Sunday, February 8, 2009

Hati yang Terluka 32

Suasana di ruang tamu Vila Astana di selubungi kesedihan malam itu apabila Tengku Zamran Hakim membuat keputusan berterus-terang tentang kehilangan Emily. Segalanya diceritakan pada keluarganya.

Tengku Zamran Hakim hanya mampu kaku di tempatnya apabila berpasang-pasang mata merenungnya dengan rasa marah yang berbuku.

“Mummy tak pernah ajar anak-anak mummy cakap macam tu. Kenapa tak boleh bersabar sikit?” Ujar Raja Muzairah sayu. Malu dia pada Puan Zharifah yang duduk tidak jauh darinya. Besannya itu tak habis-habis mengalirkan air mata sejak mengetahui kehilangan Emily. Juita yang sentiasa berada di samping Puan Zharifah berusaha menenangkan bondanya itu.

Dia tidak menjawab. Tidak kisah kalau semua yang berada di sekelilingnya itu mahu memarahinya. Segalanya memang berpunca darinya, memang salahnya.

“Daddy pun tak pernah cakap kasar macam tu pada mummy kamu sepanjang 30 tahun perkahwinan kami. Kalau marah sekalipun bawak-bawaklah bersabar sikit. Bila dah jadi macam ni, nak buat apa lagi dah? Isteri kamu tu makan minum dia macam manalah agaknya sekarang ni.” suara Tengku Zaidi penuh kesal. Apa nak jadi dengan budak-budak zaman sekarang? Sebelum cakap tak fikir langsung baik buruknya.

Anak-menantunya yang lain langsung tidak mencelah. Masing-masing menunduk. Turut merasai kesedihan dan kehilangan yang tiba-tiba melanda keluarga mereka.

Tengku Zamran Hakim menyandar pada sofa. Tidak dapat diluahkan risaunya pada saat ini. Kalau semua yang berada di situ risau, dia berganda-ganda lagi risau dari mereka. Fikirannya tak henti-henti berfikir bagaimana keadaan Emily sekarang.

“Emy…dah banyak kali terluka sebelum ni.” Tiba-tiba Puan Zharifah bersuara. Masih ada sedu-sedan dalam suaranya. Semua mata tertumpu ke arahnya.

“Bonda salah seorang yang lukakan hati dia. Dulu…bonda banyak lebihkan Emilia dari Emy. Bonda fikir Emilia yang akan menjaga keluarga. Tapi sayang, anak yang bonda harapkan dapat bertanggungjawab pada keluarga pulak yang menconteng arang. Bonda selalu cakap Emilia yang akan tolong bonda urus syarikat tapi sebaliknya yang berlaku. Emilia awal-awal lagi dah bangkang kata-kata bonda. Anak yang bonda pinggir itulah yang berkorban akhirnya.” Puan Zharifah menarik nafas sebelum menyambung..

“Masa keputusan SPM mereka keluar, memang keputusan Emy lebih bagus. Bonda masa tu langsung tak ada hati perut. Tanpa fikir perasaan Emy, bonda hantar dia ke luar negara ambil jurusan yang dia tak minat. Emy mulanya memang menolak. Tapi bila bonda mogok dengan dia, dia mengalah. Kehendak bonda diturutnya walaupun terpaksa lupakan cita-cita dia yang sebenarnya.” cerita Puan Zharifah. Bibirnya diketap menahan sebak.

Raja Muzairah dan menantunya yang lain kelihatan mengelap tubir mata masing-masing. Tidak menyangka gadis yang nampak begitu sempurna, pernah melalui pelbagai onak duri kehidupan.

Tengku Zamran Hakim hilang kata. Nasib Emily lebih kurang sama dengannya. Tidak dapat mencapai cita-cita yang diingini. Namun hidupnya tidak dipenuhi dengan beban dan amanah yang terpaksa dipikul seperti isterinya itu. Tabah sungguh hatimu, sayang.

Suasana hiba itu terhenti bila ketukan dan suara orang memberi salam dari luar pintu rumah.

Tengku Syahmi bangun dan membuka pintu.

Semua mata terarah pada pintu termasuk Puan Zharifah. Tidak tahu puncanya, tangannya menggigil tiba-tiba.

“Kenapa ni bonda?” tanya Juita. Pelik melihat perubahan bondanya yang tiba-tiba. Puan Zharifah tidak menjawab, cuma kepalanya yang ditundukkan.

“Eh, Tajuddin masuklah.” pelawa Tengku Zaidi. Aneh dengan kedatangan sepupunya yang tidak diduga.

Tengku Tajuddin melangkah perlahan ke dalam rumah. Tidak tahu kenapa, malam itu hatinya bagai menyeru-nyeru dia supaya ke rumah abang sepupunya itu. Matanya memandang satu-persatu wajah yang berada dalam vila tersebut. Dan akhirnya matanya terkaku pada satu wajah yang sedang menunduk. Berkocak hebat jantungnya.

“Ifah…” bibirnya menyebut perlahan. Walau wajah itu ditundukkan, dia maih dapat mengenali isterinya itu. Pandangan Tengku Tajuddin kabur dengan air mata yang bertakung di kolam matanya.Ya Allah…akhirnya Engkau makbulkan doaku. Sudah sekian lama dia menunggu saat ini.

Kepala Puan Zharifah mendongak serta-merta mendengar panggilan tersebut. Bibirnya bergetar melihat wajah yang sedang merenungnya sayu.

“Kau kenal dengan Zha Din?” Raja Muzairah menyoal aneh mendengar panggilan Tengku Tajuddin. Ifah? Macam pernah dengar. Takkanlah…Ifah…yang itu?

“Ya Allah…” sambungnya sambil menekup mulut.

“Kenapa ni Din? Awak pun Zai…kenapa muka terkejut macam tu?” tegur Tengku Zaidi. Hairan melihat besan dan sepupunya seolah dengan dunia mereka.

Raja Muzairah berbisik perlahan pada Tengku Zaidi yang berada di sebelahnya.

“Maha suci Allah…” Beristighfar panjang Tengku Zaidi selepas mendengar apa yang disampaikan isterinya.

“Dia…Ifah bang. Isteri yang saya tinggalkan berpuluh tahu yang lalu.” Tumpah air matanya ketika menutur ayat tersebut. Sungguh, dia benar-benar rindukan isterinya itu. Berbuku rasa bersalahnya.

Air mata Puan Zharifah semakin laju menuruni pipi. Benarlah, ini suami yang meninggalkannya lebih 25 tahun yang lalu.

Tengku Zamran Hakim terkedu mendengar pengakuan tersebut. Drama apakah ini? Segalanya bagai satu kebetulan. Jadi, Ayah Din adalah ayah kandung…isterinya? Ayah kandung Emily? Benarkah begitu?

Tengku Tajuddin mengatur langkah menghampiri Puan Zharifah dan melutut di hadapan isterinya. Juita yang seakan faham, berganjak dari tempatnya.

“Maafkan abang…maafkan abang…” katanya.

Puan Zharifah membisu. Dia masih dalam keadaan terkejut. Tak percaya.

“Abang tahu, abang salah sebab tinggalkan Ifah. Tapi masa tu abang terpaksa.” Jari-jemari isterinya digenggam erat. Puan Zharifah membiarkan. Kekuatan yang selama ini dipinjamkan Emily padanya, sudah berada di hadapan mata. Untuk apa dia berkeras? Jauh di sudut hatinya, langsung tiada perasaan marah. Cuma sedikit berjauh hati.

Melihatkan kebisuaan isterinya, Tengku Tajuddin kecewa. Mahu sahaja dia merayu isterinya itu supaya memaafkannya. Tapi dia tidak mahu mendesak. Cukuplah hati itu dilukakannya dulu. Dengan berat hati, genggaman dilepasnya dan mula bergerak jauh. Biarlah hati itu tenang dahulu.

“Abang nak pergi mana? Nak tinggalkan Ifah lagi?” terkeluar juga suara dari mulut Puan Zharifah setelah agak lama mendiamkan diri.

Langsung mati langkah Tengku Tajuddin. Matanya bertentang dengan mata isterinya. “Ifah maafkan abang?”

Puan Zharifah mengangguk. “Ifah tak pernah marahkan abang.”

“Terima kasih Ya Allah.”

Bersaksikan semua penghuni Vila Astana, pasangan suami isteri yang sudah lama terpisah itu bersatu kembali.

“Alhamdulillah. Tak sangka kamu berdua ditemukan di sini. Selesai pencarian kau selama ini, Din.” Tengku Zaidi menepuk perlahan belakang Tengku Tajuddin.

“Ya lah. Syukur Alhandulillah. Yang belum selesai kisah anak-anak kita ni ha!” Raja Muzairah menjeling Tengku Zamran Hakim yang membisu.

“Kalaulah abang tak tinggalkan Ifah dulu, mesti kita dah ada anak macam Abang Idi dengan Kak Zai.” Tiba-tiba sahaja ayat tersebut terpancul dari bibir Tengku Tajuddin. Agak kecewa bila mereka berdua tiada zuriat untuk menyambung salasilah keturunan mereka.

“Abang silap.” Kata Puan Zharifah sambil menyandarkan kepalanya pada bahu suaminya itu.

“Silap?” Tengku Tajuddin terpinga-pinga.

Penghuni lain yang berada di sekeliling mereka hanya mendiamkan diri dan memasang telinga seolah memberi peluang pasangan tersebut meluah rasa.

“Beberapa hari selepas abang tinggalkan Ifah dulu Ifah disahkan mengandung 5 minggu.”

Mulut Tengku Tajuddin terbuka sedikit. Berseri-seri wajahnya. “Ki…kita ada anak?”

Puan Zharifah mengangguk lagi. Air matanya yang kering tadi kembali menitis mengenai baju melayu yang dipakai Tengku Tajuddin. “Kita dapat anak kembar perempuan. Tengku Emilia Natilly dan Tengku Emily Natasha. Dan…seorang cucu, Syira.”

Tengku Zaidi terdiam. Emily? Seperti pernah didengarnya sebelum ini. Bukankan itu nama isteri Tengku Zamran Hakim?

Puan Zharifah menarik nafas sebelum menyambung. “Tapi Emilia dan Syira dah tak ada.”

Tengku Tajuddin kembali kecewa. Matanya kembali bertakung. Terkilan tidak dapat bertemu dengan darah dagingnya. Tidak sangka, sepanjang peninggalannya bermacam-macam perkara telah berlaku.

Tiba-tiba wajah jelita yang dilihat beberapa bulan yang lepas terbayang di ruang matanya.

“Emily…anak kita yang lagi seorang tu isteri Zam kan?” Tengku Tajuddin menyoal Puan Zharifah. Masih teringat pandangan tajam gadis itu padanya.

Raja Muzairah mengangguk.

“Lesung pipit dia macam abang.” Tengku Tajuddin tersenyum senang. Tak terkata bahagianya. Patutlah pertama kali mereka bersua, perasaannya bagai ditarik-tarik untuk menyanyangi gadis jelita itu.

Puan Zharifah tersentak. “Abang pernah jumpa Emy?”

“Pernah. Abang rasa masa tu, Emy pun kenal abang. Mungkin dia agak-agak. Dari pandangan matanya, abang tahu dia berdendam. Dia marah pada abang kan?” nada Tengku Tajuddin pilu.

Puan Zharifah tidak membalas. Tidak mahu mengecilkan hati suaminya itu. Sempat dia berfikir. Emily sudah terlebih dulu mengetahuinya, namun langsung tidak diberitahu padanya. Betapa anak itu takut dia terluka lagi.

“Betul Emy marahkan abang?” Tengku Tajuddin seakan mendesak.

Dalam terpaksa Puan Zharifah mengiakan. “Tapi dia banyak ikut abang.”

Raut wajah Tengku Tajuddin berubah kecewa. “Mana Emy? Dari tadi abang tak nampak. Abang nak minta ampun.” Tanyanya selepas itu. Pandangannya dikitar pada kelilingnya. Wajah gadis itu tiada. Dia berharap sangat dia masih boleh menatap wajah anak dari darah dagingnya walau yang tinggal cuma seorang.

Puan Zharifah menggeleng lemah. Sedu-sedannya berbunyi kembali.

“Shhh….kenapa ni? Anak kita mana?” Tengku Tajuddin memujuk Puan Zharifah yang sudah teresak.

Tengku Zamran Hakim menarik nafas. “Semuanya salah Zam.”

Walaupun kata-kata yang bakal diucapkan sebentar lagi akan menggurus hati Tengku Tajuddin, dia terpaksa.

Perhatian Tengku Tajuddin terarah pula pada anak saudara kesayangannya. “Maksud Zam?”

“Emy dah hilang dua minggu. Semuanya sebab Zam.” Tengku Zamran Hakim menceritakan perkara sama yang diceritakan kepada keluarganya tadi. Wajahnya diraup, kesal.

Tengku Tajuddin tidak dapat menahan air matanya dari gugur mendengar cerita tersebut. Ya Allah, Kau berikanlah ketabahan pada satu-satunya anak kandungku itu.

“Zam, mummy nak kamu cari menantu bongsu mummy tu sampai jumpa. Kalau selepas ni kamu dah tak mahukan Emy, pulangkan pada bonda dan ayahnya sesempurna ketika kamu ambil dari bondanya dulu.”

Mendengarkan itu hati Tengku Zamran Hakim seperti dihiris-hiris. “Memang Zam akan cari Emy sampai jumpa, itu janji Zam. Tapi untuk lepaskan Emy tak mungkin Zam mampu.”

Puan Zharifah tersenyum senang mendengar janji menantunya. Air matanya dikesat. “Janji ya Zam? Jangan sampai perkara silam bonda dan ayah berulang kembali pada kalian berdua.”

Tengku Zamran Hakim mengangguk. Dia tidak akan membiarkan perkara yang sama berlaku kepada dia dan Emily. Tak dapat dibayangkan hidup bertahun-tahun tanpa Emily. Dua minggu tanpa isterinya sudah cukup menjadikan dia separuh nanar.

“Awak mesti cari Emy secepat yang mungkin. Syazmir ugut nak apa-apakan Emy kalau dia bertemu dengan Emy nanti.” Juita menyampuk. Bukan niatnya mahu menambah kerisauan Tengku Zamran Hakim, namun rasanya perkara itu patut diberitahu agar lelaki itu bertindak cepat.

Wajah Tengku Zamran Hakim tepat memandang Juita. Risaunya menjadi-jadi. “Dia ugut apa?”

“Dia tak cakap. Cuma dia suruh bersedia kalau sesuatu yang buruk berlaku pada Emy.”

Tengku Zamran Hakim menghela nafas berat. Makin berserabut otaknya.

“Zam…mummy risaulah. Macam mana sekarang ni? Emy dalam bahaya.” Raja Muzairah resah.

“Walau apa pun terjadi, Zam takkan benarkan dia sentuh isteri Zam.” Kalau apa-apa terjadi pada isterinya itu, dia tidak dapat bayangkan apa yang akan dilakukan pada lelaki durjana itu.

“Tolong bawa pulang anak ayah ya Zam? Ayah nak jumpa Emy dalam keadaan Emy yang sihat walafiat.” Pesan Tengku Tajuddin penuh mengharap.

Tengku Zamran Hakim mengangguk lagi. Hatinya benar-benar nekad. Isteri kesayangannya itu akan pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan yang sama ketika kali terakhir mereka melihatnya. Tidak akan dibiarkan air mata Emily mengalir lagi kerananya. Cukuplah sekali. Itu janjinya!

8 comments:

  1. agak2 mana la emy tu menghilang ek?
    zam.. cari emy cepat b4 syazmir jumpa emy dulu..

    ReplyDelete
  2. huhuhuhu sedihnya...
    bila nak sambung ag...

    ReplyDelete
  3. aduhai sdihnya..
    kmana la emy mhlang?
    sbg cpt taw..

    ReplyDelete
  4. Sayu saja ras hati bila bc n3 kali ini...
    Emy menghilang ke ane tu? Jgnlh jauh sngt dier bw hati yg terluka tu... lps confirm hati emy lagi terluka tngk ayah dier sudah berbaik semula dgn bonda....

    ReplyDelete
  5. erm...
    sayu je n3 kali ni..
    rs cam nak nangis pun ad jgk..

    emy ilg ke mane ek??
    zam.. cari emy cpt2 tau

    ReplyDelete
  6. nk part emy ngan zam...
    lambat lagi ke emy nk balik??
    xsbr ni

    ReplyDelete
  7. lmbt lg ker nk msuk part bru
    x sbr nk bce nih

    ReplyDelete
  8. lgu ape erk n......
    hehe

    ReplyDelete