Tuesday, January 27, 2009

Hati yang Terluka 18

"Lan!" Raja Nafisah menekan suara memanggil anaknya, Razlan yang masih tidak berganjak di tempatnya berdiri tadi.

"Yang kau pandang dia sampai macam tu sekali kenapa? Buat malu je." sambung Raja Nafisah memarahi Razlan. Mujur Raja Muzairah tiada di situ. Kalau tidak, apalah adiknya fikir mengenai anaknya. Macam tak pernah nampak perempuan.

Razlan memandang emaknya dengan wajah berseri-seri. "Siapa tu mak? Anak Mak Su? Mak nak pinang dia untuk Lan ke? Kenapa mak tak cakap awal-awal kita nak pergi meminang. Kalau Lan tahu mak nak pinang bidadari untuk Lan, lagi awal Lan datang." kata Razlan. Masih terbayang di ruang matanya wajah jelita itu. Kalau dapat ni, comfirm tak cari lain.

Menjegil Raja Nafisah mendengar kata-kata Razlan. Gila agaknya budak ni! "Apa yang kau merepek ni? Bila pulak mak kata nak pergi meminang. Di rumah Mak Su kau pulak tu. Bila pulak Mak Su kau ada anak dara?."

Razlan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Ye tak ye jugak. Bila difikir balik, anak Mak Su semua lelaki. "Habis, yang tadi tu siapa?" tanya Razlan.

Raja Nafisah tidak menghiraukan pertanyaan Razlan. Malas melayan anaknya itu. Terus bangkit dari duduknya dan menuju ke dapur. Berniat untuk melihat Emily memasak.

* * * * *

Emily rancak memasak. Mujur semua bahan-bahan untuk memasak ada. Ekor matanya menangkap kelibat seseorang masuk ke dapur. Pantas ditoleh. Mak Teh!

Emily melemparkan senyuman. "Duduklah dulu Mak Teh." ujar Emily lembut sambil menarik kerusi untuk Raja Nafisah.

Raja Nafisah duduk. Tetapi tetap dingin pandangannya.

Emily meneruskan kerja-kerjanya.

Raja Nafisah ralit melihat Emily memasak. Cekap. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk berleter. Segala yang dilakukan Emily sempurna di matanya.

Akhirnya, setelah hampir satu jam Emily di dapur, lima hidangan tersedia di atas meja. Emily memasak ringkas kerana dia tahu, pasti semuanya sudah lapar. Ayam Goreng, dimasak menggunakan resepinya sendiri, khas untuk cucu-cucu Mak Teh. Gulai Lemak Nenas Ikan Masin, Sambal Udang, Sayur Kailan Goreng, dan Kerabu Mangga. Masakannya kali ini, lebih kepada masakan ala-ala kampung kerana dia pasti, itu citarasa keluarga Mak Teh. Air mangga sejuk bersama pencuci mulut turut terhidang.

Emily baru mahu memanggil yang lain, tiba-tiba beberapa orang anak kecil masuk ke ruang makan. Emily ketawa kecil melihat telatah cucu-cucu Mak Teh. Emmm...tak sempat nak panggil. Sayu hatinya sektika. Melihat mereka, terimbau kembali telatah Syira.

"Dah lapar ye?" Emily menyapa mereka. Badannya direndahkan menyamai paras mereka.

Mengangguk anak-anak itu. "A'ah. Lapar sangat. Pastu, bau ayam goreng. Lagi rasa lapar. Kami nak panggil kakak apa?" Kanak-kanak perempuan yang dalam lingkungan 10 tahun menjawab dan sempat bertanya.

Emily tersenyum. "Yang ni nama apa?"

Raja Nafisah yang berada berdekatan situ, hanya memrhati.

"Farisya. Tapi panggil Icha." jawab anak itu manja. "Alah... kakak tak jawab lagi soalan Icha."

"Emmm...Icha panggil anak bongsu Tok Su apa?" Emily betanyakan panggilan mereka untuk Tengku Zamran Hakim.

"Maksud kakak, Cu Zam ek?" tanya Icha kembali.

'Cu Zam? Oh, agaknya, panggilan untuk Tengku Zamran Hakim.' fikir Emily. Kemudian Emily mengangguk.

"Icha panggil Cu Zam dekat anak bongsu Tok Su. Icha dengar, ibu cakap Cu Zam dah kahwin. Kakak yang kahwin dengan Cu Zam ye? Nama kakak apa?"

"Emily." Jawab Emily pendek.

"Mmmm...ha! Icha panggil kakak Cu Emy, boleh?" Farisya seolah-olah meminta kebenaran.

Emily tersenyum sambil mengangguk.

"Mana aci. Cu Emy cakap dengan Kak Icha sorang je." tiba-tiba suara anak kecil mencelah.

Emily mengalihkan perhatiannya pada suara itu. Seorang kanak-kanak dalam lingkungan 3 tahun sedang mencebik manja. Tangannya mengusap perlahan kepala kanak-kanak kecil itu.

"Ini pula nama apa?"

"Ayiem." pelat budak lelaki 3 tahun itu menjawab.

"Nama sebenar dia Azim." celah Icha.

Emily mencuit sedikit pipi kanak-kanak itu.

"Eh, makanan dah nak sejuk. Lupa Emy nak jemput makan. Mak Teh duduk sini dulu. Biar Emy panggil yang lain." Emily mahu memanggil yang lain, tetapi ditahan Raja Nafisah.

"Biar aku yang panggil."

Emily mengangguk. Mak Teh meghilang ke ruang tamu.

"Okey semua, mari duduk di kerusi." Emily mengajak anak-anak yang seramai lima orang itu duduk di meja makan. Azim didukungnya.

Tidak lama kemudian, ruang makan itu penuh.

Mak Teh dan suaminya mengambil tempat duduk. Mummy dan daddy turut mengambil tempat. Kemudian, tiga pasangan tadi, diikuti wanita yang menghadiahkan pandangan tajam kepadanya.

"Hai wak." Razlan yang baru tiba di ruang makan, menyapa Emily. Emily dipandang atas bawah.

Emily memandang jejaka yang menyapanya dengan wajah kurang senang. Eii...mamat ni lagi. Tak habis-habis dengan pandangan gatalnya.

"Saya Razlan." Razlan menghulurkan tangannya.

Emily serba-salah untuk menyambut. Bukan muhrimnya. Aduh, macam mana ni?

Beberapa saat kemudian tangan Razlan sudah disambut seseorang. Terpinga-pinga Emily. Ditoleh sebelahnya. Tengku Zamran Hakim!

"Aku Zamran." kata Tengku Zamran Hakim selamba.

Kelat wajah Razlan. "Nama kau buat apa. Macamlah aku tak kenal kau."

Emily tertawa kecil melihat telatah kedua-dua jejaka itu. Hatinya lega. Nasib baik Tengku Zamran Hakim membantunya.

Razlan memerhati Emily ketawa. Terselah lesung pipit di kedua belah pipi gadis itu. 'Cantik!' desis hatinya.

Berdehem kecil Tengku Zamran Hakim melihat kelakuan Razlan.

"Lan! kau ni dari tadi, tak habis-habis. Cepat duduk. Zam, mari makan dengan kami sekali." Raja Nafisah memanggil.

Razlan menurut. Tengku Zamran Hakim turut duduk. Dia mengambil tempat di sebelah Razlan. Bertentangan dengan wanita yang memandang Emily tajam.

Emily perasan, wanita itu beberapa kali menjeling manja Tengku Zamran Hakim. Sekejap-sekejap membetulkan duduknya. Ada bisul agaknya perempuan ni!

Tengku Zamran Hakim mengetuai bacaan doa makan.

"Emy tak makan sekali?" ajak Raja Muzairah. Ketika itu, semua sudah mula menjamu selera.

"Kejap lagilah mummy. Emy nak ajak Kak Ina, Kak Faz, dan Kak Hana turun sekali." Emily menjeling sedikit ke arah Raja Nafisah. Dilihatnya, wanita itu mencebik mendengar nama-nama birasnya disebut.

Raja Muzairah mengangguk.

"Ayiem, mari duduk dekat nenek. Nenek suapkan." Panggil Raja Nafisah.

"Tak nak! Ayiem nak Cu Emy suap." tangan Azim paut erat leher Emily yang bertutupkan kain tudung.

Emily tersenyum. "Tak apalah Mak Teh. Biar Emy suapkan Ayiem ni."

Raja Nafisah merengus perlahan. Seolah-olah tidak puas hati dengan kerenah cucunya.

"Ayiem duduk dulu tau. Cu nak panggil kakak Cu turun makan. Lepas ni, Cu suapkan." Emily pujuk lembut anak kecil itu.

"Mari dekat atuk dulu Ayiem." Giliran Pak Teh pulak memanggil.

"Tak Nak!"

Emily memandang satu-persatu anak menantu Mak Teh. Agaknya mana antara mereka ibu dan ayah kepada Azim? Kesemua seperti tak endah dengan anak kecil ini. Sibuk menjamu selera.

Akhirnya, Tengku Zamran Hakim bangun dan menghampiri Emy berniat untuk memujuk Azim. "Mari dekat Cu Zam. Cu Emy ada kerja sikit. Nanti Cu Emy suap. Sekarang, biar Cu Zam suapkan dulu." pujuk Tengku Zamran Hakim.

Azim termakan dengan pujukan Tengku Zamran Hakim. Dukungan bertukar.

"Terima Kasih." ucap Emily.

Tengku Zamran Hakim mengenyitkan sebelah matanya.

Emily senyum sambil menggeleng kecil dan terus berlalu.

Hazimah melihat kemesraan Emily dan Zam merengus geram.

"Kau ni apasal?" tegur Raja Nafisah.

Semua mata tertumpu kearah Hazimah.

"Tak ada apa-apa." Hazimah pantas menggeleng laju dan pura-pura sibuk mengambil lauk.

Tengku Zamran Hakim kembali ke tempat duduknya. Azim diribanya.

"Zam, aku dah jatuh hati lah." kata Razlan tiba-tiba pada Tengku Zamran Hakim. Nada suaranya direndahkan.

Tengku Zamran menoleh pada Razlan. "Semua perempuan kau suka. Mana ada perempuan yang kau tolak. Tiang pakai skirt pun kau sapu." kata Tengku Zamran Hakim mengusik, juga menggunakan nada yang sama.

Razlan membulatkan matanya. "Gila kau. Bila pulak aku kata aku suka kat tiang. Memanglah aku suka perempuan. Tapi, itu untuk suka-suka je. Yang ni, aku betul-betul dah jatuh cinta. Kalau aku dapat, aku tak kan cari lain." Razlan seolah-olah berjanji.

"Wah...betul-betul dah jatuh hati lah ni?" Sesekali Tengku Zamran Hakim menyuap Azim. Nak pulak si Azim ni makan hari ni. Selalunya bukan main susah. Lauk-pauk pula sedap hari ni. Siapalah agaknya yang masak. Tengku Zamran Hakim tertanya sendiri.

Razlan mengangguk yakin. "Eh, kau ejek aku suka kat tiang pakai skirt? Daripada kau, still suka kat budak tomboy tu? Manalah dia sekarang ek?"

Tengku Zamran Hakim tersentak. Kenangan 15 tahun lalu menyapa fikirannya. Sebolehnya, dia tidak mahu mengingati peristiwa yang menyakitkan itu. Pergi tanpa khabar berita. Malah, tanpa ucapan selamat tinggal. Tak sangka sepupunya itu tiba-tiba megungkit.

Razlan memang mengetahui kisah 15 tahun dahulu kerana dia dan Razlan memang rapat masa kecil-kecil dulu. Selalu dia ke kampung Razlan jika cuti sekolah. Tetapi, bila meningkat dewasa, hanya sesekali sahaja mereka berhubung dan bertemu. Masing-masing sibuk.

"Boleh tak kau jangan ungkitkan peristiwa tu? Biarlah berlalu. Aku dah cuba cari dia. Tapi semuanya hampa. Ha...pasal gadis yang kau suka. Siapa? Aku kenal ke?" Tengku Zamran Hakim kembali ke topik asal.

"Gadis tadi tu la." jawab Razlan.

"Gadis tadi?" Tengku Zamran Hakim kurang jelas.

"Alah...yang dukung Azim tadi tu la. Yang Mak aku panggil dia...emmm..." Berkerut dahi Razlan memikir. "Ha! Emy..."

Tengku Zamran Hakim yang sedang menguyah, tersedak.

Emily yang baru tiba ke ruang makan bersama ipar-iparnya, terus menghampiri Tengku Zamran Hakim.

Di tuangnya air ke dalam gelas. Dan disuanya ke bibir Tengku Zamran Hakim. Tangannya yang sebelah lagi mengusap belakang Tengku Zamran Hakim lembut.

"Awak okey?" tanya Emily lembut.

Tengku Zamran Hakim mengangguk. Entah mengapa, dia rasa bahagia di layan begitu. Tetapi cepat-cepat dicampak jauh perasaan bahagianya itu. Mustahil baginya.

Baru mereka berdua perasan, semua mata sedang tertumpu ke arah mereka. Err...

Raja Muzairah dan Tengku Zaidi tersenyum melihat kemesraan itu. Suami Raja Nafisah, Kahar juga begitu. Raja Nafisah mencebik. Tiga pasangan itu memandang, tetapi selepas itu, menyambung suapan. Biras-biras Emily mengenyit nakal. Hazimah mendengus buat kali kedua. Razlan pula ketap bibir, cemburu.

"Siapa masak ni?" celah Tengku Zaidi tiba-tiba.

"Emy." jawab Raja Muzairah.

Tengku Zamran Hakim terkejut. Biar betul?

"Pandai Emy masak. Untung dapat menantu macam Emy. Yang dapat isteri macam Emy lagi untung." puji Kahar, suami Raja Nafisah. Sempat merujuk kepada Tengku Zamran Hakim.

Tetapi Razlan pula yang perasan. Tersenyun-senyum dia mendengar kata-kata dari ayahnya.

Raja Nafisah mendengus mendengar kata-kata dari suaminya. Walaupun begitu, dalam diam dia tetap mengakui hakikat tersebut.

Emily hanya tersenyum malu mendengar pujian dari suami Raja Nafisah. Azim di riba Tengku Zamran Hakim diambilnya. Kemudian duduk di kerusi kosong yng lain bersama birasnya.

Hazimah mencebik menyampah mendengar pujian ayahnya pada Emily.

Tengku Zaidi da Raja Muzairah juga tersenyum bangga.

Tengku Zamran Hakim juga memuji dalam diam.

Rozina, Farhana, dan Farzana menunjukkan tanda bagus.

"Ok tak pilihan aku Zam?" Razlan berbisik ke telinga Tengku Zamran Hakim.

"Pilihan kau?"

"Apa la kau ni. Maksud aku, gadis tu la. Semua cukupkan? Cantik, pandai masak, tengok...jaga anak pun pandai." Razlan memuncungkan mulutnya pada Emily yang sedang meriba Azim.

Tengku Zamran Hakim ketap bibir geram. Sakit hatinya mendengar kata-kata Razlan. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Tetapi perasaan cemburu membuak-buak dalam dadanya. Cemburu? Cemburu untuk apa?

'Kau memang patut cemburu Zam.' tiba-tiba suara hatinya berkata-kata. 'Dia isteri kau. Milik kau seorang.' sambung suara itu lagi. Isteri? Tengku Zamran Hakim telan liur.

"Kau dengar tak aku cakap ni?" ujar Razlan tidak puas hati melihat Tengku Zamran Hakim hanya diam.

Berkerut dahi Emily melihat Tengku Zamran Hakim dan Razlan berbisik-bisik dari tadi. Sekejap-sekejap memandangnya. Kini, dilihatnya Tengku Zamran Hakim hanya diam. Seolah-olah memikirkan sesuatu yang serius. Pandangan Tengku Zamran Hakim juga seperti sedang menahan marah. Apa pulak yang tak kena ni?

Tiba-tiba Tengku Zamran Hakim bangun dari duduknya dan terus berlalu. Makin lama mendengar celoteh Razlan, makin sakit hatinya. Sebelum berlalu, sempat dia memandang Emily sekilas.

Semua penghuni di meja makan, terpinga-pinga melihat Tengku Zamran Hakim. Tidak pernah-pernah jadi macam tu sebelum ini.

Emily terasa lengannya disiku. Ditoleh sebelahnya. Pandangan Rozina kepadanya seolah-olah menyuruh sesuatu.

"Pergi ikut Zam." suruh Rozina berbisik.

Berkerut dahi Emily. "Buat apa?"

"La...Emy kan isteri Zam, pergilah tanya dia kenapa dia jadi macam tu."

"Kena buat macam tu ke?" lurus Emily bertanya.

"Iye. Dah pergi cepat. Bagi Azim pada akak."

Emily menghulurkan Azim pada Rozina. Mujur anak kecil itu mahu.

"Emy nak pergi tengok Zam dulu." kata Emily dan turut berlalu dari situ mengikut jejak langkah Tengku Zamran Hakim.

"Tadi ayah tengok kamu berbisik-bisik. Lepas tu, tiba-tiba Zam bangun. Pergi macam tu je. Kau cakap apa sampai Zam marah macam tu?" tanya Kahar kepada Razlan.

Raja Muzairah dan Tengku Zaidi juga menanti jawapan dari Razlan.

"Err...Lan tak cakap apa-apa. Cuma..." Razlan tidak meneruskan kata-katanya.

"Cuma apa?" tanya Raja Nafisah tidak sabar.

"Cuma...Lan cakap nak ambil Emy jadi isteri Lan." Kata Razlan lambat-lambat. Kemudian tersengih malu. Sebenarnnya, dia mahu merahsiakan dulu perasaannya pada emak dan ayahnya, tetapi bila disoal begitu, dia terpaksa berterus-terang.

Menjegil semua mata yang berada di meja makan mendengar kata-kata Razlan.

Terkebil-kebil Razlan. "Kenapa tengok Lan macam tu?"

"Kau ni betul ke tak?" Raja Nafisah sudah ketap bibirnya geram. Malu dia pada adiknya. Budak sorang ni memang saja nak buat malu aku. Apa agaknya Raja Muzairah fikir mengenai keluarganya. Mungkin adiknya itu memikirkan yang keluarganya memang suka merampas hak orang lain.

Anaknya yang sulung, Hashidah juga berkahwin dengan suami orang. Hal itu, hanya orang terdekat saja yang tahu. Dan, Raja Muzairah juga tahu mengenai itu. Oleh sebab itulah, dia sering mencari kelemahan anak menantu adiknya itu.

"Apa pulak yang tak betulnya? Salah ke? Mak jugak yang bising-bising bila Lan tak kahwin lagi. Bila Lan jumpa gadis yang Lan betul-betul sayang, dan Lan rasa sesuai untuk Lan, Mak nak marah-marah pulak." ujar Razlan tidak puas hati.

Makin membulat mata Raja Nafisah. Tangannya mengurut dahi. Cuba menahan sabar. Mukanya sudah benar-benar tebal berada di situ.

Tengku Zaidi dan Raja Muzairah yang mendengar kata-kata Razlan, seolah-olah tidak percaya. 'Padanlah Zam marah sangat. Suami mana tak marah bila ada lelaki lain yang mahukan isterinya.' desis hati mereka berdua.

"Kau sedar ke tak apa yang kau cakap?" jerkah Kahar lantang.

"Ayah pun sama macam mak! Mestilah Lan sedar apa yang Lan cakap! Lan tak kira, sama ada mak dan ayah setuju atau tak, Lan tetap nak Emy jadi isteri Lan." tegas Razlan serius.

"Astaghfirullahalazim...apa nak jadi dengan kau ni, Lan? Kau sedar tak yang kau cakap pasal siapa? Kau sedar tak Emy tu siapa sebenarnya?" suara Kahar tetap tinggi.

"Lan tak nak tahu. Apa yang penting Emy jadi hak Lan! Isteri Lan! Apa yang Lan nak, pasti akan jatuh ke tangan Lan." usai mengeluarkan kata-kata angkuh itu, Razlan meninggkalkan ruang makan.

"Lan!!!" panggil Kahar kuat. Gila agaknya budak ni. Sampai isteri orang pun nak disapunya. Risau dia memikirkan kemungkinan yang akan berlaku. Dia arif benar dengan perangai anaknya yang seorang itu. Jika mahukan sesuatu, pasti akan diusahakan sehingga dapat.

Tengku Zaidi dan Raja Muzairah melopong. 'Habislah...'

Raja Nafisah sudah kaku. Tidak tahu apa lagi yang mampu dikatakan. Dia benar-benar malu dengan Raja Muzairah serta menantu-menantu adiknya itu.

Mereka yang berada di meja makan hanya senyap mendengar perdebatan tersebut. Tidak mahu masuk campur.

Hanya Hazimah yang mampu tersenyum. Dia akan pastikan adiknya bekerjasama untuk meruntuhkan rumah tangga Tengku Zamran Hakim. Pasti ini menarik. Dia akan pastikan Tengku Zamran Hakim jatuh ketangannya. Dan Emily ke tangan Razlan. Jika suatu ketika dahulu, dia mampu mengusir si tomboy itu, kenapa sekarang tidak?

Dia tidak pernah terfikir Tengku Zamran Hakim akan berkahwin akhirnya. Dia tahu, sebelum ini Tengku Zamran Hakim pernah bertunang dengan Maria, tapi ketika itu dia yakin hubungan itu tidak akan lama. Dan tekaannya tepat. Pertunangan tersebut putus.

Apa yang membuatkan dia begitu yakin adalah kerana dia pasti Tengku Zamran Hakim tidak akan pernah melupakan si tomboy itu. Dia sudah cuba mengambil peluang tersebut untuk memikat Tengku Zamran Hakim. Tetapi tidak pernah dilayan. Tiba-tiba dia mendapat tahu dari emaknya, Tengku Zamran Hakim sudah berkahwin. Sakit hatinya ketika itu.

Saat itu juga, hatinya benar-benar meronta untuk melihat isteri Tengku Zamran Hakim. Dan setelah melihat sendiri tadi, hatinya bertambah-tambah sakit. Fikirnya, isteri Tengku Zamran Hakim tidak dapat menandingi kecantikannya, tetapi sangkaanya jauh meleset. Wajah itu benar-benar jelita walaupun tanpa sebarang alat solek. Dan lesung pipit di pipi gadis itu juga menyesakkan fikirannya. Sama. Memang sama. Lesung pipit yang sama seperti Tengku Zamran Hakim. Dan lesung pipit yang seperti pernah dilihatnya sebelum ini.

3 comments:

  1. si tomboy yg cu zam suka mesti emy kan...?
    hehehe..seronok...makin hangat

    ReplyDelete
  2. cer nye smakin pnas~
    x sabar nk abiz kn..

    ReplyDelete