Monday, January 26, 2009

Hati yang Terluka 10


Jenazah Syira selamat dikebumikan. Emily, Juita,dan Puan Zharifah masih di tanah perkuburan ketika orang ramai sudah beransur pulang.

Seperti permintaan Syira, jenazahnya disemadikan di sebelah Emilia. 'Syira, mama janji akan selalu ziarah Syira di sini.' Hati Emily berbisik sayu. Teringat kata-kata dan perlakuan pelik Syira malam tadi. Sekiranya Syira dapat merasakan yang dia akan akan pergi buat selamanya.

“Mari kita pulang Emy, bonda. Dah petang ni. Sekejap lagi dah nak masuk waktu maghrib.” Juita mengajak lembut. Matanya masih bengkak kerana terlalu banyak menangis.

Emily mengangguk. “Mari bonda.” Emily memimpin tangan bondanya pulang.

* * * * *

Emily menyiapkan makan malam. Selepas itu, Juita mengambil alih menghidangkan makan malam pula.

“Aku nak pergi panggil bonda. Sejak balik dari kubur tadi bonda tak keluar bilik. Risau aku.” Emily memberitahu.

Juita hanya mengangguk. Tangannya masih meneruskan kerja menghidang. Terbuka seleranya melihat masakan Emily. Satu lagi keistimewaan Emily, cekap memasak. Waktu 'tomboy' dulu pun Emily rajin memasak. Tapi yang simple-simplelah. Nampaknya sekarang ni makin mahir. Entah ikut siapa. Tak silapnya, bonda dan Emilia kurang minat bab masak-memasak ni.

Emily menuju ke bilik bondanya. Pintu diketuk dahulu sebelum dikuak.

Sayu hati Emily melihat bondanya duduk dikerusi malas sambil memegang bingkai gambar. Pasti gambar Syira.

“Bonda.” Emily memanggil apabila dilihat Puan Zharifah seperti hanyut dalam dunianya sendiri. Kemudian Emily duduk bersimpuh di lantai di sisi Puan Zharifah.

“Mari makan bonda. Dari pagi tadi bonda tak makan.” Emily mengajak sambil mengusap lembut tangan bondanya.

“Bonda rindu Syira.” Tiba-tiba Puan Zharifah berkata.

“Bonda, Emily pun rindu Syira. Sebab Emy yang membesarkan dia. Emy dah anggap dia macam anak kandung Emy. Hati ibu mana yang tak sedih melihat anaknya pergi dulu sebelumnya. Tapi, Allah lebih sayangkan dia.” Emily memujuk lembut.

“Emy tak teringin nak ada anak sendiri?” Puan Zharifah sengaja bertanya. Dia tak mahu Emily membujang sampai bila-bila. Dia tahu, Emily sering mengelak bila soalan ini dibangkitkan. Alasan yang selalu diberikan, Syira masih kecil. Kali ini, dia tidak akan sesekali beri peluang untuk Emily mengelak.

Emily tersentak dengan pertanyaan bondanya. Tetapi, dia hanya mendiamkan diri. Tidak tahu mahu beri alasan apa.

“Emy, Syira dah tiada. Emylah satu-satunya harapan bonda nak dapat menantu dan cucu.” Melihatkan Emily terdiam, Puan Zharifah menggunakan peluangnya sebaik mungkin.

“Tapi...” Bukan dia tak mahu kahwin, tetapi kisah hidupnya menjadikan dia takut untuk mempercayai dan mengharapkan lelaki. Bonda, Kak Lia. Kedua-dua wanita yang di sayangi menderita kerana lelaki.

“Emy, yang dah lepas tu, lepaslah. Jangan disebabkan kisah hidup bonda dan Kak Lia, Emy takut nak dekat dengan lelaki. Bukan semua lelaki macam tu. Lagipun, ayah Emily dulu, bukan tak bertanggungjawab, tapi keadaan yang mendesak. Emy kena lihat dari contoh yang baik. Misalnya, atuk Emy sebelah ayah sangat setia orangnya. Atuk Emy sanggup dibuang keluarga sebab terlalu cintakan nenek. Walaupun kahwin tanpa restu, mereka bahagia.” Panjang lebar Puan Zharifah bercerita.

“Kenapa keluarga atuk tak mahu terima nenek?” Emily bertanya hairan.

“Sebab arwah nenek bangsa asing. Nenek Emy tu Inggeris.”

Emily mengangguk. Teringat wajah neneknya yang jelita. Nenek memang baik. Tapi, dia dapat hidup bersama neneknya hanya 2 tahun. Nenek menghidap kanser usus. Lagipun, mungkin nenek tertekan kerana satu-satunya anak yang dia ada menghilangkan diri. Ayah....entah masih hidup atau tidak.

“Emy...bonda mahu Emy kahwin dalam waktu yang terdekat ini. Setidak-tidaknya, Emy beri bonda menantu.” Puan Zharifah masih mendesak.

Emily telan liur. 'Err...menantu?' Emily gelisah.

“Bonda...Emy kan muda lagi.” Alasan.

“25 tahun Emy....Umur macam Emy ni, dah patut kahwin. ”

Emily terdiam.

“Emy, bonda tahu, bonda selalu mendesak Emy selama ini. Tapi apa yang bonda desak, semuanya untuk kebaikan Emy.” Puan Zharifah berkata sayu. Memancing simpati.

“Kalau 10 tahun lagi boleh tak bonda?”

“Emy!” Puan Zharifah menjegilkan matanya.

Emily tersengih nakal. Hakikatnya, dia serius.

Puan Zharifah menggeleng. Budak ni. Suka sangat main-main.

“Bonda serius. Kalau Emy tak cari calon dalam masa yang terdekat ni, biar bonda yang tolong carikan.” Puan Zharifah menggertak. Sengaja.

“Eh...tak payah lah bonda. Beri Emy masa untuk fikirkan dulu ye bonda.” Emily mengalah akhirnya. Tapi, mana nak cari calon suami?

“Terima kasih Emy.” Puan Zharifah berkata gembira. Dia tahu, pasti dalam masa terdekat ini dia kan dapat menantu. Walaupun Emily tidak memberikan kata putus, dia pasti Emily akan tunaikan permintaannya.

“Bonda, mari makan. Juita dah lama tunggu.” Sekali lagi Emily mengajak bondanya.

Puan Zharifah mengangguk. Bingkai gambar Syira diusap dan ditatap sebelum di letakkan ke tempat asalnya.

No comments:

Post a Comment