Tuesday, January 27, 2009

Hati yang Terluka 19

Razlan duduk di bangku yang terdapat di taman mini Vila Astana. Mulutnya tidak henti-henti merungut tidak puas hati sejak beberapa minit yang lepas. Marah pada ayah dan emaknya tidak habis lagi. 'Tengoklah...Lan akan buat mak dan ayah terdiam bila tengok Emy jadi milik Lan.' ikrarnya.

"Lan!" panggil satu suara.

Razlan berpaling dan dilihat Hazimah sedang mengatur langkah ke arahnya.

Hazimah mengambil tempat di sebelah Razlan.

"Akak pun nak marah dekat Lan ke?" Razlan memandang Hazimah yang tua beberapa bulan dengannya. Cuma Hazimah lahir bulan satu dan dia pula pada bulan Disember.

"Marah kau? Sebab apa pulak?"

"Pasal kes kat meja makan. Akak nak bantah macam mak dan ayah jugak ke?Kalau pasal tu Lan tak nak dengar. Sekali Lan buat keputusan sampai bila-bila keputusan tu takkan berubah. Apa yang Lan nak pasti akan Lan usahakan sampai dapat." ujar Razlan angkuh.

Hazimah senang hati mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Razlan. Kali ini, Tengku Zamran Hakim tentu akan jadi milik aku. Kerjanya pula pasti makin mudah dengan bantuan Razlan. "Itulah yang akak nak dengar sangat dari mulut kau."

Dahi Razlan mula berkerut. "Apa maksud akak?"

Hazimah mempamerkan senyum jahatnya. "Kau tengok saja nanti. Pasti segala-galanya menarik. Aku tolong kau, kau tolong aku. Dan yang paling penting, kita berdua pasti akan dapat apa yang kita mahukan. Kau dapat Emy, aku dapat Zam."

Pelik Razlan mendengar kata-kata kakaknya. Dia memang tahu yang kakaknya menyukai Tengku Zamran Hakim dari dulu, tetapi apa kena-mengenanya Tengku Zamran Hakim dengan gadis yang dipanggil Emy itu? Kenapa kakaknya mahu bekerjasama untuk menolongnya mendapatkan gadis itu? Tapi...biarlah. Kalau sudah ada yang mahu membantu, mengapa perlu ditolak?

* * * * *

Emily menguak pintu kamar. Kelihatan Tengku Zamran Hakim sedang berbaring di katil dengan tangan mengalas kepala. Tampannya.... Ya, lelaki itu memang tampan. Tidak boleh disangkal. Segalaya sempurna. Tapi...satu je yang kurang. Sehari tak bertekak dengannya tak sah!

Tengku Zamran Hakim memandang Emily sekilas. Pelik melihat Emily berada di situ.

"Awak ni sebenarnya kenapa?" Emily melabuhkan duduk di katil, di samping Tengku Zamran Hakim yang berbaring.

"Kenapa apa?" Tengku Zamran Hakim sengaja buat acuh tak acuh

Emily mengeluh mendengar nada Tengku Zamran Hakim yang seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. "Awak tahu tak, semua orang pelik bila awak tinggalkan meja makan macam tu je. Sebab itulah saya tanya, kenapa?"

"Ohh...pasal tu..." Tengku Zamran Hakim mencari akal untuk menjawab. Tidak akan sesekali diberitahu mengenai perbualannya dengan Razlan dan perasaan...err perasaan...cemburu! Terlontar juga perkatan itu dari dasar hatinya. "Sebenarnya saya nak tahan perut saya dari termuntah." helah Tengku Zamran Hakim.

Berkerut dahi Emily mendengar kata-kata Tengku Zamran Hakim. Muntah? "Kenapa pulak?"

"Makanan yang awak masak tu, eii yucks! Tak sedap langsung! Masin, yang pahit pun ada. Lain kali, kalau nak masak tu belajar dulu. Ni tidak, pakai hentam je masak." tokok Tengku Zamran Hakim lagi. Sengaja. Padahal semua masakan Emily tadi begitu sedap. Tiba-tiba perasaan bangga terselit dalam dirinya kerana mendapat isteri seperti Emily. Isteri? Isk!

Berubah wajah Emily mendengar kata-kata Tengku Zamran Hakim. Entah kenapa, hatinya terasa mendengar kutukan lelaki itu. Bibirnya di ketap. Cuba di tahan air matanya. Tidak pernah-pernah begini sebelum ini.

Tengku Zamran Hakim bangkit dari pembaringannya. Pelik bila Emily tidak membalas kata-katanya. Takkan terasa? Dilihatnya Emily sudah berdiri dan mencapai sesuatu.

Dusssh!

Sebiji bantal melayang ke tubuh Tengku Zamran Hakim dan bantal tersebut tergolek ke lantai, tepi katil.

Tengku Zamran Hakim telan liur melihat Emily yang sedang bercekak pinggang. Perangai garang tak habis-habis. Mata pula sudah membulat. Tapi tetap cantik. 'Ishh, kau ni Zam.'

"Awak ni, sehari tak cari pasal dengan saya tak boleh hidup gamaknya? Menyesal saya ikut awak tadi."

"Siapa suruh awak ikut." balas Tengku Zamran Hakim bersahaja.

Emily ketap bibir geram. Sakit hati tengok cara Tengku Zamran Hakim yang tiada perasaan. "Kalau Kak Ina tak suruh tadi, tak teringin saya nak ikut awak. Sampai saya nak makan pun tak sempat." beritahu Emily geram.

'Rupanya Kak Ina yang suruh.' bisik Tengku Zamran Hakim sedikit kecewa. Entah kenapa perlu ada perasaan kecewa. Dia sendiri sudah tidak faham dirinya kini. "Yang awak ikut cakap Kak Ina tu buat apa?" Tengku Zamran Hakim berbaring kembali.

"Awak ni kan...betul-betul menyakitkan hati." Emily mahu berlalu dari situ. Baru beberapa langkah berjalan, tiba-tiba kakinya terpijak bantal yang tergolek di tepi katil tadi, llicin. Badannya sudah tidak dapat diimbang dan tumbang.

"Aaa..." Terpejam mata Emily menunggu tubuhnya 'landing' ke lantai.

Tengku Zamran Hakim terkejut tetapi kata hatinya menyuruh dia bertindak. Pantas dia bangun dan laju tangannya menyambut tubuh langsing itu. 'Huh! nasib baik sempat.'

'Ada kuasa ajaib ke?' Pelik Emily bila terasa badannya selamat dari bahana lantai. Matanya dibuka perlahan...Gulp!

Mata bertentang mata. Dup dap dup dap.

'Bangun, Emy.' suara ego Emily datang menerjah. Hanya beberapa saat mereka dengan dunia ciptaan mereka sebelum Emily mula meronta.

"Heii....lepaslah!" Emily cuba melepaskan diri.

Tapi mungkin dah ditakdirkn atau sudah tersurat, dengan tiba-tiba Tengku Zamran Hakim tidak dapat mengimbangi badannya kerana rontaan keras Emily. Akhirnya tubuh mereka berdua sama-sama tumbang ke katil. Tubuh Tengku Zamran Hakim menghempap Emily. Dan...

Cup!

* * * * *

Raja Muzairah, Tengku Zaidi, Raja Nafisah, Kahar hanya diam di ruang tamu. Anak menantu yang lain juga begitu. Semuanya gara-gara Razlan.

Raja Nafisah sudah panas punggung. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia angkat kaki keluar dari vila itu. Mukanya sudah tebal berbelas inci. Tetapi cucu-cucunya menghalang. Kata mereka, tidak puas lagi bermain dengan Cu Emy mereka. Nak tak nak terpaksan dia menurut.

Beberapa minit kemudian, terlihat kelibat Emily menuruni anak tangga. Wajahnya tampak kemerahan.

Di sudut lain pula, Hazimah dan Razlan sedang melangkah masuk dari pintu utama.

Razlan melemparkan senyuman pada Emily.

Emily tidak membalas. Dia menghampiri kelompok birasnya dan duduk berhampiran mereka.

"Kenapa muka Emy merah ni?" bisik Rozina sejurus Emily melabuhkan duduknya.

Farhana dan Rozana yang mendengar pertanyaan Rozina turut mengiakan.

Emily telan liur. Kemudian menggeleng. Terlalu menonjolkah riak wajahnya? Peristiwa beberapa minit yang lalu, terbayang di matanya. Ya, Allah...malunya!

"Betul tak ada apa-apa ni? Atau korang berdua buat 'kerja' lain kat atas?" tanya Farzana pula, mengusik.

Wajah Emily bertambah merah. Pantas digeleng lagi.

"Apa bisik-bisik ni?" celah Raja Maizurah.

Emily tarik nafas lega. Mujur mummy ada. "Tak ada apa-apa, mummy." jawab Emily.

Raja Muzairah tidak bertanya lanjut.

"Emy, nak tahu tak? Tadikan ada perang besar." bisik Rozina lagi.

Emily yang lega kerana tidak lagi diasak, menyoal kembali, "Perang besar?"

Rozina mengangguk. "Tadi, lepas Emy ikut Zam, Pak Teh tanya Razlan sebab apa Zam tiba-tiba pergi macam tu je. Si Raz..." terhenti bicara Rozina bila melihat Razlan menghampiri kelompok mereka.

Raja Muzairah dan Tengku Zaidi sudah gelisah di tempat duduk mereka. Tetapi tiada tanda-tanda mereka mahu menghalang. Bukan apa, sebolehnya mereka tidak mahu ada pertelegahan antara dua keluarga. Satu mereka harap, Tengku Zamran Hakim tiba di situ dan menyelesaikan masalah tersebut kerana mereka yakin anak mereka yang seorang itu tidak mungkin akan melepaskan haknya ke tangan orang lain.

Raja Nafisah dan Kahar pula bagai cacing kepanasan. Hazimah terseyum suka. 'Bagus, Lan.'

"Emy..." panggil Razlan.

Emily menjungkit sebelah keningnya tanda menyoal.

"Sebenarnya...." kata-kata Razlan terhenti apabila melihat Tengku Zamran Hakim menuruni tangga.

Tengku Zamran Hakim merenung tajam Razlan yang berada berhampiran Emily. Langsung mati senyuman yang meleret di bibir merahnya tadi. 'Tak guna.' desisnya.

Wajah Emily kembali merona merah apabila terlihat kelibat Tengku Zamran Hakim.

Tengku Zamran Hakim yang perasaan akan keadaan Emily itu menyembunyikan senyuman. Hanya Allah yang tahu betapa bahagia hatinya saat itu.

Sejak peristiwa beberapa minit yang lepas, dia yakin hatinya sudah terukir sebaris nama.

Cuma dia masih tidak mahu menerima sebuah hakikat. Egonya masih menggunung. Masih tidak mahu menerima dua perkataan itu. Jatuh Cinta!

Tapi yang pasti, dia tidak mahu sesekali melepaskan haknya. Dia tidak akan sesekali melepaskan Emily ke tangan lelaki lain. Itu nekadnya.

Tengku Zamran Hakim mengatur langkah menghampiri Emily. Bersedia untuk berperang.

Raja Muzairah dan Tengku Zaidi berpandangan, bersyukur kerana Tengku Zamran Hakim muncul.

Rozina tersenyum simpul. 'Yes, hero dah datang!' soraknya dalam diam.

Hazimah merengus geram. Hancur rancangannya!

Razlan kembali menfokuskan tujuan asalnya menghampiri Emily. "Sebenarnya...saya nak ajak awak ke taman mini sekejap. Boleh?" ujar Razlan pada Emily.

Emily terpinga-pinga.

"Lan!!!" tengking Kahar geram. Tak habis-habis budak ni!

Razlan mendengus. "Ayah, boleh tak bagi Lan peluang untuk bercakap dengan Emy?"

Kahar ingin membalas kata-kata anaknya tetapi terbantut bila melihat isyarat Tengku Zamran Hakim, supaya membiarkan dirinya yang menyelesaikan sendiri masalah tersebut.

Kahar mengangguk.

"Boleh tak?" soal Razlan lagi pada Emily. Tangannya siap dihulurkan.

Tengku Zamran Hakim yang sudah berada berhampiran Razlan mencapai tangan Emily, menyuruhnya bangun. Emily hanya menurut kerana masih terpinga-pinga dengan keadaan yang berlaku ketika itu. Sepatah haram pun dia tak faham.

Tengku Zamran Hakim mengambil peluang mengenggam jemari runcing Emily.

Razlan ketap bibir, tidak berpuas hati melihat jemari gadis idamannya dalam genggaman sepupunya. Dia turut bangun berdepan dengan Tengku Zamran Hakim dan Emily.

Yang lain hanya memerhati.

"Kau jangan cari pasal dengan aku, Zam." Razlan mengepal penumbuknya.

"Apahal pulak?" balas Tengku Zamran Hakim bersahaja, seperti selalu.

Tengku Zamran Hakim mengalihkan pula jari-jemarinya pada pinggang Emily. Memaut erat tubuh langsing itu. 'Bukan selalu dapat buat macam ni.' detiknya, nakal. Lagipun, dia sengaja mahu menguji tahap kesabaran Razlan. 'Ha! Padan muka! Sibuk sangat nak kacau bini orang.'

Emily ketap bibir, bengang. Melampau! Kalau tidak memikirkan mereka berada di kelompok keluaraga, sudah lama dia mengamuk.

Razlan yang melihat ternganga.

Hazimah pula terjegil biji mata.

Tengku Zaidi dan Raja Muzairah bertepuk tangan dalam hati.

Rozina, Farhana, dan Farzana masing-masing berdetik, 'wow, hebat...'

Raja Nafisah dan suaminya pula menunggu kisah seterusnya. Anak menatu mereka yang tiga orang itu, hanya memerhati dari tadi.

Mujur anak-anak kecil tiada di ruang itu. Jika tidak, terpaksa bersoal-jawab dengan mereka.

“Baik kau jauh dari Emy, Zam.” Suara Razlan sudah bergetar menahan geram yang teramat.

"Kalau aku tak nak?"

“Awak, apa yang jadi sebenarnya ni?” bisik Emily perlahan pada lelaki di sebelahnya.

“Awak cuma perlu duduk diam di sini.” Bisik Tengku Zamran Hakim kembali.

Emily mengeluh, malas mahu bertanya lanjut. Hanya menurut kata-kata lelaki itu.

“Zam, kau sendiri tahu aku dah jatuh hati pada Emy ni. Kenapa kau nak potong line? Please lah Zam, untuk kali ni, boleh tak kau beralah?”

Berdesing telinga Tengku Zamran Hakim mendengar permintaan mengarut Razlan. Memang tak boleh! Permintaan yang tak masuk akal langsung.

Emily sudah melopong mendengar kata-kata Razlan. Biar betul!

“Aku tak rasa seorang suami akan lepaskan isterinya pada lelaki lain, Razlan.” Tengku Zamran Hakim terus terang. Malas mahu pusing-pusing lagi. Orang yang tak reti bahasa macam Razlan ni mana boleh cakap kias-kias. Takkan faham!

“Apa maksud kau?” wajah Razlan berubah riak.

Tengku Zamran Hakim mengeluh bosan. Tengok tu! Macan tu punya straight pun tak faham-faham lagi.

“Dengar sini betul-betul Razlan, Emily Natasha isteri aku yang sah! Dan, aku takkan sesekali lepaskan isteri aku pada orang lain. Kau nak terima atau tak, terserah. Hak aku, tetap hak aku.”

Emily memandang Tengku Zamran Hakim. Kata-kata yang terkeluar dari bibir lelaki itu mengusik hati kecilnya.

Dalam pada itu, ketukan dan salam dari pintu utama kedengaran. Kekalutan yang berlaku ketika itu, terhenti seketika.

"Ina, tolong tengok siapa yang datang." suruh Raja Muzairah pada menantu sulungnya.

Rozina menurut dan menghilang dari ruang tamu itu. Tidak berapa lama kemudian, dia muncul bersama seorang lelaki. Lelaki itu tersenyum mesra.

"Ayah Din!" girang Tengku Zamran Hakim bersuara. Kemudian mendapatkan Tengku Tajuddin dan disalamnya.

Tengku Tajuddin mengusap perlahan kepala Tengku Zamran Hakim. Itulah satu-satu anak yang rapat dengannya sejak kecil. Maklumlah, dia sendiri tidak punya anak. Kalaulah...ah, memang salahnya.

"Ayah Din minta maaf sebab tak balik masa Zam kahwin hari tu."

"It's okay. Zam faham." Matanya meliar ke arah Emily. Dilihatnya, Razlan cuba mencapai jemari gadis itu. Huh, Tak boleh tinggal langsung! "Err...Zam ke sana dulu." Langkah diatur ke arah Emily dan Razlan.

"Kenapa tak call? Boleh abang suruh orang ambil di airport." Tengku Zaidi mencelah. Dia tahu, sepupunya itu kembali dari Singapura.

"Saje nak berdikari." jawab Tengku Tajuddin bersahaja sambil menyalami penghuni yang berada di ruang tamu itu. Kemudian duduk di samping Tengku Zaidi.

"Restoran di sana macam mana? Siapa yang urus?" giliran Raja Muzairah pula bersuara. Lupa langsung mengenai perbalahan tadi.

"Alhamdulillah. Sambutannya memang tak sangka. Amat menggalakkan. Sekarang saya bagi orang yang urus. Saya cuma pantau dari jauh. Emm...ramainya tetamu. Ni mesti nak tengok menantu." teka Tengku Tajuddin. Meliar matanya mencari wajah isteri Tengku Zamran Hakim. Akhirnya tumpuan jatuh pada seraut wajah yang cukup jelita.. Hatinya terusik.

Emily tertunduk bila melihat mata tetamu lelaki yang baru sampai itu jatuh ke wajahnya. Wajah lelaki itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Matanya dikecilkan. Otaknya ligat. Dan…tak mungkin!

"Ini gambar sape bonda?" kedengaran suara comel kanak-kanak bertanya. Di tangannya tergenggam kemas sekeping gambar.

Wanita yang dipanggil bonda itu memandang gambar yang diunjuk. Lama gambar itu direnung.

"Inilah gambar ayah Lia dan Emy." jawab wanita itu pada anak kecilnya sambil tersenyum. Sukar untuk mengerti riak yang terpancar pada wajahnya.

"Kak Lia, Emy nak tengok." ujar anak kecil yang seorang lagi, sambil sama-sama ikut melihat.


Dan sejak hari itu, wajah lelaki yang diperkenalkan sebagai ayahnya terpahat utuh dalam ingatan. Memang rindu ada untuk lelaki itu, tetapi perasaaan marah lebih membara. Tapi...benarkah? Benarkah tetamu lelaki itu adalah lelaki yang tidak bertangungjawab itu?

"Be..betul ke apa yang kau cakap ni?" Razlan seperti mendapat suaranya kembali. Suara Razlan mengingatkan penghuni vila bahawa ada masalah yang belum selesai.

Tengku Zamran Hakim mengangguk.

"Ayah, Zam tipu kan?" tanya Razlan pada ayahnya pula. Masih tidak mahu menerima hakikat.

"Betul apa yang Zam cakap tu. Dari tadi ayah cuba bagitahu Lan, Lan tak nak dengar." lega Kahar. Akhirnya, terluah juga perkara sebenarnya.

"Tapi, bila Zam kahwin?"

"Ha, itulah kau. Sibuk memanjang. Sepupu sendiri kahwin pun tak tahu." sambung Raja Nafisah pula.

"Kalau sibuk kerja tape juga. Siang malam dok usung perempuan yang entah apa-apa." selamba Kahar menutur kata.

Menjegil mata Raja Nafisah memdengar kata-kata suaminya. Pecah lagi satu tembelang. Hari itu, dirasakan malang baginya.

"Tak...tak...Tak mungkin! Mustahil!" Razlan menggelengkan kepalanya beberapa kali.

Tak guna! Jangan mengalah, Lan. Permainan ni belum habis lagi. Hazimah membisik sendiri. Tetapi harapannya musnah bila dilihatnya Razlan laju mengatur langkah ke pintu utama.

"Apa yang jadi sebenarnya ni?" tanya Tengku Tajuddin perlahan pada Tengku Zaidi.

"Alah, biasalah tu. Budak-budak muda." hanya itu yang dibalas Tengku Zaidi.

"Yang itu ke, isteri Zam?" tanya Tengku Tajuddin lagi sambil mengunjuk pada Emily yang sedang berdiri.

"Ha, yang itulah."

"Emmm...boleh tahan pilihan Zam. Baik ke budaknya?" bukan niatnya untuk menyibuk, tetapi hatinya seperti mahu mengenali gadis itu dengan lebih dekat. Hatinya terusik setiap kali memandang wajah itu.

"Alhamdulillah. Segalanya menepati ciri-ciri menantu yang kami nak. Dia pun, dari kalangan kita-kita jugak. Cuma yang abang tahu, ayah dia tak ada."

"Tak ada? Maksud abang?"

“Ayah Emy tu tinggalkan dia masa dalam perut bonda dia lagi.”

Terkejut Tengku Tajuddin mendengarnya. Tergamak sungguh lelaki itu! “Dia tak pernah tengok ayah dia? Siapalah agaknya ayah dia kan?”

“Abang pun tak tahu sangat. Tapi, lebih kurang macam tulah apa yang diberitahu bondanya. Mereka hanya dua beranak. Lagipun, mereka macam tak nak cerita sangat hal-hal peribadi. Mungkin banyak peristiwa sedih dalam keluarga mereka.” Cerita Tengku Zaidi lagi.

Tengku Tajuddin mengeluh tiba-tiba.

"Kenapa ni?" Tengku Zaidi memandang sepupunya itu.

"Entahlah bang. Bila tengok isteri Zam tu, saya rasa dekat. Terfikir saya, kalau saya tak tinggalkan isteri saya dulu, mesti saya dah ada anak sebesar Emy tu." keluh Tengku Tajuddin.

"Sudahlah Din, bukan salah kau. Segala-galanya memang dah ditentukan Ilahi. Kau merancang, tapi lain yang jadi. Lagipun keadaan yang memaksa kau. Eh, kau tak cuba cari isteri kau tu?"

"Nak buat macam mana bang? Saya dah pernah cari dulu, cari di rumah lama kami. Tapi, rumah tu dah kosong. Yelah, dua tahun lepas tu baru kesihatan dan ingatan saya kembali pulih. Sebelum tu, dok terlantar je. Mungkin, dia dah pindah ke tempat lain." Tengku Tajuddin urut kepalanya. 'Ifah...' dia berbisik perlahan.

"Sabarlah. Ada jodoh, jumpalah tu. Banyakkan berdoa." nasihat Tengku Zaidi sambil menepuk perlahan belakang sepupunya itu.

“Harap-harap macam tu lah, bang.”

* * * * *

Razlan mencengkam stereng keretanya kuat. Susah dia mahu menerima hakikat gadis itu sudah menjadi milik sepupunya. Dari dulu, semua yang terbaik pasti milik Tengku Zamran Hakim. Pujian sentiasa dilempar pada lelaki itu. Sampai satu saat, dia sudah tidak boleh menerima hakikat itu. Hanya satu kelemahan sepupunya yang mengkin kelebihan akan berpihak padanya.

Wanita! Tengku Zamran Hakim benci kaum wanita, itu dia tahu. Dia sanggup usung berjenis perempuan demi menunjukkan dia hebat dalam mencari teman hidup walaupun tanpa cinta. Tapi kini...sepupunya itu sudah mendapat gadis yang cukup sempurna. Tapi yang paling dia benci, gadis itu juga sudah mencuri hatinya. Buat pertama kali, dia jatuh cinta tetapi cinta itu telah dimusnahkan oleh Tengku Zamran Hakim sendiri.

'Aku bersumpah Zam, kali ini aku takkan biarkan kau menang.' ikrar Razlan. Cinta harus direbut. Walau susah macam mana sekalipun, dia akan dapatkan cinta itu. Tapi jika memang gadis itu bukan miliknya, Tengku Zamran Hakim juga tidak akan memiliki gadis itu! Dia rela lakukan apa sahaja untuk itu, tapi tidak akan sesekali biarkan dirinya kalah.

5 comments:

  1. warghhhhhhhhh.
    xsuke2
    mesti lan nie de rncgn jahat.
    tolong!!!!!!!
    -na'dz

    ReplyDelete
  2. eeii..benci lan..bodoh tul..xphm ke tu bini org!!

    ReplyDelete
  3. isteri orang pun nak amik kerr??

    ReplyDelete
  4. ape plak dunia nk kiamat...
    eeeiii...geramnya aku kat si razlan ngan akak die name ntahlah...nk je aku siat2 kulit deorang ni...suke sngt ambik hak org laen...

    ReplyDelete