Thursday, January 29, 2009

Hati yang Terluka 28


“Emy…aku…aku nak minta maaf banyak-banyak dengan kau.” Terluah juga kata-kata itu dari mulut Syiqa. Bibirnya diketap. Menahan air mata dari mengalir ke pipinya.

Emily kaget. Terasa aneh dengan kata maaf dari bibir Nadiana. Matanya meliar pada sekeliling bilik pengantin yang dihias kemas. Syiqa yang meminta mereka bersembang di bilik tersebut. Pintu pula dikunci dari dalam. Apalah agaknya kata tetamu-tetamu yang lain bila pengantin mengunci diri dalam bilik.

“Aku tahu, aku banyak sangat buat jahat dengan kau. Tapi, aku betul-betul dah menyesal. Kalau kau nak aku melutut pun aku sanggup.”

Emily menggenggam jemari Syiqa. Dia menggeleng sambil tersenyum manis. “Yang dah berlalu, biarkan berlalu. Aku tak pernah berdendam dengan kau. Masa tu, kita sama-sama belum matang.”

Syiqa memeluk tubuh Emily erat. Emily membalas lembut.

“Boleh kau terima aku sebagai sahabat?” tanya Syiqa selepas itu. Wajahnya penuh mengharap.

Emily mengangguk. “Mestilah. Aku nak tanya kau ni. Macam mana nama Rika Nur Nadiana boleh jadi Syiqa?”

“Sebenarnya, nama Syiqa tu nama timangan. Family aku je panggil nama tu. Nenek dengan ayah akulah berebut-rebut nak bagi nama. Ayah aku nak bagi nama Nadiana, nenek aku pulak nak bagi nama Syiqa. Tapi macam mana entah diorang bincang tiba-tiba dalam surat beranak Rika Nur Nadiana, tapi panggil Syiqa. The end.” Cerita Syiqa panjang lebar sambil tersengih.

Emily mengangguk faham.

“Emy, ada satu perkara yang perlu kau tahu. Ini pasal…” ayatnya tergantung.

“Pasal apa?”

“Pasal 15 tahun yang dulu.” Syiqa memandang raut wajah Emily yang nampak tenang. Sukar ditafsir apa yang tersirat dibalik wajah itu. Kau tak pernah berubah!

“Sebenarnya…apa yang berlaku dulu, bukan apa yang kau fikirkan. Atau lebih tepat, semua tu bukan salah dia. Tapi orang lain.”

Tepat mata Emily memandang Syiqa. Inilah jawapan yang dia nanti-nantikan. Orang lain? Jadi selama ini diakah yang salah sangka?

“Siapa?”

“Kak Imah.” Pendek jawapan Syiqa.

Emily sedikit tersentak. Seperti pernah didengar nama itu. Sejenak, satu wajah terlayar kemas dimindanya. “Hazimah?”

Syiqa mengangguk walaupun agak pelik bila Emily dapat meneka tepat padahal Emily tidaklah begitu kenal dengan adik-beradik angkatnya 15 tahun yang lalu itu.

“Nama penuh Kak Imah Hazimah.” Beritahu Syiqa pula.

Emily menarik nafas. Patutlah ketika pertama kali bertemu dengan dua pupu Tengku Zamran Hakim beberapa bulan yang lalu itu, dia seakan pernah melihat pandangan sinis itu. Tidak hairanlah pandangan itu sama seperti budak perempuan yang begitu angkuh memberi amaran kepadanya 15 tahun yang lalu. Kecilnya dunia!

“Macam mana kau tahu nama penuh dia?”

“Teka-teka je.” Dalih Emily.

“Oh… Dah lama aku nak terangkan pada kau, tapi tak ada peluang sehinggalah hari ini. Kalaulah aku sempat terangkan pada kau dulu, mesti kau boleh cari dia kan? Sekarang kau dah kahwin…”

Emily tidak memberi sebarang reaksi. Kalaulah Syiqa tahu Tengku Zamran Hakim dan kanak-kanak lelaki itu orang yang sama, tidak terbayang dia wajah terkejut temannya itu. Namun buat masa ini, dia mahu rahsiakan dahulu dari Syiqa.

“Tapi aku yakin, kau akan bahagia dengan Zam. Dia lelaki baik. Tak pernah aku dengar dia bercerita pasal perempuan dengan Naufal sehinggalah bulan lepas. Rupanya kau gadis yang dia cerita tu.”

“Zam cerita pasal aku?”.

“Yup. Tak silap aku, lebih kurang sebulan yang lepas. Masa tu kata Naufal, Zam merajuk dengan isteri dia. Tekejut aku dengan Naufal masa tu. Iyalah, Zam tu bukan tak ada yang cuba dekat, ramai. Tapi semua dia tak layan. Tak minat katanya. Tup tup tahu-tahu dia dah kahwin. Tak hairanlah aku kalau Zam jauh hati macam tu kalau isteri dia tu Tengku Emily Natasha. Dari dulu sampai sekarang, tak habis–habis orang kejar.” Syiqa mengusik.

“Perli aku eh?” Emily mencubit lembut pipi Syiqa.

“Taklah, aku serius. Kau dari dulu cantik, sekarang pulak bertambah-tambah cantik.”

“Puji-puji ni, nak minta hadiah kahwin mahal-mahallah tu.”

Giliran Syiqa menarik pipi Emily geram. “Aku ikhlaslah. Kalau tak takkan aku selalu jealous dengan kau dulu. Selalu je tak puas hati kan?”

“Tak payah ungkitlah. Emm…cantik rumah kau. Tepi tasik.” Emily memandang tasik yang terbentang indah dari jendela bilik tersebut.

“Dah lama aku impi rumah macam ni. Alhamdulillah, tercapai jugak hasrat aku. Aku teringin rumah dekat dengan tasik sejak kita masuk Kampung Tok Penghulu dulu. Nyaman je suasana kampung tu bila angin bertiup.”

Emily tersenyum kelat. Kalau pada Syiqa laut itu sesuatu yang menarik, padanya pula sebaliknya. Kejadian yang hampir meragut nyawanya itu, membuatkan dia serik ke laut.

“Err…kau masih teringat kejadian tu?” berhati-hati Syiqa bertanya bila melihat raut Emily.

Emily tidak menjawab. Mustahil untuk dia lupa.

“Kejadian tu pun sebenarnya…bukan salah dia.”

Emily mengetap bibir. Terlalu banyak salah faham yang berlaku.

“Kak Imah yang rancang.”

Emily beristighfar panjang mendengar nama yang satu itu.

“Aku minta maaf sebab aku seolah berkomplot. Tapi aku tak tahu nak buat apa masa tu. Pakai ikut je telunjuk Kak Imah. Nasib baik ada yang selamatkan kau. Dia selalu jadi pelindung kau masa dulu walau masa tu kau macam nak elak dengan dia. Bertuah betul kau. Aku yang duduk serumah dengan dia masa tu pun dia tak nak layan. Manalah agaknya dia sekarang ye?”

Emily termenung. Bertuahkah dia? Ya, dia benar-benar bertuah. Cuba kalau lelaki itu lewat sedikit selamatkan dia pada masa itu, pasti dia sudah tiada di sini pada saat ini. Kiranya, dari dulu Allah utuskan lelaki itu sebagai pelindungnya. Untuk dia menumpang teduh. Untuk dia bergantung harap. Dan yang paling penting lelaki itu sebagai Adam dan suaminya.

* * * * *

“Patutlah kau merajuk sampai ke Jerman dulu. Bini lawa siapa tak makan hati.”

Tengku Zamran Hakim buat tak dengar. Ada sahaja modal Naufal untuk mengusiknya.

“So, macam mana kau dengan dia sekarang? Nampak macam bahagia je?” Naufal menyoal ingin tahu.

Tengku Zamran Hakim tersenyum penuh makna. “Baru aku tahu kenapa Allah ciptakan manusia berpasangan. Aku rasa kehidupan aku dah lengkap sekarang ni. Aku dah faham apa maksud kasih, sayang dan cinta dalam erti kata yang sebenarnya. Indah dan menarik!”

Naufal memandang sahabatnya. “Macam tak percaya boleh dengar kata-kata macam ni dari mulut kau. Dulu aku cukup risau bila kau kata tak minat dengan perempuan. Manalah tahu kot-kot kau songsang.”

“Melampau la tu.”

“Serius aku cakap, itulah yang aku fikirkan. Nak pandang perempuan sebelah mata pun kau tak mahu, siapa yang tak fikir macam tu. Aku respect betul dengan mummy kau. Kalau bukan dia yang gertak kau, mesti sampai sekarang kau tak kahwin-kahwin. Dan, kau mesti masih dengan pendirian tak masuk akal kau tu.”

“Tahu tak pe.”

“Pasal kawan kau yang minat isteri kau tu, baik kau berterus-terang dengan dia.”

“Aku pun terfikir macam tu. Tengoklah macam mana nanti.”

“Weh, kau tak nak tanya apa hadiah kahwin yang aku nak?” tanyanya sambil melabuhkan duduk sebelah Tengku Zamran Hakim. Tetamu sudah semakin sedikit kerana hari sudah beransur petang.

“Nak kena tanya ke? Aku dah ada hadiah untuk kau. Nanti aku bagi.”

“Itu yang kau bagi. Ini hadiah yang aku nak.”

Tengku Zamran Hakim memandang Naufal. “Kau nak hadiah apa?”

“Janji kau nak tunaikan?” raut wajah Naufal kelihatan begitu serius.

“Tengok kemampuan akulah.”

“Mesti mampu punya.”

Tengku Zamran Hakim menjungkit kening. “Apa benda?”

“Janji dulu.”

“Yelah. Yelah. Hah, apa yang kau nak?”

Naufal senyum meleret. “Aku nak…” Naufal sengaja menggantung kata.

Tengku Zamran Hakim menanti kata-kata yang seterusnya dari Naufal. Senyuman sahabatnya itu seperti mempunyai muslihat tersendiri.

“Emm…aku nak anak buah dari kau dengan Emy!!!” pekik Naufal lantang.

“Sengal.” Tengku Zamran Hakim menumbuk perlahan bahu Naufal. Tak malu betul! Beberapa pasang mata tetamu sudah memandang ke arah mereka. Pasti pelik mendengar jeritan pengantin yang tiba-tiba itu.

Naufal tergelak. “So, bila aku boleh dapat hadiah aku tu?”

“Tak de permintaan yang pelik dari yang ni ke?”

“Aku nak jugak hadiah aku tu.”

“Mintaklah kat bini kau.” Tengku Zamran Hakim endahtak endah. Pelik benar dia dengan permintaan Naufal. Kalau Emily tahu ni, pasti merah menyala mukanya.

“Aku nak dari kau. Lagipun, kau dengan Emy dah lama kahwin. Aku baru lagi.”

“Kitorang pun baru lagi.” Balas Tengku Zamran Hakim.

“Aku tak kira. Janji tetap janji.” Naufal tidak mahu mengalah.

“Abang.” Sapa Emily sambil memaut manja lengan Tengku Zamran Hakim. Lega benar dia selepas semua jawapan yang dia mahukan terjawab. Untuk masa yang terdekat ni, dia mahu rahsiakan dulu hal tersebut dari lelaki itu. Masih memikir-mikir kejutan yang bagaimana akan dilakukannya nanti.

“Janji apa ni?” Syiqa mencelah.

“Bie mintak hadiah kahwin anak buah dekat diorang berdua ni. Zam janji nak bagi.” Balas Naufal sambil mengenggam jemari isteriya itu.

“Kalau pasal tu kau tanya Emy. Aku on je.” Ujar Tengku Zamran Hakim sambil memaut tubuh langsing Emily. Renungannya pada Emily nampak nakal.

Emily yang pada mulanya terpinga-pinga terus mengetap bibir. Merona merah wajahnya.

“Macam mana Emy? Dah ada tanda-tanda?”

Emily tidak membalas. Kalau mengenai hal itu, dia serahkan pada Yang Maha Esa. Lagi pula, dia dengan Tengku Zamran Hakim baru sahaja menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri tidak sampai sebulan. Namun dalam diam, dia tetap mengharapkan zuriatnya bersama lelaki itu.

6 comments:

  1. assalamualaikum akak...best...lgi2...

    ReplyDelete
  2. nk tmbh sket.. hurm.. rasanyya mmg dh ada tanda2 tuh.. huhu.. next plz.. best..

    ReplyDelete
  3. thanks to liyani coz bg link blog ni..
    klu x, xtau pun akak ada blog sendiri..

    sambung lagi kak..

    ReplyDelete
  4. memang best citer ni...teruskan n3 tapi jangan
    tunggu lama sangat...(tak sabar sebenarnya)

    ReplyDelete