Sunday, February 15, 2009

Hati yang Terluka 34

“Datang jugak kau. Risau jugak aku kalau-kalau kau tak datang.” sapa Naufal dari khemah tempatnya berdiri apabila Tengku Zamran Hakim menghampirinya.

“Kenapa pulak nak risau?” Mata Tengku Zamran Hakim sempat meliar pada sekeliling rumah tepi tasik itu. Lampu sudah menerangi keseluruhan kawasan. Agak ramai tetamu yang sudah membanjiri khemah-khemah yang terpacak.

“Kau akan tahu kejap lagi.” balas Naufal penuh makna.

“Ha! Itu dia. Dah sampai pun.” Sambung Naufal sambil menunjuk pada wanita yang tersenyum menghampiri mereka.

Sekali lagi Tengku Zamran Hakim diterpa tanda tanya.

“Hai…saya Afiqah. Saya tahu awak tak kenal saya. Tapi saya kenal awak. Dan, baru hari ini saya berpeluang bertemu dengan awak.” Afiqah memperkenalkan dirinya. Matanya meneliti Tengku Zamran Hakim yang bergaya kasual dengan t-shirt lengan panjang disingsing ke siku dan jeans. Kacak! Walau wajah itu kelihatan menanggung beban masalah yang berat, tetap terlihat ketampanannya. Memang padan benar dengan Emily.

Naufal memandang Afiqah sambil menjungkit keningnya seolah bertanyakan sesuatu.

“Dia datang lambat sikit.” Kata Afiqah berbisik perlahan memahami maksud pertanyaan Naufal.

Naufal mengangguk. “Barang penting yang aku suruh bawak tu ada?”

“Ditanggung beres.”

Tengku Zamran Hakim cuma memandang tingkah mereka yang aneh. Tapi tidak pula berminat untuk bertanya.

“Zam, jom ke dalam. Syiqa dah menunggu.” Ajak Naufal.

Tengku Zamran Hakim nampak terpinga-pinga. “Ada sesuatu yang tak kena ke? Kenapa pulak nak masuk ke dalam.”

“Lebih privasi. Macam yang aku cakap sebelum ni, tentang jawapan yang dah lama kau cari.”

“Habis tu, tetamu-tetamu kau macam mana?”

“Mak dan abah aku ada. Ayah dengan umi Syiqa pun ada sekali. Aku dah beritahu pada mereka.”

Mereka bertiga melangkah menuju ke dalam rumah. Tengku Zamran Hakim pula makin berdebar dadanya. Sejak dari rumah tadi perasaannya tidak enak. Seperti ada sesuatu yang akan berlaku nanti. Ah, mungkin cuma mainan perasaannya.

* * * * *

Mereka berempat duduk bertentangan di bilik bacaan. Tengku Zamran Hakim masih diburu persoalan demi persoalan. Masih menunggu dengan debaran.

“Zam, sebelum semua jawapan yang kau cari terjawab, aku nak tanya kau apa sebenarnya yang terjadi di Kampung Tok Penghulu lima belas tahun yang lepas.” Syiqa memulakan bicaranya. Malam ini, segalanya perlu dibongkar!

Tengku Zamran Hakim tersentak. Kampung Tok Penghulu? “Macam mana kau tahu pasal kampung tu? Dan peristiwa lima belas tahun yang lepas pun… kau tahu?”

“Kalau kau ingat pasal rombongan anak angkat dari bandar, mesti kau masih ingat ada seorang budak perempuan yang menumpang rumah Mak Cik Zai dan Pak Cik Kahar.”

Agak lama Tengku Zamran Hakim terdiam.

“Budak tu…kau?” tanyanya teragak-agak.

Syiqa mengangguk.

Naufal dan Afiqah hanya menjadi pendengar. Buat sementara, biar Syiqa yang bersoal jawab dahulu kerana antara mereka bertiga, Syiqa yang lebih mengetahui hal tersebut.

“Kanapa tiba-tiba kau ungkit pasal ni?” Tengku Zamran Hakim mendengus. Sebolehnya dia tak mahu mengingat lagi perkara yang melukakan itu. Kenapa tiba-tiba peristiwa lampau itu ditimbulkan kembali? Apa tujuan mereka sebenarnya?

“Sebab aku baru tahu kebenaran yang menjadi tanda tanya aku sebelum ni. Aku baru tahu kau budak lelaki yang sepupu dengan Kak Imah tu.”

“Macam mana kau boleh tahu?”

“Fiqa...tunjukkan pada Zam.” Suruh Syiqa pada Afiqah.

Afiqah mengeluarkan kotak baldu yang dibawanya tadi dan diletak pada meja kecil yang berada ditengah-tengah antara mereka. Kotak tersebut dibuka perlahan, dan terserlah isi di dalamnya.

Tengku Zamran Hakim terpana di tempatnya melihat isi kotak baldu tersebut. Klip rambut bunga tulip! Perlahan diambil klip tersebut. Masih seperti dulu. Berkilau. Matanya memandang Syiqa dengan seribu pertanyaan.

“Aku yakin kau pasti masih ingat dengan klip rambut tu.”

“Klip rambut ni aku bagi pada…”

“Budak tomboy tu kan?” potong Syiqa.

Tengku Zamran Hakim mengangguk lemah. “Tapi dia tipu aku.”

“Tak. Tak Zam. Kau silap.” Syiqa menggeleng berkali-kali.

“Aku silap?” berkerut Tengku Zamran Hakim menyoal.

“Boleh aku tahu, ada tak sesiapa yang sengaja mereka cerita atau cakap buruk pada kau pasal budak tomboy tu lepas dia tinggalkan kau dulu?”

“Kalau ya, kenapa?”

“Siapa? Kak Imah?” tanpa sabar Syiqa menyoal.

“Mana kau tahu?” Tengku Zamran Hakim sedikit terperanjat.

“Sebab dia jugak yang cakap buruk pasal kau pada budak tomboy tu.”

“Cakap buruk pasal aku?”

Syiqa mengangguk. “Emm…Kak Imah cakap buruk pasal kau depan budak tomboy tu.” ulang Syiqa lagi.

“Maksud kau?”

Syiqa menarik nafas. “Zam, depan aku Kak Imah hina dia. Dia cakap kau sebenarnya saja nak mainkan budak tomboy tu. Dia suruh budak tomboy tu sedar diri dan paling teruk dia kata budak tomboy tu anak luar nikah. Tapi dia kata, semua tu keluar dari mulut kau.”

“Mengarut!” suara Tengku Zamran Hakim meninggi. Sumpah, tidak pernah terlintas difikirannya perkataan-perkataan tersebut apatah lagi untuk diucapkan.

“Betul Zam. Itulah yang Kak Imah cakap. Kata Kak Imah lagi, masa budak tu hampir lemas, kau yang sengaja bocorkan pelampung tu. Petang lepas Kak Imah jumpa dia, budak tu jatuh sakit dan malam tu jugak dia balik sebab demam panas teruk.”

Tengku Zamran Hakim tersandar lemah. Jadi, semua yang berlaku ini hanya satu salah faham yang dicipta Hazimah? Tidak menyangka, seburuk itu perangai sepupunya itu.

“Yang aku tak faham, apa tujuan Hazimah buat semua benda ni.”

“Sebab dia cintakan kau. Dia cemburu.” Syiqa teringat apa yang diberitahu Hazimah padanya dulu.

Tengku Zamran Hakim meraup wajah. Baru dia teringat, pada waktu itu dia buat sambil lewa layanan Hazimah padanya. Buat tidak mengerti maksud disebalik layanan tersebut.

“Mana kau dapat klip ni?” tanyanya selepas itu. Pasti mereka yang berada di hadapannya kenal dengan pemilik klip tersebut. Kalau tidak mengapa klip tersebut boleh berada ditangan mereka.

“Fiqah, aku serah pada kau untuk jelaskan.”

Afiqah mengangguk. Faham akan peranannya. “Pemilik klip ni tinggal dengan saya. Ada satu hari tu, saya pernah nampak dia belek klip ni sambil menangis. Mulanya saya buat tak kisah, lepas tu baru saya teringat cerita sahabat saya. Sahabat saya tu ada cerita pasal kisah unik cinta monyet kawannya yang tidak kesampaian. Saya call balik kawan saya tu, minta kepastian. Dan, tekaan saya betul.”

“Habis, macam mana awak tahu saya yang bagi klip tu pada rakan awak?”

“Itu biar saya yang jawab.” Tiba-tiba ada suara yang mencelah. Juita yang baru tiba terpacak di pintu bilik.

“Datang jugak kau. Apasal lambat?” Syiqa tersenyum lega melihat kemunculan Juita.

“Jalan sesak.” balasnya mengah.

“Aku serah pada kau, Jue.” Ujar Afiqah pula.

Juita melabuh duduk di sebelah Afiqah. “Saya tahu masa saya teman bonda hari yang awak terangkan pada keluarga awak pasal kehilangan Emy. Saya ternampak gambar waktu awak sekolah dulu. Patutlah lesung pipit awak macam pernah saya tengok sebelum ni. Rupanya memang awak.”

“Awak pun tahu pasal peristiwa lima belas tahun tu?” Tengku Zamran Hakim bertambah pelik.

“Sebab saya satu rombongan dengan Nad.” Juita memandang Syiqa.

“Tapi, takkan satu rombongan tahu pasal kisah ni.” Tak masuk akal langsung!

“Saya tahu sebab saya orang paling dekat pada pemilik klip tersebut.” Juita berkias.

“Siapa lagi yang awak rapat selain Em…” Tengku Zamran Hakim tersentak. Dia seolah baru terjaga dari lenanya. Tubuhnya tegak.

“Tolong jangan cakap Emy tu…” Dia kehilangan kata. Rambutnya yang terjatuh ditolak ke belakang.

“Betul Zam…betul. Memang Emy.” Juita mengangguk beberapa kali.

“Emy dengan budak tomboy tu orang yang sama, Zam.” Syiqa pula mengiakan kata-kata Juita.

Tengku Zamran Hakim memincing mata. Tersandar lemah pada kerusinya. Sandiwara apa yang sedang dimainkan mereka? Kenapa semua yang terjadi ini bagai satu kebetulan? Jadi, Emily adalah gadis tomboy yang dicari-carinya selama ini? Gadis yang membuatkan hatinya tutup pada semua wanita dan terbuka kembali setelah menjumpai kuncinya, Emily. Sesungguhnya perancangan Allah itu langsung tidak pernah tercapai oleh akal warasnya.

“Emy…dah tahu pasal ni?” tanyanya sayu selepas itu.

“Aku rasa, Emy dah tahu. Kalau tak takkan Emy boleh kenal Hazimah.” Jawab Syiqa. Teringat bagaimana Emily boleh mengetahui nama penuh kakak angkatnya itu ketika majlis perkahwinannya bulan lepas.

“Habis, kenapa Emy tak cakap langsung pasal ni?” kecewa nadanya. Kalaulah dia lebih awal tahu tentang ini, pasti kemelut yang berlaku antara dia dan Emily sekarang takkan terjadi.

“Mungkin Emy pernah nak cakap, tapi belum ada kesempatan.” Tambah Juita. Simpati dia melihat raut Tengku Zamran Hakim yang bercelaru.

Tuk! Tuk!

Pintu bilik bacaan tersebut diketuk kuat dari luar. Mereka berpandangan.

“Pak Long. Buka pintu cepat.” Kali ini suara memanggil pula kedengaran.

Naufal bangun untuk membuka. Kelihatan anak buahnya yang sedang termengah-mengah.

“Kenapa ni Haikal?”

“Nenek suruh bagitahu Pak Uda ada orang jatuh dalam tasik.” Beritahu anak buahnya itu.

“Ya Allah…macam mana boleh jadi macam tu? Siapa yang jatuh?” cemas Naufal bertanya.

“Haikal tak tahu. Tapi perempuan. Ada orang nampak ada seorang perempuan tolak perempuan tu.”

Berdebar-debar dada Tengku Zamran Hakim mendengarkan itu. Hatinya benar-benar tidak enak. “Fal, Emy datang tak majlis ni?”

“Aku ada jemput. Aku suruh Syiqa pujuk dia datang. Rasanya Emy dah sam...” Tergantung ayatnya apabila dipintas Tengku Zamran Hakim.

“Jom kita ke sana. Hati aku tak sedaplah.” Tengku Zamran Hakim mengajak tanpa sempat Naufal menghabiskan kata.

“Betullah cakap Zam. Mari kita tengok apa yang berlaku dekat tasik tu. Kenapalah tiba-tiba boleh jadi kecoh macam ni.” Syiqa mengeluh.

Juita mengangguk. “Jom cepat. Aku pun dah rasa lain macam ni.”

“Aku pun nak ikut.” Afiqah mencelah antara mereka.

Apabila mereka tiba di kawasan tasik tersebut, orang ramai sudah mula mengerumuni.

“Kenapa ni?” Naufal bertanya pada salah seorang tetamunya yang berada di kawasan tersebut.

“Ada orang jatuh. Orang kata, perempuan tu yang tolak.” Beritahunya sambil mengunjuk ke arah satu susuk tubuh.

Naufal menoleh. “Maria?”

Syiqa dan Juita berpandangan. Turut melihat ke arah yang sama. Kelihatan Maria dan Amir bertekak di situ.

Tengku Zamran Hakim mendengar teliti bait-bait pergaduhan mulut antara Maria dan Amir.

“Yang you tolak dia tu kenapa?” jerkah Amir.

“Hati I sakit tahu tak. I betul-betul nak perempuan tu lenyap!” Balas Maria juga dalam nada meninggi.

“Amir, siapa yang jatuh dalam tasik?” Naufal mencelah, seolah mengerti perasaan yang melanda Tengku Zamran Hakim.

Terhenti seketika perang mulut antara Maria dan Amir. Wajah Amir kelihatan tidak senang ketika matanya terpandang Tengku Zamran Hakim. Mulutnya teragak-agak untuk memberitahu.

“Siapa?” desak Tengku Zamran Hakim pula.

“Err…E…E…Emy…” ujar Amir tergagap-gagap.

“Apa?!” Tengku Zamran Hakim terasa dadanya seperti mahu pecah. Maria dipandang dengan pandangan yang tak dapat diertikan. Tajam. Marah.

“Maria! Kau ni kenapa hah?” bergetar suara Syiqa menahan geram. Niatnya menjemput Maria ke situ untuk membongkarkan hubungan antara Tengku Zamran Hakim dan Emily. Mahu Amir dan Maria sedar dan tidak mengharap lagi pada pasangan tersebut. Namun, kejadian yang berlaku ini benar-benar di luar jangkaannya.

Maria diam. Tiada riak bersalah di wajahnya.

“Habis tu, dah call pasukan penyelamat?” Naufal bertanya selepas itu. Risau dia melihat Tengku Zamran Hakim yang seperti kehilangan kata.

“Dah. Mereka dalam perjalanan ke sini.”

Juita sudah terduduk lemah di rumput. Afiqah mengusap perlahan belakang temannya itu.

“Zam, macam mana ni? Emy tu…” Juita tidak menyudahkan kata kerana terperanjat melihat Tengku Zamran Hakim yang sudah terjun ke dalam tasik.

Semua yang berada di situ turut terkejut. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.

Amir terlopong. Mana mungkin dalam keadaan cahaya malap begini, ditambah dengan keluasan tasik dan paras air yang tinggi, sesuatu yang dirasakan amat mustahil jika Tengku Zamran Hakim dapat menemui Emily.

Maria pula terkedu di tempatnya. Sedalam manakah cinta Tengku Zamran Hakim pada Emily sehingga sanggup mempertaruhkan nyawanya begitu?

‘Bagus Zam. Aku tahu kau lebih memahami segala tindak-tanduk kau. Dan, ini memang tindakan terbaik yang patut kau buat.’ detik Naufal sendirian. Kagum melihat sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk isteri yang dicintainya.

Mereka masih setia menunggu. Lima belas minit telah berlalu. Namun kelibat Tengku Zamran Hakim masih belum kelihatan.

“Bie, macam mana ni? Zam tak naik lagi.” Syiqa bersuara risau.

“Cuba bawak bertenang sikit. Bie yakin pada Zam. Zam pasti akan jumpa Emy. Ha, pasukan penyelamat pun dah sampai tu.” Pujuk Naufal sambil mengunjuk pada sekumpulan penyelamat yang baru tiba.

Namun belum sempat kumpulan tersebut memulakan kerja, kelihatan tubuh lampai Tengku Zamran Hakim yang muncul dari tasik. Tangannya mencempung sesusuk tubuh yang tidak bermaya.

Tetamu yang mengerumuni tadi terperanjat besar. Jika tadi mereka merasakan amat mustahil, kini perasaan kagum mula terbit. Masing-masing tertanya-tanya hubungan lelaki dan gadis tersebut sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa begitu sekali.

Pasukan yang baru tiba turut terpinga-pinga. Mata Amir membuntang tidak percaya. Maria mengetap bibir, geram.

“Sama seperti lima belas tahun yang lepas…” Syiqa berkata sayu.

Juita mengangguk lemah. Air mata kesyukuran mengalir di pipinya. “Dari dulu hingga sekarang…Emy memang perlukan Zam.”

“Perkara ni pernah berlaku ke?” Afiqah bertanya agak terkejut.

“Orang yang sama lemas, orang yang sama selamatkan. Cuma jarak masa yang berubah.” Balas Syiqa pula.

Afiqah memandang kagum Tengku Zamran Hakim yang melangkah sambil mencempung tubuh Emily yang sudah tidak sedarkan diri. Kaget dia sebentar memandang wajah Tengku Zamran Hakim.

“Jue…cuba tengok Zam…” Afiqah menunjuk ke arah wajah Tengku Zamran Hakim.

Juita turut memandang. “Siapa yang tak sedih kalau orang yang dicintai sedang bertarung nyawa…”

Hati Tengku Zamran Hakim bagai ditusuk sembilu melihat wajah pucat Emily. Air mata lelakinya tumpah. Dia tidak peduli kalau semua yang berada di situ melihat. Mereka tidak mengerti gelodak perasaan yang ditanggungnya. Bagaimana dengan janjinya dengan keluarga untuk membawa Emily pulang dalam keadaan sihat walafiat? Wajah-wajah yang mengharap itu masih terbayang difikirannya. Tidak putus-putus dia berdoa agar isterinya itu dapat diselamatkan. Matanya merenung tajam Amir yang tiba-tiba menahan langkahnya.

“Aku rasa, baik aku yang bawak Emy. Aku yang paling layak.” Kata Amir yang tidak jemu-jemu mahu mempertahankan haknya.

Juita yang mendengar naik angin. “Layak kepala hotak kau!” jerkahnya bersama air mata.

“Apa hak kau nak tentukan siapa layak atau tak? Sepatutnya kalau kau rasa kau bertangungjawab pada Emy, pasti kau dah buat terlebih dahulu apa yang Zam buat. Bukan bertekak menyalahkan orang.” sambungnya. Nadanya masih sama. Geram dengan Amir yang masih tidak sedar diri.

“Tapi aku cintakan Emy...”

“Cinta saja tak cukup, Mir. Kalau inilah cara kau tunjukkan cinta, kau memang tak layak untuk Emy.”

“Aku terlebih dulu kenal dengan Emy, Jue. Dari lepas SPM lagi. Zam pulak baru lagi. Tapi kenapa mesti dia dulu yang Emy pilih? Aku pun risau masa Emy lemas tadi.” Amir masih tidak mahu mengalah.

Juita menggeleng mendengar kata-kata Amir. “Kau patut belajar makna setia selama lima belas tahun dari Zam dan Emy. Kalau kau rasa kau kenal Emy dah cukup lama, cuba kau bayangkan lama mana lima belas tahun itu. Mereka kenal sudah lebih lima belas tahun, Mir. Tentang perasaan risau yang kau katakan, cuba kau fikirkan perasaan seorang suami kalau isteri yang dicintainya mungkin tak dapat diselamatkan. Kalau kau rasa kau risau, fikirkan perasaan Zam.”

Amir rasa terhenyak. “Aku tak faham. Zam dan Emy…”

“Ya, mereka suami isteri.” Ujar Juita terus-terang. Malas mahu berkias dengn Amir yang tidak pernah mahu mengerti. Abang dan adik sama saja. Dua-dua menyakitkan hati.

Mulut Maria dan Amir ternganga mendengar sebaris ayat Juita.

“Jadi sekarang ni, siapa kau rasa lebih layak? Bayangkan perasaan seorang suami bila lelaki lain mengharapkan isterinya. Fikirkan…”

“Zam, cepat bawak Emy ke hospital.” Juita menyuruh.

Dengan berat hati, Amir berganjak sedikit memberi laluan pada Tengku Zamran Hakim. Tengku Zamran Hakim kembali melangkah apabila sudah tiada halangan di hadapannya.

Mereka di situ cuma memandang sayu Tengku Zamran Hakim yang menghampiri ambulans.

“Lagi satu Mir, cinta itu perlukan pengorbanan. Kau patut belajar dari Zam tentang ini.”

31 comments:

  1. yeye...
    padan muka amir...haha...
    cinta memang need sacrifice....

    ReplyDelete
  2. teharunya bila zam terjun tasik nak selamatkan emy.. huhuu..

    “Aku rasa, baik aku yang bawak Emy. Aku yang paling layak.”
    ewahh, banyak hensem! 'layak' la sangat..
    eeeiii!!! geramnya ngan dak amir tu! dushhh2!

    ReplyDelete
  3. best...best...harap2 lepas nie emy tue dpt terima zam...good bye la amir dgn maria...huhuhu..

    ReplyDelete
  4. best2..
    xsbr nk bace smbungannye
    akhirnye rahsia terbingkar..

    ReplyDelete
  5. min....best n3 kali nie....setuju ngan cutiesgurl...Cinta itu mmg memerlukan pengorbanan...

    ReplyDelete
  6. huhu sdih nya..arap emy tslamat..

    ReplyDelete
  7. n3 kali ini sungguh touching sekali...
    Min smbg lagi ya...

    ReplyDelete
  8. eeeee...
    gram plk ngn amir..
    rsa nk ketuk2 je kpla dia 2...
    gram ssgat..
    sory...trlbih emo lah plk..
    sdih gak lah skt n3 nie..
    pe2 pn good job zam..
    sk sgt emy ngn zam baik..
    writer...bt epi ending tau...;)

    ReplyDelete
  9. sedihnya bace.. kesian ngan emy..
    sib baik zam dah tau yg sebenarnya!
    min.. n3 yg bagus..

    ReplyDelete
  10. hu..hu..hu..
    sian glerr kt amir..
    fall in love to wrong girlz

    ReplyDelete
  11. he..he..
    sweet gler r zam..
    u deserve to get emy..
    yeap,cinta perlukan pengorban..
    cinta bukan sekadar memiliki

    ReplyDelete
  12. sian emy....sedihnya.....geram lak ngan maria n amir

    ReplyDelete
  13. waaah!
    cter mkin menarik la.best2!!
    nk lagi! nk lagi!
    zam and emy forever! yeah!

    ReplyDelete
  14. yes..cinta perlukan pengorbanan..
    kesetiaan ...=]

    ReplyDelete
  15. huhuhu..sedih nye kt emy n zam..
    i hope die org still together forever n ever..=]
    cpt2 la smbg ye! sy da x sbr nie..hehe

    -efa-

    ReplyDelete
  16. rasenye..min perlu ceritakan dgn lbih trperinci pasal kejadian yg berlaku 15 tahun dulu...
    camne emy dan zam boleh jatuh cinta...
    ye la...kan dlu emy tu tomboy...zam plak mmg rmai yg minat..
    pastu..camne zam boleh bg emy klip rambut bunga tulip tu kat emy..

    papepun cite ni mmg superb best!!!
    5 stars to u..

    ~x sabar menantikan kemunculan n3 bru drpd min...

    ReplyDelete
  17. wah..bestnye cite ne.
    sy bru jmpe url ne.mmbe bgtau
    bce trus je terlekat..
    nk smbungan lg:-)

    ReplyDelete
  18. bestnya..
    dapat pasangan cam zam ni kan best..
    sambung lg yer..
    take ur time

    ReplyDelete
  19. amir & maria dh tau zam & emi suami isteri.si syazmir tu bla lg nk tahu kebenaranye?msti terkejut beruk kn?lbh2 lg bla dpt tahu yg emilia&anak dia gh meninggal...
    trskn usaha.sk sgt citer ni.pengolahan yg bgs.
    em klu blh nk tau citer psl zam&emy 15thn dlu...

    ReplyDelete
  20. sedihnya...hope emy selamat. hubungan mereka kembali pulih..

    eloknya maria tu khwin ngan amir, x pun ngan syazmir.

    buat min best cite ni, nak lagi..

    chaiyo min!

    ReplyDelete
  21. sy pun nk tahu jgk kjdian 15 tahun yg lalu tu...
    mase dkt TS lg...
    tp min stopkan sbb ade yg mntx kmbali ke zaman dewasa diorg...
    ape slhnye kalau dkt blog min buat n3 special utk kisah lampau diorg tu...x salahkan? kan? kan?
    boleh ye min...hehehe

    ReplyDelete
  22. he..he.
    ............
    bila nk smbung nehh..
    gue dah addicted nehh~

    ReplyDelete
  23. cepattttttttttt...sy dh xsbr ni... sgup ponteng kursus tau.. cayok2..

    ReplyDelete
  24. haha..padan muke Amir ngan maria tuh..
    gedik..
    org kte x nak,
    x nak la..
    sebuk jew..

    yeah..
    hebat lah Zam..

    cpat2 lah smbung cite neh yea..
    sya da x saba2 lgi neh nak tau smbungannya!!

    ReplyDelete
  25. warghhhhhhhhhhhh.syahdunye.
    x wat nvel?
    smbung2
    -na'dz

    ReplyDelete
  26. wah!nak laki cm zam,hehe...terlebeh suda....

    ReplyDelete
  27. best..best cite ni...

    ReplyDelete
  28. hi min, what a nice story...akak baru jer baca hari nih dah smpi episod 34 dah. tak blh nak stop selagi tak smpi bab yg last skli.

    pape pun 10 markah tuk min. mmg tul bler lg si syazmir tu nak tau yg emy n zam husband & wife.

    akak mesti habiskan bacer mlm nih gak!

    ReplyDelete
  29. eleh,senang je amir ngaku yg die lyk..
    zam yg selamatkan senang die je nk ckap die lyk..

    ReplyDelete