakim mencebik. “Mati hidup semula pun belum tentu aku pergi tempat kerja kau tu. Macamlah kau tak tahu aku ni alah dengan bau hospital. Lagi satu, kalau ye pun nak mengelak dari jawab soalan aku cari la idea yang nampak bijak sikit.”

Menjegil mata Doktor Fauzi. “Kau ingat aku tak bijak ke?”

“Betullah kau dah jatuh cinta?”

“Mungkin.” Doktor Fauzi mengangguk-angguk.

“Wah…ada kemajuan. Siapa? Aku kenal?”

Doktor Fauzi tarik nafas panjang. “Rasanya kau tak kenal kot. Eh, bukan kot, tapi memang kau tak kenal. Aku pun tak sempat nak kenal rapat. Dah lebih tiga bulan aku tak jumpa dia. Dan aku sempat kenal dia pun hanya untuk tiga bulan.” Serba ringkas dia bercerita mengenai gadis yang berjaya mengusik hatinya.

“La…kiranya belum jadi lagilah ni?”

“Nak buat macam mana, kat mana dia sekarang pun aku tak tahu. Kau tanya aku, kau macam mana pulak? Dah ada yang buat kau angau?”

“No comment.” Belum tiba masanya untuk dia bercerita mengenai Emily. “So, apa sebabnya kau datang jumpa aku ni?”

“Takkan nak jumpa kawan pun tak boleh?” Doktor Fauzi tidak bertanya lanjut mengenai jawapan no comment Tengku Zamran Hakim kerana dia tahu sahabat yang seorang itu tidak gemar bercakap mengenai perempuan.

“Bukan tak boleh, tapi aku pelik sebab apa kau tiba-tiba datang. Okey, kalau kau kata tujuan kau datang ke sini sebab dah lama tak jumpa aku, alasan tu tak cukup kukuh. Macamlah kau tak boleh call ajak jumpa. Melainkan…” ayat tengku Zamran Hakim tergantung seketika.

“Kau jangan cakap yang kau datang nak bagi jemputan majlis?” tekanya. Selalunya, kalau ada apa-apa jemputan sahabatnya itu akan terus ke pejabatnya.

“Pandai pun kau. Kawan-kawan kita nak buat majlis reunion. Ini kad jemputan kau.” Doktor Fauzi menghulur sampul di tangannya.

Tengku Zamran Hakim membelek isi sampul tersebut. Hari sabtu, malam minggu ni. Tempat pulak, emm….tempat yang sama seperti dua tahun yang lepas. Dia melemparkan kad tersebut ke mejanya. Tak berminat nak mengambil tahu selanjutnya.

“Majlis untuk apa? Bukan dah buat ke dua tahun yang lepas?” soal Tengku Zamran Hakim seolah jengkel. Dia cukup tak senang kalau ada majlis sebegitu. Kebanyakan sahabatnya akan membawa pasangan masing-masing dan dia lebih senang datang bersendirian. Kemudian, mulalah suara sumbang-sumbang yang bertanya mengenai pasangannya.

“Majlis untuk Mastura. Diakan dah balik sini. Jadi diorang nak sambut kepulangan dialah kononnya. Eh, takkan lah kau tak tahu yang dia dah balik? Musykil aku. Mengikut firasat aku, orang pertama yang dicarinya mestilah kau.” Doktor Fauzi mengetuk-ngetuk dagunya dengan jari telunjuk seperti sedang membuat kesimpulan.

Tengku Zamran Hakim menjungkit bahu. Buat-buat tidak faham dengan soalan Doktor Fauzi.

“Dia ada datang?”

“Kalau dia datang jumpa aku kenapa?” Tengku Zamran Hakim menjawab dengan soalan juga..

“Oh, jadi betullah dia pernah datang sini?” desak Doktor Fauzi.

Tengku Zamran Hakim tidak menjawab.

“Berapa kali dia datang jumpa kau sejak dia balik?” Doktor Fauzi masih belus berpuas hati selagi tidak mendapat jawapan dari sahabatnya itu.

Tengku Zamran Hakim mengeluh. Boring betul nak jawab soalan yang tak menarik minatnya langsung.

“Sekali.” Jawabnya pendek.

“Maknanya, dia akan datang jumpa kau untuk kali kedua dalam masa terdekat ni.” Beritahu Doktor Fauzi sungguh-sungguh.

“Apa maksud kau?”

“Kau tahulah kan, aku pun terlibat dalan susun atur setiap kali diorang buat majlis. Jadi kalau ada cerita sepanjang perancangan majlis ni semua ada dalam poket aku. Sebagai salah seorang ahli jawatan kuasa yang memikul peranan yang agak berat dan bertanggungjawab dalam semua per…”

“Apa yang kau melalut ni? Boleh tak, kau cakap je terus-terang?” pintas Tengku Zamran Hakim bila Doktor Fauzi mula mahu masuk bakul angkat sendiri.

“Alah…sekali-sekala aku main-main. Kau ni…tak sportinglah.”

Tengku Zamran Hakim memandang tajam wajah Doktor Fauzi tanda amaran.

“Okey…okey…aku bagitahu. Macam ni, masa kitorang bincang pasal majlis ni hari tu, aku terdengar yang Maria dok atur rancangan dengan kawan-kawan dia macam mana nak buat kau datang berpasangan dengan dia.”

“Then, apa masalahnya? Pujuklah macam mana pun, mustahil aku nak jadi pasangan dia.” Tengku Zamran Hakim tunjuk muka tak kisah. Lantaklah perempuan tu. Ajak sejuta kalipun, tak mungkin dia akan sudi.

“Kau jangan ambik mudah plan dia yang kali ni.” Riak wajah Doktor Fauzi seolah membayangkan perkara yang amat mengerikan.

“Ha, apa pulak plan dia?”

“Aku dengarlah kan, dia dengan kawan-kawan seangkatan dengan dia akan hebohkan satu Malaysia yang kau ni tak minat perempuan kalau kau datang berseorangan malam tu nanti. Lebih tepat, gay.”

“What??! Mengarut!” melengking suara Tengku Zamran Hakim. Tak masuk akal langsung jika dia dikatakan gay!

“Aku pun tak tahu macam mana diorang boleh buat kesimpulan macam tu.”

“Gila betullah perempuan tu.” sambung Tengku Zamran Hakim, masih dengan sisa marahnya.

Doktor Fauzi pandang simpati. Nasib kaulah Zam. Kalau dia sendiri yang terkena rasanya boleh pecah kepala fikir macam mana nak tolak dakwaan tersebut.

“Kau tak kena pulak?” soal Tengku Zamran Hakim bila memikirkan Doktor Fauzi juga tidak pernah berpasangan dengan mana-mana wanita.

“Tak, sebab aku tak sepopular kau masa sekolah dulu. Prince charminglah katakan. Mestilah heboh kalau prince charming tak pernah datang mana-mana majlis dengan teman wanitanya.”

Tengku Zamran Hakim mendengar jelik perkataan ‘prince charming’ yang meluncur laju dari mulut sahabatnya. Gelaran yang diberikan padanya waktu di alam persekolahan. Entah apa-apa. Karut!

“Kalau aku gay, macam mana dulu aku boleh bertunang dengan Maria?”

“Pasal tu, aku dengar diorang cakap kau kena paksa. Tapi betullahkan, kau kena paksa dengan mummy kau?”

“Memanglah. Tapi….ahh malas aku nak fikir. Otak aku tak boleh berfungsi buat masa sekarang ni.” Tengku Zamran Hakim meraup wajahnya.

“Ha, tadi kau cakap Mastura nak datang sini buat kali kedua. Apa kena-mengena dengan dia?” Baru Tengku Zamran Hakim teringat kata-kata Syed Fauzi mengenai Mastura. Jangan tambah masalahnya lagi sudah.

“Macam ni, Mastura dapat tahu yang Maria nak ajak kau jadi pasangan dia malam tu. Diorang berdua tu tengah bersaing siapa yang dapat pujuk kau untuk jadi pasangan salah seorang di antara mereka.”

“Minah dua orang tu sama-sama tak betul.” Dengus Tengku Zamran Hakim kasar.

“So, siapa di antara dua orang tu jadi pilihan kau?”

“Dua-dua aku tak nak.” putus Tengku Zamran Hakim.

“Habis tu, kau nak bawak siapa malam tu? Atau kau nak dilabel sebagai…” Doktor Fauzi terhenti, kemudian menyambung. “Gay?”

Tengku Zamran Hakim telan liur mendengar perkataan terakhir dari bibir Doktor Fauzi. “Kalau tak datang tak boleh ke?”

“Buat pasallah kau ni. Kau jangan buat malu aku. Aku dah janji dengan diorang aku akan pujuk kau datang.”

“Yang kau pergi janji tu, siapa suruh? Sekarang, siapa yang susah? Yang nak kena bahan nanti aku, bukan kau.”

“Kalau kau tak datang lagi teruk kau kena! Dah la tak dapat back up diri kau, esok-esok keluar paper ‘Tengku Zamran Hakim disahkan gay.’ Kau ingat kawan-kawan kita tu tak de yang jadi reporter? Cerita tak betul pun, diorang boleh putar-belit sampai ramai orang percaya. Yang dapat susah nanti bukan kau seorang, mummy dengan daddy kau sekali kena tempias.” ujar Doktor Fauzi panjang lebar.

Tengku Zamran Hakim mengurut kepalanya yang terasa pusing. Rumit benar masalahnya yang kali ini. Dia benar-benar tidak sanggup kalau digelar gay. Simpang malaikat 44!

“Aku nak bawak siapa? Jangan kau cadangkan minah dua orang tu sudah. Boleh pecah kepala otak aku dengan diorang.”

Doktor Fauzi terdiam. Susah betul nak bagi cadangan.

“Aku pun tak tahulah perempuan mana yang aku nak cadangkan kat kau.” Doktor Fauzi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kusut.

Tengku Zamran Hakim memejamkan matanya. Memikir-mikir siapa yang harus dibawa bagi menyelamatkan dirinya dari digelar….ahh…tak perlu disebut. Tak mungkin akan dibiarkan dirinya kalah dengan permainan Maria.

Em…ha! Dahinya ditepuk seolah baru mengingati sesuatu. Macam manalah aku boleh tak terpikir nak bawak Emily? Dia tersenyum meleret bila seraut wajah menyapa matanya. Baru berpisah tak sampai satu jam, dia dah mula merindu. Bahaya betul panahan cinta ni. Lagi satu, kalau benar mereka nak gelar dirinya gay, kenyataan itu memang dapat disangkal dengan mudah. Buktinya, mana mungkin seorang gay sudah mempunyai isteri. Tapi masalahnya, sehingga kini perkahwinan mereka masih dirahsiakan dari pengetahuan umum.

“Zam!” tegur Doktor Fauzi. Pelik. Baru beberapa minit yang lepas wajahnya seperti ditimpa masalah yang dahsyat, tiba-tiba boleh bertukar dalam sekelip mata? Bukan main ceria lagi riak wajah kacak itu.

“Dah ada idea siapa pasangan kau malam tu?” soalnya.

“Kau jangan risaulah. Pandai-pandai akulah nanti.”

“Aku pegang janji kau ni. Kalau kau tak datang, aku bom rumah kau.” Gurau Doktor Fauzi.

“Dah kira mengugut tu.” Tergelak Tengku Zamran Hakim melihat sahabatnya yang beria-ria.

“Bukan apa, aku pun ternanti-nanti jugak siapalah agaknya gadis bertuah yang akan berpasangan dengan kawan aku yang anti-perempuan ni. Sampai sekarang tak de makwe lagi. Dan, aku pun tak nak tengok kawan aku ni digelar gay.” Menggeleng Doktor Fauzi seakan kesal.

“Hoi, kawan. Rumah kau ada cermin ke tak? Kalau tak de, aku nak tolong belikan. Nak suruh cermin sikit muka kau yang tak sedar-sedar diri lagi. Kutuk aku tak de makwe, kau tu macamlah ada.” Bidas Tengku Zamran Hakim.

Doktor Fauzi terdiam sejenak. “Ye tak ye, kan?”

* * * * *

“Tak nak!” putus Emily.

“Alah….bolehlah. Emy kena tolong abang malam tu.” Tengku Zamran Hakim masih belum puas memujuk. Degil betullah minah ni. Ajak teman pun tak nak. Sudah lebih satu jam dia merayu namun Emily mempunyai 1001 macam alasan untuk mengelak.

“Kan saya dah cakap tadi, tak boleh! Hari sabtu ni kan, majlis tu?”

Tengku Zamran Hakim mengangguk. Memandang jam dinding yang jarum pendeknya sudak bergerak ke angka 10.

“Hari sabtu tu saya ada mesyuarat dengan kakitangan.” Sememangnya dia ada mesyuarat dengan staf di bahagiannya pada hari sabtu tersebut. Tapi, yang paling penting dia mahu mengelak dari berpasangan dengan Tengku Zamran Hakim. Dia sedar, semakin hari perasaannya sudah tidak dapat dikawal. Macam mana sekalipun, dia harus mengelak dari terus terbuai dengan perasaannya sendiri.

“Cik adik, majlis start pukul 8.30 malam. Takkan mesyuarat sampai malam?”

Emily terpempan. “Er….” Apa nak jawab ni? Tapi tak mustahilkan kalau terlajak masa?

“Macam mana? Boleh tak?” Tengku Zamran Hakim terus mendesak bila Emily sudah terperangkap.

“Manalah tahu, kot-kot terlajak masa sampai ke malam.”

Tengku Zamran Hakim pandang Emily geram. Tengok, tak nak mengalah lagi tu. Dia sedar, Emily sengaja mahu mengelak darinya. Baik, abang nak tengok sampai bila Emy boleh mengelak.

“Tak pe lah kalau macam tu.” nada Tengku Zamran Hakim kedengaran hampa.

“Awak pergi soranglah nanti?” Emily melepaskan nafas lega. Selamatlah dia malam tu.

“Nak buat macam manakan. Ada bini, bini pun sibuk. Mesyuarat sampai malam.”

Gulp. Emily telan liur. Sindirannya…Fuhh…menusuk kalbu. “Awak tak kisahkan pergi sorang?”

“Kalau Emy sibuk sangat tak pelah. Lagi pun abang baru teringat, abang boleh ajak orang lain.” Tengku Zamran Hakim berpura-pura mengatur langkah dari ruang tamu tersebut. Sambil itu, dia mengira dalam hati, satu…dua…ti…

“Err…awak nak ajak siapa?” Emily mula tidak senang duduk. Perlu berteman jugak ke?

“Tahulah abang nanti. Jangan risaulah. Emy boleh teruskan mesyuarat tu dengan tenang.” Ujarnya. Ha, tahu takut. Dia merenung Emily yang tampak gelisah. Sekejap meraup muka. Kemudian, membetulkan duduknya.

“Siapa? Maria?” pantas Emily menyoal.

Tengku Zamran Hakim hampir tidak dapat menyembunyikan senyumannya melihat Emily yang tampak kalut. Bukan dia sengaja mahu bermain dengan emosi Emily. Dah ego sangat. Itulah satu-satu cara yang dia ada.

“Emm…mungkin jugak. Tapi, tak semestinya abang ajak dia. Abang boleh ajak Mastura ke, Aliya ke, ha, tak pun Dilla. Rina dengan Suraya pun boleh jugak. Tengoklah macam mana nanti. Sayang tak payah fikir sangat pasal tu. Pandailah abang nak settlekan.” Tengku Zamran Hakim menyebut satu persatu nama beberapa gadis yang pernah meluahkan perasaan padanya.

Terjegil mata Emily memandang Tengku Zamran Hakim. Dengan perasaan marah yang membara, Emily terus bangun dari duduknya. Ketika melintas di hadapan Tengku Zamran Hakim, dengan sengaja dipijaknya kaki lelaki itu sekuat hati.

“Aduh!”

“Sorry, tak sengaja.” Jeling Emily geram dan terus berlalu ke tingkat atas. Pintu bilik dihempas. Kuat.

Setelah memastikan keadaan selamat, Tengku Zamran Hakim melepaskan tawanya. Lucu bila mengenangkan perangai Emily sebentar tadi. Kakinya yang dipijak dipandang lama. Ganas betul bini aku ni. Tak sengaja? Dia menggelang kecil. Mustahillah. Sakit pun sakitlah. Yang pasti, Emily akan menerima pelawaannya beberapa hari lagi.

* * * * *

Eii….geramnya! Emily mengepal-ngepal penumbuk seolah mananti sasaran. Ke hulur ke hilir dia berkawat dalam bilik. Mastura? Aliya? Dilla? Rina? Suraya? Huh, siapa mereka tu? Kata benci perempuan tapi punyalah banyak nama yang disebutnya tadi. Dasar buaya tembaga! Kalau dah lelaki namanya, sifat buaya tu memang susah nak dipisahkan.

Sekali-sekala nafasnya ditarik. Cuba menenangkan hatinya yang hangat. Pasti Tengku Zamran Hakim sedang bersorak kemenangan kerana berjaya membuatkan dirinya benar-benar cemburu. Penipu besar kalau dia masih menafikan perasaannya ketika itu.

Sesak nafas bila memikirkan perasaan sebenarnya pada Tengku Zamran Hakim. Ya, dia cemburu. Orang kata cemburu tanda sayang. Dari sayang bertukar kepada cinta. Aku jatuh cinta kat dia? Oh, tidakkk!!!

1 comment: