Monday, January 26, 2009

Hati yang Terluka 6

Emily baru dia tiba di perkarangan tempat letak kereta syarikatnya apabila telefon bimbitnya berbunyi. Emily melihat skrin telefonnya. ‘Bonda? Mesti ada hal penting ni. Harap-harap bukan perkara buruk.’ Emily berdoa di dalam hati.

“Assalamualaikum bonda.” Emily memberi salam sebaik sahaja menjawab panggilan dari bondanya.

“ Waalaikumussalam. Emy, boleh tak balik rumah sekarang? Bonda harap sangat Emily dapat balik sekarang.” Terdengar suara cemas dan sebak Puan Zhafirah di talian.

“Hal apa bonda?” Emily cemas. Dia berasa tidak sedap hati apabila mendengarsuara cemas bondanya.

“Susah bonda nak cerita dalam telefon. Lebih baik Emily balik sekarang. Senang bonda nak cerita.” Selepas itu Puan Zhafirah memutuskan talian.

Emily bergegas memandu kereta ke rumahnya. Hatinya kini benar-benar tidak tenteram. Di fikirannya tergambar wajah Syira.

Sebenarnya sejak beberapa hari yang lalu Syira di tahan di wad. Selepas bonda dan Pak Isman membawa Syira ke hospital, kerana suhu badan Syira tidak surut-surut, tiba-tiba pihak hospital mahu membuat ujian ke atas Syira. Ada yang tidak kena pada darah Syira kata mereka. Mereka kata hasil ujian akan diketahui hari ini. Mungkin bonda sudah mengetahui hasil ujian tersebut. Walaubagaimanapun Emily tetap berdoa apa yang difikirkan itu tidak benar.

* * * * *

Berderau darah Emily ketika bondanya menceritakan apa sebenarnya yang berlaku. Seperti yang dijangkakannya sebentar tadi. Memang berita buruk yang diterimanya. Syira menghidap leukemia! Leukemia Syira sudah berada di peringkat terakhir. Menitis perlahan air matanya. Bondanya memberitahu sekarang Syira masih ditahan di wad untuk pemantauan. Dan ketika itu juga, kata-kata Kak Lianya masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Tolong akak Emy. Jaga anak akak baik-baik. Emylah satu-satunya yang akak harapkan untuk menjaga anak akak dan bonda. Akak dah tak mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut. Masa akak sudah terlalu suntuk.” Tersekat-sekat suara Emilia kedengaran sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dan…ya! Satu lagi amanah yang Kak Lia tinggalkan untuknya. Sekeping gambar kakaknya dan lelaki itu masih dalam simpanannya. Kakaknya menyuruh dia menemukan Syira dengan ayahnya yang sebenarnya! Perkara itu sebenarnya dia rancangkan ketika Syira sudah cukup matang kelak. Tetapi kini, dia terpaksa melakukan perkara tersebut dalam masa yang terdekat ini.

* * * * *

“Ada tak cara lain untuk selamatkan Syira?” Emily bertanya kepada doktor yang merawat Syira sebaik sahaja keluar dari wad Syira.

“Beginilah. Mari masuk ke bilik saya. Kita berbincang di dalam.” Emily mengikut langkah doktor muda itu.

“Sebenarnya Emy, penyakit Syira hanya boleh dirawat kalau ia dapat dikesan dari awal. Tetapi, leukemia Syira sekarang sudah berada di peringkat terakhir.” Doktor Fauzi berkata lembut kepada Emily. Entah kenapa dia lebih senang memanggil wanita di hadapannya ini dengan panggilan nama selepas mendengar bonda kepada Emily memanggil begitu.

“Tak mungkin hanya dengan merawat. Dah tiada cara lain?” Emily masih tidak puas hati.

“Maksud Emy, pembedahan?” Doktor Fauzi bertanya.

Emily hanya mengangguk.

“Sebenarnya Emy, pembedahan memang boleh di lakukan. Tetapi, risikonya tinggi. Ini kerana, leukemia Syira sudah merebak. Lagipun, bukan senang untuk dapatkan penderma yang sesuai.” Doktor Fauzi menerangkan.

“Macam mana kalau saya yang derma?” Emy bertanya.

“Bukan semua keluarga terdekat sesuai Emy.”

“Tak salahkan kalau mencuba?”

“Memang tak salah. Tapi kita kena lihat bagaimana keadaan Syira dulu walaupun tulang Emy sesuai.”

Emy mengangguk lagi. Dia amat mengharap tulangnya sesuai dengan Syira.

Doktor Fauzi merenung wajah Emily. Hatinya seperti sudah terpaut pada wanita dihadapannya ini. Tetapi sayangnya wanita di hadapannya ini isteri orang, malah sudah menjadi ibu!

* * * * *

Keputusan ujian sama ada tulangnya sesuai dengan Syira atau tidak sudah keluar. Tetapi perasaannya benar-benar hampa. Tidak sesuai! Harapannya kembali pudar. Tiba-tiba satu wajah terbayang di matanya. Mungkin lelaki itu sesuai. Tetapi…di mana dia boleh mencari lelaki tersebut? Emily mengeluh. Tiba-tiba Emily terasa bahunya di sentuh.

“Eh, doktor.” Emily tersenyum hambar.

“Saya dah tengok hasil ujian tu. Seperti saya katakan hari tu, tak semua keluarga terdekat sesuai tulangnya. Emmm, suami awak tak cuba buat test ke?” Doktor Fauzi cuba bertanya. Selebihnya dia juga mahu tahu siapa suami Emily kerana sehingga hari ini dia tidak pernah melihat suami Emily. Dia cuma pernah lihat bonda Emily dan juga seorang lelaki separuh umur yang di panggil Pak Isman.

Emily tidak tahu hendak berkata apa. Otaknya ligat mencari idea. “Emm… suami saya …”

“Emy!” Dalam Emily cuba menjawab soalan doktor Fauzi, seseorang memanggil namanya. Emily menoleh.

“Juita!” Emily membalas pelukan Juita. Gembira benar hatinya kerana berjumpa dengan sahabat baiknya ini.

“Ehem! Ehem!” Mereka berdua tersedar apabila terdengar suara deheman seseorang.

“Maaf doktor, kami dah lama tak jumpa. Bila dah jumpa begini, tak ingat dunialah. Itulah sampai terlupa pada doktor.” Emily menjawab malu.

Doktor Fauzi tersenyum melihat muka Emily yang memerah. “Tak mengapa. Saya saje je usik awak tadi. Saya minta diri dulu.” Doktor Fauzi meminta diri selepas menundukkan sedikit kepalanya kepada Juita. Walaupun hatinya sedikit terkilan kerana belum mendapat jawapan dari Emily, hatinya sudah dapat mengagak hubungan Emily dengan suaminya tidak begitu baik memandangkan raut wajah Emily yang berubah apabila dia bertanya mengenai suami Emy. Ye ke? Mungkin.

“Emm…handsome juga doktor tu.” Juita berkata dalam nada mengusik sebaik sahaja Doktor Fauzi beredar. Sengaja dia mahu mengusik Emily.

“Kalau handsome kenapa? Kau nak?” Emily bertanya dalam nada yang sama.

“Isy, ada pulak macam tu. Habis tu, Nazrin aku nak campak mana?”

“Aku ingatkan kau dah lupa teman lelaki kau tu. Aku tengok kau puji doktor tu lain macam je tadi.” Emily masih lagi mahu mengusik. Siap mengenyitkan matanya lagi.

“Kau ni kan. Aku nak usik kau sebenarnya tadi. Alih-alih kau pulak yang usik aku.” Juita berkata sambil mencubit pipi Emily geram.

“Itulah. Kononnya nak usik aku. Emm..kau cari aku sampai kat sini ke? Bila balik dari London?” Emily tahu Juita habis belajarnyanya tahun ini. Tapi, dia tidak tahu bila Juita mahu pulang ke Malaysia.

“Baru je pagi tadi. aku rindu kat kau. Terus aku pergi rumah kau tadi. Bonda kau kata kau ada kat sini. Sempat jugak la bonda kau tu cerita serba sedikit kat aku pasal Syira.” Juita meberitahu perlahan. Hati Juita benar-benar simpati pada nasib Syira.

Perasaan Emliy kembali sebak. Hilang gembiranya tadi. “Aku pun tak tahu nak buat macam mana lagi. Tiba-tiba aku rasa aku ni macam tak jalankan amanah Kak Lia dengan baik. Sampaikan sekarang penyakit Syira sudah sampai peringkat terakhir baru aku tahu.” Emily mengeluh kesal.

“Sudahlah Emy. Bukan kau yang pinta. Itukan takdir Allah. Banyakkan berdoa. Cuma aku minta sekarang ni, walau apapun yang terjadi, aku harap kau redha dan tabah.” Juita menggenggam tangan Emily. Dia tahu Emily seorang yang tabah dan cekal hati.

Emily mengangguk. Memandang sahabat yang banyak membantu dia dan Kak Lia. Juita sahabat mereka dari sekolah rendah lagi. Berkongsi suka, duka, dan rahsia. Cumanya, mereka terpisah apabila tamat sekolah menengah.

“Kau ingat lagi mengenai permintaan terakhir Lia?” Juita teringat akan hal yang satu itu.

“Ingat Ju.” Emily menjawab perlahan.

“Dah cuba cari?” Juita bertanya sambil merenung wajah jelita di hadapannya.

“Aku pernah terserempak dengan lelaki tu. Dia yang tegur aku dulu.”

“Dia kenal kau ke?” Juita bertanya pelik.

Emily menggeleng. “Isy, takkanlah dia kenal aku. Kitorang mana pernah jumpa. Dia fikir aku ni Kak Lia. Masa dia jumpa aku hari tu, dia panggil aku dengan nama ‘Lia’. Tapi, aku asyik lari tiap kali terserempak. Aku belum bersedia nak bagitahu pasal Syira. Hati aku masih terluka dengan perbuatan dia pada Kak Lia.”

“Tiap kali? Berapa banyak kau terserempak dengan dia?”

“Dua kali. Ada satu hari tu dekat tempat letak kereta lepas habis peragaan baju. Lagi satu, masa aku nak jumpa client. Sebab dia aku terlepas nak jumpa dengan client tu.” Emily menceritakan serba sedikit kepada Juita.

“Habis tu, sekarang dia dah tahu pasal Syira?”

“Belum lagi. Aku baru dapat tahu Syira ada penyakit leukemia. Sekarang ni, aku tak tahu kat mana nak cari lelaki tu. Setidak-tidaknya aku boleh tunaikan permintaan Kak Lia sekaligus suruh dia buat test sama ada tulang dia sesuai tak untuk Syira. Aku dah buat test, aku punya tak sesuai.” Emily memberitahu.

“Sabarlah. Aku tolong kau cari sekali ye. Mesti jumpa jugak nanti. Aku yakin, mesti dia akan cari 'Lia' dia sampai jumpa. Mari, tunjukkan aku bilik Syira. Dah lama tak jumpa dengan anak angkat aku tu.” Emily ketawa kecil mendengar kata-kata Juita. Memang sejak awal lagi Juita menjadikan Syira sebagai anak angkat secara tak rasmi. Emily membawa Juita ke wad yang menempatkan Syira.

No comments:

Post a Comment